AZMIN ALI

LATEST

Invalid or Broken rss link.

Month: October 2017

[Ucapan] Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Di Antara Selgate Corporation & Ijn Holdings

Alhamdulillah, kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana pada pagi ini, kita dapat menyaksikan satu usaha yang strategik untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Dasar proaktif Kerajaan Negeri dalam perkhidmatan kesihatan merupakan antara tonggak penting dalam agenda keadilan sosial. Justeru itu, usaha pembangunan IJN-SELGATE Specialist Hospital akan meletakkan Negeri Selangor sebagai salah satu pemain penting dalam penjagaan kesihatan.

Dalam Belanjawan 2017, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program pembiayaan rawatan kesihatan asas, Peduli Sihat menerusi SELGATE bagi meningkatkan tahap kesihatan asas rakyat khususnya golongan B40 selari dengan agenda Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Saya ingin menegaskan bahawa sementara kita meraikan kemajuan perkhidmatan kesihatan dan kepakaran, Kerajaan Negeri akan terus menjamin penjagaan kesihatan untuk rakyat miskin dan berpendapatan sederhana. Malah, Kerajaan Negeri sedang merangka satu strategi yang bakal memberikan perkhidmatan kesihatan bersepadu kepada rakyat.

Sambutan yang amat menggalakkan dikalangan rakyat terhadap Skim Peduli Sihat membuktikan wujud kesedaran yang tinggi terhadap keperluan penjagaan kesihatan. Maka, sebagai sebuah Kerajaan yang peduli, kita bertanggungjawab meningkatkan akses golongan ini terhadap perkhidmatan kesihatan yang berkualiti termasuk perkhidmatan pakar.

Indeed, we are well aware of the seriousness of the problems posed by the rising incidences of non-communicable diseases (NCDs) in the country and the negative impact it has on society as a whole both in terms of health as well as on productivity.

There is no doubt that cardiovascular disease (CVD) constitutes a clear and present danger to the nation and that, if you would pardon the expression, is the heart of the matter.

In this regard, I commend IJN for the key role it will play in establishing the Cardiology Centre within the Specialists Hospital to be built in this joint venture with our state-owned SELGATE Corporation.

In this regard, I would like to stress that it was because of the concern for the need to have primary care and screening for these NCDs that the state launched the Peduli Sihat initiative this year – as mentioned earlier.

So, I am happy to say that we are on the same page with IJN concerning the issue of NCDs and their stress on also providing affordable health care.

We are also in total agreement how crucial it is to provide professional and quality health care while making all efforts at ensuring accessibility to society.

I would like to express my appreciation to IJN for choosing us on this important voyage of health care for the community.

Pembangunan SELGATE Medical City di Seksyen 13, Shah Alam akan meletakkan ibu Negeri Selangor sebagai bandaraya yang mempunyai kemudahan perkhidmatan pakar yang berkualiti.

Usahasama ini akan mencipta pekerjaan profesional dan separa profesional dalam industri penjagaan kesihatan seperti doktor, jururawat, pembantu perubatan, pembantu jururawat serta jawatan-jawatan sokongan yang berkaitan.

I am confident that our venture today is the start of a long term and sustainable collaboration that will generate a value creation especially the transfer of the skills and expertise that are so essential in medical services.

Semoga kerjasama ini akan berjaya merealisasikan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memiliki perkhidmatan kesihatan yang berkualiti yang akan memberi manfaat rakyat.

Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Selangor

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita berada dalam Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ke 20 untuk meraikan 1,834 graduan yang berjaya menerima ijazah pada kali ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua graduan yang tuntas mempertahankan keunggulan ilmu dan pendidikan.

Saya juga dapat menyelami perasaan gembira di lubuk hati ibu dan ayah para graduan yang berhimpun dalam dewan yang bersejarah ini. Kejayaan yang kita saksikan pada pagi ini tidak mungkin dicapai tanpa pengorbanan besar dan doa oleh ibu dan ayah yang senantiasa menemani para graduan di sepanjang tempoh pengajian di KUIS.

Maka, marilah kita sebagai anak menzahirkan rasa kasih dan sayang serta hormat kepada ibu dan ayah yang berjaya menterjemahkan impian saudara-saudari menjadi realiti. Tahniah ayah dan ibu.

Saya juga ingin menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada warga akademik yang menyuntik inspirasi kepada anak-anak muda untuk mencintai ilmu dan berjaya. Komitmen warga akademik inilah yang telah melahirkan 17,000 graduan semenjak KUIS ditubuhkan pada 15 Februari 1995 dan mengangkat status kolej kepada sebuah universiti bertaraf antarabangsa.

Kini, KUIS terus maju ke hadapan dengan pelbagai bidang ilmu yang dikembangkan dan berjaya menarik hampir 10,000 orang pelajar dari peringkat asasi hingga ke peringkat doktor falsafah.

Peranan Kerajaan Negeri juga adalah untuk membina sebuah masyarakat belia yang memiliki pendidikan yang holistik. Ini akan menjamin perimbangan antara aspek aqliah, kerohanian dan ketrampilan. Hasilnya, kita akan melahirkan insan yang mempunyai akhlak yang tinggi, jati diri yang utuh serta memberikan sumbangan yang positif kepada masyarakat sebagai seorang profesional.

Memandangkan pendidikan merupakan tunjang kepada ekonomi yang sedang membangun, maka menjadi kewajipan untuk menggubal dasar pendidikan yang holistik. Dalam hal ini, adalah wajib untuk kita membina kemampuan kognitif dari usia yang muda. Justeru itu, peranan universiti adalah amat penting untuk menyediakan sumber pendidikan dan pembelajaran bagi mencapai maksud ini.

Sementara pembangunan intelektual adalah penting untuk semua masyarakat, namun, dalam era pembangunan teknologi Internet of Things (IoT) dan Big Data yang pesat, pendidikan tertiari tidak lengkap tanpa penekanan yang substantif untuk menyediakan para graduan bagi memenuhi keperluan industri dan ekonomi.

Tanpa mengabaikan objektif untuk melahirkan generasi Da’i, Ulama dan Umara, KUIS perlu meluaskan fokus dan skop supaya selari dengan gagasan Selangor sebagai regional smart state.

Untuk mencapai matlamat ini, wujud permintaan besar untuk sumber daya manusia berkemahiran tinggi. Maka, institusi pengajian tinggi termasuk KUIS terpanggil untuk mengatasi persoalan defisit kemahiran yang dihadapi oleh negara.

Usaha ini juga mampu menyumbang kepada penyelesaian masalah pengangguran dikalangan generasi muda.

Kejayaan KUIS melahirkan graduan yang berilmu, berketrampilan dan berkemahiran akan menyumbang secara positif ke arah pembangunan ekonomi Negeri Selangor. Ini secara langsung akan melonjakkan pertumbuhan organik KUIS.

Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan penting yang sedang dimainkan oleh KUIS dalam membangun bangsa dan memakmur negeri.

Justeru itu, Kerajaan Negeri senantiasa dan akan terus mendukung usaha-usaha KUIS untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan rakyat dan menjadikan KUIS sebagai institusi ilmu dan hikmah yang menyumbang kepada pembinaan tamadun di rantau ini.

KUIS juga dicadangkan untuk bersama melaksanakan Program Smart Tahfiz yang bertujuan untuk menyediakan pelajar-pelajar tahfiz mengikuti kurikulum bagi menduduki peperiksaan SPM. Program ini akan membolehkan graduan-graduan tahfiz menyambung pendidikan mereka dalam arus perdana pendidikan negara.

Tabung Biasiswa Selangorku telah berjaya membiayai 160 orang pelajar KUIS. Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM 5.07 juta kepada Tabung Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat KUIS untuk melahirkan 681 orang huffaz.

Dana Bantuan Sara Diri yang memperuntukkan RM 1.5 juta setahun telah membantu 200 orang pelajar KUIS.

Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan geran sebanyak RM 8 juta dalam tahun 2016 bagi menambahbaik dan menaiktaraf infrastruktur teknologi maklumat dan prasarana KUIS.

Kerajaan Negeri telah meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM 48.5 juta yang meliputi RM 27.2 juta untuk pembinaan bangunan akademik baru KUIS dan menaiktaraf perpustakaan Imam al-Syafie. Kemudahan-kemudahan ini akan menyumbang kepada persekitaran pembelajaran dan pengajaran yang kondusif untuk warga KUIS.

Pengurusan KUIS telah memohon pertimbangan Kerajaan Negeri untuk menukar bentuk pinjaman mudah kepada geran. Kerajaan Negeri akan memberikan pertimbangan positif berdasarkan kedudukan kewangan negeri.

Saya dimaklumkan bahawa warga KUIS dan pelajar-pelajar KUIS tersenyum lebar dan gembira apabila Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor yang mula beroperasi pada 5 Ogos 2017.

Pada pagi ini, saya juga ingin mengiktiraf kecemerlangan beberapa orang pelajar dalam pencapaian akademik dan pencapaian keseluruhan. Sukacita diumumkan bahawa penerima Anugerah Diraja Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan menerima insentif tunai berjumlah RM 10,000. Insentif untuk penerima Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor dinaikkan daripada RM 3,000 kepada RM 8,000.

Saya berharap sokongan Kerajaan Negeri ini dapat memberi rangsangan kepada warga KUIS khususnya mahasiswa untuk menjadi agen pencerahan yang menjadikan ilmu dan hikmah sebagai budaya dalam masyarakat.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah, ayat 269 :

“Dia memberikan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa yang diberi hikmah sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pengajaran daripadanya kecuali orang-orang yang mempunyai akal yang sihat.”

Maka, dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim marilah kita sama-sama menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke 20, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Perutusan Deepavali 2017

Vanakkam, En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Selangor yang beragama Hindu dan Sikh.

Sesungguhnya, sambutan Deepavali adalah peluang terbaik untuk berkumpul bersama keluarga dan sahabat yang pasti memberikan kenangan manis. Kenangan manis itulah semangat penting Deepavali dalam mengukuh persaudaraan dan kebersatuan kita semua.

Deepavali adalah perayaan meraikan kemenangan unsur kebaikan mengatasi unsur kejahatan. Kebaikan itu digambarkan menerusi cahaya mengalahkan kejahatan yang dikaitkan dengan kegelapan.

Sejajar dengan semangat perayaan ini, adalah menjadi harapan agar sinar cahaya muncul daripada kegelapan dan mengubah negara yang tercinta ini. Perubahan melahirkan semangat menghadapi cabaran dengan keyakinan dan kekuatan bagi mencapai impian generasi akan datang.

Deepavali mengingatkan kita semua untuk bekerjasama memberi cahaya kehidupan kepada mereka yang kurang bernasib baik supaya tiada anggota masyarakat terpinggir di Negeri Selangor.

Bagi mencapai hasrat itu, pada Belanjawan Negeri 2017, Kerajaan Negeri tekad mengangkat martabat masyarakat India Selangor dengan Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor menerusi peruntukkan sebanyak RM1 juta.

Kerajaan Negeri peduli akan anak muda India Selangor dan mahu mereka bersaing dalam ekonomi negeri yang rancak ketika ini. Kini, program berkenaan sedang melatih 160 anak muda India Selangor dan bakal dikembangkan kepada 240 peserta India negeri ini.

Usaha murni memperkasa kaum India sedang meniti kejayaan dan saya menyeru semua pihak untuk bersama Kerajaan Negeri, menggandakan usaha melahirkan rakyat Selangor yang komited dengan sikap kepedulian untuk semua.

Selamat Hari Deepavali

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Selangor Tahun 2017

Petang ini kita bersama-sama meraikan Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Selangor Tahun 2017 untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan jabatan dan agensi Kerajaan serta pencipta inovasi Negeri Selangor.

Majlis Apresiasi ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai budaya dalam masyarakat. Ini kerana, majlis pada hari ini bukan sekadar satu acara tetapi satu usaha untuk menggarap idea-idea yang kreatif dan inovatif dan diterjemahkan kepada projek yang praktikal untuk mempertingkatkan kualiti hidup, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, budaya kreatif dan inovatif ini harus segera disemai dalam masyarakat sejak dibangku sekolah lagi. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri amat berbangga dengan penyertaan rancak bukan sahaja daripada kalangan anggota perkhidmatan awam tetapi juga daripada para pelajar sekolah.

Saya begitu terkesan dengan projek-projek yang diinspirasikan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah termasuk sebuah projek untuk menghasilkan renewable energy di kawasan luar bandar dengan kos yang minima.

Inovasi yang brilliant dan idea yang besar pada zaman ini dihasilkan oleh pencipta inovasi yang sangat muda. Ini mengulangi kejayaan Mark Zuckerberg yang mencipta facebook dan Bill Gates dengan fenomena Microsoft. Idea-idea ini telah memberi sumbangan dan manfaat kepada seluruh umat manusia.

Peranan idealisme begitu penting untuk mendorong manusia mengoptimakan kreativiti bagi mengatasi pelbagai halangan dan membuka gerbang kepada penggunaan sepenuhnya potensi manusia untuk mencapai kecemerlangan.

“Ideals are like the stars: we never reach them, but like the mariners of the sea, we chart our course by them.”

Hari ini, Selangor sedang melalui proses transformasi menuju ke arah sebuah regional smart state. Selain daripada kemajuan dalam pertumbuhan ekonomi, menjadi pemimpin dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pelaburan asing, Selangor juga memberikan penekanan kepada industri yang high impact, high tech dan R&D di mana tumpuan khas diberikan kepada teknologi kreatif dan inovatif dalam semua lapangan.

Ini bukan lagi merupakan satu pilihan tetapi merupakan satu kemestian. Apa lagi dengan kemunculan Revolusi Industri ke 4.

Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke China dan India untuk membuat jaringan dan mengadakan perikatan strategik.

Saya amat terkesan dengan lawatan kerja ke Genome Valley di Hyderabad yang disebut sebagai Silicon Valley kedua di India. Kita menyaksikan dari dekat di mana syarikat-syarikat teknologi gergasi seperti Google, Microsoft dan DuPont dalam bidang kimia memecah sempadan inovasi. Syarikat-syarikat ini menjadi pemimpin kepada teknologi baharu – they are at the cutting edge of technology.

Apa yang kita saksikan adalah mereka mempunyai prasarana sumber daya manusia yang memiliki kapasiti untuk menangani teknologi canggih dan terbaharu. Ini termasuklah mempunyai institusi pengajian tinggi yang bertaraf dunia dan juga institusi untuk latihan kemahiran (TVET) yang bekerjasama rapat dengan Kerajaan.

Justeru, Selangor sebagai sebuah negeri maju perlu terus maju ke hadapan dan muncul sebagai anggota masyarakat kreatif dan inovatif global. Malaysia hari ini, menduduki tempat ke 37 pada tahun 2017 dalam Indeks Inovasi Global dan kita menetapkan sasaran untuk meningkatkan kedudukan dalam Indeks Inovasi Global kepada kedudukan 20 terbaik dunia.

Saya yakin dan percaya, Selangor boleh menjadi penyumbang utama kepada peningkatan dalam Indeks Inovasi Global dengan prestasi pembudayaan inovasi yang sedia ada pada hari ini.

Kerajaan Negeri juga akan terus memberi penekanan yang substantif kepada institusi pengajian tinggi dan institusi kemahiran TVET. InshaAllah, dalam Belanjawan 2018 akan datang, Kerajaan Negeri akan membentangkan beberapa inisiatif baru yang akan menjadi pemangkin kepada inovasi demi merealisasikan hasrat Selangor sebagai regional smart state.

Gagasan regional smart state menuntut kita secara kolektif untuk berani merobah pemikiran, pendekatan dan budaya kerja untuk mencapai matlamat yang murni ini. Maka, kita perlu melakukan anjakan paradigma agar Selangor dapat melakukan quantum leap menuju sebuah ekonomi yang berasaskan ilmu dan maklumat – knowledge economy.

Akhirnya, bersempena dengan majlis ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah inovasi pada petang ini.

Semoga kejayaan dan pengiktirafan ini akan menjadi pendorong untuk terus menghasilkan idea-idea yang lebih kreatif dan inovatif dalam masyarakat.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan perasmian Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Selangor Tahun 2017.

Sekian, terima kasih.

[Kenyataan Media] Pendirian Tegas Raja-Raja Melayu Berhubung Isu Perpaduan Dan Hubungan Harmoni Di Kalangan Rakyat Yang Berbilang Kaum Dan Agama

KENYATAAN MEDIA

11 OKTOBER 2017

Saya mendukung pendirian tegas Raja-Raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama serta penegasan mengenai keperluan memahami dan menghormati prinsip-prinsip murni yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutan.

Pendirian Raja-Raja Melayu adalah ibarat cahaya yang menyuluh – memimpin rakyat mendepani cabaran semasa termasuk menjawab tindakan melampau individu dan kumpulan yang mengugat kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Umat Islam dan rakyat Malaysia perlu menjunjung pedoman Raja-Raja Melayu tentang sifat Islam yang toleran, sederhana dan inklusif.

Pedoman Raja-Raja Melayu menzahirkan keutuhan institusi Raja Berperlembagaan dan peranan signifikan Raja-Raja Melayu sebagai suara nurani dan aspirasi rakyat.

Justeru, dengan penuh rasa tawadhu, saya ingin menyatakan bahawa prinsip-prinsip toleransi, kesederhanaan dan keharmonian yang disegarkan dan ditegaskan semula oleh Raja-Raja Melayu akan terus menjadi tiang seri Kerajaan Negeri Selangor.

Atas prinsip ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya Negeri Selangor untuk menolak gutter politics, budaya samseng dan fahaman rasis.

Marilah kita bersama membangunkan sebuah bangsa yang gagah, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

[Ucapan] Majlis Pecah Tanah Bangunan Akademik Baharu Kolej Universiti Islam Selangor

Pagi ini kita akan menyaksikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Akademik Baharu dan pengubahsuaian bangunan perpustakaan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang menzahirkan komitmen kita semua untuk mengangkat martabat KUIS sebagai Institusi Pengajian Tinggi Islam yang tersohor di Negeri Selangor.

Majlis ini bukan sekadar untuk memenuhi keperluan prasarana KUIS tetapi bagi merealisasikan tekad dan iltizam untuk mencapai kecemerlangan akademik dalam semua disiplin ilmu yang akan membangunkan sebuah tamadun.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam, KUIS wajar mengambil peranan untuk menjadi contoh sebagai sebuah institusi yang mengimbangi ilmu yang berteraskan wahyu dengan ilmu yang berteraskan keintelektualan seperti yang diungkapkan sebagai aqliah bersama naqliah (reason with revelation and not reason against revelation).

Tamadun Islam dizaman kegemilangannya memberikan ruang dan dukungan kepada umat dari seluruh pelusuk dunia untuk memburu ilmu manakala masyarakat sarjana bersaing melaksana dan berkongsi penyelidikan, membuat penemuan baru dan meluaskan perbatasan ilmu.

Kemuncaknya, umat Islam berjaya dan maju dalam bidang perubatan, sains astronomi dan matematik justeru kerana pemerintah zaman kegemilangan ketika itu memiliki ciri-ciri yang berpencerahan.

Pemerintah Islam ketika itu menggalas tanggungjawab untuk menyediakan prasarana yang diperlukan bagi menyuburkan tradisi keilmuan.

Mengambil inspirasi daripada semangat tersebut, maka Kerajaan Negeri Selangor hari ini senantiasa memberikan keutamaan untuk membina sebuah masyarakat yang memiliki keseimbangan di antara pendidikan arus perdana dan pendidikan berteraskan agama.

Sebagai sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa, dan selaras dengan motto “pemangkin tradisi ilmu”, KUIS perlu bergerak selari dengan agenda menjadikan Selangor sebagai “regional smart state” – memakmur negeri dan membangun bangsa yang terjamin masa depan dengan kemahiran dan ilmu yang berdaya saing.

Cabaran KUIS yang berada dalam rantau Nusantara adalah untuk menangani krisis umat dengan mendakap prinsip keadilan dan kesederhanaan – justice and moderation. Prinsip ini adalah teras kepada ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam Nusantara.

Untuk menjamin anak-anak kita memiliki kecemerlangan akademik, Kerajaan Negeri pada tahun 2016 telah meluluskan peruntukan berjumlah RM 8 juta bagi membiayai projek menaiktaraf infrastruktur teknologi maklumat dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran di KUIS.

Demi memacu kemajuan KUIS, Kerajaan Negeri telah meluluskan RM 48.5 juta dalam bentuk pinjaman mudah kepada KUIS dalam tahun 2017 yang meliputi RM 27.2 juta untuk pembinaan Bangunan Akademik dan pengubahsuaian bangunan perpustakaaan.

Pertambahan jumlah pelajar KUIS yang meningkat setiap tahun memerlukan kepada suasana pembelajaran yang kondusif bagi keselesaan pelajar.

Justeru, pembinaan Bangunan Akademik baharu ini akan dapat menangani masalah kekurangan bilik-bilik kuliah dan tutorial untuk mahasiswa KUIS. Bangunan Akademik baharu ini dapat memuatkan 4,254 orang pada satu-satu masa.

Sementara itu, Perpustakaan Imam Syafie akan dinaiktaraf sebagai sebuah gedung hikmah dan sumber rujukan untuk masyarakat seperti yang diingatkan oleh T.S. Eliot, “where is the wisdom we have lost in knowledge.”

Perpustakaan ini bakal menampung kapasiti 2,500 orang dan akan menyediakan kemudahan ruang bacaan baru, bilik kajian dan bilik carel yang dilengkapi dengan kemudahan WiFi.

Menjadi harapan kita agar pembangunan ini dapat membantu mahasiswa KUIS dilengkapkan dengan kemudahan yang selesa dan kondusif untuk memenuhi keperluan pembelajaran & pengajaran.

Kerajaan Negeri Selangor akan terus memberikan sokongan dan dokongan penuh kepada KUIS untuk melakar kejayaan, menjadi sebuah institusi ilmu dan hikmah yang menyumbang kepada pembinaan tamadun.

Maka, dengan lafaz , marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Akademik Baharu dan pengubahsuaian bangunan perpustakaan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Sekian, terima kasih.

Kenyataan Media – Tindakan penguatkuasaan oleh Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB)

KENYATAAN MEDIA

4 OKTOBER 2017

Kerajaan Negeri mengambil maklum berhubung tindakan penguatkuasaan oleh Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) terhadap tiga buah rumah dan dua buah kedai berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang.

Saya telah mengadakan perbincangan segera dengan Sr. Nazmi Bin Osman, Pengurus Besar Perumahan & Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) berhubung hal ini. Hasil daripada perbincangan tersebut, PHSSB telah bersetuju untuk membuat penawaran unit-unit kediaman di PPR Seksyen 8 Kota Damansara kepada dua buah keluarga yang terlibat.

Saya juga telah meminta Pegawai Daerah Petaling untuk bekerjasama dengan PHSSB bagi menguruskan perpindahan kedua-dua keluarga ini ke kediaman yang ditawarkan dengan segera.

Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membiayai kos sewa unit-unit kediaman tersebut bagi tempoh enam bulan sebelum unit-unit ini ditawarkan kepada dua keluarga berkenaan.

Usaha ini selaras dengan dasar Kerajaan Negeri yang peduli rakyat dan tuntas membela kebajikan rakyat. Kerajaan Negeri berharap kedua-dua keluarga yang terlibat mendapat kediaman yang selesa dan kondusif untuk kehidupan yang lebih sempurna.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI