AZMIN ALI

LATEST

Day: March 9, 2018

[Ucapan] Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Antara Negeri Selangor Dan Negeri Pahang

Alhamdulillah, pada petang yang bersejarah ini, Pahang dan Selangor bertemu untuk merajut sejarah dan memeterai Memorandum Persefahaman dan Perjanjian Sempadan Antara Negeri Selangor Darul Ehsan dan Negeri Pahang Darul Makmur.

Bagi pihak rakyat Negeri Selangor, saya ingin mengalu-alukan YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang dan delegasi Kerajaan Negeri Pahang ke Shah Alam.

Perjanjian ini amat signifikan kerana ianya saling mengiktiraf kedaulatan kedua-dua buah negeri yang berjiran dan memuktamadkan keabsahan sempadan.
Pahang dan Selangor bukan sahaja berjiran, bahkan mempunyai silsilah persaudaraan dan saling membantu sejak zaman berzaman.

Sempadan merupakan garis penentuan daerah takluk dan kedaulatan sesebuah negeri dan negara. Sempadan yang jelas dan diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan akan menghasilkan hubungan yang harmoni dan produktif.

Sejarah mencatatkan bahawa asas penandaan dan pengukuran sempadan negeri antara Selangor dan Pahang adalah berdasarkan pertukaran surat menyurat di antara Setiausaha Residen Selangor dan Setiausaha Residen Pahang di antara tahun 1927-1929 dan Warta Kerajaan Persekutuan No. 112 dan No. 3199 pada 14 Januari 1911 berasaskan kepada keadaan kedudukan Legeh Utama (watershed).

Jajaran sempadan di antara Selangor dan Pahang bermula dari pertemuan sempadan Selangor, Pahang dan Perak mengikut legeh utama sehingga ke pertemuan sempadan Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.

Pada 11 Julai 1994, satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani oleh Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pahang untuk menerima pakai sempadan yang telah siap diukur sepanjang 60.4 kilometer.

Kedua-dua negeri berhasrat untuk melengkapkan kerja-kerja menanda, mengukur dan menentukan sempadan di antara kedua-dua negeri itu di dua kawasan sejauh 39.1 kilometer.

Setelah 107 tahun usaha ini bermula, pada hari Jumaat yang penuh dengan barakah ini, kita akan memuktamadkan perjanjian sempadan ini dengan jarak keseluruhan jajaran sempadan Selangor – Pahang sepanjang 99.5 km.

Pada hari yang bersejarah ini, kita akan menandatangani Memorandum Persefahaman dan Perjanjian Sempadan dengan menerima hasil ukuran tersebut.

Hari ini, kita sedang berada dalam zaman teknologi moden yang semakin canggih dan maju ke hadapan. Majlis menandatangani perjanjian sempadan ini adalah hasil pencapaian daripada kemajuan secara berperingkat melalui proses yang bercirikan ketepatan dengan peralatan canggih dan sistematik serta metodologi penandaan yang terkini, perjanjian bertulis dan sempadan yang diukur, dipetakan dan melalui dokumen-dokumen yang telah disahkan.

Asas penentuan sempadan antara negeri di Malaysia pada hari ini juga adalah berdasarkan konsep yang diperkenalkan oleh British seperti Treaty with the King of Quedah, 1800 (Confirmed 1802), Frontier and Boundary Treaties (Quedah 1831), Rumbowe Boundary Agreement bertarikh 9 Januari 1833, Johole 1833, Perjanjian 1867, The Boundary Convention bertarikh 20 Jun 1891 (ditandatangani di London), Award 1898, Perjanjian Bangkok 1899 [Perjanjian Sempadan], Federation of Malaya Government Gazette, Memorandum of Understanding, pertukaran surat menyurat di antara Setiausaha Residen, jajaran lot-lot sedia ada dan mengikut legeh utama.

Kita harus menerima hakikat bahawa hari ini kita berada dalam dunia tanpa sempadan. Sementara kita mengiktiraf keabsahan sempadan geografi dan fizikal, namun kita mesti memupuk semangat persefahaman, kerjasama dalam semua aspek penting kehidupan khususnya yang menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di antara dua buah negeri ini.

Selangor senantiasa mengambil langkah-langkah yang proaktif untuk memakmurkan negeri ini termasuk menjalin kerjasama yang erat dengan negeri-negeri jiran. Dalam konteks ini, Selangor menerima Negeri Pahang Darul Makmur dengan semangat persaudaraan dan kejiranan.

Satu lagi manfaat daripada majlis yang bermakna ini adalah untuk kita bersama mengangkat kerjasama ekonomi yang wujud di antara Pahang dan Selangor ke tahap yang lebih tinggi bagi menyuntik dinamisme ekonomi sempadan.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia di atas usaha gigih untuk mengukur dan memuktamadkan sempadan antara Negeri Pahang dan Negeri Selangor.

Saya juga menghargai kerjasama daripada pelbagai agensi dari kedua-dua Kerajaan Negeri dalam usaha memuktamadkan sempadan ini.

Saya ingin memberikan penghargaan khusus kepada YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang yang telah memberikan kepimpinan dan sokongan untuk menjayakan usaha yang amat bersejarah ini.

Bagi pihak rakyat Negeri Selangor, saya ingin merafa’ sembah menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang telah memberi perkenan terhadap usaha penandaan dan pengukuran sempadan bersama di antara Negeri Selangor dan Negeri Pahang.

Saya juga menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Pemangku Raja Pahang kerana di bawah payung kedaulatan Tuanku berdua, Negeri Pahang terus berdaulat dan makmur.

Saya berharap, pertemuan petang ini adalah lembaran baru bagi menjalin kerjasama yang lebih produktif untuk kemajuan negara dan bangsa.

Sekian, terima kasih.

[Ucapan] Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan 2018

Sekian lama rakyat dimomokkan dengan mitos bahawa hanya UMNO & Barisan Nasional (BN) mampu memerintah dan membawa pembangunan. Mitos ini telah berjaya dihancurkan oleh kejayaan Pulau Pinang dan Selangor semenjak tahun 2008.

Kejayaan Pulau Pinang dan Selangor membuktikan bahawa Pakatan Harapan bukan sahaja mampu memerintah dan membawa pembangunan tetapi mampu memerintah dengan lebih baik dan menjana pembangunan yang lebih rancak.

Kita juga mampu mentadbir dengan ketelusan dan kebertanggungjawaban serta menjamin keadilan untuk semua.

Hari ini, rakyat bertambah yakin bahawa Pulau Pinang dan Selangor adalah masa depan Malaysia.

Selangor adalah sebuah negeri yang rencam dan kosmopolitan. Kepelbagaian agama, budaya dan etnik adalah khazanah yang amat berharga untuk Negeri Selangor. Selangor adalah microcosm of Malaysia.

Berdasarkan hakikat ini, pentadbiran Shah Alam senantiasa peka untuk memastikan dasar Kerajaan Negeri akan dapat membangun bangsa dan memakmur negeri.

Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja mahu membangunkan negeri ini sebagai negeri yang maju dalam sektor industri berteknologi tinggi dan kewangan tetapi kita juga bertekad untuk membangunkan Selangor sebagai Compassionate State atau Negeri Penyayang.

Untuk menjamin sebuah negeri yang makmur dan sejahtera, pentadbiran hari ini tuntas berpegang kepada prinsip tatakelola yang baik (good governance), trustworthy, ketelusan, berintegriti dan cekal menentang rasuah.

Antara contoh pelaksanaan tatakelola yang baik adalah proses perolehan secara tender terbuka. Proses ini menjamin prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban serta mengiktiraf international best practices untuk mengelak sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Sejak tahun 2014 sehingga 21 Februari 2018, amalan ini telah berjaya merekodkan penjimatan sebanyak RM 615.1 juta.

Untuk memperkukuhkan prinsip ketelusan, Kerajaan Negeri mewajibkan setiap anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menandatangani borang pengisytiharan kepentingan (declaration of interest) untuk setiap kertas yang dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada setiap minggu.

Tekad dan iltizam Kerajaan Negeri Selangor dalam mempertahankan prinsip good governance telah menjadikan Selangor sebagai destinasi utama pelabur asing dan domestik.

Kerajaan Negeri Selangor merupakan beacon of constitutional democracy dengan menghormati prinsip semak dan imbang antara eksekutif dan legislatif.

Dewan Negeri Selangor menggalakkan budaya contestation of ideas in the public arena seperti yang diungkapkan oleh Pemenang Hadiah Nobel, Amartya Sen sebagai asas kebebasan bersuara dan menghasilkan kedinamikan idea.

Select Committee on Competency, Accountability and Transparency (SELCAT) ditubuhkan atas prinsip ex-post accountability untuk memastikan setiap kebijakan dan program yang dilaksanakan adalah telus, berintegriti dan menjamin kepentingan rakyat.

Atas prinsip ketelusan dan pentadbiran Kerajaan yang terbuka (open government), Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) telah diluluskan untuk membolehkan akses kepada maklumat.

Dalam konteks ekonomi negeri, Kerajaan Negeri Selangor berpegang kepada pendekatan mesra perniagaan dengan ekonomi berorientasikan pasaran. Walau bagaimanapun, imperatif keadilan sosial akan terus terpakai dan kebajikan rakyat akan terus diberi keutamaan khususnya dalam sektor kesihatan, perumahan dan pendidikan.
Hari ini, Negeri Selangor kekal sebagai pemacu dan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Pada tahun 2016, Negeri Selangor menyumbang 22.7% (RM 251.6 bilion) kepada KDNK negara berbanding pada tahun sebelumnya sebanyak 22.6% (RM 240 bilion).

Menurut MIDA, bagi tempoh Januari hingga September 2017, Negeri Selangor berjaya menarik pelaburan bernilai RM 3.049 bilion dengan 132 projek perkilangan dan mencipta 5,494 peluang pekerjaan. Sektor pembuatan dan perkhidmatan adalah dua sektor terpenting dalam ekonomi Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor juga telah mengambil langkah yang berani dan bertanggungjawab untuk meningkatkan belanja pembangunan selama 4 tahun berturut-turut.

Belanjawan 2018 mencatatkan belanja pembangunan ditingkatkan kepada 53.2% berbanding belanja mengurus yang dikurangkan kepada 46.8% yang bermatlamat untuk menjamin pembangunan infrastruktur asas bagi menjana pertumbuhan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Selangor juga adalah peneraju dalam membangunkan sebuah negeri pintar ataupun smart state berorientasikan perkhidmatan yang menyediakan penyelesaian multi dimensi melalui internet of things, big data dan artificial intelligence.

Negeri Selangor meletakkan gagasan untuk menyediakan negeri dan rakyat untuk memasuki Era 4th Industrial Revolution.

Kerajaan Negeri Selangor mengamalkan dasar keadilan sosial untuk kesejahteraan dan kestabilan sosial jangka panjang. Keadilan sosial tidak boleh dipisahkan daripada demokrasi.
Kesenjangan pendapatan jika dibiarkan berterusan akan menggugat demokrasi. Kekayaan tanpa agihan yang adil melahirkan ketidaksamarataan yang besar. Persaingan dan pertumbuhan tanpa keadilan akan menimbulkan pergolakan sosial.

Rather than just talking about distributive justice, in Selangor we have distributive justice in action.

Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan 42 program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang mengembalikan khazanah negeri berjumlah RM 3.1 bilion secara langsung kepada rakyat.

Sehingga 27 Februari 2018, Kerajaan Negeri telah membiayai seramai 50,768 usahawan kecil dengan jumlah RM 363 juta melalui skim social financing HIJRAH yang bertujuan untuk melebarkan golongan kelas menengah.

Perumahan mampu milik atau Rumah Selangorku adalah agenda penting Kerajaan Negeri Selangor untuk membolehkan golongan millennials, B40 dan M40 untuk mendapat akses kepada pemilikan rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki. Ini adalah usaha untuk menjayakan dasar house owning democracy di Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak swasta telah berjaya menyiapkan 3,620 unit Rumah Selangorku dan tambahan sebanyak 20,627 unit sedang dalam pelbagai peringkat pembangunan dan dijual dengan harga di antara RM 42,000 sehingga RM 250,000.

Hampir 70% daripada Rumah Selangorku yang dibina di Negeri Selangor adalah di bawah kategori harga kurang daripada RM 200,000. Najib, figures don’t lie.

Kegagalan pembeli mendapat pinjaman perumahan akibat prosedur kredit yang ketat telah menyebabkan rakyat biasa tidak dapat memiliki rumah.

Untuk menjayakan house owning democracy, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Skim Smart Sewa untuk membantu rakyat berpendapatan sederhana menyewa kediaman sebelum mempunyai keupayaan untuk membeli rumah.

Melalui skim ini, penyewa akan mendapat kembali 30% daripada jumlah sewaan untuk digunakan sebagai deposit membeli kediaman baru.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan skim Smart Selangor First Home Buyers di mana Kerajaan Negeri akan mendahulukan pembayaran deposit sebanyak 10% tertakluk kepada jaminan pembiayaan yang diperolehi oleh pembeli melalui bank atau institusi kewangan lain untuk pembelian Rumah Selangorku.

National Health and Morbidity Survey 2015 melaporkan 73% kematian rakyat Malaysia adalah berpunca daripada penyakit-penyakit tidak berjangkit atau non communicable diseases (NCDs). Menurut World Health Organization, cara terbaik untuk menangani NCDs adalah melalui pendekatan kesihatan asas – primary care approach.
Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Skim Peduli Sihat untuk memberikan akses kepada rawatan kesihatan asas di klinik dan hospital swasta untuk rakyat yang berpendapatan rendah.

Sehingga 27 Februari 2018, lebih 1.2 juta rakyat Selangor telah mendapat manfaat daripada program ini termasuk mendapatkan suntikan vaksin utama.

Skim Peduli Sihat – yang terunggul di Malaysia dan hanya di Selangor – telah mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Perubatan Malaysia.
Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah melancarkan Skim Rawatan Jantung Selangor melalui kerjasama pintar dan strategik dengan Institut Jantung Negara (IJN). Skim Rawatan Jantung Selangor adalah bagi memperluaskan skop perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat Selangor.
Program ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Penjagaan Kesihatan Bersepadu (integrated healthcare scheme).

RM 10 juta disediakan untuk membantu pesakit-pesakit jantung di kalangan B40 dan M40 rakyat Selangor untuk mendapatkan perkhidmatan dan rawatan jantung yang berkualiti di IJN.

Kerajaan Negeri mendukung usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan sistem pengangkutan awam yang efisyen dan affordable. Kita tidak mahu membebankan rakyat dengan membina lebuhraya bertol yang memberi keuntungan melampau kepada syarikat konsesi. Justeru, Kerajaan Negeri telah membatalkan projek lebuhraya KIDEX.
Kerajaan Negeri telah menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam untuk meneliti dan merangka aspek sistem pengangkutan awam sedia ada, sistem jaringan jalan raya yang akan membantu sistem penyuraian trafik termasuk melaksanakan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian iaitu 60:40 berbanding nisbah yang ditetapkan oleh SPAD iaitu 40:60.

Lebih 100 unit Bas Smart Selangor sedang beroperasi secara percuma di hampir 40 laluan untuk melengkapkan jaringan first mile dan last mile sistem pengangkutan awam.

Sehingga 31 Disember 2017, lebih 15 juta rakyat telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan Bas Smart Selangor yang melalui taman perumahan kos rendah, sekolah dan kawasan industri.

Satu kajian oleh United Nations Childrens’ Fund (UNICEF) memberi gambaran yang membimbangkan tentang tahap kesihatan kanak-kanak di Projek Perumahan Rakyat di Kuala Lumpur. Kajian tersebut menyebut bahawa 22% kanak-kanak di bawah umur 5 tahun bantut, 15% underweight, 20% wasting dan 23% overweight atau mengalami obesiti.

Gejala ini berpunca daripada masalah pemakanan di kalangan masyarakat miskin di bandar.

Survei tersebut menunjukkan bahawa gejala bantut di kalangan kanak-kanak adalah lebih parah daripada yang terdapat di Ghana meskipun pendapatan per kapita KDNK Malaysia adalah 6 kali lebih tinggi.
Menyedari betapa pentingnya pemakanan di kalangan keluarga khususnya kanak-kanak, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) mulai awal tahun 2018 sebelum laporan UNICEF dikeluarkan.

KISS adalah pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap peranan dan pengorbanan ibu sebagai tonggak pembangunan institusi keluarga dan masyarakat.

KISS diistimewakan untuk ibu kerana ibu adalah insan yang tahu segala-galanya – mother knows best. Bersempena Hari Wanita Sedunia, saya ingin mengulangi tekad dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memberdaya serta mengiktiraf peranan dan pengorbanan wanita.

Ibu merupakan insan yang paling terkesan dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga barang sehingga kadangkala wujud gangguan dan tekanan emosi.

Untuk membantu ibu bagi setiap keluarga yang berpendapatan isi rumah RM 2,000 ke bawah, maka Kerajaan Negeri memberi bantuan sebanyak RM 2,400 setahun, atau RM 200 setiap bulan bagi mendapat bekalan makanan yang berzat.

Pendidikan merupakan tunjang kepada masyarakat yang progresif. Sistem pendidikan yang kukuh dan komprehensif akan melahirkan sumber daya manusia yang berilmu, produktif serta mampu menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

Peluang pendidikan untuk rakyat adalah amat penting dan menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan proses ini direalisasikan.

Kerajaan Negeri sejak tahun 2017 telah melaksanakan Program Peduli Siswa untuk membantu anak jati Negeri Selangor di IPTA seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Program ini telah mendapat sambutan yang cukup baik di kalangan mahasiswa.

Justeru, program ini diteruskan dengan memperluaskan pembiayaan tersebut kepada mahasiswa di Timur Tengah dengan pembiayaan sejumlah RM 10 juta.

Kerajaan Negeri amat prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh generasi millennials untuk mendapat pekerjaan. Pengangguran di kalangan anak muda adalah 3 kali lebih tinggi berbanding dengan kumpulan umur yang lain. Antara punca utama adalah kekurangan kemahiran.

Untuk memberikan harapan kepada generasi muda, Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif untuk menyediakan program latihan bagi mereka memperolehi kemahiran termasuk hi-tech yang diperlukan oleh industri.

Maka, Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) telah diperkenalkan dengan peruntukan sejumlah RM 52 juta.

Anggota perkhidmatan awam Selangor adalah institusi penting yang menjadi paksi kejayaan Negeri Selangor. Seramai 17,000 anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor komited untuk menjayakan dasar Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Komitmen mereka dizahirkan dalam bentuk keringat, pemikiran dan khidmat yang cemerlang, profesional dan berintegriti sehingga telah wujud budaya kerja baru dalam pentadbiran Negeri Selangor hari ini ; belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah dibuat, belum ditanya sudah dijawab.

Justeru itu, Kerajaan Negeri telah menghargai khidmat mereka dengan memberikan bonus 3 bulan gaji. Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan Skim Peduli Sihat Penjawat Awam Selangor untuk membantu anggota perkhidmatan awam Selangor mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Skim ini merupakan skim takaful insuran yang menjamin perlindungan kepada lebih 10,000 penjawat awam Gred 44 dan ke bawah yang terdiri daripada pembantu tadbir, pekerja rendah awam, anggota penguatkuasa, pengawal keselamatan dan pemandu.

Kejayaan dan kemakmuran ini hanya boleh dinikmati apabila Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan dan iltizam untuk membingkai muafakat, bertoleransi dan berpegang kepada prinsip moderation and justice.

Prinsip ini selaras dengan perintah Allah SWT di dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat ehsan…”

( Surah An-Nahl : 90)

Di Negeri Selangor, kita didorong oleh semangat untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan, fastabiqul khairat, selaras dengan seruan Ilahi dalam Surah Al-Baqarah.

Teman-teman seperjuangan sekalian,

Kita akan terus berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran. Musuh akan terus menyerang dengan fake news dan fitnah. Keyakinan dan kesabaran kita akan terus diuji to the limit.

Walau bagaimanapun, Negeri Selangor cekal dan tabah untuk menghadapi semua cabaran. Membujur lalu melintang patah. Kita sudah bersedia untuk maju ke Putrajaya.

Salam perjuangan untuk semua.

Majlis Penyerahan Loji Rawatan Air Semenyih 2

Majlis Penyerahan Loji Rawatan Air Semenyih 2

Pagi ini, kita akan menyaksikan satu lagi kejayaan Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan janji untuk memberikan perkhidmatan air yang terbaik kepada rakyat. Kejayaan ini dizahirkan melalui pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 yang berjaya disiapkan mengikut perancangan dan jadual.

Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 merangkumi 8 skop kerja termasuk pembinaan baru Loji Rawatan Air dengan kapasiti 100 JLH dan pembinaan baru fasiliti sisa kumbahan rawatan dan kawasan pelupusan.

Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 ini adalah amat signifikan untuk memastikan bekalan air terawat mencukupi bagi menampung permintaan khususnya di selatan Selangor termasuk Semenyih dan Beranang yang kini sedang menyaksikan pertumbuhan yang begitu pesat dalam sektor perumahan dan juga industri.

Kos pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 berjumlah RM 177.5 juta yang merangkumi pembinaan loji rawatan air dan lain-lain fasiliti yang berkenaan dan juga kerja-kerja pembaikan kolam serta pampasan pengambilan balik tanah dan sumbangan caj TNB.
Pembangunan ini mengadaptasi rekabentuk yang moden serta memenuhi ciri-ciri dan konsep teknologi hijau selaras dengan dasar Smart Selangor.

Pengujian dan pentauliahan telah dijalankan mulai 6 Februari 2018 dan telah berakhir pada 15 Februari 2018. Loji ini telah berjaya mengeluarkan 100 JLH air terawat dengan memenuhi semua parameter kualiti air yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Saya yakin pembangunan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk melengkapkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air yang lebih holistik, efisyen dan affordable bagi menjana pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan industri.

Kerajaan Negeri juga telah berjaya mengambil langkah-langkah proaktif untuk meningkatkan bekalan sumber air mentah dengan membina Off-River Storage (ORS) di Bestari Jaya bermula seawal tahun 2014. Pembangunan ini menelan belanja sebanyak RM 112 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor. ORS ini telahpun beroperasi sejak tahun 2015 yang membekalkan air mentah sehingga 600 JLH.

ORS juga berfungsi sebagai kaedah meningkatkan kualiti bekalan air mentah sekiranya berlaku pencemaran di Sungai Selangor. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri senantiasa memandang ke hadapan dan membuat persiapan untuk menjamin kelestarian bekalan air mentah di Negeri Selangor.

Konsep yang sama juga dilaksanakan dalam pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 di mana kolam-kolam A, B dan C telah dinaiktaraf untuk berfungsi sebagai ORS.

Kerajaan Negeri juga telah memulakan kerja-kerja penggantian paip-paip lama semenjak 2016 sejauh 323 kilometer yang menelan belanja sebanyak RM 280 juta. Daripada jumlah ini, Kerajaan Negeri membiayai sebanyak RM 230 juta manakala Air Selangor menampung sebanyak RM 50 juta.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri meneruskan usaha penggantian paip-paip lama sepanjang 99.5 kilometer dengan peruntukan sebanyak RM 93.7 juta. Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri komited untuk mengganti paip-paip lama sepanjang 422.5 kilometer yang bernilai RM 373.7 juta.

Penggantian paip-paip lama ini adalah untuk menangani masalah paip pecah dan bocor yang telah menyumbang kepada Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang merupakan pembaziran dan kerugian hasil untuk Kerajaan Negeri. Usaha Kerajaan Negeri yang konsisten ini telah berjaya mengurangkan NRW di Negeri Selangor daripada 32.6% pada akhir tahun 2015 kepada 30.1% pada akhir tahun 2017 setelah pengambilalihan industri air oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah untuk membaikpulih kolam perkhidmatan air (service reservoir) di taman-taman perumahan. Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri telah membaikpulih 21 kolam perkhidmatan air yang menelan belanja sebanyak RM 20 juta. Pada tahun ini, usaha membaikpulih kolam perkhidmatan air akan diteruskan untuk 29 lagi kolam perkhidmatan air dan 9 rumah pam yang akan menelan belanja sebanyak RM 27.4 juta.

Kolam-kolam perkhidmatan air yang telah dibaikpulih dan berfungsi dengan sempurna akan meningkatkan simpanan (reserved) air terawat di taman-taman bagi menampung bekalan air sekiranya berlaku gangguan bekalan air.

Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada akhir tahun 2018 dengan kos pembangunan sebanyak RM 427 juta. Pembangunan ini juga dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Loji Rawatan Air Labohan Dagang akan membekalkan 250 JLH untuk menampung permintaan di Daerah Kuala Langat dan Sepang.

Kejayaan menyiapkan Loji Rawatan Air Semenyih 2, Loji Rawatan Air Langat 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang akan meningkatkan reserved margin air di Negeri Selangor daripada 3% pada akhir tahun 2017 kepada 11% pada akhir tahun 2019.

Kerajaan Negeri juga memandang serius terhadap kadar penggunaan air terawat yang terlalu tinggi iaitu 234 liter per kapita. Kerajaan Negeri menyeru rakyat untuk mengamalkan budaya penggunaan air yang berhemah dan pintar. Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap pengurusan Air Selangor untuk menguruskan industri perkhidmatan air di Negeri Selangor secara cekap, efisyen dan efektif bagi menjamin satu perkhidmatan yang bersifat people-centric.

Semenjak Kerajaan Negeri mengambil alih industri perkhidmatan air, Air Selangor telah membuktikan keupayaan dan kepakaran serta komitmen yang tinggi untuk menjayakan hasrat Kerajaan Negeri dalam menstrukturkan semula industri perkhidmatan air.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Penyerahan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dari Kerajaan Negeri Selangor kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. untuk dioperasikan bermula 1 Mac 2018.

Sekian, terima kasih.

Majlis Pelancaran Skim Rawatan Jantung Selangor

Majlis Pelancaran Skim Rawatan Jantung Selangor

First and foremost, I just want to say that I am very pleased and honoured to be sharing once again a platform with IJN since the last major event on 31 October last year.

Incidentally, this is also my first public appearance after having been discharged from the hospital for an annular tear of disc which – as the media has reported – has put me out of action.

Well, ladies and gentlemen, as you can see – I’m back in action!

Doctors have advised me to slow down on public events for the next few weeks but, gathered here in the present of so many medical specialists, I will throw caution to the wind and take my chances!

I also want to mention that today’s launch is indeed a historic moment made all the more significant, considering that it is the fruit of what was supposed to be a mere conversation in passing during lunch between Dato’ Seri Dr. Mohd Azhari and me after we had signed our MOU on the IJN-Selgate Specialist Hospital.

Dalam tempoh 25 tahun IJN telah berjaya membuktikan keupayaan dan kemampuan untuk menyediakan perkhidmatan yang dan rawatan jantung yang berkualiti dan affordable kepada semua rakyat Malaysia.

Atas kejayaan ini, IJN kini berdepan permintaan yang tinggi daripada pesakit-pesakit jantung dari dalam dan luar negara. Manakala, pesakit yang berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi masalah accessibility memandangkan kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat.

Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri yang merupakan sebuah Kerajaan yang peduli rakyat telah mengambil inisiatif untuk membantu pesakit-pesakit jantung dari Negeri Selangor khususnya di kalangan B40 dan M40 untuk mendapatkan perkhidmatan dan rawatan jantung yang berkualiti dan dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

Saya difahamkan pada masa ini terdapat hampir 20,000 pesakit jantung dari Negeri Selangor yang sedang menunggu giliran untuk mendapat rawatan.

Saya yakin, inisiatif Skim Rawatan Jantung Selangor akan dapat membantu lebih kurang 500 orang pesakit jantung untuk mendapat rawatan segera di IJN kerana kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Usaha ini akan meringankan beban kewangan yang menekan rakyat khususnya dikalangan B40 dan M40.

Sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri bersama PKNS telah meluluskan sejumlah RM 10 juta bagi tahun 2018 untuk membiayai Skim Rawatan Jantung Selangor dengan menjalin kerjasama dengan IJN sebagai rakan strategik.

Skim Rawatan Jantung Selangor adalah sebahagian daripada langkah proaktif Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Penjagaan Kesihatan Bersepadu (integrated healthcare scheme) bagi memperluaskan skop perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat Selangor.

Kerajaan Negeri komited untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan asas yang berkualiti bermula dengan Program Dialisis dan Pemeriksaan Mammogram (MammoSel).

Skim Peduli Sihat bagi menangani masalah penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCDs) telah mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Perubatan Malaysia dan disambut dengan gemuruh di kalangan rakyat Selangor.

Sehingga 20 Februari 2018, seramai lebih 300,000 keluarga atau 1.2 juta rakyat telah berjaya menerima manfaat daripada pelaksanaan Skim Peduli Sihat. Jumlah ini telah melepasi sasaran awal 250,000 keluarga atau 1 juta orang.

Tahun ini, skop Skim Penjagaan Kesihatan Bersepadu diperluaskan dengan pelaksanaan Skim Rawatan Jantung Selangor, suntikan vaksin termasuk pneumokokal, penjagaan kesihatan mental, perkhidmatan penjagaan paliatif bagi pesakit kanser serta insuran kesihatan untuk penjawat awam dan pesawah.

Penglibatan Kerajaan Negeri Selangor dalam sektor kesihatan adalah berdasarkan keyakinan bahawa kesihatan adalah satu aspek penting dalam kesejahteraan manusia. Seperti yang diungkapkan oleh Publius Syrus, “good health and good sense are two of life’s greatest blessings”.

Kerajaan Negeri Selangor amat komited untuk meningkatkan kesihatan warga Selangor. Rakyat merupakan aset terpenting kepada negeri. Kita yakin, peningkatan kesihatan rakyat akan menjamin peningkatan produktiviti negeri dan Selangor akan kekal menjadi negeri termaju di Malaysia menuju sebuah negeri pintar dan berteknologi tinggi di rantau ini.

Saya berharap kerjasama strategik dengan IJN pada petang ini merupakan langkah pertama yang produktif untuk perjalanan lebih jauh dalam usaha strategik ini demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan generasi masa depan.

Saya akan terus mendukung usaha murni ini demi memastikan Selangor akan terus kekal at the forefront of cutting edge medical advancement.

Maka, dengan lafaz Bismillahirahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Rawatan Jantung Selangor.

Sekian, terima kasih.