AZMIN ALI

LATEST

Day: November 15, 2017

[Ucapan] Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Rumah Selangorku Masreca N19eteen, Cyberjaya

1. Pada hari ini kita bersyukur kerana dapat menjayakan kerjasama pintar atau smart partnership dengan pihak swasta dalam usaha merealisasikan dasar pendemokrasian pemilikan rumah di Negeri Selangor.

2. Dalam pembentangan Belanjawan 2018 Negeri Selangor minggu lalu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baru yang berinovasi dan kreatif untuk membolehkan rakyat mempunyai akses kepada perumahan yang berkualiti, selesa dan affordable.

3. Sehingga hari ini, usaha Kerajaan Negeri untuk membangun Rumah Selangorku dengan kerjasama pihak swasta telah melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 unit. Sejumlah 3,378 unit Rumah Selangorku sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini manakala 20,331 akan siap secara berperingkat menjelang tahun 2020.

4. Projek hari ini adalah usaha pembangunan rumah mampu milik Selangorku pertama di Cyberjaya – bandar siber yang merupakan hub teknologi terawal negara yang diasaskan pada tahun 1997 sebagai bandar pintar. Cyberjaya dibangunkan untuk memacu negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge economy).

5. Saya yakin pembangunan ini amat signifikan selaras dengan gagasan menjadikan Negeri Selangor sebagai sebuah regional smart state.

6. Akses kepada perumahan mampu milik di Cyberjaya akan menarik lebih ramai knowledge workers khususnya dalam bidang teknologi ke Negeri Selangor dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat kelas menengah untuk berhijrah dan menetap di Cyberjaya.

7. Tahniah diucapkan kepada Sterling Group kerana berjaya menyiapkan pembangunan Masreca n19eteen dengan kualiti dan reka bentuk yang kreatif serta berinovasi dalam tempoh masa yang ditetapkan.

8. Syabas juga diucapkan kepada pemaju kerana mampu memberikan nilai tambah kepada pembangunan ini dengan menyediakan pelbagai kelengkapan rumah biarpun dijual dengan harga yang mampu milik.

9. Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Sterling Group untuk menjayakan dasar pendemokrasian pemilikan rumah demi mewujudkan sebuah negeri penyayang – compassionate state yang merupakan salah satu strategi Belanjawan 2018.

10. Ikhtiyar ini merupakan keutamaan yang membingkai maslahah umat dan menjadi hala tuju serta kebijakan Kerajaan Negeri demi kebaikan dan kebajikan rakyat. Inilah makna sebenarnya konsep fastabiqul khairat – berlumba-lumba melakukan kebaikan yang bukan sekadar dizahirkan melalui kata-kata tetapi mesti direalisasikan secara teratur dan cekap.

11. Kerajaan Negeri gembira kerana dapat bekerjasama secara smart partnership dengan Sterling Group, syarikat pemaju bumiputera yang profesional dan berpengalaman dalam pembangunan hartanah.

12. Menjadi harapan Kerajaan Negeri agar Sterling Group dapat memainkan peranan untuk mencipta persekitaran kehidupan bandar yang sihat dan meransang pembentukan komuniti yang harmoni dan kreatif.

13. Akhirnya, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Rumah Selangorku Masreca N19eteen, Cyberjaya.

[Ucapan] Majlis Pecah Tanah Masjid Kota Kemuning

1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya dan anak-anak qariah dapat berhimpun di Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Kota Kemuning selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkukuh syiar Islam di Negeri Selangor, InshaAllah.

2. Saya berada di sini demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk saya menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Kota Kemuning dan juga pembangunan masjid-masjid di Negeri Selangor pada masa akan datang yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

3. Majlis pada hari ini turut dihadiri oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

4. Pembangunan Masjid Kota Kemuning merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk menzahirkan dan menterjemahkan konsep fastabiqul khairat sebagai bukti komitmen Kerajaan Negeri terhadap kepentingan ummah.

5. Komitmen ini juga mencerminkan keutamaan yang diberikan kepada soal agama dan kerohanian menepati prinsip fiqh al-awlawiyat di mana pembangunan masjid dan institusi asas ummah dianggap sebagai lebih unggul dan penting.

6. Kerajaan Negeri tuntas mengimarahkan institusi masjid dan surau di Negeri Selangor sebagai pusat kecemerlangan umat Islam yang mengimbangi penbentukan jati diri Muslim yang sejati dan ketrampilan untuk membangun umat dan memakmur negeri. Pembangunan masjid mestilah memenuhi perintah Allah SWT :

“…sesungguhnya masjid yang telah didirikan di atas dasar taqwa…”

7. Cabaran kita hari ini adalah bagaimana usaha kita membangun masjid ini dapat melahirkan satu umat yang bertaqwa kepada Allah SWT.

8. Masjid dan surau yang dibina atas asas taqwa akan melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri muslim yang kuat serta senantiasa berpegang kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.

9. Justeru, firman Allah SWT ini menuntut tanggungjawab dan peranan umat Islam untuk merencanakan pelbagai program pengajian dan aktiviti masyarakat bagi mengimarahkan masjid. Maka, masjid tidak boleh lesu dari peranannya untuk membangunkan satu umat yang cemerlang tetapi kecil di depan Allah SWT – tidak sombong kerana kita semua adalah hamba Allah di muka bumi ini – ibadurrahman.

10. Kita mahu institusi-institusi Islam termasuk institusi pendidikan Islam melahirkan umat Islam yang kukuh pendiriannya dan mempunyai kekuatan akhlak dan prinsip moral yang tinggi untuk menangkis fahaman ekstremis dan radikal yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat dan mencemarkan kesucian agama Islam.

11. Atas keinsafan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sejumlah RM 418 juta untuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi tahun 2017 untuk pembangunan masjid, surau, Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Maahad Tahfiz. Dalam pembentangan Belanjawan 2018 Negeri Selangor minggu lalu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 106 juta lagi untuk pembangunan institusi Islam.

12. Pembinaan Masjid Kota Kemuning akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM 15 juta di samping sejumlah RM 4 juta ditambah oleh anak qariah melalui wakaf.

13. Dalam Belanjawan 2018, saya telah menganjurkan bahawa Kerajaan Negeri mendukung usaha memperkasa institusi wakaf sebagai instrument yang terbukti berjaya memperkukuh ekonomi umat Islam. Perbadanan Wakaf Selangor telah diminta untuk meningkatkan kesedaran di kalangan umat Islam untuk menjadi pewakaf dalam pembangunan ekonomi umat Islam.

14. Pembinaan masjid ini adalah amat signifikan memandangkan pembangunan perbandaran yang begitu pesat dan kepadatan penduduk. Sehingga hari ini terdapat 4 buah surau di Kota Kemuning yang diberi kebenaran khas untuk Solat Jumaat bagi menampung kepadatan penduduk Islam yang mencecah 25,000 orang.

15. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam pembangunan masjid ini khususnya para waqif.

16. Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Kota Kemuning.