AZMIN ALI

LATEST

Invalid or Broken rss link.

Month: May 2017

Barbaric attacks must be condemned

I condemn in the strongest terms the recent deadly bomb attacks in Manchester and Jakarta which killed scores of innocent victims and injured many others.

Our sympathies and prayers are with the victims and the families and loved ones of those who perished in these vile and horrific attacks. Sadly, these vicious attacks are occurring all too frequently coinciding with the resurgence of acts of violence and disturbance linked to IS and other militant activities.

These barbaric and ruthless terrorist attacks are totally indefensible and no excuse or justification should be accepted. All the perpetrators must be brought to justice.

Meantime, we should all take lessons once again of the danger and threats that face us on account of religious fanaticism, the culture of animosity and hatred and the spread of radical teachings and extremist ideology in the name of religion.

These violent and vicious attacks which have led to horrendous loss of lives in addition to the recent spate of violent clashes in Marawi City in the Southern Philippines must serve to underscore the paramount importance of moderation, tolerance and justice which all of us must strive to preserve.

Nevertheless, we urge the public to remain calm and not to resort to causing unnecessary tension and alarm. Constant dialogue and mutual engagement must remain the key to preserving our communal harmony, unity and understanding.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

[Ucapan] Majlis Menyemarak Ramadhan Bersama Nazir Masjid & Pengerusi Surau Negeri Selangor 2017

Alhamdulillah, pada hari ini saya sekali lagi dapat bersemuka dengan para Nazir Masjid dan Pengerusi Surau seluruh Negeri Selangor bersempena Majlis Menyemarak Ramadhan Negeri Selangor 2017.

Ramadhan adalah bulan yang sarat dengan barakah, satu-satunya bulan yang difardhukan kepada umat Islam untuk melaksanakan ibadah puasa. Ini menuntut kita untuk menghayati Ramadhan dengan pelbagai usaha kebajikan (al-khairat) dan kebaikan (al-khair). Sesungguhnya, Ramadhan adalah Madrasah Ruhiyyah yang menawarkan tawbah dan ghufran (taubat dan keampunan).

Saya yakin, masjid-masjid dan surau-surau di seluruh Negeri Selangor sedang melaksanakan pelbagai persiapan Ihya’ Ramadhan untuk menjayakan peranan masjid yang berpaksikan prinsip tauhid dan ‘ubudiyyah – pengabdian kepada Allah SWT yang Maha Esa.

Selain daripada kegiatan ibadat, masjid dan surau juga harus diimarahkan dengan program-program keilmuan yang mampu menyuntik nilai-nilai keadilan dan ihsan dalam budaya masyarakat Islam.

Ini menjadikan tugas para nazir dan pengerusi surau hari ini semakin mencabar untuk menjayakan fungsi masjid sebagai institusi yang menghubungkan seseorang Muslim dengan Allah SWT, (hablum minallah) dan pada masa yang sama menjaga hubungan sesama manusia, (hablum minannas).

Masjid dan surau juga harus berperanan untuk membina persekitaran yang mesra dengan masyarakat. Masjid perlu lebih cakna dan peduli dengan persoalan masyarakat dan warga kariah termasuk masyarakat bukan Islam supaya wujud rasa kebersamaan di kalangan masyarakat serta menampilkan imej Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

Kedudukan Selangor sebagai negeri termaju mendorong kepada berlakunya migrasi penduduk dari pelbagai latar belakang baik dari dalam atau luar negara ke Negeri Selangor bagi merebut peluang pekerjaan.

Justeru itu, masjid perlu bersedia untuk mendepani cabaran semasa termasuk menarik lebih ramai generasi muda untuk menyertai program-program yang dilaksanakan. Melalui institusi masjid, generasi muda dapat diberdayakan agar lebih produktif, dinamik dan berinovasi serta mempunyai jati diri yang ampuh.

Pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh masjid dan surau mencerminkan semangat persaingan yang positif untuk mengimarahkan masjid sesuai dengan firman Allah :

“…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.”

Segala kegiatan ini akan membugar dan menjadikan masjid sebagai pusat tarbiyyah dan ta’dib – untuk membentuk insan bertamadun yang mampu memberi pencerahan kepada seluruh lapisan masyarakat.

Pengimarahan ilmu dan usaha melahirkan masyarakat Islam Negeri Selangor yang dinamik, unggul dan harmoni adalah berteraskan prinsip keadilan dan kesederhanaan yang berlandaskan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Ramadhan sebagai bulan tarbiyyah ruhiyyah akan menyuntik kekuatan kerohanian, kekuatan yang akan kita gunakan untuk sebelas bulan selepasnya sehinggalah kita bertemu lagi dengannya kembali pada tahun hadapan.

Tenaga kerohanian ini amat penting bagi sebuah masyarakat yang sangat pesat membangun dan menjamin keseimbangan dalam kehidupan.

Kerajaan Negeri tuntas mendukung usaha ini dengan menyediakan dan menaiktaraf prasarana dan kemudahan di institusi masjid dan surau. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 563 juta dalam Rancangan Malaysia ke 11 dengan peruntukan lebih RM 128 juta bagi tahun 2017 untuk membiayai pembinaan dan baikpulih masjid, sekolah dan surau.

Sejajar dengan arus perkembangan zaman, peranan imam bukan hanya memimpin ibadat di masjid dan surau tetapi merangkumi aspek pembangunan ummah seperti pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan.

Menyedari tanggungjawab imam yang semakin mencabar, Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2017 telah meluluskan elaun tambahan para imam di Negeri Selangor sebanyak RM 300 sebulan menjadikan jumlah elaun bulanan imam sebanyak RM 1,300.

Bersempena bulan Ramadhan tahun ini, Kerajaan Negeri menyediakan RM 1.8 juta sebagai sumbangan moreh bagi setiap masjid dan surau di Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menyampaikan sumbangan “Kasih Ramadhan” untuk semua Nazir Masjid dan Pengerusi Surau secara ‘one off’ berjumlah RM 810,200. Setiap Nazir Masjid dan Pengerusi Surau masing-masing akan menerima RM 500 dan RM 300 bagi tahun 2017.

Diharapkan agar sumbangan ini menjadi dorongan dan pemangkin kepada usaha pemerkasaan institusi masjid dan surau di Negeri Selangor.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan, “Ramadhan Kareem, Kullu A’am Wa Antum Bi Khair”. Semoga kita diberi kekuatan untuk menjalani ibadah ramadhan kali ini dengan penuh ketaqwaan dan dipertemukan dengan malam Lailatulqadar, InshaAllah.

[Ucapan] Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu dikenang 2017

1. Alhamdulillah, pada hari ini kita dapat bertemu bagi meraikan warga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Jasamu Dikenang PKNS 2017.

2. Kehadiran saya pada malam ini adalah tanda dukungan dan kebanggaan Kerajaan Negeri di atas perkhidmatan para pegawai PKNS yang unggul dengan keberkesanan, dan integriti – effectiveness, and integrity.

3. Komitmen saudara-saudari sekalian, telah menobatkan PKNS sebagai Perbadanan Negeri yang terbukti mampu membina komuniti dan mensejahterakan kehidupan rakyat selaras dengan kebijakan Kerajaan Negeri yang peduli rakyat.

4. PKNS harus memastikan syarikat mempunyai strategi yang unggul dan memiliki daya saing yang mampan. Ini penting bagi memastikan PKNS dapat terus berkembang maju dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

5. Cabaran untuk mempertahankan kemampanan sesebuah syarikat bertambah getir dalam abad ke 21. Untuk kekal relevan PKNS perlu berada di hadapan dalam persaingan.

6. Sekiranya sesebuah syarikat tidak berada di barisan hadapan dalam persaingan, kita akan dipintas dan akan menghadapi kegagalan.

7. Ini tidak boleh dibenarkan berlaku dalam organisasi atau syarikat di bawah naungan Kerajaan Negeri. Dalam konteks ini, PKNS bukan sekadar sebuah perbadanan negeri, ia adalah entiti yang menjadi mercu tanda negeri dan menggalas tanggungjawab mempertahankan nama baik dan maruah negeri.

9. Bill Gates pernah memberitahu pekerjanya: Microsoft is always two years away from failure.

10. Apa yang beliau maksudkan adalah beliau tidak akan membenarkan kegagalan menghampiri syarikat. Kita perlu belajar dari Nokia, sebuah syarikat yang berjaya tetapi kini dilupakan kerana bergerak melepasi failure curve.

11. Bagi PKNS “failure is not an option.” Kita tidak boleh gagal. Selain memiliki competitive advantage, kita juga perlu menyedari pentingnya kita memiliki adaptive capacity – keupayaan melakukan penyesuaian. Kegagalan membangun upaya penyesuaian adalah punca mengapa syarikat-syarikat raksasa seperti Nokia gagal.

12. Juan Carlos Eichholz dalam karya tentang strategi korporat, “Adaptive Strategy – How Organisations can Thrive in a Changing Worl, beliau menerangkan bahawa organisasi perlu membangun adaptive capacity untuk menjadi lebih kompetitif dalam jangka panjang.

13. Hal ini menuntut pengurusan PKNS untuk mempertimbangkan dimensi lain dalam rumusan strategi seperti Blue Ocean Strategy yang bukan sahaja dapat mencipta inovasi tetapi yang lebih penting lagi adalah mencipta inovasi yang bernilai.

14. PKNS juga perlu merentasi sempadan persaingan yang konvensional dan membangun semula faktor-faktor utama dalam semua sempadan pasaran. Setiap unit-unit strategik perniagaan perlu diteliti kembali dengan strategi baru untuk mencapai differentiation dan harga rendah. Melalui kaedah ini, PKNS akan mencipta inovasi bernilai untuk pembeli dan syarikat.

15. Dalam bidang-bidang lain, PKNS tidak perlu menewaskan pesaing. Sebaliknya memberikan penekanan kepada mencari ruang pasaran laut biru tanpa saingan, menjana permintaan baru, pertumbuhan tinggi dan keuntungan lebih besar.

16. Apa yang diperlukan adalah satu pendekatan yang bersepadu untuk menggembleng segala kekuatan stakeholders untuk mencapai kemampanan dan keuntungan korporat jangka panjang.

17. PKNS juga harus teguh berpegang kepada matlamat sosio ekonomi Kerajaan Negeri. Setiap keuntungan dan kekayaan yang diperolehi perlulah digunakan untuk menjayakan Inisiatif Peduli Rakyat yang merupakan agenda keadilan sosial negeri.

18. Justeru itu, penting untuk PKNS merealisasikan pembinaan Rumah Selangorku. Pelaksanaan Skim Peduli Sihat oleh Selgate Corporation, anak syarikat PKNS mesti diikuti dengan pelaksanaan yang berkesan dan berjaya untuk memberikan perkhidmatan rawatan asas untuk rakyat Selangor.

19. Selain itu, PKNS juga harus bersedia melakukan anjakan paradigma untuk membawa Selangor beranjak kepada sebuah Smart State. Kita mahu merealisasikan Smart Selangor bagi mengurus cabaran ‘urban growth’ yang boleh mencorakkan gaya hidup rakyat serta menjadi solusi kepada permasalahan masyarakat melalui aplikasi ‘smart solution’.

20. Syabas kepada PKNS yang menyahut seruan Kerajaan Negeri dengan pembangunan Selangor Cyber Valley sebagai sebuah pembangunan Smart City.

21. Dengan ciri-ciri kemudahan bandar pintar yang serba lengkap seperti pemasangan kabel gentian optik merentasi keseluruhan bandar, perkongsian data menggunakan internet berkelajuan tinggi, kawalan keselamatan melelaui kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi strategik, pengamalan konsep penjimatan tenaga dan infra berteknologi terkini bakal menjadi ‘game changer’ dalam industri hartanah di negeri Selangor sekaligus menjadi pemangkin ekonomi baru buat PKNS.

22. Akhirnya, saya percaya pengiktirafan malam ini adalah sebagai penghargaan terhadap kualiti dan prestasi warga PKNS. Menjadi harapan kita agar pengiktirafan yang diberikan ini akan menjadi pembakar semangat dan penjana motivasi untuk mengecapi pencapaian yang lebih cemerlang pada tahun-tahun yang mendatang.

23. Sekalung penghargaan juga saya ucapkan buat warga PKNS yang akan bersara dan telah menabur bakti selama berdekad-dekad di PKNS. Semoga dengan komitmen dan budaya kerja yang cemerlang sebelum ini kita dapat menggembeleng tenaga untuk merealisasikan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

24. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya merasmikan “Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Jasamu Dikenang PKNS Tahun 2017”.

Perutusan Ramadhan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor

26 MEI 2017

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Apabila matahari terbenam hari ini, umat Islam di seluruh dunia telah berada di gerbang Ramadhan.

Alhamdulillah, kita sekali lagi dipertemukan dengan bulan Ramadhan, madrasah ruhiyyah buat umat Islam menyuntik kekuatan kerohanian, mentarbiyyah akhlak dan menyucikan diri bagi mencapai sifat mahmudah.

Saya yakin, masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor, bahkan di seluruh Malaysia, telah membuat pelbagai persiapan untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan kegiatan Ihya’ Ramadhan.

Ini selari dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 148 :

“…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.”

Tatkala umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran yang menggeser perpaduan, pelbagai program dan kegiatan yang dilaksanakan secara berjemaah amat penting untuk memperkukuh ukhwah dan kesatuan ummah.

Justeru itu, Institusi masjid dan surau memainkan peranan penting untuk menggembeleng perpaduan umat serta menampilkan imej Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

Menjadi harapan kita agar ibadah kita di bulan yang mulia ini dapat menyembuhkan luka-luka perpecahan dan persengketaan di kalangan umat Islam dan manusia keseluruhannya.

“Ramadhan Kareem, Kullu A’am Wa Antum Bi Khair”.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Kenyataan Media Presiden KEADILAN

KENYATAAN MEDIA

Biro Politik KEADILAN malam ini telah mendengar taklimat dari YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden KEADILAN, berhubung situasi di Negeri Selangor ekoran keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membatalkan tahaluf siyasi di antara PAS dengan KEADILAN.

Biro Politik KEADILAN mengambil maklum penjelasan yang diberikan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bahawa, walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari PAS telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga, dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Azmin Ali.

Biro Politik KEADILAN turut bersetuju dengan pendekatan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU 14 dan meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU 13.

Biro Politik KEADILAN yakin terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk terus menerajui Kerajaan Negeri sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor dan melaksanakan pembangunan negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Selangor.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

[Ucapan] Majlis Sambutan Hari Guru & Anugerah Kualiti Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor 2017

Pada pagi ini saya sungguh berbahagia kerana dapat bersemuka dengan masyarakat pendidik Islam sempena sambutan Hari Guru dan Anugerah Kualiti Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Guru bukan sahaja berperanan sebagai pembina negara, bahkan pembina ummah.

Tatkala Rasulullah SAW mengirimkan Muaz bin Jabal ke Yaman untuk mengajar, Baginda bersabda: “seorang manusia yang mendapat hidayah melalui kamu adalah lebih baik dari dunia dengan segala isinya.”

Pengajaran hadith ini mempamerkan bahawa Islam memberikan pengiktirafan yang amat tinggi kepada guru dan ilmu. Sambutan Hari Guru pada hari ini adalah manifestasi kepada penghargaan masyarakat Islam terhadap khidmat dan sumbangan warga guru.

Dalam Islam, guru-guru mempunyai peranan yang mencabar kerana peranan mereka bukan sekadar membina insan untuk kehidupan dunia, bahkan kehidupan akhirat.

Pada hari ini pendidikan Islam mempunyai peranan yang lebih signifikan kerana generasi muda hidup di zaman yang sungguh mencabar. Tanpa asas agama yang kukuh, kita akan mengalami gejala “membangun sambil meruntuh.”

Tiga aspek pendidikan Islam yang holistik harus merangkumi tarbiyyah, ta’lim dan ta’dib. Tarbiyyah bertujuan untuk membina jati diri Muslim manakala ta’lim untuk menyampaikan ilmu yang sempurna. Ta’dib pula adalah untuk membentuk insan yang bertamadun.

Sekiranya kurikulum dan pengajaran pendidikan Islam di Selangor dapat mencapai tiga aspek ini, saya yakin Negeri Selangor akan terus melahirkan masyarakat yang bertamadun tinggi.

Pendidikan Islam menuntut kita menjalani tiga proses ini demi menanam nilai-nilai murni kepada pelajar, iaitu menyemai semangat cinta kepada kebenaran, benci kepada kezaliman serta rasuah dan menegakkan keadilan.

Hari ini, masyarakat menerima hakikat bahawa pendidikan agama amat penting. Ini adalah apresiasi masyarakat terhadap guru agama dalam usaha membangunkan sebuah bangsa yang berilmu, berakhlak serta mempunyai nilai-nilai dan ketrampilan yang unggul.

Kesedaran yang tinggi dalam pendidikan Islam telah mendorong generasi muda mempertingkat prestasi mereka dalam bidang keilmuan Islam. Alhamdulillah, saya gembira kerana saban tahun prestasi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) terus meningkat.

Pada tahun 2014, seramai 4,382 orang calon memperolehi mumtaz, manakala pada tahun 2015 meningkat kepada 7,123 calon. Keputusan cemerlang ini terus dilakarkan dalam peperiksaan PSRA tahun lalu yang mencatatkan jumlah pelajar mumtaz seramai 6,505 orang.

Sementara itu, keputusan keseluruhan bagi Peperiksaan Sijil Menengah Agama juga memperlihatkan prestasi yang begitu baik. Keputusan keseluruhan bagi Peperiksaan Sijil Menengah Agama bagi tahun 2016 adalah 92.2% meningkat sebanyak 1.9% berbanding tahun 2015 iaitu 90.3%.

Kecemerlangan ini telah mendorong lebih ramai ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah agama. Ini boleh dilihat saban tahun, apabila Bahagian Pendidikan Islam, JAIS menerima permohonan kemasukan ke Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Sekolah Agama Menengah (SAM), dan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) semakin meningkat sedangkan tempat yang ditawarkan adalah terhad.

Jumlah permintaan ke Sekolah Menengah Agama (SAM) dan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) adalah melebihi 20,000 permohonan setiap tahun sedangkan institusi pendidikan agama di Negeri Selangor hanya mampu menampung seramai 3,924 orang pelajar sahaja.

Justeru itu, untuk menampung permintaan yang begitu tinggi, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membina sebuah lagi MITS di Pandan Indah dengan kos RM 30 juta. MITS ini merupakan MITS ke 5 selain daripada MITS Istana Bandar di Kuala Langat, MITS Alam Impian di Klang, MITS Bagan Terap di Sabak Bernam dan MITS Bagan Lalang di Sepang.

Baru-baru ini saya telahpun menandatangani surat kelulusan untuk membina dua buah Maahad Tahfiz Swasta yang bernilai RM 6 juta setiap satu di Jenjarom, Kuala Langat dan Jeram, Kuala Selangor.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedang dalam proses membina 3 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) iaitu SRA Sungai Besar, SRA Sungai Kantan dan SRA Taman Bunga Raya dengan kos pembinaan RM 8.5 juta setiap satu. Kerajaan Negeri juga telah meluluskan permohonan untuk membangunkan 3 buah lagi Sekolah Rendah Agama (SRA) iaitu SRA Bandar Country Homes, SRA Denai Alam dan SRA Damansara Damai dengan kos pembangunan sebanyak RM 10 juta setiap satu pembangunan.

Kerajaan Negeri komited untuk terus memajukan pembangunan pendidikan Islam. Justeru itu, Kerajaan bukan sahaja akan meningkatkan prasarana sekolah, Kerajaan Negeri juga akan memperkemaskan kurikulum untuk mendepani cabaran semasa, meningkatkan kemahiran guru di samping menjaga kebajikan guru-guru agama.

Kita sedar bahawa jasa dan pengorbanan mereka perlu dihargai. Bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru, Kerajaan Negeri Selangor pada awal tahun 2016 telah meluluskan kenaikan elaun guru KAFA seramai 6,900 orang mengikut tahun perkhidmatan.

Maka, sebagai mewakili rakyat Selangor, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru agama. Sebagai sebuah negeri yang makmur dan berkebajikan, Kerajaan Negeri akan sentiasa menambahbaik skim perkhidmatan dan akan terus memperjuangkan serta melaksanakan semakan peluang kenaikan pangkat guru-guru dalam membangkitkan semangat bekerja yang tinggi.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan majlis Sambutan Hari Guru dan Penyampaian Anugerah Kualiti Pendidikan 2017 Jabatan Agama Islam Selangor.

[Ucapan] Majlis Penyerahan Kunci Skim Smart Sewa

1. Alhamdulillah, pada pagi ini kita berhimpun di Majlis Penyerahan Kunci Skim Smart Sewa di Pangsapuri Jalan Keretapi Lama, Taman Sementa Bestari, Rantau Panjang, Kapar selaras dengan usaha Kerajaan Negeri melaksanakan dasar pendemokrasian pemilikan rumah.

2. Sektor perumahan menjadi fokus utama Kerajaan Negeri kerana setiap rakyat berhak mendapatkan rumah yang selesa dan kondusif untuk keluarga. Pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang rancak tidak bermakna sekiranya rakyat masih belum mampu memiliki rumah.

3. Oleh yang demikian, satu inisiatif khusus telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Selangor di mana rakyat boleh menyewa rumah daripada Kerajaan Negeri. Apabila penyewa mempunyai kemampuan di masa hadapan untuk berpindah dan membeli Rumah Selangorku, sejumlah 30 peratus daripada wang sewaan bulanan akan dipulangkan kepada penyewa untuk digunakan sebagai deposit pembelian Rumah Selangorku.

4. Belanjawan Negeri 2017 memperuntukkan sejumlah RM 100 juta bagi meluaskan Skim Smart Sewa ke seluruh Negeri Selangor. Skim ini merupakan antara inisiatif terbesar Kerajaan Negeri selain daripada beberapa inisiatif lain termasuk pemberian air percuma, Skim Mikrokredit HIJRAH dan Skim Peduli Sihat.

5. Dengan peruntukan yang besar ini, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) akan membeli rumah-rumah mampu milik atau Rumah Selangorku untuk dijadikan Skim Smart Sewa. Unit-unit ini akan diserahkan kepada anak syarikat LPHS iaitu Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) untuk diuruskan dan disewakan kepada mereka yang layak menikmati Skim Smart Sewa.

6. Setakat ini sudah terdapat dua kawasan yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Skim Smart Sewa. Kawasan pertama adalah lima unit kediaman di Pangsapuri Tun Teja di Setia Alam yang sudah pun disewakan kesemuanya. Kawasan kedua dengan jumlah 64 unit kediaman adalah di Pangsapuri Jalan Keretapi Lama, Taman Sementa Bestari ini.

7. Walau bagaimanapun, kemasukan penyewa akan dibuat secara berperingkat memandangkan kerja-kerja pembaikan unit sedang berjalan. Setakat hari ini, sebanyak 20 unit di pangsapuri ini telah disewakan menerusi Skim Smart Sewa. Saya yakin ianya akan membuka lembaran baru kepada para penyewa menjelang Ramadhan pada hujung minggu ini.

8. Selain daripada dua kawasan tadi, Kerajaan Negeri mahu memperhebat pelaksanaan program Smart Sewa ini di kawasan-kawasan strategik yang mendapat permintaan yang tinggi. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah membeli 100 unit Pangsapuri di Bandar Parklands, Bukit Tinggi, Klang untuk diletakkan di bawah skim yang sama dan dijangka dibuka kepada orang awam bermula Oktober tahun ini.

9. Selain itu, kawasan strategik lain yang telah dikenalpasti adalah Pangsapuri De Kiara, Bandar Setia Alam (30 unit); Pangsapuri De Bayu, Bandar Setia Alam (30 unit); Pangsapuri di Bandar Bukit Raja, Klang (50 unit); Apartment Trifolis, Bandar Bukit Tinggi 2, Klang (30 unit); Pangsapuri Jade Hills, Kajang (50 unit); Pangsapuri Bandar Rimbayu, Kuala Langat (50 unit); dan Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh (20 unit).

10. Melalui pelaksanaan program ini, Kerajaan Negeri dapat menyumbang kepada usaha untuk menangani masalah kemiskinan bandar. Kerajaan Negeri sedar bahawa suasana ekonoi hari ini menyebabkan ramai rakyat yang terbeban dengan pelbagai bentuk hutang isi rumah termasuk PTPTN. Atas sebab-sebab sedemikian, mereka akhirnya tidak melepasi syarat pinjaman bank dan memerlukan masa untuk mengumpul wang bagi melunaskan hutang dan mengumpul wang deposit yang cukup untuk membeli rumah.

11. Sekiranya mereka menyewa dengan cara biasa, mereka tidak akan dapat menikmati pulangan 30 peratus daripada jumlah wang sewaan. Maknanya, mereka akan kekal pada kedudukan yang tidak mampu mempunyai sejumlah wang untuk membayar deposit. Saya percaya skim ini akan mula menunjukkan kesan yang positif dalam tempoh beberapa tahun sahaja lagi di mana generasi awal penyewa rumah di dalam skim ini akan mula berupaya membeli rumah masing-masing.

12. Harapan saya hari ini adalah para penyewa dapat membeli Rumah Selangorku yang ditawarkan oleh Kerajaan Selangor. Harga Rumah Selangorku adalah sangat berpatutan dan terus menjadi rebutan ramai pembeli. Kerajaan Negeri juga sedang giat untuk membina Rumah Selangorku ekoran permintaan yang sangat baik di kalangan rakyat Selangor.

13. Tanpa sokongan padu rakyat kepada Kerajaan Negeri hari ini, mustahil Inisiatif Peduli Rakyat dapat dilakukan. Kekayaan Selangor adalah milik rakyat. Kekayaan negeri ini wajib dipulangkan kepada rakyat, terutama kepada golongan yang memerlukannya.

14. Sekiranya rakyat ingin mengecapi nikmat pembangunan dan kemakmuran negeri ini, maka adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankan sebuah Kerajaan yang bersih dan peduli rakyat serta senantiasa menjaga kebajikan rakyat.

15. Akhir kata, saya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua pegawai dan warga Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSB) kerana usaha gigih mereka demi merealisasikan Majlis Penyerahan Kunci Di Bawah Program Skim Smart Sewa pagi ini. Inilah sebenarnya rahsia dan teras kekuatan Kerajaan Negeri Selangor iaitu cekal melaksanakan program peduli rakyat.

16. Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya Menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Di Bawah Skim Smart Sewa ini.

Sembah Ucapan Sempena Keberangkatan DYMM Sultan Selangor Ke Sekinchan

Ampun Tuanku,

Patik mewakili sekalian rakyat negeri, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih di atas limpah perkenan Tuanku untuk mencemar Duli dan berangkat ke Sekinchan untuk menyantuni rakyat Tuanku di Daerah Sabak Bernam ini di kalangan warga tani; pesawah, petani, nelayan, pengilang dan pengusaha IKS.

Kalau permata di atas dulang,
Makin terang cahaya purnama;
Mencemar Duli Sultan terbilang,
Susah senang tetap bersama.

Keberangkatan Tuanku berdua pada pagi ini menzahirkan sifat kepedulian yang membumi kepada rakyat.

Sekinchan merupakan sebuah desa yang permai dan harmoni dengan kepelbagaian kaum dan agama. Kepadatan penduduk Sekinchan dianggarkan hampir 20,000 orang yang mewakili 70% orang Cina, 25% orang Melayu dan 5% orang India.

Hari ini, Sekinchan semakin terkenal seantero dunia dengan industri eco tourism dan sektor pertanian serta perikanan. Sawah padi yang menghijau dapat mengeluarkan purata hasil sebanyak 8 metrik tan per hektar menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Keberangkatan Tuanku memberi rangsangan terhadap usaha menggembeleng potensi ekonomi negeri oleh rakyat Sekinchan yang amat rajin bekerja untuk meningkatkan produktiviti dan menjayakan dasar food security (jaminan bekalan makanan) untuk negara. Sekinchan akan terus maju dan sejahtera di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, patik amat berpuas hati dengan prestasi kerja YB Ng Sue Lim, Ahli Dewan Negeri Sekinchan yang rajin bekerja, komited dana mat popular di Sekinchan.

Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah keizinan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan meraikan para tetamu pagi ini.

Yang Berhormat Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Amat Dihormati Ahli – Ahli Dewan Di Raja Selangor,

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin Bin Ahmad Ahya,
Setiausaha Kerajaan Negeri,

Yang Dimuliakan Orang – Orang Besar Istana,

Yang Dihormatkan Orang – Orang Besar Daerah,

Yang Berhormat Ahli – Ahli Parlimen dan Ahli – Ahli Dewan Negeri,

Yang Berusaha Ketua – Ketua Jabatan Kerajaan Peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah,

Tuan – Tuan dan Puan – Puan sekalian.

Negeri Selangor terus maju dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Selangor terus melangkah ke hadapan dalam penguasaan teknologi tinggi seperti industri aeroangkasa, bioteknologi dan juga sektor pertanian moden.

Sektor ekonomi desa adalah amat penting memandangkan 30 peratus rakyat Selangor masih menetap di desa.

Justeru, ekonomi desa perlu dimodenkan untuk menyediakan peluang pekerjaan generasi muda serta tidak memaksa warga desa berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

Kerajaan Negeri tuntas untuk mengangkat mutu kehidupan masyarakat desa di Sekinchan ke tahap yang setara dengan kehidupan moden.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri mahu watak dan jati diri kedesaan dikekalkan dengan persekitaran yang bermasyarakat, bergotong–royong, bekerjasama, harmoni dan lestari dengan kehijauan alam semulajadi.

Nama Sekinchan dalam Bahasa Cina membawa maksud ‘kampung yang sesuai bercucuk tanam’. Berkat namanya, begitulah potensinya.

Sekinchan hari ini merupakan kawasan yang subur dengan hasil padi, buah-buahan, sayur-sayuran, penternakan dan pelbagai hasil laut.

Hari ini, Sekinchan merupakan penyumbang terbesar kepada penghasilan padi Negeri Selangor sekaligus menjadikan Selangor sebagai pengeluar hasil padi tertinggi di Malaysia.

Ini didorong oleh penggunaan teknologi pertanian dan kaedah tanaman yang moden. Sekinchan juga memiliki tanaman buah-buahan serta herba yang dikomersialkan untuk pasaran domestik dan ekspot.

Sementara itu, industri perikanan di Sekinchan juga berkembang dengan pesat di Bagan Sekinchan.

Hasil laut yang dikeluarkan di Bagan Sekinchan ini bukan sahaja untuk kegunaan penduduk Daerah Sabak Bernam tetapi juga turut menyumbang kepada permintaan hasil laut bagi pasaran dalam dan luar negara.

Kerajaan Negeri tuntas menjadikan konsep ‘food belt’ dan ‘food priority’ sebagai asas kepada Dasar Pertanian Negeri Selangor.

Agrofest Selangor 2017 yang berlangsung selama 4 hari di Perkarangan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam dan berakhir semalam telah berjaya menarik seramai 200,000 pengunjung. Program ini telah memberi peluang kepada lebih 100 usahawan tani untuk mempromosikan produk tani mereka dalam satu Ekspo pertanian yang terbesar di Negeri Selangor .

Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Haji Zaidy Bin Abdul Talib, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, MARDI dan PKPS yang telah menggembeleng tenaga untuk memajukan sektor pertanian di Negeri Selangor.

Kita komited untuk mendukung usaha menjadikan sektor pertanian, perikanan dan penternakan sebagai sektor peneraju ke arah menjadikan Negeri Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi serantau.

Justeru itu, selaras dengan misi dan visi pembangunan Daerah Sabak Bernam ke arah perbandaran agropolitan menjelang tahun 2025, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) akan berusaha membangunkan Sekinchan sebagai Bandar Pelancongan dan Perindustrian di Daerah Sabak Bernam.

Rancangan ini telah diterjemahkan dalam Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam 2025 yang telah diwartakan pada 8 Oktober 2015 yang lalu.

Untuk menggarap sepenuhnya potensi industri pelancongan di Sekinchan, Kerajaan Negeri akan membangunkan sebuah Pusat Maklumat Pelancongan untuk memberi informasi berhubung pelbagai produk pelancongan di Sekinchan yang menarik perhatian ribuan pengunjung pada setiap minggu.

Ampun Tuanku,

Patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dikurniakan kesihatan, dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah Allah SWT.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.
Patik sekali lagi menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor ke Sekinchan pada pagi ini.

Ucapan Dasar Timbalan Presiden Keadilan Perasmian Kongres Nasional Tahunan Ke 12 Angkatan Muda & Wanita Parti Keadilan Rakyat- Membina Malaysia Baru

Mukadimah

Saudara – saudari para perwakilan,

Gendang perang sudah dipalu. Sebagai anak watan yang bercita-cita untuk membina Malaysia Baru, ayuh kita bulatkan tekad, bicara mantap, bergerak sederap menuju ke medan perang. Jangan ada yang menjadi pahlawan kesiangan, turun ke lapangan apabila perjuangan sudah selesai. Anak muda dan wanita perlu menggembeleng tenaga dan minda untuk mara ke hadapan membawa panji KEADILAN.

Perjuangan KEADILAN bertunjangkan hasrat dan cita-cita murni untuk menjamin sebuah negara yang makmur, demokratik, adil dan saksama demi rakyat Malaysia. Laungan keramat ini telah diungkapkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam Pemasyhuran Kemerdekaan.

“Persekutuan Tanah Melayu akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan, kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Namun, setelah 60 tahun negara mencapai kemerdekaan, rakyat masih terjajah dengan sikap pemerintah yang membawa politik perkauman dan politics of fear and intimidation. Biarpun 60 tahun merdeka, masa depan negara masih kabur dan gagal menjamin masa depan anak bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Disinilah peranan KEADILAN. KEADILAN menjanjikan sebuah politik baru, politics of hope and aspirations, pertumbuhan ekonomi yang dinamik dengan menjamin keadilan sosial dalam pengagihan ekonomi. Kita mempunyai keyakinan dan keghairahan yang meluap-luap untuk membawa negara ke tahap yang lebih cemerlang kerana rakyat berhak memiliki sebuah negara yang aman, selamat, makmur dan sejahtera untuk semua.

Kita pernah diingatkan bahawa politik bukanlah semata-mata untuk memburu kekuasaan. Politik dalam pengertian sebenar adalah usaha untuk mencapai urus tadbir yang cemerlang bagi membangunkan negara dan bangsa Malaysia.

Kita berkongres dalam keadaan senario politik negara paling mencabar. Ekonomi negara suram. Nilai ringgit merudum. Hasil mahsul negara dipunggah untuk menjadi milik Sang Penguasa.

Teman-teman seperjuangan sekalian,

Kleptokrat mesti ditentang bukan ditatang. Kleptokrat akan diheret ke muka pengadilan. Jangan benarkan kleptokrat terlepas dari pelaksanaan hukum. Kekayaan negara yang dirompak oleh kleptokrat mesti dikembalikan kepada rakyat. Kleptokrat yang bertopengkan Melayu dan Islam tetap kleptokrat. Topeng Melayu dan Islam tidak menghalalkan kebejatan kleptokrat.

Para perwakilan pencinta keadilan,

Kita bukan lahir di istana. Kita lahir dari gerakan reformasi, satu gerakan yang tercetus dari gelombang kebangkitan rakyat. Kita membangun citra parti dan perjuangan rakyat.

Kita membawa tema demokrasi sebagai wacana nasional. Kita memerlukan wacana yang jujur, genuine, bukan satu public relation show. Kita mahu usaha pemberdayaan rakyat dilaksanakan melalui penyuburan asas demokrasi, hak asasi manusia, wacana ekonomi baru serta wacana yang membawa harapan kepada anak muda dan wanita.

Anak muda dan wanita tidak boleh luntur dari ikhtiyar untuk melaksanakan agenda reformasi. Hari ini, reformasi bukan lagi satu tuntutan, akan tetapi satu kewajipan yang mesti dilaksanakan. KEADILAN harus menggarap seluruh tenaga dan kekuatan, merentasi fahaman dan ideologi politik kedaerahan, untuk menjana satu gelombang baru bagi nyahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Saya tetap berkeyakinan perubahan itu adalah satu kepastian.

Saya menyeru Saudara Nik Nazmi dan Saudara Dr. Afif untuk segera membina ketumbukan anak muda sebagai laskar rakyat untuk bertempur habis-habisan, menjadikan Putrajaya medan pertempuran.

Kak Zu dan Puan Haniza, bersiap siagalah wahai wanita untuk menyantuni rakyat bagi menjana tsunami politik baru yang meruntuhkan kezaliman dan membina keadilan.

Dari runtuhan Kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka;
Bersatulah rakyat segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.

Di atas puing-puing kehancuran UMNO;
Kita bina empayar KEADILAN.

Yakinlah bahawa organisasi dan kepimpinan yang mantap seperti bunyanul marsus – mampu menggerakkan ketumbukan tentera yang berdisiplin, yang berbaris tidak berkerumun, yang setia tidak derhaka, terus mara dan mara demi negara dan anak bangsa.

Menggembeleng Perpaduan Rakyat

Sejak negara dibentuk pada tahun 1957, Malaysia telah melalui susur galur pembangunan bangsa. Kita terinspirasi dengan kejayaan Bapa Bangsa, membangunkan sebuah bangsa yang bersatu padu daripada sebuah masyarakat yang majmuk dan kosmopolitan.

Pimpinan membidani Rukunegara sebagai ideologi nasional yang mengikat perpaduan rakyat berbilang kaum. Mereka bermuafakat merumuskan kontrak sosial sebagai landasan pembangunan negara.

Prinsip-prinsip Rukunegara adalah asas kepada perlembagaan yang menjamin hak, perpaduan dan keharmonian rakyat. Ia merupakan piagam yang menjadi nyawa kepada hayat bangsa dan negara.

Dalam sejarah Islam, Baginda Rasulullah SAW membina perpaduan dan kesatuan ummah melalui Piagam Madinah yang menekankan kepentingan melawan penindasan dan menegakkan keadilan untuk semua tanpa mengira kabilah dan agama. Dalam keghairahan kita untuk membangunkan Malaysia Baru, jangan sekali-kali kita lupa pengajaran dan prinsip yang termaktub dalam Piagam Madinah.

Melakar Hala Tuju Negara

Hari ini, negara kehilangan hala tuju di bawah rejim kleptokrat. Malaysia terumbang ambing tanpa haluan. Kedaulatan negara tergugat di Laut China Selatan tanpa penyelesaian yang bersifat multi-lateral dan tanpa berpegang kepada United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS). Kedaulatan negara dan maruah rakyat tercabar kerana pemimpin yang tidak bertulang belakang melutut kepada kuasa besar ekonomi dunia.

GST terus menghisap darah rakyat. Pengabaian tanggungjawab oleh Putrajaya terhadap masa depan pendidikan dan latihan vokasional menyebabkan anak muda terumbang ambing tanpa jaminan masa depan. Ini adalah penindasan ekonomi terhadap anak muda. Wanita turut terkesan dengan kebijakan ekonomi yang meneruskan tekanan terhadap pendapatan isi rumah yang semakin menguncup.

Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) baru-baru ini melaporkan jumlah pengangguran di kalangan anak muda Malaysia pada tahap yang amat membimbangkan.

Putrajaya ghairah dengan slogan kesihatan sedangkan mutu dan kualiti kesihatan rakyat semakin berisiko. Menurut Health and Morbidity Survey oleh Kementerian Kesihatan, 73% kematian rakyat berpunca daripada bahana penyakit tidak berjangkit atau Non Communicable Diseases (NCDs).

Pastinya, rakyat Malaysia dan negara memerlukan hala tuju yang baru. Justeru, menjadi tanggungjawab anak muda dan wanita KEADILAN untuk melakar hala tuju baru Malaysia. Anak muda dan wanita merupakan tulang belakang yang akan melonjakkan negara ke tahap yang lebih maju dan progresif. Sekiranya anak muda dan wanita tumbang, negara akan kecundang.

Membina Malaysia Baru

Saya baru pulang dari Bavaria, Jerman jam 7 petang tadi. Bavaria sebuah negeri yang tidak mempunyai sebarang sumber asli sama ada gas, petroleum atau bahan mineral yang lain tetapi muncul sebagai sebuah negeri berteknologi tinggi dan mencatatkan KDNK dua kali ganda Malaysia. Inilah nilai knowledge economy yang juga sedang dipelopori oleh Selangor.

Selangor sedang rancak membangunkan hub industri aeroangkasa. Perbincangan saya dengan Lufthansa Technik di Hamburg dan Airbus Defence & Space di Munich amat meyakinkan. Melalui pemitraan strategik, anak muda akan diperkasakan dengan ketrampilan teknologi dan memberi anjakan kepada syarikat-syarikat SME untuk memasuki supply chain industri aeroangkasa.

Selangor mempelopori Industri 4.0 yang akan menjadi paradigma baru dalam sektor ekonomi selaras dengan gagasan Selangor sebagai Smart State.

Ekonomi Malaysia perlu mendapat suntikan baru melalui ekonomi yang berteraskan penguasaan teknologi tinggi bagi merealisasikan hasrat Wawasan 2020 dan negara berpendapatan tinggi.

Inisiatif pendidikan merupakan tonggak utama kepada pembinaan Malaysia Baru. Sistem pendidikan negara perlu dirombak untuk membawa modul pendidikan TVET ke dalam arus perdana pendidikan negara.

Institusi pendidikan tinggi perlu berdaya saing setaraf dengan universiti-universiti terkemuka dunia agar graduan universiti yang berinovasi tidak hanya mencari pekerjaan tetapi juga mencipta pekerjaan.

Kepimpinan Masa Depan

Cabaran global hari ini menuntut Kerajaan diterajui oleh kepimpinan yang berintegriti, berwibawa dan inklusif. Pilihan Raya Presiden di Perancis baru-baru ini membuktikan penolakan terhadap politik right wing exclusivism.

Pengajaran yang boleh diperolehi dari kemenangan Emmanuel Macron yang berusia 39 tahun adalah jelas – Anak muda adalah generasi yang melakar masa depan negara, generasi pencetus anjakan paradigma, generasi yang memiliki keyakinan diri, generasi berilmu yang inklusif dan toleran.

Kemenangan Macron memberi satu harapan baru kepada anak muda Malaysia bahawa saudara-saudari boleh memimpin, akan memimpin dan terus memimpin.

Untuk mendepani persoalan ini, adalah menjadi tanggungjawab KEADILAN khususnya Angkatan Muda dan Wanita untuk melahirkan pimpinan muda yang wibawa, istiqamah dan memiliki imaginasi membawa negara ke hadapan.

Selangor Laksana Malaysia

Ramuan memenangi pilihan raya adalah perpaduan dan keupayaan menggamit perhatian rakyat mengenai kebolehan kita mengurus ekonomi dan mentadbir negara. Saya sering menekankan “tranquillae per virtutem patetunica vitae” – susur galur kepada kebahagiaan dan kesejahteraan adalah melalui kehidupan bermartabat. Pembangunan perlu diseimbang di antara pertumbuhan dan kerohanian selaras dengan teras Selangor sebagai Darul Ehsan.

Selangor adalah jambatan KEADILAN untuk ke Putrajaya. Tiada siapa yang boleh menyanggah bahawa perpaduan dan kestabilan Selangor telah mencipta keyakinan yang menjana pertumbuhan dan kemakmuran.

Malaysian Institute of Economic Research (MIER) melaporkan antara kekuatan Negeri Selangor adalah kestabilan dan penyatuan dalam pentadbiran, cekal dan berpandangan jauh serta melaksanakan dasar dan program yang mengutamakan rakyat.

Kematangan rakyat dalam memberikan mandat jangan diperlekehkan. Kita bertanggungjawab menggalas amanah rakyat dan memberikan perkhidmatan yang akhirnya dapat mengangkat martabat rakyat dan memelihara maruah mereka.

Hari ini, Selangor berada pada tahap yang unggul dengan kebijakan dan dasar people-centric. Kita berganding tenaga dan pemikiran dengan anggota perkhidmatan awam demi merealisasikan sebuah negeri yang maju dan makmur serta membangunkan sebuah bangsa yang saksama.

Alhamdulillah, kita telah berjaya melaksanakan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seperti program penjagaan kesihatan asas atau primary health care yang dijenamakan Skim Peduli Sihat disamping Skim Peduli Siswa, Rumah Selangorku dan Skim Pembiayaan Mikrokredit HIJRAH.

Kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan pengurusan berhemah rizab negeri yang mencatatkan hampir RM 4 bilion telah membolehkan Kerajaan Negeri menjayakan 38 program IPR semenjak 2008 dengan pembiayaan sebanyak RM 2 bilion. Ini bermakna, rakyat Negeri Selangor telah menikmati pulangan RM 2 bilion dalam pelbagai Inisiatif Peduli Rakyat. Kerajaan Negeri yakin menerusi dasar yang peduli dan progresif serta penggunaan teknologi, kaum hawa di Negeri Selangor akan lebih produktif dalam mengemudi persekitaran yang semakin mencabar. Maka, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Institut Wanita Berdaya (IWB) untuk merencana dasar dan inisiatif baru yang lebih progresif demi memartabat wanita.

Negeri Selangor masih kekal penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Hampir 25% KDNK negara adalah disumbangkan oleh rakyat Negeri Selangor. Tanpa sumbangan Selangor, ekonomi Malaysia pasti lebih malap dari yang dicatatkan hari ini.

Jumlah pelaburan domestik dan asing telah meningkat kepada RM 7.88 bilion bagi tahun 2016 dengan jumlah projek sebanyak 242 dan merupakan jumlah tertinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Ini membuktikan bahawa pelabur-pelabur yakin dengan pentadbiran Negeri Selangor yang berteraskan prinsip urus tadbir yang baik, ketelusan dan berintegriti.

Masyarakat antarabangsa turut mengiktiraf kejayaan Selangor meletakkan visi Smart State bertaraf global. Dalam lawatan kerja saya ke Taiwan, Singapura dan Jerman, jelas pimpinan dan masyarakat perniagaan yakin bahawa Selangor adalah destinasi pelaburan yang mampan.

Jati diri Selangor sebagai negeri serantau dan global diperkukuhkan lagi dengan citra Islam yang sederhana dan adil. Selangor juga mempunyai khazanah warisan kebudayaan Melayu yang disulami dengan kepelbagaian budaya, etnik dan agama. Inilah Selangor yang rencam, maju, sejahtera dan makmur.

Prinsip toleransi, saling menghormati dan inklusif memungkinkan umat Islam di Selangor bekerjasama secara produktif dan progresif dengan kaum-kaum yang lain sebagaimana yang ditegaskan dalam Surah Al Hujurat :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

(Surah Al Hujurat : 13 )

Pentadbiran Selangor tuntas melaksanakan tata kelola yang baik, memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Prinsip ini telah diungkapkan oleh Pendeta Agung Melayu, Raja Ali Haji dalam kitabnya “Thamarat al-Muhimmah Diyafat lil Umara wal Kubara, li Ahlil Mahkamah” yang memberi peringatan tentang bahana rasuah :

“Tamak – Yakni loba kepada perolehan dunia dan loba kepada perolehan hawa nafsu yang melampau daripada had syarak, iaitu sangat di cela kepada segala manusia… Terkadang dengan sifat tamak itu membawa kepada zalim dan aniaya kepada orang, sampai membawa khianat kepada harta benda orang… Terkadang membawa pula cedera kepada nama serta membawa kepada yang diharamkan seperti menerima rasuah…”

KEADILAN mempunyai keupayaan dan kesediaan untuk memberikan definasi tentang Melayu Islam. Islam tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana golongan seolah-olah menjadi milik mutlak mereka sahaja.

Melayu yang sejati dan menjiwai nilai-nilai murni Islam akan berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan keadilan. Melayu Islam yang sejati adalah Melayu yang berintegriti, Melayu yang berdaya saing, tidak rasuah, tidak hasad dengki dan senantiasa tawadu’. Inilah definasi Melayu yang diangkat oleh KEADILAN.

Saya berceloteh tentang kejayaan Negeri Selangor kerana semenjak akhir-akhir ini ada individu dan kumpulan kembiri politik yang dengki dan cemburu dengan kejayaan Selangor dan cuba menggasir pencapaian dan kestabilan negeri.

Mereka melempar fitnah, mencipta polemik dan melakukan provokasi. Kita persetankan kembiri politik ini. Angkatan Muda dan Wanita mesti bersama untuk mempertahankan kubu kita.

Mana-mana pihak sama ada individu atau kumpulan yang cuba mengugat kestabilan Negeri Selangor, mereka adalah pengkhianat amanah rakyat. Mereka adalah musuh kita dan kita akan lawan habis-habisan.

Membingkai Muafakat Politik

KEADILAN mempunyai moral and political capital untuk menggembeleng seluruh tenaga dan pemikiran, segala kekuatan rakyat dan parti-parti politik yang progresif ke arah pembentukan satu wahana politik yang bermatlamat untuk membina Malaysia Baru.

Sejarah membuktikan bahawa kesatuan golongan pekerja, petani, penjawat awam dan kaum kapitalis boleh menewaskan penjajah.

Dr. Burhanudin Al-Hilmy membentuk grand coalition PUTERA-AMCJA yang menggabungkan semua kekuatan rakyat pelbagai kaum dan golongan semata-mata untuk mengusir penjajah. Kita juga perlu terus berusaha untuk membentuk gabungan politik yang akan menyatu padukan rakyat, mewujudkan kestabilan yang menjadi prasyarat kepada pembangunan yang mampan.

Realiti sistem pilihan raya Malaysia yang masih bersifat perkauman dalam daftar pemilih dan pembahagian kawasan pilihan raya menuntut semua parti-parti politik pembangkang untuk menggabung tenaga bagi menewaskan UMNO-BN.

Pelbagai usaha telah diikhtiyarkan oleh KEADILAN untuk membidani satu muafakat politik yang matang. Kita mengikuti perkembangan semasa dengan tabah dan waspada. Kita tidak boleh pasrah. Kita mesti maju ke hadapan. Krisis tidak semestinya masalah tetapi adalah peluang untuk KEADILAN muncul sebagai pengaman dan pemimpin masa depan. Namun, pada masa yang sama KEADILAN tidak akan membenarkan mana-mana pihak, sama ada parti politik atau individu untuk hold us to ransom.

Sementara kita mengakui wujud pandangan dan pendekatan yang berbeza, namun ianya tidak bermaksud kita harus bersengketa dan meruntuhkan kekuatan yang telah kita bina melalui muafakat politik Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan.

Bersama kita memperkukuh Pakatan Harapan. DAP rakan setia untuk membawa perubahan. AMANAH dan BERSATU adalah teman seperjuangan. Ayuh, kita melangkah dengan keyakinan, kita mara dengan harapan, kita lawan dengan sasaran, rakyat menang, negara aman.

Saya berpandangan etika gabungan ala Westphalian perlu diwujudkan dan dipatuhi oleh semua anggota gabungan iaitu saling hormat menghormati antara satu sama lain dan tidak mencampuri urusan dalaman parti-parti anggota.

Setiap parti politik mempunyai ideologi dan falsafah perjuangan masing-masing. Sebuah anggota parti gabungan tidak berhak untuk merobah dasar perjuangan anggota parti yang lain. Ini merupakan prinsip Westphalian yang menjadi asas kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Penutup

Para perwakilan yang setia dengan perjuangan,

Bapa reformasi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih terpenjara jasadnya walaupun jiwanya kekal merdeka menuntut kebebasan rakyat. Sebagai pewaris perjuangan, kita mesti berusaha untuk membebaskan Saudara Anwar Ibrahim. Untuk membebaskan beliau, kita mesti memenangi Pilihan Raya Umum ke 14.

Ayuh, persiapkan diri dan jentera. Kader-kader Angkatan Muda dan Wanita harus mempertingkatkan disiplin, memperteguh daya tahan serta tajam berstrategi. Akademi KEADILAN Muda yang akan dilancarkan harus menjadi institusi yang melahirkan kepimpinan yang cerdas dan wibawa serta pengikut yang setia, istiqamah dan berketrampilan.

Wahai anak muda KEADILAN. Jadilah seperti anak muda Ashabul Kahfi yang bangun melawan kezaliman pemerintah seperti yang termaktub dalam Al-Quran : “Mereka adalah anak muda yang beriman dan Kami tambah dengan petunjuk.”

Nik, Afif, Zuraida, Haniza dan Aisyah. Srikandi, Wanita dan Angkatan Muda. Pati dan saya meletakkan harapan yang tinggi kepada saudara-saudari sebagai pewaris. Istiqamah dalam perjuangan. Saudara-saudari adalah masa depan Malaysia.

Saya menyerahkan baton kepimpinan. Selamat berjuang. Tempuhi cabaran dengan tenang. Kemenangan pasti datang. Ayuh, segera nyalakan obor perjuangan. Binalah Malaysia yang cemerlang dan terbilang.

Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama pada malam keramat ini menyempurnakan Perasmian Kongres Nasional Tahunan Ke 12 Angkatan Muda dan Wanita Parti Keadilan Rakyat.

Closing Remarks by YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali at the Halal Hub-To-Hub Roundtable Meeting in collaboration with Wallonia Logistics at Liege, Belgium

Our exchanges yesterday and today have fortified my conviction that there are vast opportunities to be seized.

Also, there is no doubt of the extent and importance of your role and contribution to the Halal industry in Europe.

We cannot overstress the crucial importance of the logistics capabilities and capacity in halal industry as provided by Walloon Logistics.

As pointed out earlier, a port-centric Integrated Halal Logistics Facilities, with Network of End to End Infrastructures, and a seamless logistics system are decisive factors in strategies for our halal hub to hub success.

I can see how the synergies, for example, of the Liege Port Authority can be harnessed with our ports in Selangor (particularly our North Port Authority) to drive our Halal hub to hub initiatives.

As we have stressed from the outset, the overarching objective is to optimise access to the global Halal market – the fastest growing in the world.

Let me stress again the importance of strategic collaboration in sharing an all-inclusive Halal Trade Delivery Assurance.

If I may recap and stress, Halal International Selangor’s strategic thrusts include the provision of world class Halal infrastructure and standards, the creation of an International Halal trading hub and global collaborations to promote Global Halalan Thoyyiban Trade and Industry (GHTTI) signified by trustworthiness, integrity, security and assurance.

I take serious note of the vastness of the halal market and how we in Selangor from the East can be strategically linked to Belgium from the West. As we know, with an estimated 1.8 billion Muslim consumers, making up one quarter of the world’s population, the demand for Halal products and services is overwhelming.

It is also crucial that one third of the world Muslim consumers is actually Francophone. So, here too, the language barrier can be transformed into a language bridge. Likewise, on our part, we in Asia can provide the language bridge for our European partners.

At the end of the day, I am sure we are in agreement that, our objective is to develop a Single Community and a Global Halal Market through our shared expertise, resources, human capital development, trade market and global branding endorsements.

I firmly believe that our very detailed, elaborate and substantive deliberations for these last two days are absolutely essential for the ultimate creation of a comprehensive global halal ecosystem to serve the Muslim community.

Finally let me say that I look forward to more concrete collaboration going forward and let us hope we can bring our exchanges to fruition.

Thank you.