AZMIN ALI

LATEST

Day: May 23, 2017

[Ucapan] Majlis Sambutan Hari Guru & Anugerah Kualiti Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor 2017

Pada pagi ini saya sungguh berbahagia kerana dapat bersemuka dengan masyarakat pendidik Islam sempena sambutan Hari Guru dan Anugerah Kualiti Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Guru bukan sahaja berperanan sebagai pembina negara, bahkan pembina ummah.

Tatkala Rasulullah SAW mengirimkan Muaz bin Jabal ke Yaman untuk mengajar, Baginda bersabda: “seorang manusia yang mendapat hidayah melalui kamu adalah lebih baik dari dunia dengan segala isinya.”

Pengajaran hadith ini mempamerkan bahawa Islam memberikan pengiktirafan yang amat tinggi kepada guru dan ilmu. Sambutan Hari Guru pada hari ini adalah manifestasi kepada penghargaan masyarakat Islam terhadap khidmat dan sumbangan warga guru.

Dalam Islam, guru-guru mempunyai peranan yang mencabar kerana peranan mereka bukan sekadar membina insan untuk kehidupan dunia, bahkan kehidupan akhirat.

Pada hari ini pendidikan Islam mempunyai peranan yang lebih signifikan kerana generasi muda hidup di zaman yang sungguh mencabar. Tanpa asas agama yang kukuh, kita akan mengalami gejala “membangun sambil meruntuh.”

Tiga aspek pendidikan Islam yang holistik harus merangkumi tarbiyyah, ta’lim dan ta’dib. Tarbiyyah bertujuan untuk membina jati diri Muslim manakala ta’lim untuk menyampaikan ilmu yang sempurna. Ta’dib pula adalah untuk membentuk insan yang bertamadun.

Sekiranya kurikulum dan pengajaran pendidikan Islam di Selangor dapat mencapai tiga aspek ini, saya yakin Negeri Selangor akan terus melahirkan masyarakat yang bertamadun tinggi.

Pendidikan Islam menuntut kita menjalani tiga proses ini demi menanam nilai-nilai murni kepada pelajar, iaitu menyemai semangat cinta kepada kebenaran, benci kepada kezaliman serta rasuah dan menegakkan keadilan.

Hari ini, masyarakat menerima hakikat bahawa pendidikan agama amat penting. Ini adalah apresiasi masyarakat terhadap guru agama dalam usaha membangunkan sebuah bangsa yang berilmu, berakhlak serta mempunyai nilai-nilai dan ketrampilan yang unggul.

Kesedaran yang tinggi dalam pendidikan Islam telah mendorong generasi muda mempertingkat prestasi mereka dalam bidang keilmuan Islam. Alhamdulillah, saya gembira kerana saban tahun prestasi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) terus meningkat.

Pada tahun 2014, seramai 4,382 orang calon memperolehi mumtaz, manakala pada tahun 2015 meningkat kepada 7,123 calon. Keputusan cemerlang ini terus dilakarkan dalam peperiksaan PSRA tahun lalu yang mencatatkan jumlah pelajar mumtaz seramai 6,505 orang.

Sementara itu, keputusan keseluruhan bagi Peperiksaan Sijil Menengah Agama juga memperlihatkan prestasi yang begitu baik. Keputusan keseluruhan bagi Peperiksaan Sijil Menengah Agama bagi tahun 2016 adalah 92.2% meningkat sebanyak 1.9% berbanding tahun 2015 iaitu 90.3%.

Kecemerlangan ini telah mendorong lebih ramai ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah agama. Ini boleh dilihat saban tahun, apabila Bahagian Pendidikan Islam, JAIS menerima permohonan kemasukan ke Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Sekolah Agama Menengah (SAM), dan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) semakin meningkat sedangkan tempat yang ditawarkan adalah terhad.

Jumlah permintaan ke Sekolah Menengah Agama (SAM) dan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) adalah melebihi 20,000 permohonan setiap tahun sedangkan institusi pendidikan agama di Negeri Selangor hanya mampu menampung seramai 3,924 orang pelajar sahaja.

Justeru itu, untuk menampung permintaan yang begitu tinggi, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membina sebuah lagi MITS di Pandan Indah dengan kos RM 30 juta. MITS ini merupakan MITS ke 5 selain daripada MITS Istana Bandar di Kuala Langat, MITS Alam Impian di Klang, MITS Bagan Terap di Sabak Bernam dan MITS Bagan Lalang di Sepang.

Baru-baru ini saya telahpun menandatangani surat kelulusan untuk membina dua buah Maahad Tahfiz Swasta yang bernilai RM 6 juta setiap satu di Jenjarom, Kuala Langat dan Jeram, Kuala Selangor.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedang dalam proses membina 3 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) iaitu SRA Sungai Besar, SRA Sungai Kantan dan SRA Taman Bunga Raya dengan kos pembinaan RM 8.5 juta setiap satu. Kerajaan Negeri juga telah meluluskan permohonan untuk membangunkan 3 buah lagi Sekolah Rendah Agama (SRA) iaitu SRA Bandar Country Homes, SRA Denai Alam dan SRA Damansara Damai dengan kos pembangunan sebanyak RM 10 juta setiap satu pembangunan.

Kerajaan Negeri komited untuk terus memajukan pembangunan pendidikan Islam. Justeru itu, Kerajaan bukan sahaja akan meningkatkan prasarana sekolah, Kerajaan Negeri juga akan memperkemaskan kurikulum untuk mendepani cabaran semasa, meningkatkan kemahiran guru di samping menjaga kebajikan guru-guru agama.

Kita sedar bahawa jasa dan pengorbanan mereka perlu dihargai. Bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru, Kerajaan Negeri Selangor pada awal tahun 2016 telah meluluskan kenaikan elaun guru KAFA seramai 6,900 orang mengikut tahun perkhidmatan.

Maka, sebagai mewakili rakyat Selangor, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru agama. Sebagai sebuah negeri yang makmur dan berkebajikan, Kerajaan Negeri akan sentiasa menambahbaik skim perkhidmatan dan akan terus memperjuangkan serta melaksanakan semakan peluang kenaikan pangkat guru-guru dalam membangkitkan semangat bekerja yang tinggi.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan majlis Sambutan Hari Guru dan Penyampaian Anugerah Kualiti Pendidikan 2017 Jabatan Agama Islam Selangor.

[Ucapan] Majlis Penyerahan Kunci Skim Smart Sewa

1. Alhamdulillah, pada pagi ini kita berhimpun di Majlis Penyerahan Kunci Skim Smart Sewa di Pangsapuri Jalan Keretapi Lama, Taman Sementa Bestari, Rantau Panjang, Kapar selaras dengan usaha Kerajaan Negeri melaksanakan dasar pendemokrasian pemilikan rumah.

2. Sektor perumahan menjadi fokus utama Kerajaan Negeri kerana setiap rakyat berhak mendapatkan rumah yang selesa dan kondusif untuk keluarga. Pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang rancak tidak bermakna sekiranya rakyat masih belum mampu memiliki rumah.

3. Oleh yang demikian, satu inisiatif khusus telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Selangor di mana rakyat boleh menyewa rumah daripada Kerajaan Negeri. Apabila penyewa mempunyai kemampuan di masa hadapan untuk berpindah dan membeli Rumah Selangorku, sejumlah 30 peratus daripada wang sewaan bulanan akan dipulangkan kepada penyewa untuk digunakan sebagai deposit pembelian Rumah Selangorku.

4. Belanjawan Negeri 2017 memperuntukkan sejumlah RM 100 juta bagi meluaskan Skim Smart Sewa ke seluruh Negeri Selangor. Skim ini merupakan antara inisiatif terbesar Kerajaan Negeri selain daripada beberapa inisiatif lain termasuk pemberian air percuma, Skim Mikrokredit HIJRAH dan Skim Peduli Sihat.

5. Dengan peruntukan yang besar ini, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) akan membeli rumah-rumah mampu milik atau Rumah Selangorku untuk dijadikan Skim Smart Sewa. Unit-unit ini akan diserahkan kepada anak syarikat LPHS iaitu Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) untuk diuruskan dan disewakan kepada mereka yang layak menikmati Skim Smart Sewa.

6. Setakat ini sudah terdapat dua kawasan yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Skim Smart Sewa. Kawasan pertama adalah lima unit kediaman di Pangsapuri Tun Teja di Setia Alam yang sudah pun disewakan kesemuanya. Kawasan kedua dengan jumlah 64 unit kediaman adalah di Pangsapuri Jalan Keretapi Lama, Taman Sementa Bestari ini.

7. Walau bagaimanapun, kemasukan penyewa akan dibuat secara berperingkat memandangkan kerja-kerja pembaikan unit sedang berjalan. Setakat hari ini, sebanyak 20 unit di pangsapuri ini telah disewakan menerusi Skim Smart Sewa. Saya yakin ianya akan membuka lembaran baru kepada para penyewa menjelang Ramadhan pada hujung minggu ini.

8. Selain daripada dua kawasan tadi, Kerajaan Negeri mahu memperhebat pelaksanaan program Smart Sewa ini di kawasan-kawasan strategik yang mendapat permintaan yang tinggi. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah membeli 100 unit Pangsapuri di Bandar Parklands, Bukit Tinggi, Klang untuk diletakkan di bawah skim yang sama dan dijangka dibuka kepada orang awam bermula Oktober tahun ini.

9. Selain itu, kawasan strategik lain yang telah dikenalpasti adalah Pangsapuri De Kiara, Bandar Setia Alam (30 unit); Pangsapuri De Bayu, Bandar Setia Alam (30 unit); Pangsapuri di Bandar Bukit Raja, Klang (50 unit); Apartment Trifolis, Bandar Bukit Tinggi 2, Klang (30 unit); Pangsapuri Jade Hills, Kajang (50 unit); Pangsapuri Bandar Rimbayu, Kuala Langat (50 unit); dan Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh (20 unit).

10. Melalui pelaksanaan program ini, Kerajaan Negeri dapat menyumbang kepada usaha untuk menangani masalah kemiskinan bandar. Kerajaan Negeri sedar bahawa suasana ekonoi hari ini menyebabkan ramai rakyat yang terbeban dengan pelbagai bentuk hutang isi rumah termasuk PTPTN. Atas sebab-sebab sedemikian, mereka akhirnya tidak melepasi syarat pinjaman bank dan memerlukan masa untuk mengumpul wang bagi melunaskan hutang dan mengumpul wang deposit yang cukup untuk membeli rumah.

11. Sekiranya mereka menyewa dengan cara biasa, mereka tidak akan dapat menikmati pulangan 30 peratus daripada jumlah wang sewaan. Maknanya, mereka akan kekal pada kedudukan yang tidak mampu mempunyai sejumlah wang untuk membayar deposit. Saya percaya skim ini akan mula menunjukkan kesan yang positif dalam tempoh beberapa tahun sahaja lagi di mana generasi awal penyewa rumah di dalam skim ini akan mula berupaya membeli rumah masing-masing.

12. Harapan saya hari ini adalah para penyewa dapat membeli Rumah Selangorku yang ditawarkan oleh Kerajaan Selangor. Harga Rumah Selangorku adalah sangat berpatutan dan terus menjadi rebutan ramai pembeli. Kerajaan Negeri juga sedang giat untuk membina Rumah Selangorku ekoran permintaan yang sangat baik di kalangan rakyat Selangor.

13. Tanpa sokongan padu rakyat kepada Kerajaan Negeri hari ini, mustahil Inisiatif Peduli Rakyat dapat dilakukan. Kekayaan Selangor adalah milik rakyat. Kekayaan negeri ini wajib dipulangkan kepada rakyat, terutama kepada golongan yang memerlukannya.

14. Sekiranya rakyat ingin mengecapi nikmat pembangunan dan kemakmuran negeri ini, maka adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankan sebuah Kerajaan yang bersih dan peduli rakyat serta senantiasa menjaga kebajikan rakyat.

15. Akhir kata, saya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua pegawai dan warga Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSB) kerana usaha gigih mereka demi merealisasikan Majlis Penyerahan Kunci Di Bawah Program Skim Smart Sewa pagi ini. Inilah sebenarnya rahsia dan teras kekuatan Kerajaan Negeri Selangor iaitu cekal melaksanakan program peduli rakyat.

16. Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya Menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Di Bawah Skim Smart Sewa ini.

Sembah Ucapan Sempena Keberangkatan DYMM Sultan Selangor Ke Sekinchan

Ampun Tuanku,

Patik mewakili sekalian rakyat negeri, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih di atas limpah perkenan Tuanku untuk mencemar Duli dan berangkat ke Sekinchan untuk menyantuni rakyat Tuanku di Daerah Sabak Bernam ini di kalangan warga tani; pesawah, petani, nelayan, pengilang dan pengusaha IKS.

Kalau permata di atas dulang,
Makin terang cahaya purnama;
Mencemar Duli Sultan terbilang,
Susah senang tetap bersama.

Keberangkatan Tuanku berdua pada pagi ini menzahirkan sifat kepedulian yang membumi kepada rakyat.

Sekinchan merupakan sebuah desa yang permai dan harmoni dengan kepelbagaian kaum dan agama. Kepadatan penduduk Sekinchan dianggarkan hampir 20,000 orang yang mewakili 70% orang Cina, 25% orang Melayu dan 5% orang India.

Hari ini, Sekinchan semakin terkenal seantero dunia dengan industri eco tourism dan sektor pertanian serta perikanan. Sawah padi yang menghijau dapat mengeluarkan purata hasil sebanyak 8 metrik tan per hektar menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Keberangkatan Tuanku memberi rangsangan terhadap usaha menggembeleng potensi ekonomi negeri oleh rakyat Sekinchan yang amat rajin bekerja untuk meningkatkan produktiviti dan menjayakan dasar food security (jaminan bekalan makanan) untuk negara. Sekinchan akan terus maju dan sejahtera di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, patik amat berpuas hati dengan prestasi kerja YB Ng Sue Lim, Ahli Dewan Negeri Sekinchan yang rajin bekerja, komited dana mat popular di Sekinchan.

Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah keizinan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan meraikan para tetamu pagi ini.

Yang Berhormat Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Amat Dihormati Ahli – Ahli Dewan Di Raja Selangor,

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin Bin Ahmad Ahya,
Setiausaha Kerajaan Negeri,

Yang Dimuliakan Orang – Orang Besar Istana,

Yang Dihormatkan Orang – Orang Besar Daerah,

Yang Berhormat Ahli – Ahli Parlimen dan Ahli – Ahli Dewan Negeri,

Yang Berusaha Ketua – Ketua Jabatan Kerajaan Peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah,

Tuan – Tuan dan Puan – Puan sekalian.

Negeri Selangor terus maju dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Selangor terus melangkah ke hadapan dalam penguasaan teknologi tinggi seperti industri aeroangkasa, bioteknologi dan juga sektor pertanian moden.

Sektor ekonomi desa adalah amat penting memandangkan 30 peratus rakyat Selangor masih menetap di desa.

Justeru, ekonomi desa perlu dimodenkan untuk menyediakan peluang pekerjaan generasi muda serta tidak memaksa warga desa berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

Kerajaan Negeri tuntas untuk mengangkat mutu kehidupan masyarakat desa di Sekinchan ke tahap yang setara dengan kehidupan moden.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri mahu watak dan jati diri kedesaan dikekalkan dengan persekitaran yang bermasyarakat, bergotong–royong, bekerjasama, harmoni dan lestari dengan kehijauan alam semulajadi.

Nama Sekinchan dalam Bahasa Cina membawa maksud ‘kampung yang sesuai bercucuk tanam’. Berkat namanya, begitulah potensinya.

Sekinchan hari ini merupakan kawasan yang subur dengan hasil padi, buah-buahan, sayur-sayuran, penternakan dan pelbagai hasil laut.

Hari ini, Sekinchan merupakan penyumbang terbesar kepada penghasilan padi Negeri Selangor sekaligus menjadikan Selangor sebagai pengeluar hasil padi tertinggi di Malaysia.

Ini didorong oleh penggunaan teknologi pertanian dan kaedah tanaman yang moden. Sekinchan juga memiliki tanaman buah-buahan serta herba yang dikomersialkan untuk pasaran domestik dan ekspot.

Sementara itu, industri perikanan di Sekinchan juga berkembang dengan pesat di Bagan Sekinchan.

Hasil laut yang dikeluarkan di Bagan Sekinchan ini bukan sahaja untuk kegunaan penduduk Daerah Sabak Bernam tetapi juga turut menyumbang kepada permintaan hasil laut bagi pasaran dalam dan luar negara.

Kerajaan Negeri tuntas menjadikan konsep ‘food belt’ dan ‘food priority’ sebagai asas kepada Dasar Pertanian Negeri Selangor.

Agrofest Selangor 2017 yang berlangsung selama 4 hari di Perkarangan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam dan berakhir semalam telah berjaya menarik seramai 200,000 pengunjung. Program ini telah memberi peluang kepada lebih 100 usahawan tani untuk mempromosikan produk tani mereka dalam satu Ekspo pertanian yang terbesar di Negeri Selangor .

Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Haji Zaidy Bin Abdul Talib, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, MARDI dan PKPS yang telah menggembeleng tenaga untuk memajukan sektor pertanian di Negeri Selangor.

Kita komited untuk mendukung usaha menjadikan sektor pertanian, perikanan dan penternakan sebagai sektor peneraju ke arah menjadikan Negeri Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi serantau.

Justeru itu, selaras dengan misi dan visi pembangunan Daerah Sabak Bernam ke arah perbandaran agropolitan menjelang tahun 2025, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) akan berusaha membangunkan Sekinchan sebagai Bandar Pelancongan dan Perindustrian di Daerah Sabak Bernam.

Rancangan ini telah diterjemahkan dalam Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam 2025 yang telah diwartakan pada 8 Oktober 2015 yang lalu.

Untuk menggarap sepenuhnya potensi industri pelancongan di Sekinchan, Kerajaan Negeri akan membangunkan sebuah Pusat Maklumat Pelancongan untuk memberi informasi berhubung pelbagai produk pelancongan di Sekinchan yang menarik perhatian ribuan pengunjung pada setiap minggu.

Ampun Tuanku,

Patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dikurniakan kesihatan, dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah Allah SWT.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.
Patik sekali lagi menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor ke Sekinchan pada pagi ini.