AZMIN ALI

LATEST

Day: November 20, 2017

[Ucapan] Majlis Perasmian Jambatan Ketiga Klang

Menghadap
Duli Yang Maha Mulia
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,
Sultan dan Yang Di Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan

&

Duli Yang Maha Mulia
Tengku Permaisuri Selangor,
Tengku Permaisuri Norashikin.
Ampun Tuanku,

Patik merafak sembah menjunjung kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berangkat bagi menyempurnakan perasmian Jambatan Ketiga Klang di Bandar Di Raja Klang pada pagi ini.

Sesungguhnya keberangkatan Tuanku mencemar duli ke majlis ini mencerminkan keprihatinan yang tinggi Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap pembangunan infrastruktur untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyat Tuanku.

Jambatan Ketiga Klang merupakan salah satu daripada projek pembangunan utama yang telah disempurnakan dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
Pembangunan infrastruktur lain yang telah disiapkan dalam tahun ini adalah Projek Mitigasi 2 yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti bekalan air terawat serta menambahbaik sistem agihan bekalan air. Alhamdulillah, projek ini siap sepenuhnya pada 28 April yang lalu.

Sebuah lagi pembangunan penting untuk rakyat Selangor adalah pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 yang bernilai RM 188 juta dan dijangka siap pada bulan hadapan.

Izinkan patik menyembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa Kerajaan Negeri tuntas mengemukakan Belanjawan Negeri yang bertanggungjawab dengan memberi penekanan terhadap Belanja Pembangunan dan berusaha gigih mengurangkan Belanja Mengurus.

Belanjawan 2018 yang diluluskan dalam Dewan Negeri Selangor minggu lalu mencatatkan Belanja Pembangunan meningkat kepada 53.2% manakala Belanja Mengurus menurun kepada 46.8%.

Inilah yang disebut sebagai raison d’etre dan merupakan cabaran besar Kerajaan Negeri untuk memastikan semua projek infrastruktur yang berjumlah RM 746 juta termasuk projek baru dan menaiktaraf jalan dan jambatan, projek tebatan banjir, penyelenggaraan parit dan saliran serta projek pembangunan bekalan air mestilah siap mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.

Pembangunan yang diberikan keutamaan adalah pembangunan yang berkualiti demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan menjamin alam sekitar, pemuliharaan hutan dan kawasan hijau serta membudayakan teknologi hijau.

Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha ke arah mempertingkatkan kelestarian biodiversiti melalui program kesedaran seperti pengindahan pantai, pemuliharaan hidupan liar dan penanaman pokok.
Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan bagi meraikan tetamu yang telah memberikan dorongan untuk menyiapkan Jambatan Ketiga Klang.

Ampun Tuanku,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ;

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya,
Setiausaha Kerajaan Negeri ;

YB Dato’ Nik Shuhaimi Bin Nik Sulaiman,
Penasihat Undang – Undang Negeri ;

Yang Berhormat Dato’ Noordin bin Sulaiman,
Pegawai Kewangan Negeri ;

Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Bin Abd Wahid,
Dato’ Seri Utama Di Raja Mufti Selangor ;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor dan Parlimen ;

Yang Berbahagia Dato’ Nor Azmie Diron,
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) ;

Yang Berusaha Dato’ Ir. Ruslan Bin Abdul Aziz,
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor ;

Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri dan Persekutuan ;

Tuan – Tuan dan Puan – Puan yang budiman.

Kerajaan Negeri yakin, melalui pembangunan yang terancang dan berkualiti, Selangor dapat merancakkan aktiviti ekonomi yang sustainable dan menyediakan kemudahan prasarana yang unggul bagi menarik perhatian pelabur asing dan tempatan berlabuh di Negeri Selangor.

Pembangunan yang pesat di Daerah Klang khususnya pembangunan kemudahan baru di Pelabuhan Barat (Westport) dan Pelabuhan Utara (Northport) menjadi pemangkin kepada kepesatan ekonomi Selangor dan negara. Pembangunan ini turut menyumbang kepada kesesakan trafik khususnya di Bandar Klang.

Pelaksanaan projek Jambatan Ketiga Klang sepanjang 2.5 kilometer dengan kos projek bernilai RM 250 juta mencerminkan kepedulian Kerajaan Negeri untuk berbelanja bagi pembangunan berkualiti demi menyuraikan kesesakan trafik dan mewujudkan jaringan jalan raya yang cepat, selamat dan mesra pengguna.

Jambatan ini juga menjadi penghubung kepada dua buah kawasan iaitu Teluk Pulai dan Sungai Bertek di sebelah Selatan dan Tanjung Syawal di sebelah Utara.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Perbendaharaan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor yang komited melaksanakan pembangunan Jambatan Ketiga Klang.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

Semoga keberangkatan Duli-Duli Tuanku menjadi dorongan kepada patik dan seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor untuk menjunjung titah Tuanku demi membangun bangsa dan memakmur negeri.

Ampun Tuanku.

[Ucapan] Majlis Perasmian Pemuliharaan Kota Darul Ehsan

Menghadap
Duli Yang Maha Mulia
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,
Sultan dan Yang Di Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Ampun Tuanku,

Patik merafak sembah menjunjung kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat untuk menyaksikan keunikan Kota Darul Ehsan serta menyempurnakan Perasmian Pemuliharaan Kota Darul Ehsan.

Beberapa jam yang lalu, Tuanku berangkat untuk menyempurnakan Perasmian Jambatan Ke-3 Klang dan berkenan untuk menamakannya sebagai Jambatan Raja Muda Nala.

Keberangkatan Tuanku mencemar Duli mempamerkan keperibadian Tuanku yang peduli dan prihatin terhadap pembangunan yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat Tuanku.

Kota Darul Ehsan yang siap dibina dan dirasmikan pada 3 Januari 1982 merupakan mercu tanda yang menjadi sempadan Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Patik dan seluruh rakyat Selangor berbangga dengan kemegahan Kota Darul Ehsan yang merupakan simbol kedaulatan Negeri Selangor dan segala daerah takluknya.

Kota Darul Ehsan merupakan gerbang yang amat signifikan sebagai pintu masuk utama ke sebuah negeri termaju, dinamik, kosmopolitan dan kaya dengan budaya dan khazanah warisan.

Pintu gerbang merupakan aspek penting dalam ketamadunan manusia. Ianya dibina untuk berfungsi sebagai kubu pertahanan, lambang kedaulatan dan menjamin keselamatan anak watan. Pintu gerbang juga dibina sebagai mercu tanda yang menampilkan jati diri sesebuah kota.

Brandenburger Tor atau Brandenberg Gate di Berlin adalah pintu gerbang terkenal di dunia yang menarik jutaan pelancong dari seluruh pelusuk dunia. Pintu Gerbang tersebut adalah kebanggaan rakyat Jerman yang menjadi identiti kota Berlin dan signature attraction – menjadi destinasi utama pelancong yang berkunjung ke Berlin.

Perasaan ini juga dizahirkan oleh rakyat Selangor terhadap Kota Darul Ehsan. Ia adalah senibina kebanggaan rakyat Selangor yang menjadi jati diri watan. Senibina kota ini menggabungkan ciri-ciri senibina Islam Andalusia atau Moorish Architecture dan ciri-ciri tempatan.

Ini sejajar dengan jati diri Selangor yang global, kosmopolitan tetapi pada masa yang sama, berakar dengan budaya dan resmi tempatan. Maka, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memelihara dan melindungi gerbang kedaulatan negeri.

Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan bagi meraikan tetamu pada malam ini.

Ampun Tuanku,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ;

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya,
Setiausaha Kerajaan Negeri ;

Yang Berhormat Dato’ Nik Shuhaimi Bin Nik Sulaiman,
Penasihat Undang – Undang Negeri ;

Yang Berhormat Dato’ Noordin bin Sulaiman,
Pegawai Kewangan Negeri ;
Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Bin Abd Wahid,
Dato’ Seri Utama Di Raja Mufti Selangor ;

Yang Amat Dihormati Ahli – Ahli Dewan Di Raja Selangor ;

Yang Dimuliakan Orang – Orang Besar Istana ;

Yang Dihormatkan Orang – Orang Besar Daerah ;

Yang Amat Dihormati Dato’ Haji Emran Bin Haji Kadir,
Orang Besar Daerah Petaling ;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor dan Parlimen ;

Yang Berusaha Dato’ Ir. Ruslan Bin Abdul Aziz,
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor ;

Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri dan Persekutuan ;

Tuan – Tuan dan Puan – Puan yang budiman.

Kota Darul Ehsan memiliki signifikan yang perlu dihayati oleh generasi millennials dengan mengimbas kembali peranan struktur triumphal arches dalam sejarah tamadun manusia seperti Arc de Triomphe di Paris, Wellington Arch di London dan India Gate yang terkenal di Delhi.

Triumphal arches dibina untuk memperingati kemenangan dan peristiwa penting seperti pembukaan sebuah kota baru, kemenangan dalam peperangan atau kemahkotaan maharaja atau sultan.

Rakyat Selangor berbangga kerana memiliki gerbang yang merupakan simbol Darul Ehsan – the land of excellence.

Kota Darul Ehsan adalah pintu masuk untuk berpijak di bumi Darul Ehsan yang cemerlang, bersatu padu dan berdaulat di bawah payung kebesaran Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Atas kesedaran tentang peri pentingnya simbol jati diri dan kedaulatan negeri, maka Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 12 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan Kota Darul Ehsan.

Usaha pemuliharaan memberi penekanan kepada sistem pencahayaan yang khusus ‘Special Lighting’ kepada Kota Darul Ehsan agar ianya kelihatan tersergam indah dan gagah pada waktu malam sesuai dengan kedudukannya sebagai mercu tanda Negeri Selangor.

Sekali lagi, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Perbendaharaan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor yang bermuafakat dan menyiapkan kerja-kerja pemuliharaan Kota Darul Ehsan yang tersergam indah.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, dan seterusnya kepada puteri – puteri dan adinda – adinda Tuanku, waris – waris serta kerabat Di Raja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada malam ini memberi inspirasi kepada patik dan rakyat Negeri Selangor agar tuntas mempertahankan nilai-nilai sejarah, warisan dan kedaulatan negeri Tuanku.

Ampun Tuanku.

[Ucapan] Penangguhan Sidang Dewan Negeri Penggal Kelima 2017 Yab Dato’ Menteri Besar

1. Pada 4 November yang lalu, Negeri Pulau Pinang telah dilanda oleh Taufan Damrey yang membawa rebut taufan dan angin yang kuat sehingga Pulau Pinang dilanda bencana banjir yang besar ekoran jumlah taburan hujan yang terlalu besar dalam tempoh 15 jam tanpa henti. Saya telah bergegas ke Pulau Pinang untuk bertemu dengan Ketua Menteri Saudara Lim Guan Eng dan menzahirkan rasa solidariti Kerajaan Negeri Selangor bersama rakyat Pulau Pinang.

2. Selesai taklimat ringkas di Komtar oleh Datuk Bandar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya terus bergegas ke Seberang Perai Tengah jam 10 malam untuk menyantuni mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan dan melihat sendiri kesulitan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.

3. Kehidupan mereka terganggu, harta benda mereka rosak dan mereka amat memerlukan bantuan.

4. Sebagai tanda solidariti bersama rakyat Negeri Pulau Pinang, saya berbincang dengan YB Seri Kembangan dan Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa berlengah segera menghantar pasukan Misi Selangor Prihatin yang terdiri daripada 185 orang anggota daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN). Pasukan ini telah bergegas turun dan berkampung di Pulau Pinang dengan pelbagai aset dan kelengkapan untuk membantu kerja-kerja pengurusan dan pembersihan pasca banjir.

5. Saya secara peribadi ingin mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai dan seluruh anggota PBT dan sukarelawan yang terlibat dalam Misi Selangor Prihatin di Pulau Pinang. Komitmen dan kesungguhan saudara sekalian adalah kebanggaan Negeri Selangor.

6. Pada jam 10.52 pagi tadi, saya telah dimaklumkan bahawa Empangan Sungai Langat telah mencapai kapasiti 100% dan telah berlakunya limpahan / spill ke hilir empangan. Saya telah segera turun ke Kampung Batu 11 ½ Sungai Serai, Hulu Langat pada jam 12.30 tengahari tadi bersama-sama dengan YB Dusun Tua, Pegawai Daerah Hulu Langat, YDP MPKj dan semua agensi-agensi yang terlibat untuk melihat sendiri punca sebenar banjir kilat yang sering berlaku di Kampung Sungai Serai.

7. Saya telah mengarahkan JPS dan Pengurusan Aset Air Berhad yang merupakan pengurus Projek Langat 2 untuk segera menaikkan paras ban sepanjang 1 kilometer di Sungai Langat berhampiran Kampung Batu 11 ½ Sungai Serai. Saya telah memberi jaminan untuk memantau secara peribadi kemajuan kerja-kerja menaiktaraf ban supaya masalah banjir tidak akan berulang dan menjejaskan kehidupan rakyat.

8. Inilah jati diri Selangor. Kepedulian dan semangat setiakawan kita bukan sahaja di Negeri Selangor bahkan merentasi sempadan. Semangat yang ditampilkan inilah yang menjadi prinsip yang mendasari Belanjawan 2018 Negeri Selangor – fastabiqul khairat – berlumba-lumba melakukan kebaikan.

9. Ahli-Ahli Yang Berhormat baru sahaja meluluskan Belanjawan 2018 Negeri Selangor di dalam Dewan yang mulia. Terima kasih saya ucapkan di atas semua pandangan dan segera untuk memandu kita merencana pembangunan Negeri Selangor.

10. Belanjawan 2018 memberi tumpuan kepada Belanja Pembangunan yang besar dengan fokus untuk terus menyantuni golongan B40 yang merupakan golongan pekerja, petani, nelayan, veteran Angkatan Tentera dan peniaga kecil yang berhak mendapat pembelaan.

11. Saya mewakili Kerajaan Negeri pada hari ini berikrar akan terus terjun ke lapangan untuk menyantuni rakyat dan melaksanakan amanah dan mandat rakyat dengan jujur dan ikhlas serta dibingkai oleh prinsip-prinsip nilai, integriti dan kebertanggungjawaban.

12. Saya yakin, rakyat Negeri Selangor matang dan akan menilai kerja dan kegigihan kita. Yakinlah, rakyat akan terus bersama untuk menyokong Kerajaan yang senantiasa bermuafakat, bertanggungjawab dan tuntas berbakti demi kebajikan rakyat dan kemakmuran negeri.

13. Akhirnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Puan Elya Marini Darmin, Setiausaha Dewan Negeri Selangor yang baru ini telah dinaikkan pangkat dan akan ditempatkan di tempat yang baru. Juga terima kasih kepada Setiausaha Dewan dan pasukannya yang senantiasa melakukan persiapan yang rapi demi menjamin perjalanan Persidangan Dewan Negeri Selangor berlangsung dengan lancar dan mengikut peraturan mesyuarat.

14. Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan kita telah pun tamat. Dengan ini saya mencadangkan supaya Dewan ini ditangguhkan sehingga ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak.