AZMIN ALI

LATEST

Invalid or Broken rss link.

Month: February 2018

[Ucapan] Majlis Penyerahan Masjid Taman Tun Teja, Rawang

Saya bersyukur kerana pada hari Jumaat yang sarat dengan barakah ini, kita dapat bersama-sama dengan anak-anak qariah untuk menyempurnakan Majlis Penyerahan Masjid Taman Tun Teja kepada Jawatankuasa Masjid dan seterusnya bersama-sama untuk menunaikan Solat Jumaat yang pertama di masjid ini, InshaAllah.

Saya yakin majlis ini juga akan memperteguh ukhuwwah di kalangan umat dan menjadikan masjid ini pusat ibadah, pusat pendidikan dan pusat pengembangan syiar Islam sebagai benteng kepada aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Kita bersyukur kerana Negeri Selangor terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang mampan. Hari ini, Negeri Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia sebanyak 23%. Pada masa yang sama, Negeri Selangor juga tuntas mengekalkan prinsip keadilan sosial dan pengagihan yang adil.

Kerajaan Negeri Selangor mahu mengimbangi pembangunan yang pesat ini dengan keutuhan pembangunan kerohanian di kalangan umat supaya pembangunan di Negeri Selangor ini tidak tempang.

Seperti yang diperingatkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143 :

“Demikian juga kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) umat pertengahan (pilihan lagi adil), supaya kamu layak menjadi saksi terhadap umat manusia (pada hari kiamat kelak) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi saksi terhadap kamu.”

Untuk memperkukuh pembangunan kerohanian, Kerajaan Negeri senantiasa menggalas tanggungjawab untuk menyediakan sejumlah peruntukan bagi pembangunan institusi Islam termasuk masjid, surau, sekolah rendah agama, Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) serta program-program yang dapat menyemarakkan kerohanian.

Walaupun Selangor memiliki masyarakat yang rencam dan kosmopolitan, namun Kerajaan Negeri bertekad untuk melahirkan umat Islam yang memiliki jati diri Islam yang kuat dan tidak tercabut dari aqidah dan akhlak. Berimbang bermaksud kita mempertahankan kesederhanaan dan dengan kesederhanaan kita menolak sebarang bentuk ekstrimisme.

Maka, masjid perlu memainkan peranan sebagai institusi ta’dib dan tarbiyyah untuk menyemai nilai-nilai murni Islam. Saya cukup yakin dan percaya, pengimarahan masjid akan dapat melahirkan umat yang sederhana dan berimbang.

Pembangunan “ummatan wasata” yakni umat yang berpegang kepada prinsip Al-Quran seperti keadilan dan kesederhanaan adalah paksi kepada kemajuan Negeri Selangor bukan sahaja maju dalam sektor industri dan kewangan tetapi juga seimbang dalam konteks pembangunan kerohanian. Keseimbangan inilah yang menjamin kejayaan Selangor.

Menjadi tanggungjawab kita khususnya anak-anak qariah di Taman Tun Teja ini untuk mengimarahkan masjid melalui pelbagai aktiviti dan program yang sarat dengan ilmu yang mengajar erti kesederhanaan dalam hidup, menolak fahaman ekstremis dan radikal yang boleh mengganggu gugat keharmonian masyarakat. Kita mahu masjid menjadi wahana yang membingkai muafakat di kalangan masyarakat yang rencam.

Dalam kegembiraan kita mendapat sebuah masjid baru, kita harus insaf dan sedar bahawa kita juga berperanan dan bertanggungjawab untuk memastikan masjid ini diimarahkan selari dengan peranan dan fungsi sebenar sebuah masjid.

Allah SWT telah menegaskan di dalam Al-Quran tentang kualiti insan-insan yang layak mengimarahkan masjid. Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya hanyalah yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka dengan adanya sifat-sifat tersebut, maka mudah-mudahan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”

( Surah At-Taubah : 18 )

Kita harus beringat bahawa masjid juga mempunyai peranan sosial yang penting dalam masyarakat. Kita harus menginsafi masih ramai di luar sana yang memerlukan perhatian dan pembelaan dari segi perlindungan, makanan asas yang sihat dan rawatan kesihatan yang berkualiti.

Masjid juga perlu memberikan perhatian terhadap persoalan ini sesuai dengan prinsip Islam sebagai ‘rahmatan lil alamin’.

“Tiadalah Kami mengutuskan engkau melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah Al-Anbiya’ : 107)

Ini bermakna, selain daripada berperanan sebagai pusat ibadah dan kerohanian, masjid perlu meluaskan peranan sosialnya dalam menjamin kesejahteraan umat.

Melalui kegiatan ini, masjid akan menjadi cerminan kepada Islam sebagai agama yang penyayang. Inilah mafhum daripada sabda Baginda Rasulullah SAW:

مَنْ لا يَرحم لا يُرحم

“Barangsiapa tidak berasa belas kasihan terhadap sesama manusia, Allah pasti tidak akan menaruh belas kasihan kepadanya.”

( Riwayat At-Tarmizi )

Prinsip ini diterjemahkan dalam dasar Kerajaan Negeri untuk membina masyarakat penyayang dan ini dilaksanakan dalam pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Pembinaan masjid ini adalah untuk memenuhi keperluan umat setempat memandangkan pembangunan taman perumahan dan kawasan industri yang pesat di Mukim Rawang. Jumlah penduduk di Mukim Rawang hari ini dianggarkan melebihi 100,000 orang termasuk di Taman Tun Teja yang didiami lebih 10,000 umat Islam.

Sejak lebih 30 tahun yang lalu, hanya terdapat 2 buah masjid di Mukim Rawang iaitu Masjid Ehsaniah, Kampung Melayu Batu 16 dan Masjid Nurul Iman, Kampung Kenanga. Maka, sejajar dengan prinsip peduli, Kerajaan Negeri melihat keperluan untuk membangunkan sebuah masjid baru bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan umat Islam untuk beribadat.

Pembinaan masjid baru Taman Tun Teja telah menelan kos sebanyak RM 10 juta dan pembinaannya telah dimulakan sejak November 2015.

Akhirnya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam merealisasikan pembinaan masjid ini khususnya JKR Negeri Selangor dan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada rakyat di Mukim Rawang khususnya Taman Tun Teja yang senantiasa teguh mendukung usaha Kerajaan Negeri dalam menjayakan pembangunan ini.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Penyerahan Masjid Taman Tun Teja.

[Ucapan] Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan

Alhamdulillah, saya amat gembira dapat bersama-sama dalam satu rapat perdana anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor sempena lembaran baru 2018.

Marilah kita menggilap tekad dan iltizam demi mencapai gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri. Gagasan ini bukan sahaja untuk membangunkan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang maju dan makmur dalam sektor industri dan kewangan, akan tetapi gagasan ini juga bermatlamat untuk membangunkan Negeri Selangor sebagai Negeri Penyayang dengan berpegang kepada prinsip keadilan sosial dan pengagihan yang adil.

Untuk menjamin pengagihan, ianya mesti bermula dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Tahun 2017 mencatatkan pelbagai kejayaan hasil penat jerih penjawat awam Selangor menterjemahkan dasar negeri dalam pelbagai bentuk program dan inisiatif. Sebagai mengiktiraf sumbangan, pengorbanan dan komitmen yang utuh dikalangan penjawat awam, Kerajaan Negeri telah memberikan bonus sebanyak tiga bulan gaji.

Bantuan khas kewangan diberikan atas pertimbangan merit kejayaan dan sebagai rangsangan agar saudara-saudari sekalian bekerja lebih kuat, lebih produktif dan lebih smart. Bagi Selangor, the sky is the limit. Saya tidak ada sebarang keraguan bahawa saudara-saudari sekalian boleh melakukannya dan layak mendapat yang terbaik.

Saya juga bersyukur kerana komitmen saudara-saudari amat konsisten dan tidak bermusim – bukan hanya di hujung tahun tetapi sepanjang tahun.

Seawal Januari 2018, kita telah mencapai kejayaan yang besar. We begin the year with a big bang!

Saya baru tiba dari misi pelaburan ke negara Jepun. Biarpun lawatan kerja singkat, tetapi kita pulang dengan hasil yang lumayan dan berjaya membawa pulang pelaburan baru berimpak tinggi oleh Oji Group bernilai RM1.26 bilion.

Syarikat Oji Group adalah konglomerat ketiga terbesar di dunia dalam industri corrugated carbonboard and various packaging solutions.

Pada 25 Januari 2018, satu perjanjian usahasama juga dimeterai antara Worldwide Holdings dengan GSPP yang merupakan anak syarikat Oji Group untuk membina sebuah loji rawatan air bagi tujuan membekalkan air terawat industri untuk kilang baru ini di Kuala Langat.

Perjanjian ini terhasil daripada proses perundingan yang intense and vigorous antara saya, UPEN, Worldwide Holdings dengan Oji Group.

Kerajaan Negeri bukan sahaja dapat menarik pelaburan yang besar, tetapi kita juga dapat meletakkan terma yang mampu mencipta nilai dalam pelaburan.

Selain itu, kita juga berjaya meraih pelaburan daripada Nippon Express yang merupakan antara pemain global dalam industri logistik dan pengangkutan serta beberapa syarikat Jepun yang lain dengan anggaran pelaburan mencecah RM 500 juta.

Ini memperlihatkan kecekapan dan kemahiran pegawai-pegawai kita dalam rundingan dengan pelabur asing yang akhirnya membawa kejayaan kepada Negeri Selangor.

Kewibawaan dan kepakaran dalam rundingan merupakan aset penting bagi Negeri Selangor. Gagasan Selangor sebagai regional smart state memerlukan kita melakukan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat gergasi global.

Kita meraikan pelaburan domestik dan asing. Namun, pelaburan mestilah memanfaatkan rakyat dan negeri serta tidak sama sekali menjejaskan kedaulatan dan kepentingan negeri. Justeru itu, Selangor perlu mempersiapkan pasukan pegawai yang wibawa, berkepakaran dan berintegriti untuk berunding dengan syarikat-syarikat gergasi dan ekonomi dunia bagi menjamin kelangsungan FDI serta pertumbuhan organik.

Sebagai sebuah ekonomi yang kecil seperti Malaysia, kita terdedah kepada suasana ekonomi global yang menuntut persaingan yang hebat dalam perdagangan serantau dan antarabangsa.

Dua minggu yang lalu, saya mengetuai delegasi Selangor ke Pameran Pelancongan Feria Internacional De Turismo di Madrid, Sepanyol untuk mengukuhkan jalinan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan antarabangsa khususnya ECTAA – European Travel Agent and Tour Operators Association bagi memperluas dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan pelancongan terkini kepada pelancong Eropah.

Dalam tahun 2017, sejumlah 1 juta pelancong Eropah melawat Malaysia dan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, Kementerian Pelancongan mensasarkan 2.5 juta pelancong Eropah. Kerajaan Negeri akan memainkan peranan yang strategik untuk menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan yang penting dalam pasaran Eropah.

Keyakinan pelabur dibentuk atas keyakinan mereka terhadap dasar pentadbiran negeri yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab. Prinsip ini terbukti mampu memacu perubahan besar dalam pengurusan ekonomi dan kewangan serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Anggota perkhidmatan awam boleh berbangga kerana sehingga hari ini, Selangor terus melakar kejayaan dengan sumbangan terbesar kepada KDNK Malaysia sebanyak 23%. Pada masa yang sama, limpahan kekayaan ini kita kembalikan kepada rakyat melalui pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang bertujuan untuk berkongsi khazanah negeri dengan rakyat.

Prinsip ini turut dikupas oleh John Rawls dalam adikaryanya berjudul A Theory of Justice di mana bagi menangani masalah ketidaksamaan sosial dan ekonomi, dasar dan tindakan perlu di ambil supaya memberi manfaat maksima kepada golongan yang paling terpinggir dan kurang bernasib.

Kita tuntas melaksanakan program pemberian air percuma untuk 6 juta rakyat yang bernilai RM 180 juta setahun; kita telah memberdaya 48 ribu peniaga kecil melalui pinjaman Mikrokredit HIJRAH yang telah menelan belanja hampir RM 340 juta; kita menyediakan perkhidmatan percuma lebih 100 unit Bas Smart Selangor di 12 PBT; Skim Peduli Siswa untuk membantu anak-anak meneruskan pengajian di UNISEL, KUIS dan beberapa IPTA; Skim Peduli Sihat untuk 1 juta rakyat Selangor mendapat perkhidmatan kesihatan asas serta beberapa skim lain yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan masyarakat desa.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga meletakkan program perumahan rakyat sebagai salah satu agenda penting untuk rakyat mempunyai akses kepada rumah yang berkualiti dan affordable. Sehingga hari ini, pembinaan Rumah Selangorku telah melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 unit. Kerajaan Negeri juga melindungi perjuangan hidup wira tani yang membanting tulang demi menjamin food security negara dengan melaksanakan Skim Takaful untuk 10,000 pesawah. Kerajaan Negeri telah mengecualikan cukai taksiran untuk rumah-rumah kampung selama 3 tahun berturut-turut yang memberi impak kewangan sebanyak lebih RM 200 juta.

Kita harus menginsafi bahawa apa yang kita laksanakan ini adalah dituntut oleh Allah SWT sepertimana seruanNya dalam Al-Quran – fastabiqul khairat – berlumba-lumba melakukan kebaikan. Dalam konteks Selangor, kita berlumba-lumba melaksanakan program-program untuk umat dan rakyat demi mencapai hasrat Negeri Penyayang melalui gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Kita dapat melihat bagaimana sambutan rakyat yang cukup luar biasa terhadap inisiatif-inisiatif ini termasuk pelancaran Program KISS di Tanjung Karang pada 23 Januari 2018 yang lalu.

Kejayaan ini bermakna, kita telah meletakkan keutamaan yang tepat dalam merencana dasar ekonomi negeri. Kita berjaya memastikan tidak ada golongan yang tercicir dalam pembangunan Negeri Selangor. Saya bersyukur, biarpun Belanjawan Negeri Selangor 2018 hanya mencatatkan sejumlah RM 3.2 bilion atau 1% berbanding bajet persekutuan yang mencecah hampir RM 300 bilion, namun kita berjaya menepati aspirasi rakyat dan mengangkat martabat umat. Inilah yang menjadikan Selangor sebagai loncatan ke Putrajaya.

Bayangkan sekiranya kita diberikan peluang untuk menguruskan belanjawan sebanyak RM 300 bilion. Saya yakin, kita mampu melaksanakan lebih banyak program yang boleh mengangkat martabat rakyat dan maruah negara.

Saya ingin menyatakan bahawa kejayaan ini tidak mungkin dicatat tanpa komitmen dan sokongan saudara-saudari. Bukan sahaja sokongan tetapi sokongan yang dibina dengan keyakinan moral, yang diperkasakan oleh profesionalisme dan kepakaran serta satu kesedaran betapa pentingnya menjaga dan memelihara khazanah negeri demi rakyat.

Ini termasuklah menjana pertumbuhan secara qualitative and quantitative. Kita perlu menjana kekayaan negeri secara exponential but in a transparent and accountable way.

Pada pagi ini, saya ingin melancarkan satu inisiatif baru khusus untuk penjawat awam Selangor iaitu Skim Peduli Sihat Penjawat Awam Selangor. Skim takaful kesihatan ini merupakan ikhtiyar Kerajaan Negeri untuk membantu anggota perkhidmatan awam Selangor bagi mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Skim ini akan menjamin perlindungan kepada lebih 10,000 penjawat awam Gred 44 dan ke bawah yang terdiri daripada pembantu tadbir, pekerja rendah awam, anggota penguatkuasa, pengawal keselamatan dan pemandu.

Melalui skim ini, setiap penjawat awam akan menerima manfaat had rawatan kesihatan sebanyak RM10,000 setahun bagi menampung kos hospitalization selain daripada skop perlindungan yang meliputi manfaat kematian dan hilang upaya kekal.

Kebajikan penjawat awam senantiasa dekat di hati saya. Sementara ada suara-suara yang memberikan pandangan negatif terhadap perkhidmatan awam dan mahu ianya dikecilkan, saya mengambil pendirian yang berbeza.

Berdasarkan pengalaman saya di Kementerian Pendidikan seawal tahun 1988 dan kemudian diberikan tanggungjawab di Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri dan kini di Selangor, saya mendapati penjawat awam sangat berpotensi untuk maju. Justeru itu, saya memberikan komitmen untuk membuka peluang seluas-luasnya kepada penjawat awam untuk memperkasa diri mereka dengan ilmu, kepakaran dan profesionalisme dalam bidang pengurusan dan pentadbiran awam yang akan memungkinkan mereka memegang tanggungjawab yang lebih besar di masa akan datang.

Sebagai langkah proaktif, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Selangor Business School untuk melahirkan kumpulan pegawai yang kompeten dan memiliki daya pemikiran strategik bagi menyumbang kepada sektor ekonomi dan urus tadbir negeri. SBS juga akan memainkan peranan untuk mencungkil potensi dan bakat intelektual serta iktisas yang sedia ada dalam perkhidmatan awam Negeri Selangor.

Saya juga ingin melihat peranan pegawai-pegawai wanita terus diangkat dan diberdayakan serta berada di saf terkehadapan dalam kemajuan dan pembangunan negeri. Ini adalah selaras dengan salah satu matlamat Kerajaan Negeri yang digariskan dalam Dasar Wanita Selangor.

Kerajaan Negeri telah mewujudkan Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar Selangor, satu inisiatif pendidikan berbentuk biasiswa kepada 20 pelajar cemerlang yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam, Bahasa Arab, Qiraat dan Perbankan Islam.

Pada pagi ini, kita akan menyerahkan surat tawaran Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar kepada 20 pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Inilah komitmen saya untuk membela rakyat. Saya bertekad dengan penuh iltizam untuk senantiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negeri ini. Saya akan pastikan, kekayaan Negeri Selangor yang sedang dinikmati oleh seluruh rakyat akan dipertahankan dan tidak akan dirompak oleh mana-mana pihak yang lain.

Maka, untuk melaksanakan tugas yang berat ini, saya memerlukan sokongan dan dukungan anggota perkhidmatan awam sekalian untuk terus berkhidmat dengan jujur, ikhlas, berintegriti dan beramanah demi negeri dan rakyat.

Saya meletakkan harapan yang tinggi di atas bahu saudara-saudari untuk bersama membangunkan negeri, melawan korupsi dan membangunkan masyarakat yang berkualiti, Negeri Selangor yang maju, makmur dan disegani.

Sekian, terima kasih.