AZMIN ALI

LATEST

Day: May 20, 2017

Ucapan Dasar Timbalan Presiden Keadilan Perasmian Kongres Nasional Tahunan Ke 12 Angkatan Muda & Wanita Parti Keadilan Rakyat- Membina Malaysia Baru

Mukadimah

Saudara – saudari para perwakilan,

Gendang perang sudah dipalu. Sebagai anak watan yang bercita-cita untuk membina Malaysia Baru, ayuh kita bulatkan tekad, bicara mantap, bergerak sederap menuju ke medan perang. Jangan ada yang menjadi pahlawan kesiangan, turun ke lapangan apabila perjuangan sudah selesai. Anak muda dan wanita perlu menggembeleng tenaga dan minda untuk mara ke hadapan membawa panji KEADILAN.

Perjuangan KEADILAN bertunjangkan hasrat dan cita-cita murni untuk menjamin sebuah negara yang makmur, demokratik, adil dan saksama demi rakyat Malaysia. Laungan keramat ini telah diungkapkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam Pemasyhuran Kemerdekaan.

“Persekutuan Tanah Melayu akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan, kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Namun, setelah 60 tahun negara mencapai kemerdekaan, rakyat masih terjajah dengan sikap pemerintah yang membawa politik perkauman dan politics of fear and intimidation. Biarpun 60 tahun merdeka, masa depan negara masih kabur dan gagal menjamin masa depan anak bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Disinilah peranan KEADILAN. KEADILAN menjanjikan sebuah politik baru, politics of hope and aspirations, pertumbuhan ekonomi yang dinamik dengan menjamin keadilan sosial dalam pengagihan ekonomi. Kita mempunyai keyakinan dan keghairahan yang meluap-luap untuk membawa negara ke tahap yang lebih cemerlang kerana rakyat berhak memiliki sebuah negara yang aman, selamat, makmur dan sejahtera untuk semua.

Kita pernah diingatkan bahawa politik bukanlah semata-mata untuk memburu kekuasaan. Politik dalam pengertian sebenar adalah usaha untuk mencapai urus tadbir yang cemerlang bagi membangunkan negara dan bangsa Malaysia.

Kita berkongres dalam keadaan senario politik negara paling mencabar. Ekonomi negara suram. Nilai ringgit merudum. Hasil mahsul negara dipunggah untuk menjadi milik Sang Penguasa.

Teman-teman seperjuangan sekalian,

Kleptokrat mesti ditentang bukan ditatang. Kleptokrat akan diheret ke muka pengadilan. Jangan benarkan kleptokrat terlepas dari pelaksanaan hukum. Kekayaan negara yang dirompak oleh kleptokrat mesti dikembalikan kepada rakyat. Kleptokrat yang bertopengkan Melayu dan Islam tetap kleptokrat. Topeng Melayu dan Islam tidak menghalalkan kebejatan kleptokrat.

Para perwakilan pencinta keadilan,

Kita bukan lahir di istana. Kita lahir dari gerakan reformasi, satu gerakan yang tercetus dari gelombang kebangkitan rakyat. Kita membangun citra parti dan perjuangan rakyat.

Kita membawa tema demokrasi sebagai wacana nasional. Kita memerlukan wacana yang jujur, genuine, bukan satu public relation show. Kita mahu usaha pemberdayaan rakyat dilaksanakan melalui penyuburan asas demokrasi, hak asasi manusia, wacana ekonomi baru serta wacana yang membawa harapan kepada anak muda dan wanita.

Anak muda dan wanita tidak boleh luntur dari ikhtiyar untuk melaksanakan agenda reformasi. Hari ini, reformasi bukan lagi satu tuntutan, akan tetapi satu kewajipan yang mesti dilaksanakan. KEADILAN harus menggarap seluruh tenaga dan kekuatan, merentasi fahaman dan ideologi politik kedaerahan, untuk menjana satu gelombang baru bagi nyahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Saya tetap berkeyakinan perubahan itu adalah satu kepastian.

Saya menyeru Saudara Nik Nazmi dan Saudara Dr. Afif untuk segera membina ketumbukan anak muda sebagai laskar rakyat untuk bertempur habis-habisan, menjadikan Putrajaya medan pertempuran.

Kak Zu dan Puan Haniza, bersiap siagalah wahai wanita untuk menyantuni rakyat bagi menjana tsunami politik baru yang meruntuhkan kezaliman dan membina keadilan.

Dari runtuhan Kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka;
Bersatulah rakyat segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.

Di atas puing-puing kehancuran UMNO;
Kita bina empayar KEADILAN.

Yakinlah bahawa organisasi dan kepimpinan yang mantap seperti bunyanul marsus – mampu menggerakkan ketumbukan tentera yang berdisiplin, yang berbaris tidak berkerumun, yang setia tidak derhaka, terus mara dan mara demi negara dan anak bangsa.

Menggembeleng Perpaduan Rakyat

Sejak negara dibentuk pada tahun 1957, Malaysia telah melalui susur galur pembangunan bangsa. Kita terinspirasi dengan kejayaan Bapa Bangsa, membangunkan sebuah bangsa yang bersatu padu daripada sebuah masyarakat yang majmuk dan kosmopolitan.

Pimpinan membidani Rukunegara sebagai ideologi nasional yang mengikat perpaduan rakyat berbilang kaum. Mereka bermuafakat merumuskan kontrak sosial sebagai landasan pembangunan negara.

Prinsip-prinsip Rukunegara adalah asas kepada perlembagaan yang menjamin hak, perpaduan dan keharmonian rakyat. Ia merupakan piagam yang menjadi nyawa kepada hayat bangsa dan negara.

Dalam sejarah Islam, Baginda Rasulullah SAW membina perpaduan dan kesatuan ummah melalui Piagam Madinah yang menekankan kepentingan melawan penindasan dan menegakkan keadilan untuk semua tanpa mengira kabilah dan agama. Dalam keghairahan kita untuk membangunkan Malaysia Baru, jangan sekali-kali kita lupa pengajaran dan prinsip yang termaktub dalam Piagam Madinah.

Melakar Hala Tuju Negara

Hari ini, negara kehilangan hala tuju di bawah rejim kleptokrat. Malaysia terumbang ambing tanpa haluan. Kedaulatan negara tergugat di Laut China Selatan tanpa penyelesaian yang bersifat multi-lateral dan tanpa berpegang kepada United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS). Kedaulatan negara dan maruah rakyat tercabar kerana pemimpin yang tidak bertulang belakang melutut kepada kuasa besar ekonomi dunia.

GST terus menghisap darah rakyat. Pengabaian tanggungjawab oleh Putrajaya terhadap masa depan pendidikan dan latihan vokasional menyebabkan anak muda terumbang ambing tanpa jaminan masa depan. Ini adalah penindasan ekonomi terhadap anak muda. Wanita turut terkesan dengan kebijakan ekonomi yang meneruskan tekanan terhadap pendapatan isi rumah yang semakin menguncup.

Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) baru-baru ini melaporkan jumlah pengangguran di kalangan anak muda Malaysia pada tahap yang amat membimbangkan.

Putrajaya ghairah dengan slogan kesihatan sedangkan mutu dan kualiti kesihatan rakyat semakin berisiko. Menurut Health and Morbidity Survey oleh Kementerian Kesihatan, 73% kematian rakyat berpunca daripada bahana penyakit tidak berjangkit atau Non Communicable Diseases (NCDs).

Pastinya, rakyat Malaysia dan negara memerlukan hala tuju yang baru. Justeru, menjadi tanggungjawab anak muda dan wanita KEADILAN untuk melakar hala tuju baru Malaysia. Anak muda dan wanita merupakan tulang belakang yang akan melonjakkan negara ke tahap yang lebih maju dan progresif. Sekiranya anak muda dan wanita tumbang, negara akan kecundang.

Membina Malaysia Baru

Saya baru pulang dari Bavaria, Jerman jam 7 petang tadi. Bavaria sebuah negeri yang tidak mempunyai sebarang sumber asli sama ada gas, petroleum atau bahan mineral yang lain tetapi muncul sebagai sebuah negeri berteknologi tinggi dan mencatatkan KDNK dua kali ganda Malaysia. Inilah nilai knowledge economy yang juga sedang dipelopori oleh Selangor.

Selangor sedang rancak membangunkan hub industri aeroangkasa. Perbincangan saya dengan Lufthansa Technik di Hamburg dan Airbus Defence & Space di Munich amat meyakinkan. Melalui pemitraan strategik, anak muda akan diperkasakan dengan ketrampilan teknologi dan memberi anjakan kepada syarikat-syarikat SME untuk memasuki supply chain industri aeroangkasa.

Selangor mempelopori Industri 4.0 yang akan menjadi paradigma baru dalam sektor ekonomi selaras dengan gagasan Selangor sebagai Smart State.

Ekonomi Malaysia perlu mendapat suntikan baru melalui ekonomi yang berteraskan penguasaan teknologi tinggi bagi merealisasikan hasrat Wawasan 2020 dan negara berpendapatan tinggi.

Inisiatif pendidikan merupakan tonggak utama kepada pembinaan Malaysia Baru. Sistem pendidikan negara perlu dirombak untuk membawa modul pendidikan TVET ke dalam arus perdana pendidikan negara.

Institusi pendidikan tinggi perlu berdaya saing setaraf dengan universiti-universiti terkemuka dunia agar graduan universiti yang berinovasi tidak hanya mencari pekerjaan tetapi juga mencipta pekerjaan.

Kepimpinan Masa Depan

Cabaran global hari ini menuntut Kerajaan diterajui oleh kepimpinan yang berintegriti, berwibawa dan inklusif. Pilihan Raya Presiden di Perancis baru-baru ini membuktikan penolakan terhadap politik right wing exclusivism.

Pengajaran yang boleh diperolehi dari kemenangan Emmanuel Macron yang berusia 39 tahun adalah jelas – Anak muda adalah generasi yang melakar masa depan negara, generasi pencetus anjakan paradigma, generasi yang memiliki keyakinan diri, generasi berilmu yang inklusif dan toleran.

Kemenangan Macron memberi satu harapan baru kepada anak muda Malaysia bahawa saudara-saudari boleh memimpin, akan memimpin dan terus memimpin.

Untuk mendepani persoalan ini, adalah menjadi tanggungjawab KEADILAN khususnya Angkatan Muda dan Wanita untuk melahirkan pimpinan muda yang wibawa, istiqamah dan memiliki imaginasi membawa negara ke hadapan.

Selangor Laksana Malaysia

Ramuan memenangi pilihan raya adalah perpaduan dan keupayaan menggamit perhatian rakyat mengenai kebolehan kita mengurus ekonomi dan mentadbir negara. Saya sering menekankan “tranquillae per virtutem patetunica vitae” – susur galur kepada kebahagiaan dan kesejahteraan adalah melalui kehidupan bermartabat. Pembangunan perlu diseimbang di antara pertumbuhan dan kerohanian selaras dengan teras Selangor sebagai Darul Ehsan.

Selangor adalah jambatan KEADILAN untuk ke Putrajaya. Tiada siapa yang boleh menyanggah bahawa perpaduan dan kestabilan Selangor telah mencipta keyakinan yang menjana pertumbuhan dan kemakmuran.

Malaysian Institute of Economic Research (MIER) melaporkan antara kekuatan Negeri Selangor adalah kestabilan dan penyatuan dalam pentadbiran, cekal dan berpandangan jauh serta melaksanakan dasar dan program yang mengutamakan rakyat.

Kematangan rakyat dalam memberikan mandat jangan diperlekehkan. Kita bertanggungjawab menggalas amanah rakyat dan memberikan perkhidmatan yang akhirnya dapat mengangkat martabat rakyat dan memelihara maruah mereka.

Hari ini, Selangor berada pada tahap yang unggul dengan kebijakan dan dasar people-centric. Kita berganding tenaga dan pemikiran dengan anggota perkhidmatan awam demi merealisasikan sebuah negeri yang maju dan makmur serta membangunkan sebuah bangsa yang saksama.

Alhamdulillah, kita telah berjaya melaksanakan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seperti program penjagaan kesihatan asas atau primary health care yang dijenamakan Skim Peduli Sihat disamping Skim Peduli Siswa, Rumah Selangorku dan Skim Pembiayaan Mikrokredit HIJRAH.

Kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan pengurusan berhemah rizab negeri yang mencatatkan hampir RM 4 bilion telah membolehkan Kerajaan Negeri menjayakan 38 program IPR semenjak 2008 dengan pembiayaan sebanyak RM 2 bilion. Ini bermakna, rakyat Negeri Selangor telah menikmati pulangan RM 2 bilion dalam pelbagai Inisiatif Peduli Rakyat. Kerajaan Negeri yakin menerusi dasar yang peduli dan progresif serta penggunaan teknologi, kaum hawa di Negeri Selangor akan lebih produktif dalam mengemudi persekitaran yang semakin mencabar. Maka, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Institut Wanita Berdaya (IWB) untuk merencana dasar dan inisiatif baru yang lebih progresif demi memartabat wanita.

Negeri Selangor masih kekal penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Hampir 25% KDNK negara adalah disumbangkan oleh rakyat Negeri Selangor. Tanpa sumbangan Selangor, ekonomi Malaysia pasti lebih malap dari yang dicatatkan hari ini.

Jumlah pelaburan domestik dan asing telah meningkat kepada RM 7.88 bilion bagi tahun 2016 dengan jumlah projek sebanyak 242 dan merupakan jumlah tertinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Ini membuktikan bahawa pelabur-pelabur yakin dengan pentadbiran Negeri Selangor yang berteraskan prinsip urus tadbir yang baik, ketelusan dan berintegriti.

Masyarakat antarabangsa turut mengiktiraf kejayaan Selangor meletakkan visi Smart State bertaraf global. Dalam lawatan kerja saya ke Taiwan, Singapura dan Jerman, jelas pimpinan dan masyarakat perniagaan yakin bahawa Selangor adalah destinasi pelaburan yang mampan.

Jati diri Selangor sebagai negeri serantau dan global diperkukuhkan lagi dengan citra Islam yang sederhana dan adil. Selangor juga mempunyai khazanah warisan kebudayaan Melayu yang disulami dengan kepelbagaian budaya, etnik dan agama. Inilah Selangor yang rencam, maju, sejahtera dan makmur.

Prinsip toleransi, saling menghormati dan inklusif memungkinkan umat Islam di Selangor bekerjasama secara produktif dan progresif dengan kaum-kaum yang lain sebagaimana yang ditegaskan dalam Surah Al Hujurat :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

(Surah Al Hujurat : 13 )

Pentadbiran Selangor tuntas melaksanakan tata kelola yang baik, memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Prinsip ini telah diungkapkan oleh Pendeta Agung Melayu, Raja Ali Haji dalam kitabnya “Thamarat al-Muhimmah Diyafat lil Umara wal Kubara, li Ahlil Mahkamah” yang memberi peringatan tentang bahana rasuah :

“Tamak – Yakni loba kepada perolehan dunia dan loba kepada perolehan hawa nafsu yang melampau daripada had syarak, iaitu sangat di cela kepada segala manusia… Terkadang dengan sifat tamak itu membawa kepada zalim dan aniaya kepada orang, sampai membawa khianat kepada harta benda orang… Terkadang membawa pula cedera kepada nama serta membawa kepada yang diharamkan seperti menerima rasuah…”

KEADILAN mempunyai keupayaan dan kesediaan untuk memberikan definasi tentang Melayu Islam. Islam tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana golongan seolah-olah menjadi milik mutlak mereka sahaja.

Melayu yang sejati dan menjiwai nilai-nilai murni Islam akan berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan keadilan. Melayu Islam yang sejati adalah Melayu yang berintegriti, Melayu yang berdaya saing, tidak rasuah, tidak hasad dengki dan senantiasa tawadu’. Inilah definasi Melayu yang diangkat oleh KEADILAN.

Saya berceloteh tentang kejayaan Negeri Selangor kerana semenjak akhir-akhir ini ada individu dan kumpulan kembiri politik yang dengki dan cemburu dengan kejayaan Selangor dan cuba menggasir pencapaian dan kestabilan negeri.

Mereka melempar fitnah, mencipta polemik dan melakukan provokasi. Kita persetankan kembiri politik ini. Angkatan Muda dan Wanita mesti bersama untuk mempertahankan kubu kita.

Mana-mana pihak sama ada individu atau kumpulan yang cuba mengugat kestabilan Negeri Selangor, mereka adalah pengkhianat amanah rakyat. Mereka adalah musuh kita dan kita akan lawan habis-habisan.

Membingkai Muafakat Politik

KEADILAN mempunyai moral and political capital untuk menggembeleng seluruh tenaga dan pemikiran, segala kekuatan rakyat dan parti-parti politik yang progresif ke arah pembentukan satu wahana politik yang bermatlamat untuk membina Malaysia Baru.

Sejarah membuktikan bahawa kesatuan golongan pekerja, petani, penjawat awam dan kaum kapitalis boleh menewaskan penjajah.

Dr. Burhanudin Al-Hilmy membentuk grand coalition PUTERA-AMCJA yang menggabungkan semua kekuatan rakyat pelbagai kaum dan golongan semata-mata untuk mengusir penjajah. Kita juga perlu terus berusaha untuk membentuk gabungan politik yang akan menyatu padukan rakyat, mewujudkan kestabilan yang menjadi prasyarat kepada pembangunan yang mampan.

Realiti sistem pilihan raya Malaysia yang masih bersifat perkauman dalam daftar pemilih dan pembahagian kawasan pilihan raya menuntut semua parti-parti politik pembangkang untuk menggabung tenaga bagi menewaskan UMNO-BN.

Pelbagai usaha telah diikhtiyarkan oleh KEADILAN untuk membidani satu muafakat politik yang matang. Kita mengikuti perkembangan semasa dengan tabah dan waspada. Kita tidak boleh pasrah. Kita mesti maju ke hadapan. Krisis tidak semestinya masalah tetapi adalah peluang untuk KEADILAN muncul sebagai pengaman dan pemimpin masa depan. Namun, pada masa yang sama KEADILAN tidak akan membenarkan mana-mana pihak, sama ada parti politik atau individu untuk hold us to ransom.

Sementara kita mengakui wujud pandangan dan pendekatan yang berbeza, namun ianya tidak bermaksud kita harus bersengketa dan meruntuhkan kekuatan yang telah kita bina melalui muafakat politik Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan.

Bersama kita memperkukuh Pakatan Harapan. DAP rakan setia untuk membawa perubahan. AMANAH dan BERSATU adalah teman seperjuangan. Ayuh, kita melangkah dengan keyakinan, kita mara dengan harapan, kita lawan dengan sasaran, rakyat menang, negara aman.

Saya berpandangan etika gabungan ala Westphalian perlu diwujudkan dan dipatuhi oleh semua anggota gabungan iaitu saling hormat menghormati antara satu sama lain dan tidak mencampuri urusan dalaman parti-parti anggota.

Setiap parti politik mempunyai ideologi dan falsafah perjuangan masing-masing. Sebuah anggota parti gabungan tidak berhak untuk merobah dasar perjuangan anggota parti yang lain. Ini merupakan prinsip Westphalian yang menjadi asas kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Penutup

Para perwakilan yang setia dengan perjuangan,

Bapa reformasi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih terpenjara jasadnya walaupun jiwanya kekal merdeka menuntut kebebasan rakyat. Sebagai pewaris perjuangan, kita mesti berusaha untuk membebaskan Saudara Anwar Ibrahim. Untuk membebaskan beliau, kita mesti memenangi Pilihan Raya Umum ke 14.

Ayuh, persiapkan diri dan jentera. Kader-kader Angkatan Muda dan Wanita harus mempertingkatkan disiplin, memperteguh daya tahan serta tajam berstrategi. Akademi KEADILAN Muda yang akan dilancarkan harus menjadi institusi yang melahirkan kepimpinan yang cerdas dan wibawa serta pengikut yang setia, istiqamah dan berketrampilan.

Wahai anak muda KEADILAN. Jadilah seperti anak muda Ashabul Kahfi yang bangun melawan kezaliman pemerintah seperti yang termaktub dalam Al-Quran : “Mereka adalah anak muda yang beriman dan Kami tambah dengan petunjuk.”

Nik, Afif, Zuraida, Haniza dan Aisyah. Srikandi, Wanita dan Angkatan Muda. Pati dan saya meletakkan harapan yang tinggi kepada saudara-saudari sebagai pewaris. Istiqamah dalam perjuangan. Saudara-saudari adalah masa depan Malaysia.

Saya menyerahkan baton kepimpinan. Selamat berjuang. Tempuhi cabaran dengan tenang. Kemenangan pasti datang. Ayuh, segera nyalakan obor perjuangan. Binalah Malaysia yang cemerlang dan terbilang.

Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama pada malam keramat ini menyempurnakan Perasmian Kongres Nasional Tahunan Ke 12 Angkatan Muda dan Wanita Parti Keadilan Rakyat.