AZMIN ALI

LATEST

Month: March 2017

[Ucapan] Majlis Ramah Mesra & Penyerahan Cek Bantuan Kewangan Kepada Persatuan-Persatuan Veteran Selangor

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana kita dapat bersama-sama dengan para pejuang veteran negara yang mewakili Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Selangor, Persatuan Veteran Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM), Malaysia Armed Forces Sikh Veterans Association (MAFSVA) dan Persatuan Pesara-Pesara Pegawai Bomba & Penyelamat Negeri Selangor.

2. Pada petang ini, kita meraikan veteran pasukan keselamatan yang telah menyumbang kepada keselamatan dan keamanan negara. Jika tidak kerana pasukan keselamatan yang mempertahankan negara daripada sebarang ancaman, menjaga kedaulatan sempadan negara, menjamin keamanan tanah air dan sanggup menggadaikan nyawa dan keselamatan mereka, kita pastinya tidak akan berada di sini.

3. Hari ini, pasukan keselamatan negara mempunyai peranan yang signifikan bagi mendepani pelbagai ancaman baru yang mengugat keselamatan negara. Ini termasuklah isu-isu sempadan dan wilayah, ancaman keselamatan di perairan negara dan isu maritim.

4. Kesejahteraan rakyat juga disumbangkan oleh pasukan pertahanan awam seperti pasukan Bomba & Penyelamat yang memberikan khidmat pencegahan dan kemanusiaan kepada komuniti termasuk perlindungan nyawa dan harta semasa berlakunya bencana.

5. Justeru itu, menjadi tanggungjawab moral masyarakat dan negara untuk menyantuni kebajikan dan menyediakan peluang untuk masa depan para pejuang veteran dan keluarga mereka.

6. Saya mengambil maklum hampir 70% daripada sejumlah 378,274 orang bekas anggota tentera di seluruh negara merupakan golongan veteran yang tidak berpencen.

7. Kerajaan Negeri terpanggil untuk membantu sedaya upaya kami anggota veteran yang tidak berpencen dan veteran cedera perang supaya mempunyai jaminan masa hadapan yang lebih cerah.

8. Sebagai langkah awal, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 1 juta dalam tahun 2017 untuk menyemarakkan program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera termasuk keperluan perubatan dan kebajikan. Ini termasuklah sejumlah RM 500 ribu yang disalurkan terus ke dalam Tabung Pahlawan ATM melalui Persatuan Veteran ATM Negeri Selangor.

9. Kerajaan Negeri turut menawarkan pelbagai program dan inisiatif yang boleh dinikmati oleh golongan veteran pasukan keselamatan di Selangor seperti pembiayaan mikrokredit HIJRAH Selangor dengan pemberian bantuan modal perniagaan untuk usahawan-usahawan kecil memulakan perniagaan masing-masing.

10. Kerajaan Negeri juga menawarkan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) khusus kepada golongan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas. Skim ini merupakan skim khairat kematian dengan manfaat sebanyak RM 2,500 sebagai menghargai warga emas.

11. Kerajaan Negeri juga amat peduli dengan tahap kesihatan rakyat di Selangor. Bermula Januari 2017, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Skim Peduli Sihat dengan peruntukan sebanyak RM 125 juta setahun bagi penyediaan perkhidmatan rawatan kesihatan asas (primary care). Melalui program ini, Kerajaan Negeri mensasarkan seramai 250,000 keluarga atau 1 juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM 3,000 ke bawah akan mendapat manfaat dengan nilai RM 500 setahun bagi memastikan warga Selangor sentiasa dalam keadaan sihat dan produktif. Skim ini adalah yang terunggul di Malaysia dan hanya di Selangor.

12. Nilai pasaran hartanah yang terus melambung tinggi menyebabkan ramai di kalangan warga veteran tentera tidak mampu memiliki sebuah kediaman yang selesa untuk keluarga. Maka, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) telah menetapkan kuota 10 peratus pemilikan Rumah Selangorku dengan harga jualan tidak lebih daripada RM 250,000 untuk ditawarkan kepada pesara tentera, polis dan pasukan beruniform berkuatkuasa 1 September 2016.

13. Pada hari ini, selain daripada sumbangan Kerajaan Negeri untuk Tabung Pahlawan ATM Negeri Selangor berjumlah RM 500 ribu, Kerajaan Negeri sukacita untuk menyerahkan cek bantuan kewangan kepada 3 persatuan veteran pasukan keselamatan; Persatuan Veteran Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) sebanyak RM 50 ribu, Persatuan Pesara-Pesara Pegawai Bomba & Penyelamat Negeri Selangor sebanyak RM 50 ribu dan Malaysia Armed Forces Sikh Veterans Association (MAFSVA) sebanyak RM 10 ribu.

14. Menjadi harapan kita agar sumbangan ini dapat dimanfaatkan oleh persatuan untuk mempertingkatkan peranan mereka dalam masyarakat menerusi program-program kebajikan dan kemasyarakatan serta bersama-sama Kerajaan Negeri merealisasikan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Titah Ucapan D.Y.M.M. Sultan Selangor Di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017

 Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Bismillahir Rahmanir Rahim

Beta, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan inayah-Nya, Beta dapat menyempurnakan Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017.

Sejak Pembukaan Persidangan Dewan Negeri pada tahun lalu, Beta telah menyaksikan ekonomi negeri Beta terus berkembang selari dengan agenda Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Sebagai penyumbang utama kepada KDNK Malaysia, Selangor merupakan negeri terpenting dalam memastikan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi, menjelang tahun 2020. Ekonomi Selangor menjadi indikator utama prestasi ekonomi Malaysia di mana Selangor mendominasi sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Alhamdulillah, KDNK per kapita Selangor telah meningkat kepada Ringgit Malaysia Empat Puluh Dua Ribu Enam Ratus Sebelas (RM 42,611) dan melebihi paras nasional. Pendapatan isi rumah juga telah meningkat dan kini Selangor menduduki ranking ke 3 selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Komitmen Kerajaan Negeri yang bersepadu dalam menangani masalah kemiskinan rakyat dilihat berjaya mengeluarkan Selangor dari belenggu kemiskinan dan mencatat insiden kemiskinan kosong perpuluhan dua peratus (0.2%) sahaja berbanding Malaysia pada kadar kosong perpuluhan enam peratus (0.6%).

Keadaan ini mencerminkan pencapaian ekonomi Negeri Selangor lebih baik dan kekal berdaya tahan meskipun berdepan dengan cabaran.

Beta yakin pencapaian ini terbina hasil daripada gagasan Kerajaan Negeri Beta serta sikap dan usaha Ahli-Ahli Dewan Negeri yang responsif kepada aspirasi dan tuntutan rakyat. Semangat ini wajar ditingkatkan lagi memandangkan senario 2017 yang mencabar. Ini menuntut semua Ahli Dewan Negeri memberikan tumpuan kepada isu-isu rakyat dan menjadikan Dewan yang mulia ini sebagai tempat untuk mengemukakan idea serta saranan yang progresif untuk mengekalkan momentum yang positif ini.

Beta berkenan Dewan Negeri Selangor telah meluluskan    Belanjawan 2017  berjumlah  Ringgit Malaysia   Tiga   Perpuluhan   Empat   Lima    Bilion   (RM 3.45 bilion), peruntukan terbesar yang pernah tercatat dalam Belanjawan Negeri Selangor.

Memanda Beta telah mengambil langkah bijak dan berani dengan meningkatkan peruntukan pembangunan kepada lima puluh dua perpuluhan dua peratus (52.2%). Ini bertepatan dengan konsep Selangor sebagai Negeri Pembangunan. Melalui langkah ini, rakyat akan mengecapi nikmat pembangunan yang melebar ke serata negeri.

Beta mengalu-alukan peningkatan peruntukan pembangunan dari tahun ke tahun.  Peruntukan pembangunan  pada  tahun  2015 yang berjumlah Ringgit  Malaysia  Satu  Perpuluhan  Satu Tiga Bilion (RM 1.13 bilion) telah ditingkatkan kepada Ringgit Malaysia Satu  Perpuluhan  Lapan  Kosong  Bilion  (RM 1.80 bilion) pada tahun 2017.

Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memikul tanggungjawab yang besar bagi memastikan projek-projek pembangunan disiapkan mengikut jadual. Pembangunan yang terancang akan membantu merancakkan aktiviti ekonomi Negeri Selangor.

Sayugia Beta mengingatkan Ahli-Ahli Dewan Negeri bahawa economic fundamentals bukan lagi tertumpu kepada persoalan balance of payments dan angka ekonomi semata-mata tetapi asas ekonomi hari ini mestilah merangkumi integriti, ketelusan, urus tadbir yang baik dan institusi yang berwibawa.

Beta amat sukacita apabila prinsip-prinsip yang Beta nyatakan tadi telah mendasari pentadbiran Kerajaan Negeri dan telah menyuntik keyakinan para pelabur untuk berlabuh dan mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan.

Menurut Laporan Malaysian Investment Development Authority (MIDA), sehingga 31 Disember 2016, Negeri Selangor telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak Ringgit Malaysia Tujuh Perpuluhan Lapan Puluh Lapan Bilion (RM 7.88 bilion) dengan lebih lima puluh peratus (50%) pelaburan dikuasai oleh pelabur tempatan. Beta mahu pelaburan yang besar ini berupaya mewujudkan ‘value creation’ bagi memberi manfaat langsung kepada rakyat Beta.

Pelaburan ini telah mencipta enam belas ribu empat ratus dua puluh tujuh (16,427) peluang pekerjaan dan dua ratus empat puluh dua (242) projek perkilangan iaitu jumlah tertinggi yang direkodkan di Malaysia.

Beta yakin Invest Selangor akan terus mengekalkan kecemerlangan dan maju ke hadapan dengan mendakap gerakan Industri 4.0 yang meliputi kemajuan dalam digital fabrication technologies. Invest Selangor mesti menjamin hasil yang positif dalam lima kluster yang telah ditetapkan iaitu elektrik & elektronik, sains hayat, makanan dan minuman, peralatan pengangkutan serta jentera dan peralatan.

Invest Selangor harus meneruskan kerjasama dengan MIDA dan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) bagi menjamin kedudukan Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi negara.

Beta mengikuti kesungguhan anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor khususnya di peringkat daerah dalam meningkatkan hasil bagi membiayai pembangunan negeri. Sebagai sebuah negeri maju dan berteknologi tinggi, usaha mempelbagaikan sumber pendapatan negeri perlu ditingkatkan termasuk mencari sumber baru dan tidak hanya bergantung kepada hasil tanah.

Beta mahu peranan dan fungsi syarikat-syarikat milik Negeri dimantapkan melalui rasionalisasi aset termasuk menyatukan dan menyusun semula aset-aset dan menetapkan strategi perniagaan untuk penciptaan nilai yang mampan (sustainable value creation).

Sebagai contoh, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sewajarnya mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan pemaju-pemaju swasta secara strategik disamping mengekalkan matlamat penubuhan PKNS untuk menyediakan perumahan rakyat yang mampu dimiliki dan berkualiti.

Kerajaan Negeri Beta telah melaksanakan dasar pendemokrasian pemilikan rumah (house owning democracy) bagi menjamin hak rakyat untuk memiliki sebuah rumah yang affordable dan berkualiti.

Untuk mencapai matlamat ini, peranan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) harus diberdayakan untuk berfungsi sebagai agensi yang merancang dan membangunkan perumahan serta kawasan perbandaran untuk mewujudkan persekitaran hidup yang berkualiti.

Beta difahamkan sebanyak lebih dua puluh ribu unit Rumah Selangorku sedang dalam pelbagai peringkat pembangunan semenjak dilancarkan pada tahun 2014 melalui smart-partnership dengan pemaju. Kemajuan ini perlu dipantau secara berkala untuk memastikan rakyat Beta dapat memiliki rumah dalam tempoh yang ditetapkan.

Beta berkenan masalah end-financing ditangani untuk membolehkan graduan muda dan kumpulan M40 memiliki rumah.

Malaysia Institute of Economic Research (MIER) melaporkan antara kekuatan Negeri Selangor adalah kestabilan dan penyatuan dalam pentadbiran, cekal dan berpandangan jauh serta melaksanakan dasar dan program yang mengutamakan rakyat. Kerajaan Negeri Beta tuntas melaksanakan program meningkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat agar kemakmuran negeri ini dapat dinikmati oleh semua rakyat Beta.

Beta difahamkan bahawa rakyat Beta gembira tentang kejayaan pelbagai inisiatif Peduli Rakyat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Pada tahun lalu, rakyat Beta bergembira mendapat perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor di kesemua dua belas (12) Pihak Berkuasa Tempatan. Perkhidmatan ini telah dinikmati oleh lebih enam pepuluhan empat (6.4) juta rakyat sekaligus meningkatkan mobiliti dan perhubungan masyarakat bandar dan desa.

Golongan peniaga kecil pula bergembira kerana Kerajaan Negeri Beta telah mengecualikan fi lesen perniagaan untuk gerai, pasar tani dan pasar malam. Orang-orang kampung dan pemilik rumah kos rendah bersyukur kerana Kerajaan Negeri Beta telah mengecualikan cukai taksiran selama dua tahun berturut-turut.

Ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Beta terhadap kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi sedangkan pendapatan mereka yang boleh dibelanjakan atau disposable income semakin menguncup.

Beta mengucapkan tahniah kepada Memanda Dato’ Menteri Besar yang terus tampil dengan idea-idea baru. Skim Peduli Sihat dan Peduli Siswa diperkenalkan dengan tumpuan khusus kepada golongan B40 dan mahasiswa. Program ini adalah cerminan rasa peduli Kerajaan Negeri dalam sektor pendidikan dan kesihatan rakyat.

Beta amat berbangga kerana negeri Beta merupakan negeri pertama memperkenalkan Skim Pembiayaan Rawatan Kesihatan Asas atau primary care kepada rakyat. Dengan pembiayaan Ringgit Malaysia Seratus Dua Puluh Lima Juta (RM 125 juta), dapatlah rakyat Beta melakukan saringan kesihatan secara percuma untuk mengesan tanda-tanda awal sekiranya seseorang itu menghidapi penyakit yang tidak berjangkit.

Program Peduli Sihat dapat menjamin rakyat Beta sihat dan bertenaga serta menyumbang kepada produktiviti negeri. Skim Peduli Sihat ini adalah terunggul di Malaysia dan hanya di Negeri Beta.

Beta ingin menasihatkan agar kegiatan sukan dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada agenda negeri untuk mempertingkatkan mutu kesihatan rakyat.

Langkah proaktif Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia Sepuluh Juta (RM 10 juta) untuk Program Peduli Siswa pula telah memberi kemudahan kepada anak-anak Selangor di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk membiayai pengajian mereka. Sebagai sebuah negeri maju yang berteknologi tinggi, inovatif dan kreatif, Selangor memerlukan tenaga kerja berkemahiran dan berilmu.

Pada hemat Beta, pendidikan tinggi perlu menjalani transformasi dengan pembaharuan drastik dan menyeluruh. Selain daripada menghasilkan graduan yang cemerlang dalam bidang akademik, institusi pengajian tinggi juga perlu menyediakan modal insan yang berkemahiran tinggi.

Kecekapan, kepakaran teknikal, pemerolehan serta peningkatan soft skills dan hard skills akan memastikan keluaran graduan dapat memenuhi keperluan industri dan negeri. Ini penting untuk mencapai matlamat knowledge economy dan gagasan menjadikan Negeri Selangor sebagai Smart State.

Generasi muda mempunyai potensi untuk maju sebagai usahawan. Ekonomi Selangor yang rancak membuka peluang perniagaan buat mereka untuk menjana mobiliti, mengurangkan kebergantungan dan melebarkan kemakmuran di kalangan golongan yang terpinggir. Beta gembira Kerajaan Negeri komited untuk melatih dan mengupayakan generasi muda bagi membina kepakaran, memahami persekitaran perniagaan, pemasaran dan pengurusan kewangan termasuk melaksanakan Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor dengan peruntukan sebanyak RM 1 juta.

Sementara itu, Selangor mencatatkan peratusan kebolehpasaran (employability) wanita yang lebih tinggi berbanding lelaki. Ini mencerminkan sikap daya maju wanita Selangor. Beta berkenan dengan penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) untuk merencana dasar dan kebijakan yang lebih progresif demi memartabatkan wanita di Negeri Selangor.

Dua hari yang lalu, Beta telah berangkat menyertai usaha Kerajaan Negeri dalam Program Tanam Pokok sempena Hari Hutan Antarabangsa yang turut melibatkan rakyat Beta dan juga mahasiswa.

Hutan merupakan khazanah semulajadi yang amat kaya dengan pelbagai sumber asli dan biodiversiti. Khazanah hijau ini perlu dipelihara bagi menjamin ekosistem alam semulajadi dalam pembangunan yang mampan.

Pembangunan sungai berperanan untuk menjamin ekosistem alam sekitar yang mampan. Justeru itu, kebersihan sungai amat penting. Bertahun-tahun lamanya Sungai Klang sarat dengan sampah sarap terapung sehingga menjadi pulau. Beta amat gembira dengan kesungguhan dan kejayaan KDEB Waste Management yang telah membersihkan Sungai Klang dengan mengeluarkan lebih lapan belas ribu (18,000) tan sampah sehingga mergastua kembali dalam ekosistem tersebut.

Air adalah sebahagian daripada ekosistem yang harus dipelihara. Air adalah talian hayat kemanusiaan. Beta berkenan dengan sikap proaktif Kerajaan Negeri yang mengambil langkah-langkah untuk memelihara sumber air negeri.

Justeru itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang merupakan agensi pengurusan sumber air mentah yang pertama mempunyai enakmen perlu memastikan pengurusan sumber air mentah dapat dibuat secara efektif, mampan dan strategik.

Beta berkenan semua pihak termasuk rakyat dan agensi Kerajaan untuk mengamalkan sikap berjimat cermat dalam penggunaan air. Pelaksanaan Sistem Pengutipan Air Hujan (SPAH) adalah satu langkah permulaan yang positif ke arah konservasi air.

Pengurusan Air Selangor perlu meneruskan usaha memberi perkhidmatan air secara holistik, efisyen dan kos efektif serta mengambil peduli tentang keperluan rakyat dan industri.

Beta amat sukacita kerana Kerajaan Negeri telah meluluskan sejumlah Ringgit Malaysia Empat Ratus Juta (RM 400 juta) untuk menggantikan paip-paip air lama secara berperingkat sepanjang empat ratus dua puluh dua (422) kilometer demi memastikan kualiti dan bekalan air terus terjamin. Usaha ini dapat mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan mengelakkan gangguan bekalan air yang berpunca daripada masalah paip pecah atau bocor.

Beta menyambut baik langkah proaktif Air Selangor yang telah membuat audit menyeluruh ke atas semua aset air dalam usaha untuk meningkatkan kelangsungan (reliability) sistem bekalan air. Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan Ringgit Malaysia Enam Puluh Juta (RM 60 juta) untuk kerja-kerja baik pulih dan naik taraf rumah pam dan kolam-kolam air.

Beta mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri yang telah mengambil keputusan untuk membina dua buah loji rawatan air yang menelan belanja Ringgit Malaysia Lapan Ratus Juta (RM 800 juta). Pembangunan ini penting untuk menampung keperluan air terawat khususnya di kawasan selatan Negeri Selangor termasuk Daerah Kuala Langat.

Pembangunan dua loji rawatan ini menggunakan konsep Off River Storage (ORS) yang mampu mengekalkan bekalan air mentah sekalipun berlaku pencemaran di sungai selain dapat berfungsi sebagai kolam takungan bagi mengelakkan risiko banjir di penempatan hiliran sungai.  Ini adalah antara langkah-langkah jangka panjang bagi menjamin kelangsungan bekalan air yang lestari untuk rakyat Beta.

Beta juga berkenan kerana Kerajaan Negeri telah menjalankan kerja-kerja secara menyeluruh dan mengambil langkah-langkah yang terbuka dan telus dalam memuktamadkan proses pengambilalihan syarikat konsesi air bagi memelihara kepentingan rakyat Negeri Selangor. Beta difahamkan Kerajaan Persekutuan turut mengambil langkah yang sama seperti langkah Kerajaan Negeri melantik penilai bebas untuk menentukan nilai pengambilalihan. Justeru, Beta berharap agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat memuktamadkan proses ini dengan menjamin kepentingan negeri dan rakyat.

Oleh itu, Beta mahu semua pihak mengambil sikap yang bertanggungjawab dan tidak mempolitikkan isu air semata-mata kerana kepentingan sempit kumpulan sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat.

Sementara kita bersyukur dengan kejayaan Selangor, janganlah kita lupa aspek kebudayaan dan jati diri. Rakyat Beta harus memahami sejarah dan asal muasal Kerajaan Negeri ini untuk memperkukuhkan kefahaman tentang konsep Raja Berperlembagaan.

Beta berbangga dengan sikap Memanda Beta yang tegas menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Prinsip ini merupakan tiang seri yang menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

Disini Beta ingin mengingatkan sekali lagi kepada rakyat Negeri Selangor yang dikasihi, supaya sentiasa hormat menghormati antara satu sama lain, baik dari segi agama dan adat resam, serta dapat hidup dengan aman dan damai di dalam satu negeri yang berbilang kaum ini.

Beta amat terharu dapat berangkat hadir untuk meraikan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang terzahir semasa Sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Semangat ini perlu terus disuburkan demi kelangsungan sebuah negeri yang maju.

Kemajuan negeri perlu diseimbangkan dengan aspek moral dan kerohanian. Beta gembira Kerajaan Negeri giat membangunkan institusi agama Islam termasuk 60 projek pembinaan masjid, Sekolah Rendah Agama dan Kompleks Islam Daerah dengan kos lebih RM 174 juta sejak 2015 bagi mengembangkan syiar Islam.

Masjid perlu kembali berperanan sebagai pusat pengembangan dan kemajuan intelek serta mengekalkan masjid sebagai tonggak ibadah dan kerohanian. Umat Islam di Selangor perlu berpegang kepada ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menekankan pendekatan kesederhanaan dan ilmu. Islam menganjurkan perdamaian dan hubungan baik sesama manusia.

Sekiranya Ahli-Ahli Dewan Negeri berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan bersedia meraikan perbedaan, Beta menaruh keyakinan bahawa segala yang kusut dapat dirungkai, yang seteru dapat berdamai dan akhirnya negeri ini bertambah permai.

Sebelum Beta mengakhiri ucapan Beta ini, Beta ingin menyatakan bahawa politik bukanlah semata-mata untuk memburu kuasa. Politik dalam pengertian sebenar adalah usaha untuk mencapai urus tadbir yang cemerlang bagi membangunkan negeri. Dalam hal ini, Beta berkenan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri yang stabil dan meletakkan agenda peduli rakyat mengatasi polemik dan politik sempit. Amat malang sekali, politik hari ini dicemari dengan kebencian, kemarahan, fitnah, menimbulkan salah faham antara satu sama lain dan perkauman sempit. Beta berkenan Kerajaan Negeri meneruskan amalan politik luhur yang berteraskan prinsip dan nilai.

Beta mendoakan semoga persidangan kali ini dapat menggembleng kesatuan tenaga dan pemikiran dengan satu matlamat untuk Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Maka, dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017.

 

Selamat bersidang.

 

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah,

Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor Sempena Program Tanam Pokok Sempena Hari Hutan Antarabangsa

Menghadap
Duli Yang Maha Mulia
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,

Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan

Ampun Tuanku,

Patik mewakili Kerajaan Negeri menjunjung kasih di atas keberangkatan Tuanku ke Program Tanam Pokok Negeri Selangor Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa.

Sesungguhnya keberangkatan Tuanku ke program ini menjadi inspirasi untuk memelihara dan memulihara hutan sebagai elemen penting dalam ekosistem semula jadi serta menjamin persekitaran hijau yang sihat dan pembangunan yang mampan.

Aktiviti menanam pokok sangat penting memandangkan pokok mempunyai peranan yang pelbagai termasuk perlindungan, teduhan, pengindahan lanskap serta menyumbang kepada pengurangan pemanasan global.

Kepedulian Tuanku terhadap persoalan alam sekitar telah mendorong Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan strategi meningkatkan kehijauan Negeri Selangor.

Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah keizinan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan meraikan para tetamu pagi ini.

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah
Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,
Raja Muda Selangor,

Yang Berhormat Puan Elizabeth Wong,

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna,

Yang Berhormat Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Amat Dihormati Ahli – Ahli Dewan Di Raja Selangor,

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin Bin Ahmad Ahya,

Setiausaha Kerajaan Negeri,

Yang Berhormat Dato’ Nik Suhaimi Bin Nik Sulaiman,

Penasihat Undang – Undang Negeri,

Yang Berhormat Dato’ Noordin Bin Sulaiman,

Pegawai Kewangan Negeri,

Yang Berusaha Dato’ Roslan Bin Ariffin,

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Malaysia ;

Yang Dimuliakan Orang – Orang Besar Istana,

Yang Dihormatkan Orang – Orang Besar Daerah,

Yang Berhormat Ahli – Ahli Parlimen dan Ahli – Ahli Dewan Negeri,

Yang Berusaha Ketua – Ketua Jabatan Kerajaan Peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah,

Tuan – Tuan dan Puan – Puan sekalian.

Pokok menyokong kehidupan dengan mengeluarkan oksigen dan menyerap karbon dioksida. Jurnal Nature menyebut bahawa terdapat 3 trilion pokok di dunia. Malangnya, masyarakat masa kini menebang 15 bilion pokok setiap tahun menyebabkan jumlah pokok berkurangan sebanyak 46 peratus sejak bermulanya tamadun manusia.

Gambaran satelit menunjukkan hanya tinggal 400 bilion pokok di dunia pada hari ini. Kebimbangan masyarakat global telah mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan kempen memupuk kesedaran sejagat ke arah penghijauan semula dunia melalui Sambutan Hari Perhutanan Sedunia (World Forestry Day) yang diadakan sejak tahun 2013 dan pada hari ini dikenali sebagai Hari Hutan Antarabangsa (International Day of Forests).

Usaha pagi ini menggambarkan bahawa kita adalah sebahagian daripada warga global yang cintakan alam sekitar. Kehijauan adalah lebih daripada sekadar warna. Namun, apa yang lebih penting adalah sumbangan kepada kehidupan bandar yang optimum dan penggunaan tenaga yang rendah.

PBB melaporkan bahawa pokok-pokok yang ditempatkan secara strategik di kawasan bandar mampu menyejukkan udara antara 2 hingga 8 darjah celsius. Hutan bukan sahaja menghasilkan udara bersih tetapi juga air dan tenaga. Maka, kita tidak boleh alpa tentang peranan penting hutan dalam menyediakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy source).

Malah, kajian PBB menunjukkan bahawa kayu membekalkan kita hampir separuh daripada bekalan semasa tenaga global yang boleh diperbaharui dan ini melebihi gabungan tenaga solar, hidroelektrik dan tenaga angin.

Wood-energy sector merupakan faktor utama dalam penciptaan 900 juta peluang pekerjaan di negara-negara membangun. Usaha memodenkan sektor ini akan memberi nafas baru kepada ekonomi luar bandar dan menggalakkan pembangunan perusahaan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru, tema Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini, “Forests and Energy” adalah bertepatan dengan kepedulian Kerajaan Negeri khususnya dalam aspek mempertingkat sumber tenaga yang boleh diperbaharui berbanding sumber tenaga fosil yang semakin pupus.

Program pada hari ini amat signifikan kerana dilaksanakan di Taman Alam Kuala Selangor yang merupakan salah satu kawasan Hutan Paya Laut di Negeri Selangor. Taman yang berkeluasan 264.81 hektar (646.9 ekar) ini amat kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna.

Pada bulan September hingga April setiap tahun, kawasan ini menjadi tempat persinggahan burung-burung hijrah terutamanya dari Negara Rusia dan Siberia.

Pada pagi yang nyaman ini, DYMM Tuanku akan menanam pokok ‘Rhizophora mucronata’ atau dikenali sebagai Pokok Bakau Kurap. Fungsi utama pokok bakau kurap ini adalah sebagai penghalang hakisan dan mengurangkan kesan ombak di pesisir pantai. Pada masa yang sama, buah pokok bakau ini juga menjadi sumber makanan kepada burung dan hidupan akuatik di Hutan Paya Laut.

Taman Alam berpotensi untuk dijadikan pusat pembelajaran dan penyelidikan saintifik. Ini dapat memberi pulangan ekonomi kepada Kerajaan Negeri sekiranya kawasan ini dibangunkan sebagai hub ‘Educational Eco-Tourism’.

Justeru, untuk memelihara kawasan yang amat berharga ini, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) kini dalam proses akhir untuk mewartakan Taman Alam Kuala Selangor sebagai sebahagian kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Usaha menjayakan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan, Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk mengekalkan keluasan kawasan hutan sebanyak 30% daripada keluasan Negeri Selangor. Alhamdulillah, jumlah keluasan hutan pada hari ini adalah sebanyak 31.5 peratus atau 250,129 hektar daripada keluasan Negeri Selangor.

Kawasan hutan mempunyai estetika yang tidak ternilai seperti sungai, air terjun, jeram, pembentukan batu yang unik, flora dan fauna, tanah lembap dan panorama indah yang menjadi daya tarikan utama sebagai destinasi pelancong tempatan dan luar negara.

Selaras hal ini, Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan Dasar Moratorium Pembalakan selama 25 tahun iaitu tiada sebarang aktiviti pembalakan di dalam Hutan Simpanan Kekal.

Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Arborist Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyediakan Polisi Pengurusan dan Pemuliharaan Pokok Negeri Selangor. Polisi ini membuktikan usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan pemuliharaan dan pemeliharaan pokok oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor dilaksanakan mengikut amalan arborikultur terbaik.

Kempen kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar perlu dilaksanakan secara konsisten dan melibatkan semua lapisan masyarakat. Sokongan dan kerjasama berterusan daripada sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) akan dapat menggembleng kesatuan masyarakat dalam usaha memulihara dan melindungi alam sekitar.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik memohon izin mengakhiri ucapan ini dengan serangkap pantun.

Paya bakau airnya cetek,
Unggas-unggas menumpang hidup,
Selangor hijau buminya cantik,
Mata memandang hati pun redup.

Patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaannya.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT

[Ucapan] Pelancaran Konvensyen Jkkk & Pelancaran Ikatan Desa

1. Pada hari ini, kita bertemu dengan Ketua-Ketua Kampung untuk mengulangi tekad kita bersama untuk memberdaya mutu kehidupan masyarakat desa. Ketua-ketua kampung mempunyai peranan yang sangat penting untuk mengangkat kehidupan masyarakat desa ke tahap yang setara dengan kehidupan bandar.

2. Namun, pada masa yang sama, mengekalkan identiti bangsa, jati diri dan watak kedesaan dengan masyarakat bergotong–royong dan punyai rasa peduli, bekerjasama, harmoni dan persekitaran yang lestari dengan kehijauan alam semulajadi.

3. Desa adalah jantung kepada negara. Desa juga yang akan menentukan siapa yang berada di Putrajaya. Tatkala jantung berhenti, jasad terkulai. Kita harus akur bahawa desa adalah penentu masa depan politik negara.

4. Kampung dan desa akan menjadi penggerak utama dan medan dalam menentukan Kerajaan Negeri ini terus diberi mandat untuk melaksanakan keadilan sosial, menjaga kebajikan rakyat dan melaksanakan pembangunan yang berkualiti. Membangun Bangsa, Memakmur Negeri harus menjadi asas perjuangan kita bersama. Sekiranya kita cuai dan laih, rejim lama akan kembali. Kali ini mereka akan kembali dengan lebih rakus untuk menginjak-injak pejuang kampung dan desa.

5. Mengapa Ketua-Ketua Kampung bertanggungjawab mempertahankan pentadbiran hari ini ? Pentadbiran hari ini membawa politik harapan dan politik nilai, sementara yang sedang mengasak kita membawa politik ketakutan, politik ugutan, tohmah dan fitnah. Sebab itu menjadi tanggungjawab 368 orang Ketua Kampung untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan menjamin perlindungan buat mereka. Orang Melayu mesti diberikan keyakinan bahawa inilah Kerajaan yang akan melindungi hak mereka.

6. Ketua-Ketua Kampung merupakan barisan terkehadapan (frontier) dalam sistem penyampaian perkhidmatan (delivery) Kerajaan Negeri kepada warga desa. Kerajaan Negeri komited untuk menjayakan usaha pembangunan dan memakmurkan desa, bukan sahaja dalam konteks pembangunan infrastruktur dan kemudahan fizikal, tetapi juga pembangunan anak bangsa, modal insan, kerohanian, persoalan ilmu, kesihatan dan keusahawanan. Pembangunan desa yang tempang akan menyebabkan masyarakat desa tidak mempunyai daya untuk bersaing dalam dunia hari ini yang penuh cabaran.

7. Atas kesedaran ini, maka Kerajaan Negeri tuntas meletakkan agenda pembangunan desa sebagai keutamaan dalam pelan pembangunan negeri. Ini dapat dilihat melalui jumlah peruntukan pembangunan luar bandar yang besar dan meningkat dari tahun ke tahun.

8. Hal ini membuktikan, pentadbiran Selangor menyedari bahawa desalah yang akan menentukan masa depan negeri dan negara. Justeru, kita komited untuk merapatkan kesenjangan antara bandar dan desa dengan meningkatkan mobiliti masyarakat melalui pelaksanaan program perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor.

9. Semenjak dilaksanakan pada 2015, program perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor telah mendapat sambutan cukup menggalakkan. Bermula dengan peruntukan sebanyak RM 3.5 juta pada tahun 2015, kemudian ditingkatkan kepada RM 10 juta pada tahun 2016 dan pada tahun ini digandakan kepada RM 20 juta.

10. Sehingga hari ini, sebanyak 52 buah bas untuk perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor telah berada di semua PBT yang turut meliputi kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat. Lebih 6.4 juta rakyat Selangor telah menikmati perkhidmatan percuma ini.

11. Selain itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 45 juta bagi tujuan penyelenggaraan jalan-jalan kampung bagi meningkatkan connectivity dan hubungan bandar dan desa. Kita juga telah menyediakan RM 15 juta untuk menaiktaraf kemudahan awam dan prasarana asas desa seperti balairaya.

12. Kerajaan Negeri komited untuk mensejahterakan ekonomi desa melalui pemerkasaan digital. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk meningkatkan akses warga desa kepada dunia teknologi maklumat termasuk melalui inisiatif WiFi Smart Selangor. Lebih 2,500 hotspot telah disediakan untuk memberdaya masyarakat dengan informasi dan maklumat yang cepat dan pantas serta membantu usahawan desa memasarkan produk-produk mereka melalui e-dagang. Ini sekaligus dapat meningkatkan peluang ekonomi desa dan mengurangkan jumlah anak-anak muda di desa berhijrah ke bandar.

13. Tahun ini merupakan tahun kedua Kerajaan Negeri mengecualikan cukai taksiran buat rumah-rumah kampung. Pelaksanaan dasar ini telah memberi impak kewangan yang besar kepada hasil negeri dengan pengurangan sebanyak RM 62 juta. Namun, inisiatif ini dilaksanakan untuk mengurangkan beban hidup rakyat yang semakin terhimpit akibat kenaikan harga barang, kos sara hidup yang tinggi dan pelaksanaan GST.

14. Untuk menjamin masyarakat desa mempunyai tenaga untuk terus meningkatkan produktiviti dan menjamin kesihatan rakyat, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Skim Peduli Sihat yang menelan kos sebanyak RM 125 juta. Inisiatif ini bertujuan untuk membiayai rawatan kesihatan asas atau primary care termasuk melakukan saringan kesihatan supaya kita boleh mengesan tanda-tanda awal sekiranya seseorang itu akan menghidapi penyakit-penyakit yang kronik. Skim Peduli Sihat ini adalah terunggul di Malaysia dan Hanya di Selangor.

15. Saya ingin mengingatkan satu peranan besar Ketua Kampung yang tidak boleh diremehkan dan jauh sekali diabaikan. Ketua Kampung mesti berdaftar sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (ARO) SPR.

16. Berdasarkan rekod, daripada sejumlah 368 orang Ketua-Ketua Kampung, 321 orang Ketua Kampung yang berdaftar sebagai ARO hanya 31 orang yang aktif mendaftarkan pengundi baru. Jumlah pendaftaran pengundi baru juga sangat mengecewakan dengan hanya 3,561 orang yang didaftarkan oleh Ketua Kampung di seluruh Negeri Selangor.

17. Ketua Kampung bertanggungjawab menjayakan program pendemokrasian di mana rakyat berhak untuk menjadi pengundi bagi menentukan masa depan negara. Mengapa kita biarkan pemimpin kleptokrat memimpin kita dan menentukan masa depan kita ? Masa depan tuan-tuan, masa depan saya, masa depan anak cucu kita terletak pada tangan mereka. Jika Ketua-Ketua Kampung tidak membantu mendaftarkan anak-anak muda ini sebagai pengundi, bagaimana mungkin kita dapat melihat sebuah negara yang lebih demokratik ?

18. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk membangun bangsa yang merdeka, berdaulat dan bermaruah. Sekiranya usaha ini gagal, bermakna kita semua bertanggungjawab di atas kegagalan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

19. Namun, Kerajaan Negeri tidak pernah lupa terhadap kebajikan Ketua-Ketua Kampung. Kerajaan Negeri telah menaikkan elaun Ketua-Ketua Kampung kepada RM 1,200 untuk memastikan segala dasar, program dan inisiatif Kerajaan Negeri dilaksanakan di peringkat akar umbi.

20. Kerajaan Negeri juga prihatin akan isu keselamatan desa dan mahu memastikan keharmonian dan kesejahteraan desa senantiasa terpelihara. Justeru, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 3.68 juta untuk penubuhan Pasukan Ikatan Desa di semua kampung.

21. Kerajaan Negeri melihat isu keselamatan sebagai isu penting memandangkan kita diancam oleh pelbagai isu seperti kes pecah rumah, kecurian dan jenayah berat. Untuk maksud pencegahan kes-kes seperti ini, setiap kampung akan diberi peruntukan sebanyak RM 10 ribu untuk memperkasakan dan menjamin keselamatan rakyat melalui program latihan keselamatan untuk petugas-petugas Ikatan Desa.

22. Justeru itu, menjadi harapan kita agar Ketua-Ketua Kampung dan Pasukan Ikatan Desa dapat memainkan peranan yang signifikan dalam usaha untuk memberdaya institusi dan masyarakat desa. Marilah kita bersama-sama Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri ini.

23. Akhirnya, dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama merasmikan Konvensyen JKKK dan melancarkan Program Ikatan Desa 2017.

YAB MOHAMED AZMIN ALI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

[Ucapan] Perbahasan Titah Di Raja Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Ketiga Belas

[ FEDERALISME ]

1. Saya menjunjung kasih atas Titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sewaktu pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas.

2. Tuanku telah menegaskan beberapa aspek pembangunan termasuk isu ketirisan dan rasuah yang perlu ditangani bersama. Ini menuntut semua pihak mendukung usaha SPRM bagi membanteras amalan rasuah di semua peringkat.

3. Keprihatinan Tuanku terhadap rakyat juga meliputi usaha untuk meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri terutamanya dalam menangani cabaran-cabaran mendatang demi kesejahteraan rakyat dan negara.

4. Justeru, menjadi tanggungjawab saya untuk menyertai perbahasan pada petang ini dalam usaha mengangkat martabat rakyat Malaysia.

5. Selangor adalah antara negeri yang paling maju di Malaysia dengan sumbangan sebanyak hampir 25 peratus kepada KDNK negara. Laporan MIDA sehingga 31 Disember 2016 mencatatkan jumlah pelaburan di Negeri Selangor bernilai RM 7.88 bilion iaitu melonjak 31 peratus daripada sasaran awal berjumlah RM 6 bilion dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) pada RM 3.35 bilion dan Pelaburan Langsung Tempatan (DDI) pada RM 4.52 bilion.

6. Pada tahun yang sama, sebanyak 242 jumlah projek perkilangan telah direkodkan di Negeri Selangor yang juga merupakan jumlah projek tertinggi direkodkan di Malaysia serta menghasilkan sebanyak 16,427 peluang pekerjaan.

7. Alhamdulillah, sebagai gedung kuasa ekonomi negara, Selangor telah berjaya melakar pelbagai kejayaan. Namun, Putrajaya tidak terlepas dari melaksanakan tanggungjawab untuk menjayakan prinsip federalisme melalui pengagihan pendapatan negara secara adil dan saksama. Kejayaan prinsip federalisme akan memperkukuh tekad Negeri Selangor untuk meningkatkan sumbangan kepada KDNK negara.

8. Justeru itu, kedua-dua pihak perlu meningkatkan temu-tembung atau engagement untuk kemakmuran bersama.

9. Namun, apa yang sering berlaku adalah projek-projek Kerajaan Persekutuan sering dilaksanakan tanpa rundingan dengan Kerajaan Negeri. Contohnya, pembangunan bandar pelabuhan dan perindustrian di Pulau Carey yang bernilai lebih RM 200 bilion hanya diketahui melalui laporan media. Tidak ada sebarang perbincangan atau consultation yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dengan Negeri dalam hal pembangunan raksasa ini.

10. Seksyen 20A Akta 172 – Akta Perancangan Bandar dan Desa 1972 menyebut dengan jelas – Kewajipan untuk berunding : “Maka hendaklah menjadi kewajipan tiap-tiap jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk berunding dengan Jawatankuasa tentang apa-apa aktiviti pemajuan yang ia bercadang supaya dijalankan di dalam Negeri itu.” Namun, ini tida berlaku sejak tahun 2008. Justeru, saya minta Putrajaya kembali kepada semangat federalisme.

11. Kedudukan Selangor yang mempunyai pesisiran pantai yang panjang mendedahkan kepada kemungkinan banjir kilat akibat air pasang besar.

12. Fenomena air pasang besar mengakibatkan struktur ban-ban sedia ada tidak lagi mampu untuk menghalang air laut daripada masuk ke kawasan daratan.

13. Kerajaan Negeri telah mengambil langkah drastik dengan meluluskan peruntukan sejumlah RM 4.3 juta bagi kerja-kerja pembaikkan ban-ban pantai yang rosak. Walau bagaimanapun, kos keseluruhan pembaikan pesisir pantai yang terkesan sepanjang 70 km daripada keseluruhan 291 km ban-ban pantai di Negeri Selangor dan bernilai hampir RM 300 juta.

14. Justeru, saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat segera meluluskan peruntukan yang diperlukan oleh JPS Selangor bagi menyegerakan kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf ban di sepanjang pesisiran pantai di Negeri Selangor.

[ KESIHATAN ]

15. Saya amat gembira apabila Tuanku menyatakan berkenan menunjukkan rasa peduli kepada isu kesihatan rakyat memandangkan peningkatan yang agak membimbangkan kes-kes penyakit tidak berjangkit. Perkhidmatan saringan risiko penyakit tidak berjangkit perlu disediakan oleh Kerajaan bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

16. Rakyat Malaysia hari ini diancam oleh penyakit tidak berjangkit atau noncommunicable diseases (NCDs). Menurut National Health and Morbidity Survey 2015, lebih 73 peratus kematian rakyat Malaysia berpunca daripada NCDs seperti angin ahmar dan serangan jantung.

17. Menurut Laporan WHO, antara cara terbaik menangani penyakit tidak berjangkit adalah melalui program berimpak tinggi yang disediakan melalui pendekatan rawatan kesihatan asas — primary care approach — untuk mengukuhkan pengesanan awal dan rawatan awal yang tepat pada masanya.

18. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan Skim Peduli Sihat yang menelan kos sebanyak RM 125 juta dengan tujuan untuk membiayai rawatan kesihatan asas atau primary care termasuk melakukan saringan kesihatan supaya kita boleh mengesan tanda-tanda awal sekiranya seseorang itu akan menghidapi penyakit-penyakit yang kronik.

19. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan perbelanjaan per kapita untuk kesihatan di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia, bahkan lebih rendah dari negara-negara jiran.

20. Pada tahun 2014, WHO melaporkan kadar perbelanjaan kesihatan Malaysia hanya pada tahap 4.2 peratus dari KDNK berbanding negara-negara lain seperti Cuba 11.1 peratus, Brazil 8.3 peratus, Vietnam 7.1 peratus dan Thailand 6.5 peratus.

21. Justeru, kerana perbelanjaan per kapita kesihatan yang rendah, dalam survey 2015 yang saya nyatakan di awal tadi, Kementerian Kesihatan mengatakan, dengan izin: Malaysia now has a “sick” or “at risk” population. Maka, saya menggesa Kementerian Kesihatan segera melaksanakan program penjagaan kesihatan asas, primary health care program, sebagaimana yang telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Program Peduli Sihat di Negeri Selangor adalah terunggul di Malaysia dan Hanya di Selangor.

[ ISU PERUMAHAN RAKYAT ]

22. Tuanku turut menzahirkan keprihatinan terhadap isu pemilikan rumah dikalangan rakyat. Usaha untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana perlu dipertingkatkan.

23. Indeks Kemampuan Bank Dunia menunjukkan rakyat di seluruh negara tidak mampu membeli rumah. Jika seseorang berpendapatan RM 100 ribu setahun, dia secara purata hanya mampu untuk memiliki kediaman yang berharga RM 300 ribu dan ke bawah.

24. Di Lembah Klang sahaja, harga rumah purata di Lembah Klang adalah 7.9 kali ganda pendapatan penengah tahunan.

25. Di Selangor, kita menjayakan dasar pendemokrasian pemilikan rumah (house owning democracy) bagi menjamin hak rakyat untuk memiliki sebuah rumah yang affordable dan berkualiti.

26. Walau bagaimanapun, majoriti rakyat menghadapi masalah end-financing yang berpunca daripada kawalan pinjaman yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Dasar ini telah menyebabkan lebih 50 peratus permohonan pinjaman perumahan ditolak oleh bank-bank tempatan. Saya telah beberapa kali menggesa BNM menilai kembali dasar tersebut untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah.

27. Selain itu, saya ingin menyeru bank-bank tempatan sebagai corporate citizens supaya mengambil tanggungjawab menyumbang ke arah pengukuhan dasar “house owning democracy”.

28. Dalam hal ini, BNM perlu bersama untuk memastikan institusi kewangan dalam negara berperanan menangani isu “end financing”.

29. Ini memandangkan rakyat sedang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, disposable income yang semakin menguncup, harga rumah yang semakin tidak mampu dimiliki, adalah menjadi tanggungjawab dan peranan bank-bank tempatan pula untuk segera tampil membantu rakyat bagi mendapatkan pinjaman perumahan.

[ KESEDERHANAAN ]

30. Rakyat Malaysia khususnya umat Islam perlu bersatu padu untuk membasmi ideologi militan yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sementara pihak polis menangani aspek keselamatan dari ancaman militanisme, golongan ulama dan intelektual Islam perlu menangani akar umbi kepada ajaran yang menimbulkan militanisme, iaitu kekeliruan terhadap ajaran Islam.

31. Ini perlu ditangani dengan memperdalamkan kefahaman masyarakat khususnya generasi muda terhadap akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Menghidupkan semula pengajaran kitab-kitab Hujjatul Islam al-Ghazali seperti “Ihya Ulumuddin” akan memberikan pencerahan kepada pendekatan yang sederhana yang diamal oleh masyarakat Islam Nusantara sejak ratusan tahun yang lalu.

32. Sementara kita tidak boleh memperkecilkan cabaran militanisme yang dihadapi oleh dunia Islam hari ini, kita tidak boleh terperangkap dengan pandangan golongan Islamophobia yang melihat semua tanda kebangkitan Islam dengan curiga dan permusuhan. Umat Islam bertanggunjawab menegakkan syiar Islam dan menyemarakkan ruh Islam yang berteraskan gagasan Islam sebagai Rahmatan lil Alamin.

33. Namun, dunia Islam perlu mempunyai urutan keutamaan atau awlawiyyat yang betul. Dunia Islam perlu membangun sosio ekonomi yang jauh ketinggalan berbanding dengan umat-umat yang lain. Dalam konteks Malaysia, kita mempunyai tanggungjawab untuk membangun dan mempertingkat sosio ekonomi golongan Bumiptera dan Melayu.

34. Pembangunan ekonomi perlu diseimbangkan dengan keadilan sosial. Kita mahu kekayaan di negeri ini diagihkan secara adil dan kita perlu bertekad untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

[ KOREA UTARA ]

35. Saya juga ingin menarik perhatian Dewan Yang Mulia ini berhubung isu Korea Utara. Wajar ditekankan bahawa keselamatan warganegara kita yang ditahan sebagai tebusan di Korea Utara adalah persoalan yang terpenting. Sebarang saranan yang menyatakan bahawa mereka bukanlah tebusan adalah pembohongan kerana faktanya mereka tidak bebas untuk meninggalkan negara berkenaan walaupun membawa passport yang sah.

36. Sementara kita harus tegas dalam mempertahankan kedaulatan sistem perundangan ketika siasatan kes pembunuhan, kita juga harus mampu menjangkakan reaksi balas yang akan muncul ketika berurusan dengan negara seperti Korea Utara. Kita tidak boleh bertindak dengan tergopoh-gapah dan hanya mengambil tindakan balas yang bersifat reaksi kepada sesuatu hal buruk yang telah pun berlaku.

37. Pada ketika ini, Kerajaan haruslah bertindak dengan cara yang paling berkesan demi memastikan warganegara kita selamat pulang.

[ KESELAMATAN & ISU GEOPOLITIK ]

38. Akhirnya, pada tahun ini negara akan merayakan Hari Kemerdekaan yang ke-60. Tatkala memasyurkan kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa negara ini akan menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

39. Kerajaan Negeri Selangor amat menghargai peranan dan pengorbanan anggota keselamatan khususnya veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kita sedar bahawa daripada lebih 370 ribu bekas anggota tentera, lebih 260 ribu merupakan veteran tidak berpencen. Maka untuk melindungi dan memelihara kebajikan golongan ini, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM 1 juta kepada Tabung Pahlawan ATM dan Program Kemasyarakatan dan Kebajikan Veteran ATM.

40. Dalam isu keselamatan nasional, adalah menjadi prinsip umum mengenai kestabilan geo-politik dan keselamatan di mana semua negara yang berdaulat wajib mempunyai kawalan mutlak dan kuasa undang-undang (jurisdiction) ke atas tanah dan wilayah perairan. Sementara kita mengakui peri penting peranan yang dimainkan dengan penubuhan ESSCOM di Sabah, kita juga perlu memberi perhatian tentang laporan yang menyebut bahawa terdapat aset ketenteraan kuasa besar asing di dalam wilayah perairan negara.

41. Ini menuntut Putrajaya memberikan penjelasan apakah benar tentang kehadiran aset ketenteraan kuasa besar asing ini dan apakah kehadirannya sah sebagai sekutu strategik kita ?

42. Kini, territorial integrity negara diancam oleh dakwaan China kononnya ‘nine dash line’ di Laut China Selatan adalah miliknya. Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ke 4 secara tuntas menegaskan bahawa Kepulauan Spratley adalah dalam wilayah Malaysia. Namun, mengapa Putrajaya kini menyepikan diri ? Apakah kerana mahukan pelaburan China kita sanggup mengorbankan kedaulatan wilayah kita yang telah dipertahankan sekian lama ?

43. Sebagai sebuah negara perdagangan Malaysia juga perlu mempertahankan prinsip freedom of navigation yang kini diancam oleh China di Laut China Selatan. Isu Laut China Selatan adalah persoalan kestabilan dan keselamatan serantau. Kita perlu menghadapinya secara kolektif. Kita tidak boleh terperangkap dengan padangan kuasa besar yang mahu menanganinya secara dua hala atau bilateral.

44. ASEAN adalah platform yang terbaik. Kita jangan sekali-kali terjebak dalam perang dingin yang baru. Kita perlu berkawan dengan semua kuasa besar dan tidak berpihak kepada kuasa tertentu. Saya ingin mengulangi seruan di dewan yang mulia ini agar kita menyegarkan dan memperkasakan kembali doktrin ZOPFAN sebagai pegangan demi menjamin ketenteraman Laut China Selatan daripada sebarang konflik.

45. Saya mewakili rakyat Gombak mendukung Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ketika upacara perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas.

AHLI PARLIMEN GOMBAK
YAB MOHAMED AZMIN ALI

[Ucapan] Majlis Tilawah & Menghafaz Al Quran Peringkat Negeri Selangor 2017

1. Alhamdulillah, pada malam ini kita diberikan kekuatan untuk bersama-sama mendukung Program Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor. Kita juga bersyukur kerana dapat mengimarahkan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah. Raja Haji adalah seorang pejuang Islam yang syahid di Ketapang dalam usaha untuk membebaskan umat Islam dari penjajah.

2. Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran adalah wahana perkembangan ilmu Al-Quran yang sarat dengan pengisian dan pedoman buat umat.

3. Tema tahun ini, “Umat Bersatu Selangor Maju” adalah berteraskan gagasan negeri untuk mewujudkan perpaduan dan membebaskan umat dari konflik dan perbenturan. Berbekalkan perpaduan yang utuh, Negeri Selangor akan memberikan tumpuan kepada pembangunan untuk menjamin kemakmuran dan kesejahteraan umat.

4. Sebagai negeri yang paling maju di Malaysia, Selangor merupakan centre of gravity yang menjadi daya tarikan kepada rakyat dari pelbagai negeri termasuk pedagang, ilmuwan dan pendakwah. Umat Islam dan bukan Islam datang berbondong-bondong untuk sama-sama berkongsi kemakmuran negeri ini.

5. Namun, harus diingat, pembangunan yang pesat sering membawa cabaran. Sebagai sebuah negeri yang kosmopolitan, kita terdedah kepada pelbagai bentuk kemungkinan. Justeru itu, untuk memastikan agar kita tidak tercabut daripada akidah dan jati diri sebagai seorang Muslim, kita harus kembali semula kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah.

6. Al-Quran adalah mukjizat utama yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai petunjuk kepada tatacara perjalanan dan kehidupan manusia di muka bumi. Melalui majlis tilawah dan menghafaz Al-Quran ini, InshaAllah kita akan dapat menghayati nilai-nilai dan pengajaran yang terkandung di dalam Al-Quran yang akan menjadi pemangkin kepada kejayaan di dunia dan di akhirat.

7. Sebagai sebuah negeri yang rencam, kita perlu menghayati prinsip li-taarafu sebagaimana yang terungkap dalam Surah al-Hujurat:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”
(Surah Al Hujurat : 13 )

8. Prinsip ini menganjurkan agar kita saling kenal-mengenal dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Kemuliaan seseorang disisi Allah SWT bukannya terletak pada pangkat, warna kulit dan darjat, sebaliknya kerana ilmu dan ketaqwaan.

9. Dalam sejarah tamadun Islam, sikap li-taarafu mendorong umat Islam untuk mendakap dan mengambil aspek positif dari tamadun agung dunia yang tidak bertentangan dengan ruh Islam. Temu-tembung tamadun yang produktif dan kreatif ini telah menjadikan tamadun Islam amat kaya dan kosmopolitan.

10. Dalam perkembangan syariah, aspek adat dan ‘uruf menjadi sumber dalam perkembangan hukum Islam selagi ianya tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah. Dalam aspek pentadbiran pula, pemerintah mengambil amalan positif daripada tamadun sebelumnya yang merangkumi aspek politik, tadbir urus dan perlembagaan.

11. Namun, sementara tamadun Islam merayakan kepelbagaian, kita perlu memperkukuh dan memperteguh akidah dan ajaran Islam. Kita harus kembali kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup. Malah, dalam usaha membina sebuah tamadun yang gemilang, kita dituntut menjaga hubungan dengan Allah – hablumminallah – dan hubungan sesama manusia – hablumminannas.

12. Kita perlu menggilap idealisme dan bersatu di atas prinsip yang luhur dan menjaga tatakelola di mana kita mendapat dorongan dan teladan dari Khalifah Umar Abdul Aziz. Kita juga perlu ingat peranan Nizam al-Mulk al-Tusi dalam membangunkan sebuah kerajaan Islam yang stabil dalam keadaan yang sangat mencabar tatkala Khilafah Abbasiah mengalami kemerosotan.

13. Beliau menubuhkan rangkaian institusi pendidikan tinggi Islam bernama Nizamiyah yang dipimpin oleh al-Juwaini dan kemudiannya oleh Hujjatul Islam, Al-Ghazali yang menghidupkan ilmu-ilmu Islam berdasarkan epistimologi Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

14. Keutamaan dalam siasah Nizam al-Mulk adalah untuk melaksanakan keadilan, memberi perlindungan kepada yang lemah dan terpinggir serta melindungi hak setiap golongan. Beliau juga tegas menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

15. Kerajaan Negeri Selangor mengambil iktibar dari negarawan ulung di zaman lampau, seperti Khalifah Umar Abdul Aziz dan Nizam al-Mulk dengan memberi penekanan kepada perpaduan ummah, perpaduan yang diasaskan dari kesatuan akidah dan wahdatul fikr atau kesatuan fikrah.

16. Perpaduan ummah akan membolehkan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan dan pembinaan tamadun. Kemakmuran dan kekayaan di Negeri Selangor akan dapat menjayakan usaha pengagihan kekayaan kepada semua rakyat sebagaimana yang dituntut dalam prinsip keadilan sosial (al-’adalah al-ijtima’iyyah).

17. Kita juga harus menggali karya-karya para ulama’ dan umara’ zaman silam untuk merumuskan maqasid syariah dalam konteks kontemporari bagi menangani cabaran semasa. Kita harus akur bahawa ini adalah satu cabaran yang berat, namun seperti yang difirmankan oleh Allah SWT :

“…Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran…”

18. Allah SWT turut berfirman :

“Sesungguhnya bersama kesukaran itu (ada) kemudahan.”

19. Agenda membina tamadun mengandungi pelbagai kegiatan dan hubungan antara manusia. Dalam usaha ini, ilmu-ilmu yang berteraskan wahyu dan juga ilmu-ilmu duniawi seperti sains, perubatan dan teknologi turut berkembang.

20. Atas kesedaran ini, Negeri Selangor mengambil pendekatan baru dalam pendidikan tahfiz dan ilmu-ilmu Al-Quran agar mesej Al-Quran tentang umat sebagai masyarakat yang organik, dinamik dan progresif dapat difahami secara menyeluruh.

21. Kita mahu menyegarkan kembali tamadun kegemilangan Islam dalam konteks abad ke 21 di mana masyarakat ketika itu, mampu melahirkan bukan sahaja generasi Al-Quran tetapi cendekiawan Muslim dalam pelbagai bidang hasil daripada engagement mereka dengan tamadun-tamadun besar yang lain.

22. Maka, generasi muda Islam hari ini perlu menguasai ilmu-ilmu yang akan memungkinkan mereka menggali khazanah turath Islam. Pada ketika yang sama, pelajar-pelajar tahfiz harus dilengkapkan dengan ilmu-ilmu kontemporari, sains, teknologi dan inovasi agar mereka memiliki ilmu dan ketrampilan yang diperlukan untuk menyegarkan kegemilangan tamadun Islam.

23. Penguasaan turath bersama dengan sains dan teknologi akan melahirkan generasi muda unggul yang memiliki fikrah serta jati diri yang kukuh bagi mendepani cabaran semasa.

24. Cabaran umat Islam hari ini bukan hanya persoalan ekstrimisme dan militan malahan umat Islam juga sedang bergelut dengan cabaran pembangunan untuk mengangkat martabat dan darjat umat.

25. Dari segi kedudukan sosio ekonomi, umat Islam jauh ketinggalan di belakang berbanding dengan umat-umat lain. Maka, untuk mendepani cabaran pembangunan, umat Islam tidak boleh tercicir daripada perkembangan ilmu-ilmu moden seperti kewangan, pengurusan, keusahawanan dan teknologi maklumat.

26. Untuk memartabat golongan huffaz di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan untuk Tabung Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat kepada RM 5 juta. Program ini adalah untuk meneruskan Program Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Peringkat Diploma dan Ijazah di KUIS yang memberi manfaat kepada 430 orang pelajar.

27. Peruntukan ini juga akan dikembangkan untuk Program Dermasiswa Huffaz yang melibatkan pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz Swasta di Negeri Selangor dan juga Program Ithbat Hafazan Selangor. Semoga dengan azam dan komitmen ini, Negeri Selangor akan muncul sebagai sebuah negeri yang mithali dalam program pembudayaan Al-Quran.

28. Justeru itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang mengambil bahagian dalam program ini. Mudah-mudahan, kita mendoakan semoga program ini mencapai matlamatnya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan generasi Muslim yang unggul memahami dan menghayati Al-Quran secara menyeluruh.

29. Maka, dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor bagi tahun 1438H/2017M.

YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Besar Selangor

[UCAPAN] Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat

1. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat bersama-sama warga Hulu Langat pada pagi ini dalam Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat khususnya Peduli Sihat dan Peduli Siswa bagi Daerah Hulu Langat.

2. Hulu Langat merupakan daerah yang sedang menyaksikan pembangunan pesat. Berdasarkan Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035, jumlah penduduk di Daerah Hulu Langat adalah 1.3 juta, iaitu yang kedua tertinggi selepas Daerah Petaling. Penduduk diunjurkan akan meningkat sehingga 1.8 juta orang menjelang 2035.

3. Dengan kerancakkan pembangunan, masyarakat Hulu Langat pastinya berdepan dengan “unintended consequences” – kesan yang tidak diingini dari pembangunan. Justeru itu, kita mahu membangunkan Negeri Selangor ini melalui pembangunan yang berkualiti dengan menekankan perancangan yang tersusun untuk menangani cabaran sosio ekonomi seperti kesihatan, pendidikan dan perumahan. Persoalan ini memberi kesan langsung kepada produktiviti negeri dan kesejahteraan rakyat.

4. Rakyat Malaysia hari ini sedang diancam oleh penyakit tidak berjangkit atau noncommunicable diseases (NCDs). Menurut National Health and Morbidity Survey 2015, lebih 73 peratus kematian rakyat Malaysia berpunca daripada NCDs seperti angin ahmar dan serangan jantung. Tambah membimbangkan apabila trend penyakit ini terus meningkat.

5. Kajian yang sama pada tahun 2011 menunjukkan 63 peratus rakyat yang berumur 18 tahun ke atas berisiko menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit, sama ada obesity, tekanan darah tinggi atau kandungan kadar gula dan kolestrol yang tinggi dalam darah. Kesimpulannya, Malaysia adalah negara yang mempunyai penduduk yang berpenyakit. Fenomena ini akan menjejaskan produktiviti negara.

6. Keluarga yang miskin dan terpinggir khususnya di bandar bergantung kepada hospital dan klinik Kerajaan memandangkan kos rawatan kesihatan hari ini terlalu mahal. Bagi mereka yang tinggal di desa, cabarannya adalah tidak mempunyai akses perkhidmatan pakar disamping kemampuan untuk mendapat perkhidmatan yang berkualiti. Dalam banyak situasi, kedudukan hospital Kerajaan juga terlalu jauh dari kampung halaman mereka.
7. Adalah menjadi tanggungjawab moral sesebuah Kerajaan untuk memastikan pembangunan diseimbangkan dengan tanggungjawab sosial demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

8. Atas kesedaran ini, maka Kerajaan Negeri tampil dengan pelbagai Inisiatif Peduli Rakyat termasuk Program Peduli Sihat melalui kaedah rawatan kesihatan asas – primary care approach – untuk mengukuhkan langkah pengesanan awal dan rawatan awal bagi sesuatu penyakit.

9. Program Peduli Sihat – Terunggul di Malaysia; Hanya di Selangor; dilaksanakan supaya rakyat berpeluang menikmati rawatan kesihatan asas yang berkualiti di 1,000 buah klinik dan hospital swasta di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM 125 juta untuk Program Peduli Sihat dengan matlamat 1 juta rakyat Selangor yang berpendapatan rendah mendapat penjagaan kesihatan dan rawatan asas secara percuma.

10. Mereka yang layak akan menerima medical card (kad perubatan) bagi membolehkan mereka dan tanggungan masing-masing mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta yang berhampiran dengan kediaman masing-masing. Usaha ini adalah bertujuan untuk memberikan keselesaan kepada keluarga yang memerlukan rawatan dengan kaedah yang mudah, selesa dan ketika memerlukan. Inilah Peduli Sihat. Inilah Peduli Rakyat.

11. Usaha Kerajaan Negeri melaksanakan skim Peduli Sihat telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan di mana dalam tempoh sebulan dari pelancarannya, Skim Peduli Sihat telah mencatatkan jumlah pendaftaran lebih 45,000 warga Peduli Sihat. Ini merupakan pencapaian sebanyak 90% daripada sasaran 50,000 pendaftaran bagi tiga bulan pertama.

12. Fakta ini membuktikan bahawa rakyat telah sekian lama menanti untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang berkualiti seperti ini. Dalam tempoh yang sama, lebih 100 ahli aktif Peduli Sihat telah mengunjungi doktor setiap hari dan mendapat rawatan kesihatan asas percuma.

13. Kerajaan Negeri amat bersimpati dan memahami kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh pengurusan universiti akibat pemotongan Bajet 2017 khususnya dalam usaha untuk membantu pembiayaan mahasiswa dalam pengajian masing-masing.

14. Penguncupan belanjawan dalam sektor pendidikan akan menggasir kesungguhan pengurusan universiti untuk meningkatkan kecemerlangan akademik. Sebagai sebuah negeri maju yang berteknologi tinggi, inovatif dan kreatif, Selangor memerlukan tenaga kerja berkemahiran dan berilmu.

15. Kerajaan Negeri berpendirian bahawa pendidikan adalah pelaburan strategik jangka panjang untuk kemajuan sosio ekonomi. Sebarang kecuaian dalam usaha ini termasuk dana yang tidak mencukupi akan menyumbang kepada kegagalan untuk menjayakan hasrat murni ini.

16. Justeru itu, untuk menjamin kelangsungan pengajian mahasiswa yang merupakan pimpinan masa depan negara, maka Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan memperuntukkan sejumlah RM 10 juta bagi membiayai pengajian anak-anak Selangor di UIA, UKM, UPM dan UiTM menerusi Program Peduli Siswa. Program ini menawarkan pinjaman pelajaran dalam bentuk boleh ubah berdasarkan prestasi kecemerlangan akademik.

17. Program Peduli Siswa mensasarkan seramai 1,500 mahasiswa akan menikmati pembiayaan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Ini adalah tambahan kepada kuota pelajar yang ditaja oleh Kerajaan Negeri di bawah program sedia ada iaitu Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor dengan peruntukan tahunan sebanyak RM 16.31 juta.

18. Usaha Kerajaan Negeri ini akan memberi nilai tambah kepada modal insan untuk kecemerlangan masa hadapan seperti yang diungkapkan oleh Malcolm X, “Education is our passport to the future, for tomorrow belongs to the people who prepare for it today.”

19. Ini pesanan saya buat mahasiswa. Berjalanlah di muka bumi dengan penuh keyakinan membawa obor pencerahan untuk menjana perubahan. Jadikan ilmu sebagai bekalan untuk para mahasiswa menjadi agen perubahan. Berlabuhlah dalam masyarakat dengan membawa harapan baru untuk membina sebuah negara Malaysia yang gagah dan rakyat yang bermaruah.

20. Saya ingin menegaskan bahawa inisiatif Peduli Rakyat adalah teras utama pembangunan Negeri Selangor. Pembangunan yang berkualiti adalah teras peduli rakyat. Pembangunan yang tidak peduli rakyat adalah pembangunan yang tempang. Justeru itu, kita perlu menggembeleng segala tenaga dan sumber untuk sama-sama Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

21. Maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Program Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat bagi Daerah Hulu Langat.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Besar Selangor