AZMIN ALI

LATEST

Day: April 5, 2017

Ucapan Penangguhan YAB Dato’ Menteri Besar Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017

Tuan Speaker,

Syukur Alhamdulillah, persidangan kali ini telah sampai ke penghujungnya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan usul menyembah ucapan terima kasih serta menjunjung kasih ke atas titah ucapan DYMM Sultan Selangor bersempena Pembukaan Persidangan Penggal Kelima, Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017.

Saya menyambut baik saranan dan pandangan bernas YB Ahli-Ahli Dewan Negeri demi merealisasikan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian telah menghayati dan responsif kepada titah DYMM Tuanku yang menyeru kepada perpaduan dan mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat mengatasi politik partisan yang sempit.

DYMM Tuanku juga mengungkapkan falsafah politik yang jitu, iaitu politik bukanlah memburu kekuasaan tetapi politik dalam pengertian sebenar adalah usaha bagi mencapai urus tadbir yang cemerlang demi membangunkan negeri.

Kuasa adalah satu tanggungjawab bukan satu keistimewaan. Suasana politik hari ini menuntut kita bersatu untuk mengajak rakyat membuat pilihan sama ada menyuburkan demokrasi atau melindungi kleptokrasi. Kita tidak boleh bersubahat dan condong kepada kleptokrat.

Marilah kita bermula di sini untuk membudayakan amalan politik luhur yang berteraskan prinsip dan nilai. Titah Tuanku amat bertepatan dengan masanya. Jika kita menjunjung titah murni ini, “segala yang kusut dapat dirungkai, yang seteru dapat berdamai dan akhirnya negeri ini bertambah permai.”

Dewan Negeri Selangor merupakan institusi demokrasi. Kita berada di sini kerana dipilih oleh rakyat dan kita membawa mandat rakyat Negeri Selangor untuk bekerja. Maka, menjadi tanggungjawab Ahli-Ahli Dewan sekalian untuk memelihara mandat rakyat dan menyantuni aspirasi rakyat Negeri Selangor.

Tatkala saya menggulung perbahasan pada hari Jumaat lalu, 31 Mac 2017, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan pampasan sejumlah RM 8.5 juta kepada 8,953 pesawah yang menjadi mangsa serangan Bacterial Leaf Blight (BLB). Pengumuman ini akan disusuli dengan program menyantuni pesawah-pesawah ini dalam masa terdekat untuk menyampaikan terus sumbangan Kerajaan Negeri yang peduli rakyat.

Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sejumlah RM 2 juta untuk meneruskan penajaan anak-anak Selangor yang sedang melanjutkan pengajian di Jordan dan Mesir. Sekali lagi, pengumuman ini akan disusuli dengan tindakan di mana saya akan menyantuni pelajar-pelajar di Jordan dan Mesir pada hujung bulan ini.

Kerajaan Negeri senantiasa komited untuk menjamin kepentingan negeri dan rakyat. Sebagai sebuah negeri maju yang menyumbang RM 240 bilion setahun kepada Putrajaya, Kerajaan Negeri mendesak supaya Putrajaya menghormati dan mempertahankan prinsip dan semangat federalisme. Pada hari ini, Putrajaya menyumbang hanya 1.75% kepada Kerajaan Negeri Selangor – tidak adil kepada rakyat Selangor yang bekerja kuat untuk menyumbang kepada ekonomi negara.

Saya mahu Selangor terus menyediakan kepimpinan (leadership) dan menjadi model kestabilan dan penyatuan dalam pentadbiran, cekal dan berpandangan jauh serta melaksanakan dasar dan program yang mengutamakan rakyat. Dengan izin, “We must have moral leadership and the courage of convictions.” Sekiranya Selangor dapat mengekalkan momentum kekuatan ini seperti yang dipersetujui oleh MIER, rakyat bukan sahaja di Negeri Selangor tetapi seluruh Malaysia akan yakin untuk meletakkan kita di Putrajaya dalam bulan September 2017 untuk menyelamatkan negara dan membina Malaysia baru yang gagah.

YB Tuan Speaker,

Sempena dengan Istiadat Pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke 15 yang akan dizahirkan pada 24 April 2017 (Isnin) di Istana Negara, saya serta pimpinan Kerajaan Negeri, seluruh penjawat awam dan rakyat Negeri Selangor ingin merakamkan ucapan tahniah serta menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V atas pelantikan dan pertabalan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke 15.

Selaras dengan kenyataan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada pagi ini, 3 April 2017 (Isnin) yang memaklumkan bahawa Kerajaan mengisytiharkan tarikh 24 April 2017 (Isnin) sebagai cuti umum iaitu Hari Kelepasan Am Tambahan, maka Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik pengisytiharan ini. Kerajaan Negeri akan menyediakan kertas hebahan bagi memaklumkan perkara ini kepada seluruh jabatan dan agensi Kerajaan Negeri. Pengisytiharan ini adalah selaras dengan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai yang telah membantu menyediakan fakta dan keterangan untuk Kerajaan Negeri memberikan maklum balas dan jawapan kepada pertanyaan dan perbahasan Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Dewan dan pegawai-pegawai dan pelapor-pelapor yang telah membuat persiapan yang rapi dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk menjamin mesyuarat berjalan dengan lancar dan mengikut peraturan mesyuarat.

Penjelasan YAB Dato’ Menteri Besar mengenai isu pengambilalihan SPLASH

Teks ini merupakan penjelasan YAB Dato’ Menteri Besar mengenai isu pengambilalihan SPLASH dalam Sidang Dewan Negeri pada 30 Mac 2017 bagi menjawab soalan YB Bukit Gasing.

Penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Negeri Selangor adalah bermatlamat untuk mengambil alih semua syarikat konsesi air di Negeri Selangor dan menyusun semula industri perkhidmatan bekalan air ke arah satu perkhidmatan yang holistik di bawah satu operator yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri dan dikawal selia di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (WSIA) bagi merealisasikan perkhidmatan air yang efisien, efektif, berdaya saing dan mampan.

Pada 12 September 2014, Perjanjian Utama (Master Agreement) telah dimeterai di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Perjanjian Utama ini telah memperuntukkan terma-terma bagi pelaksanaan penyusunan semula industri perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor.

Pada 15 Julai 2015, Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama juga telah ditandatangani untuk menyelesaikan isu tanah Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan aset-aset air syarikat konsesi (Concession Company Water Asset (CCWA)) bagi melaksanakan Perjanjian Utama. Susulan daripada Perjanjian Tambahan, pengambilalihan SYABAS dan PNSB telah dimuktamadkan pada 15 Oktober 2015 manakala ABASS pada 31 Disember 2015.

Beberapa siri rundingan telah diadakan di antara Kerajaan Negeri Selangor, Air Selangor dan SPLASH berhubung nilai yang berpatutan untuk pengambilalihan SPLASH memandangkan SPLASH pernah menerima tawaran bertulis daripada Kerajaan Negeri Selangor pada 25 Jun 2009 bernilai RM 2.975 bilion.

Pihak SPLASH telah menerima tawaran tersebut secara bertulis melalui surat bertarikh 20 Julai 2009 dan telah memaklumkan kepada KeTTHA melalui surat bertarikh 15 Oktober 2009. Tawaran yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor ketika itu dan dipersetujui oleh SPLASH adalah sebanyak RM 2.975 bilion iaitu dengan pecahan berikut:

Perkara RM (billion)
Nilai Ekuiti yang akan dibayar oleh Kerajaan Negeri kepada SPLASH 1.749
Jumlah liabiliti yang akan diambil alih oleh Kerajaan Negeri 1.266
Nilai Aset termasuk liabiliti (aset dan liabiliti termasuk bon yang digunakan khusus untuk perkhidmatan air sahaja) yang akan diambil alih oleh Kerajaan Negeri 2.975

 

Walau bagaimanapun, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor selepas 23 September 2014, berpendirian bahawa penentuan nilai pengambilalihan SPLASH mestilah dibuat secara telus termasuk mendapatkan pandangan daripada Penilai Bebas demi menjamin kepentingan rakyat Negeri Selangor.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah melantik penilai bebas. Hasil dapatan dari penilaian tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada 30 Jun 2016.

Dalam rangka untuk memuktamadkan pengambilalihan SPLASH, pihak-pihak kepada Perjanjian Utama perlu menandatangani perjanjian tambahan kedua ke atas Perjanjian Utama untuk menetapkan terma-terma pengambilalihan SPLASH termasuk kaedah pembiayaan.

Namun demikian, sebelum perjanjian tambahan kedua dimuktamadkan, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan oleh KeTTHA melalui surat bertarikh 17 Oktober 2016 mengenai keputusan Jemaah Menteri pada 5 Oktober 2016 untuk melantik penilai bebas antarabangsa bagi menilai dan mencadangkan nilai pengambilalihan SPLASH bagi pihak Kerajaan Persekutuan.

Di dalam surat yang sama, KeTTHA mencadangkan tarikh akhir untuk Air Selangor mengambil alih ekuiti dalam SPLASH dilanjutkan selama enam (6) bulan lagi kepada 06 April 2017.

Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri Selangor belum dimaklumkan secara bertulis berhubung pendirian Jemaah Menteri terhadap hasil dapatan yang dibuat oleh Penilai Bebas yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri dikejutkan apabila menerima surat dari KeTTHA bertarikh 06 Mac 2017 yang antara lain meminta Kerajaan Negeri mengemukakan pendirian mengenai kaedah pembiayaan pengambilalihan SPLASH iaitu 60% dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui PAAB dan 40% dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor. Keputusan KeTTHA ini adalah premature memandangkan Kerajaan Negeri belum menerima pendirian rasmi Jemaah Menteri tentang dapatan Penilai Bebas yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri telah menjawab surat tersebut pada 17 Mac 2017 dan menegaskan sekali lagi pendirian Kerajaan Negeri Selangor iaitu:

i. TIDAK BERSETUJU dengan cadangan KeTTHA untuk menetapkan nisbah pembiayaan 60:40 di mana Kerajaan Persekutuan hanya membiayai 60% manakala Kerajaan Negeri diminta untuk membiayai 40%. Pendirian ini pernah disampaikan oleh YAB Dato Menteri Besar kepada Y.B. Menteri dalam pertemuan pada 27 September 2016; dan

ii. Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk membawa semula kepada pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) setelah hasil kajian penilaian bebas yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan dibentangkan terlebih dahulu kepada Jemaah Menteri dan sebarang keputusan mestilah dimaklumkan secara bertulis kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor masih menunggu maklum balas Jemaah Menteri berhubung nilai pengambilalihan SPLASH yang dibuat oleh Penilai Bebas yang telah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan.

Perkembangan yang terkini adalah pihak KeTTHA melalui surat bertarikh 14 Mac 2017 telah mengarahkan supaya pihak-pihak kepada Perjanjian Utama hendaklah melanjutkan semua perkiraan di dalam perjanjian yang berkaitan dengan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada tempoh 6 bulan iaitu sehingga 05 Oktober 2017.

Berdasarkan penjelasan yang diberikan tadi, adalah jelas kelewatan memuktamadkan pengambilalihan SPLASH bukan berpunca daripada Kerajaan Negeri tetapi tempoh lanjutan yang dicadangkan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan Jemaah Menteri mendapatkan pandangan bebas dari Penilai Antarabangsa.

Apakah jumlah kos yang terpaksa ditanggung Kerajaan Negeri akibat kelewatan memuktamadkan pengambilalihan aset dan pengurusan air ? Jawapannya ialah tiada kos di pihak Kerajaan Negeri. Namun, ia akan memberi tekanan kewangan kepada Air Selangor memandangkan kos operasi seperti kadar bayaran pukal air (Bulk Supply Rate (BSR), Bayaran Tetap Bulanan (Fixed Monthly Payment (FMP)) akan terus dicaj oleh SPLASH. Jumlah ini akan meningkat setiap bulan. Sehingga 31 Disember 2016, jumlah tertunggak bagi BSR dan FMP telah meningkat kepada RM 3.7 bilion. Walau bagaimanapun, Air Selangor akan pastikan tekanan kewangan tersebut akan diuruskan dengan bertanggung jawab demi menjamin kepentingan pengguna serta tidak membebankan rakyat.

Justeru itu, Kerajaan Negeri sentiasa menegaskan kepada Kerajaan Persekutuan supaya pengambilalihan SPLASH ini dapat dimuktamadkan segera dengan menjamin prinsip yang telus dan terbuka.

Apakah kesan pengambilalihan syarikat konsesi air kepada rakyat ? Matlamat pengambilalihan semula industri perkhidmatan bekalan air adalah untuk mengambil alih operasi rawatan dan pengagihan bekalan air daripada syarikat-syarikat pemegang konsesi air sedia ada dan menguruskan secara holistik. Air Selangor merupakan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, akan dikawal dan diawasi oleh Kerajaan Negeri untuk:

i. Memastikan penyediaan perkhidmatan bekalan air yang lebih efisien dan efektif kepada pengguna di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

ii. Menyampaikan perkhidmatan dengan lebih sistematik dan berkesan terutamanya daripada aspek kualiti perkhidmatan, ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan hak pengguna dengan pemantauan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaku badan kawal selia air. Sistem komprehensif ini akan mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana faedahnya akan dapat dirasai oleh semua rakyat Selangor dan pengguna.

iii. Menawarkan tarif yang tidak membebankan pengguna tertakluk kepada kelulusan SPAN.

Perjanjian konsesi yang lalu telah menetapkan tarif yang akan naik setiap tiga tahun sekali. Melalui penstrukturan semula, Kerajaan Negeri telah mengambil satu tindakan preventif kepada kenaikan tarif air iaitu dengan menghalang pihak konsesi melaksanakan kenaikan kadar tarif sejak 2008 lagi. Tarif air kali terakhir dikaji dan dinaikkan adalah pada tahun 2006. Sejak itu, tidak ada kenaikan tarif selama 11 tahun. Sekiranya penstrukturan ini tidak dilaksanakan, tarif sudah pun dinaikkan sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 2009, 2012 dan 2015 iaitu kenaikan sebanyak 105% kepada RM 2.86 bagi setiap meter padu berbanding dengan RM 1.39 pada masa sekarang.

Apakah kos pampasan yang perlu dibayar oleh Kerajaan Negeri bagi menamatkan konsesi SPLASH dengan menggunakan kaedah Expropriation Clause ?

Jika dibandingkan dengan kos pengambilalihan ekuiti SPLASH, kos pampasan jika kaedah expropriation dilaksanakan adalah lebih tinggi. Melalui kaedah expropriation, segala bayaran BSR dan FMP yang tertunggak masih perlu dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada SPLASH selain dari nilai aset dan modal berbayar SPLASH seperti yang telah dinyatakan di dalam Perjanjian Konsesi. Secara keseluruhan, kos pampasan setakat 31 Mac 2015 melalui kaedah Expropriation adalah dianggarkan sebanyak RM 4.9 bilion.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk menggunakan kaedah ini kerana ia akan membebankan rakyat. Dalam kaedah yang sedang dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui kaedah pengambilalihan ekuiti SPLASH, Kerajaan Persekutuan telah pun bersetuju untuk membiayai proses pengambilalihan SPLASH.