AZMIN ALI

LATEST

Invalid or Broken rss link.

Month: July 2017

[Kenyataan Media] Ibu Mertua Kepada Dato’ Menteri Besar Selangor Telah Kembali Ke Rahmatullah

25 Julai 2017

Bahawa dengan sedih dan dukacita, bagi pihak YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan seluruh ahli keluarga, adalah dimaklumkan bahawa Hajjah Siti Rahmah Binti Ismail, ibu mertua kepada Dato’ Menteri Besar Selangor telah kembali ke rahmatullah di Hospital Gleanegles Ampang pada jam 4.25 petang tadi.

Jenazah akan di bawa ke Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang bagi tujuan pengurusan jenazah pada jam 6 petang. Solat jenazah dijangka akan diadakan di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR selepas solat Isya’ sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Hulu Kelang.

Didoakan semoga Almarhumah Hajjah Siti Rahmah Binti Ismail dicucuri rahmat dan maghfirah Allah SWT serta mendapat husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh nikmat.

YB HAJI SHUHAIMI BIN HAJI SHAFIEI
Setiausaha Politik Kepada
Dato’ Menteri Besar Selangor

[Ucapan] Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Bandar Baru Bangi – Kajang 2 – Bandar Teknologi Kajang

Alhamdulillah, pagi ini kita akan menyaksikan satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri bersama pihak swasta untuk menyediakan infrastruktur dan pembangunan yang dapat meningkatkan mobiliti dan connectivity dengan pembukaan Persimpangan Bertingkat Bandar Baru Bangi – Kajang 2 – Bandar Teknologi Kajang.

Daerah Hulu Langat sedang menyaksikan pembangunan yang pesat. Kerajaan Negeri akan terus membangunkan infrastruktur yang efektif dan kondusif bagi menyokong pembangunan di daerah ini.

Kerajaan Negeri sedar bahawa nadi kepada kemajuan sesebuah negeri adalah pembangunan yang mampan dan dapat menghubungkan bandar dan desa. Semenjak 3 tahun lalu, Kerajaan Negeri berusaha meningkatkan belanja pembangunan dan mengurangkan belanja mengurus. Tahun 2017 menyaksikan belanja pembangunan ditingkatkan kepada 52%. Dalam hal ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merupakan dua agensi penting untuk memastikan usaha pembangunan infrastruktur dilaksanakan mengikut jadual dan menjamin kualiti dan keselamatan.

Kerajaan Negeri yakin, melalui pembangunan yang terancang dan berkualiti, Selangor dapat merancakkan aktiviti ekonomi dan menyediakan kemudahan prasarana yang unggul bagi menarik perhatian pelabur asing dan tempatan berlabuh di Negeri Selangor. Ini sekaligus dapat membantu pertumbuhan ekonomi negeri yang dinamik.

Kerajaan Negeri akan berusaha untuk memastikan peruntukan yang mencukupi untuk agensi pelaksana seperti JKR dan JPS bagi membiayai kerja-kerja pembangunan infrastruktur negeri. Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM 373 juta kepada JKR bagi memacu pembangunan negeri. Pada tahun 2017, peruntukan JKR ditingkatkan kepada RM 390 juta untuk pembangunan infrastruktur, kemudahan dan prasarana rakyat.

Perbelanjaan pembangunan yang besar amat signifikan kerana mempunyai hubungan dengan kadar pertumbuhan ekonomi.

Ini bermula sejak tahun 1980an di mana Malaysia giat membangunkan prasarana dan infrastruktur untuk sektor perindustrian serta mengamalkan Dasar Pandang ke Timur. Infrastruktur yang lengkap dan sempurna pula telah menarik kemasukan pelabur asing yang kemudiannya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 1990an.

Pengalaman ini penting sebagai asas Kerajaan Negeri mengemudi pembangunan negeri demi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya saing. Hal ini juga menuntut sektor swasta bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan Negeri untuk menyediakan infrastruktur yang baik untuk rakyat.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada 7 pemaju swasta di sekitar kawasan ini yang menjadi penyumbang utama kepada pembangunan persimpangan ini yang bernilai RM 62 juta selain daripada RM 3.2 juta yang turut disumbangkan untuk pembinaan jambatan di Bandar Teknologi Kajang.

Pembinaan persimpangan bertingkat ini penting kerana pertumbuhan taman perumahan, komersil dan industri sedang rancak pada hari ini. Oleh yang demikian, ianya bertepatan untuk membantu penyuraian aliran trafik secara terancang dan menyediakan laluan alternatif dan kemudahan kepada lebih 50,000 orang penduduk di sekitar Bangi dan Kajang.

Persimpangan ini akan menghubungkan Bandar Baru Bangi dengan pembangunan baru seperti Kajang 2, Nadayu 92 dan Tropicana Heights sehingga ke Bandar Teknologi Kajang dan Terminal Pengangkutan Bersepadu Stesen Komuter Kajang 2.

Secara tidak langsung, ini akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan penambahbaikan interconnectivity pengangkutan awam ke semua kawasan lingkaran Selangor dan Kuala Lumpur.

Persimpangan ini akan memberi keselesaan dan mengurangkan masa perjalanan serta menjimatkan kos kerana tiada tol yang dikenakan.

Pembukaan persimpangan bertingkat ini juga akan memberi nilai tambah kepada pertumbuhan dan pembangunan sosio ekonomi di Daerah Hulu Langat. Masyarakat setempat akan mendapat akses yang lebih mudah dan cepat ke KLIA dan pusat pentadbiran Putrajaya.

Saya yakin dan percaya, dengan kerjasama yang konstruktif ini antara Kerajaan Negeri dan pihak swasta, kita dapat bersama-sama menggalas tanggungjawab untuk menyediakan infrastruktur dan prasarana demi kemudahan dan keselesaan rakyat. Semoga kita dapat terus berganding bahu untuk mencapai gagasan Kerajaan Negeri Selangor iaitu Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Perasmian Persimpangan Bertingkat Bandar Baru Bangi – Kajang 2 – Bandar Teknologi Kajang.

Sekian, terima kasih.

[Kenyataan Media] Tahniah Tun Dr. Mahathir

Saya mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas perlantikan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan setelah mendapat sokongan yang padu daripada semua anggota Pakatan Harapan.

Perlantikan ini adalah amat signifikan kepada pengukuhan Pakatan Harapan serta memberi hala tuju, fokus dan kepimpinan dalam muafakat ini menjelang Pilihan Raya Umum ke 14.

Saya percaya perkembangan ini akan menamatkan spekulasi dan persoalan tentang perpaduan dan muafakat Pakatan Harapan dalam mendepani pilihan raya dan melaksanakan aspirasi rakyat.

Justeru, saya cukup berkeyakinan dan mengikrarkan sokongan serta komitmen saya kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir untuk terus merealisasikan matlamat perjuangan menuju Putrajaya.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

[Kenyataan Media] Tapak Balai Bomba & Penyelamat Setia Alam & Bukit Rahman Putra

Kerajaan Negeri Selangor telah menulis surat kepada Ketua Pengarah, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia pada 10 Julai 2017 untuk menjawab tuduhan YB Tan Sri Noh Omar, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan mengenai premium tapak Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra.

Kerajaan Negeri Selangor amat kesal dengan dakwaan YB Tan Sri Noh Omar bahawa Kerajaan Negeri telah mengenakan premium yang tinggi ke atas tapak pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra. Dakwaan ini adalah satu fitnah dan tuduhan yang tidak berasas serta tidak beretika.

Tapak pembinaan Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra asalnya merupakan tanah milik pemaju yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri berdasarkan kelulusan Kebenaran Merancang oleh Pihak Berkuasa Perancang. Tapak tersebut seterusnya dimohon oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan secara pemberimilikan di bawah Seksyen 76, Kanun Tanah Negara untuk kegunaan tapak Balai Bomba dan Penyelamat. Perkara 83(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pemberimilikan tanah kepada Kerajaan Persekutuan adalah dengan balasan bayaran premium yang sama banyak dengan nilai pasaran.

Penilaian harga pasaran untuk tanah-tanah yang diberimilik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan termasuk tapak pembinaan Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra telah dinilai oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Penilaian harga pasaran bagi tapak di Setia Alam adalah berjumlah RM19,850,000.00 (RM1,700.00 smp) manakala di Bukit Rahman Putra bernilai RM9.7 juta (RM1,200.00 smp).

Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli rakyat dan prihatin terhadap pembangunan kemudahan awam demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat, maka Kerajaan Negeri Selangor melalui Pekeliling Pengarah Tanah Dan Galian Selangor – Penyeragaman Kadar Premium Tanah-Tanah Kerajaan Yang Diberimilik kepada Kerajaan Persekutuan, telah memberikan diskaun sebanyak 75% daripada nilai pasaran bagi kedua-dua tanah tersebut.

Pemberian diskaun sebanyak 75% bagi kedua-dua tapak untuk Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra menyebabkan Kerajaan Negeri kehilangan hasil/pendapatan berjumlah RM22,187,500.00. Namun, demi rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk menanggung kehilangan hasil tersebut.

Untuk makluman, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tanah Negara telah memutuskan kadar premium nominal RM1,000.00 hanya terpakai bagi tujuan tapak sekolah sahaja berdasarkan Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 1 Tahun 1997. Pengenaan premium dengan nilai pasaran ke atas setiap permohonan pemberimilikan yang dipohon oleh Kerajaan Persekutuan dilaksanakan di semua negeri.

Kerajaan Negeri berharap pencerahan ini akan dapat menjawab tohmahan YB Tan Sri Noh Omar berhubung isu premium tapak Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra.

Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia untuk bersama-sama menjaga keselamatan awam di Negeri Selangor. Saya telah mengadakan perbincangan awal dengan PKPjB Azmi Bin Osman, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Selangor yang baru untuk maksud ini sewaktu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas saya pada 4 Julai 2017.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor Majlis Rumah Terbuka dan Perasmian Bangunan Institut Darul Ehsan (IDE)

Alhamdulillah, pada hari ini kita dapat bertemu dalam suasana yang cukup meriah bagi meraikan Hari Raya Eidul Fitr. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitr.

Eidul Fitr adalah hari kemenangan dan kegembiraan umat Islam selepas kepatuhan kepada Allah SWT dan berjaya melakukan penyucian diri – tazkiyatun nafs dan kembali kepada fitrah.

Marilah kita merayakan Eidul Fitr ini dengan penuh ketaqwaan dan kesederhanaan serta memperkukuh silaturrahmi sesama kita. Sesungguhnya persaudaraan dan muafakat yang erat adalah fitrah manusia yang harus dipereratkan khususnya dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum.

Demokrasi menuntut government-of-the-day peka dengan hasrat rakyat dan market of public opinion yang dinamik. Sebuah Kerajaan perlu merasai denyut nadi rakyat dan memberi ruang sepenuhnya kepada partisipasi rakyat.

Atas keinsafan ini lah, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menubuhkan Institut Darul Ihsan (IDE) untuk menjadi wahana kepada percambahan fikiran dan meraikan public contestation of ideas. Usaha ini memerlukan sikap terbuka dan inklusif serta keghairahan untuk membentuk rangkaian dengan pelbagai badan termasuk masyarakat madani dan individu pemikir.

Sebuah Kerajaan yang demokratik perlu berupaya berdepan dengan fenomena ini. Mana-mana Kerajaan yang tidak dapat menerima hakikat  ini adalah government in denial, seperti burung unta untuk yang menanam kepalanya di dalam pasir untuk tidak mengetahui apa yang berlaku di persekitarannya.

Dalam suasana semasa di mana masyarakat bertambah kompleks, matang dan mengetahui hak-hak mereka sebagai warganegara, cabaran bagi Kerajaan adalah untuk merangkul dan memahami tuntutan mereka. Mengurus dan mengemudi tuntutan ini secara bertanggungjawab demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara merupakan cabaran yang bukan kepalang. Ini selaras dengan anjuran Abraham Lincoln : “You cannot escape the responsibility of tomorrow by evading it today”.

Maka, cabaran ini menuntut Institut Darul Ehsan (IDE) tampil sebagai sebuah think tank untuk membantu Kerajaan Negeri merangka kebijakan yang dapat menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negeri serta memelihara kesuburan demokrasi.

Sejak abad yang lalu, think tank seperti  Brookings Institution, RAND Corporation, Council on Foreign Relations dan Chatham House muncul sebagai institusi yang mentakrifkan agenda negara dan wacana awam dalam sektor ekonomi, keselamatan, strategi dan kebijakan sosial.

Kejayaan menakrifkan ini adalah hasil daripada vibrant and robust discourses dengan pelbagai stakeholders dan menampilkan kecerdasan akademik. Dalam hal ini, IDE perlu lebih proaktif dan inklusif untuk temu tembung dengan Kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan rakyat secara keseluruhannya.

Jika suatu masa dahulu surat khabar dan majalah diberikan jolokan sebagai the Fourth Estate, kini think tank berperanan sebagai The Fifth Estate yang berpotensi mempengaruhi pendapat awam dan hala tuju serta pilihan dalam dasar ekonomi, sosial dan keselamatan.

Setahun yang lalu Brookings Institution menerbitkan kajian James G. McGann yang bertajuk The Fifth Estate: Think Tanks, Public Policy and Governance yang melakarkan peranan penting think tank selepas Perang Dunia Kedua.

Think Tank mencerminkan kuasa intelektual sesebuah negara. Justeru itu, Global Go To Think Tank Index Report 2016 melaporkan lonjakan jumlah think tank di China (435) dan India (280) yang mencerminkan kemunculan kembali dua negara Asia sebagai kuasa besar dunia dan peri pentingnya brain power sebagai satu dimensi penting.

Pelaburan yang diberikan oleh negara-negara Asia terhadap pembangunan kuasa intelek mula mengimbangi dominasi brain power Amerika dan Eropah.

Kemunculan think tank dewasa ini juga adalah sejajar dengan kebangkitan knowledge economy dan tuntutan kepada demokrasi yang kini menjadi fokus Negeri Selangor. Saya juga menyeru sektor swasta untuk melabur dalam pembinaan brain power Negeri Selangor melalui penubuhan think tank yang bebas di mana Kerajaan Negeri akan mendapat manfaat daripada kajian bahkan mendapat kritikan yang membangun daripada badan-badan pemikir tersebut.

Justeru, sebagai sebuah badan pemikir, IDE mesti berupaya untuk merangkul kepakaran yang ada dalam pelbagai bidang strategik di universiti-universiti untuk bertamu di IDE dan menterjemahkan usaha kajian mereka dalam bentuk dasar yang boleh dimanfaat oleh Kerajaan Negeri.

Setelah 60 tahun merdeka dan jumlah universiti meningkat, Malaysia kini memiliki brain power yang besar dalam bidang ekonomi, sosial, keselamatan dan teknologi. Kita tidak boleh membiarkan kecerdasan dan aset intelektual terabai dan tidak dimanfaatkan. Mereka hanya sebagai sarjana dan pengajar sedangkan ilmu mereka boleh dimanfaatkan sebagai kebijakan awam untuk dilaksanakan oleh pemerintah.

Kepakaran mereka dalam pelbagai bidang boleh dijana menerusi kolokium nasional, serantau dan antarabangsa demi mengemudi usaha penyelesaian ke atas isu geopolitik serta isu semasa yang melibatkan soal keselamatan dan kestabilan serantau.

Sebagai contoh, IDE boleh memulakan usaha menyemak semula peranan ASEAN yang semakin mencabar. Ini termasuklah dalam isu Laut China Selatan yang memerlukan permuafakatan atau regional consensus.

Dalam konteks agenda nasional di mana masyarakat di Selangor adalah masyarakat yang pelbagai agama, budaya dan latar belakang, IDE perlu melihat keperluan untuk mewujudkan dialog tamadun dan kebudayaan sebagai panduan generasi millennials.

Dalam sektor pendidikan, IDE juga bertanggungjawab memberi saranan dan pandangan dalam usaha memperkukuh dasar pendidikan negara agar lebih inovatif termasuk dengan memperluaskan program kemahiran teknikal dan vokasional (TVET). Selain itu, IDE juga harus membangunkan generasi kepimpinan masa hadapan yang berupaya untuk mendepani cabaran semasa yang dihadapi oleh negara dan rantau ini.

Dalam aspek ekonomi, IDE perlu melihat kembali dasar ekonomi negara secara holistik yang bukan sahaja perlu menjamin keadilan sosial tetapi menjana pertumbuhan ekonomi yang rancak.

Selain itu, IDE perlu segera melihat dasar-dasar baru yang dapat menjana pertumbuhan dan memastikan kesediaan kita untuk menghadapi gelombang Industri 4.0 selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi smart regional state.

Untuk memastikan objektif penubuhan IDE dapat dicapai dengan lebih berkesan, Kerajaan Negeri membantu menyediakan sejumlah peruntukan untuk memastikan IDE dapat berfungsi dengan efektif dan efisyen. Kerajaan Negeri telah mempertingkat jumlah peruntukan daripada RM 2 juta kepada RM 5 juta kepada IDE.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan tahniah kerana IDE telah bergerak ke arah merealisasikan usaha ini dan saya yakin dengan kemudahan dan prasarana premis baru sebagai nukleus ini, kita dapat melaksanakan usaha-usaha pencerahan dan pencerdasan masyarakat secara berterusan sekaligus merealisasikan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Akhirnya, dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Pelancaran Bangunan Institut Darul Ehsan di Seksyen 15, Shah Alam.

Sekian, terima kasih.