AZMIN ALI

Month: February 2020

Kenyataan Media 25 Februari 2020

KENYATAAN MEDIA

25 FEBRUARI 2020

Kami mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri untuk sepenuh penggal Parlimen Ke-14. Ini telah kami tegaskan dalam mesyuarat tertutup parti dan secara terbuka.

Tindakan yang kami ambil adalah berpaksikan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, perpaduan yang kukuh dan penumpuan kepada usaha untuk memulihkan serta menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Ini pada keyakinan kami merupakan mandat sebenar yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14. Kumpulan kami adalah terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan wilayah yang mengutamakan persefahaman antara kaum, agama dan kebudayaan.

Kami sekarang sedang menunggu giliran untuk mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk ditemubual.

Langkah yang telah kami ambil menunjukkan perkembangan positif dan menyakinkan. Kami sedang menangani isu-isu berkaitan secara berperingkat.

  1. YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
    Ahli Parlimen Gombak
  2. YB Puan Hajjah Zuraida Kamaruddin
    Ahli Parlimen Ampang
  3. YB Dato’ Saifuddin Abdullah
    Ahli Parlimen Indera Mahkota
  4. YB Baru Bian
    Ahli Parlimen Selangau
  5. YB Dato’ Kamaruddin Jaffar
    Ahli Parlimen Bandar Tun Razak
  6. YB Dato’ Mansor Othman
    Ahli Parlimen Nibong Tebal
  7. YB Dato’ Rashid Hasnon
    Ahli Parlimen Batu Pahat
  8. YB Dato’ Seri Dr. Santhara Kumar
    Ahli Parlimen Segamat
  9. YB Ali Biju
    Ahli Parlimen Saratok
  10. YB Willie Mongin
    Ahli Parlimen Puncak Borneo
  11. YB Jonathan Yasin
    Ahli Parlimen Ranau

Kenyataan Media – 24 Februari 2020

KENYATAAN MEDIA

24 FEBRUARI 2020

Malam Jumaat lalu kita menyaksikan usaha golongan sebahagian pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk memaksa YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menetapkan tarikh beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan melakukan peralihan kuasa kepada Presiden KEADILAN Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Usaha tersebut adalah kemuncak kempen mereka untuk mewarwarkan isu peralihan kuasa sebagai agenda utama PH. Kempen ini telah dimulakan sejak beberapa bulan yang lalu dengan kekerapan meningkat dari semasa ke semasa sehingga mengalihkan pandangan rakyat daripada usaha untuk memberikan tumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi dan reformasi institusi. Kempen ini telah menghakis keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kewibawaan kerajaan PH.

Pelbagai usaha dilakukan untuk memberi tekanan kepada YAB Tun Dr. Mahathir yang sedang mempersiapkan negara untuk menganjurkan Persidangan APEC pada bulan November 2020. Persidangan ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada usaha menampilkan Malaysia sebagai model transisi demokrasi yang mengutama agenda aspirasi rakyat.

Kami yakin bahawa percubaan memaksa Perdana Menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai “lame duck PM”.

Ini adalah kerana menukar Perdana Menteri di tengah penggal memberi isyarat yang salah kepada rakyat dan masyarakat pelabur. Peralihan kuasa ditengah-tengah penggal akan mengugat kesinambungan dasar-dasar dan persepsi rakyat terhadap kerajaan PH.

Justeru itu kami telah mengambil langkah proaktif untuk mengagalkan konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri ditengah-tengah penggal.

Langkah yang kami lakukan adalah untuk menjamin keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar-dasar Kerajaan yang bertujuan untuk meningkat tahap sosioekonomi rakyat seperti yang terkandung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Justeru itu kami menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabel kami sebagai pengkhianat. Sebaliknya mereka yang berusaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri ditengah penggal adalah pengkhianat sebenarnya kerana mereka lebih mementingkan agenda mengambil kuasa Perdana Menteri dari perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan yang bertujuan memulihkan ekonomi serta meningkat kesejahteraan rakyat.

Usaha kami terbukti benar bahawa pihak tersebut kini menyedar kesalahan yang mereka lakukan. Justeru itu kenyataan mereka menyokong YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal.

  1. YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
    Ahli Parlimen Gombak
  2. YB Puan Hajjah Zuraida Kamaruddin
    Ahli Parlimen Ampang
  3. YB Dato’ Saifuddin Abdullah
    Ahli Parlimen Indera Mahkota
  4. YB Baru Bian
    Ahli Parlimen Selangau
  5. YB Dato’ Kamaruddin Jaffar
    Ahli Parlimen Bandar Tun Razak
  6. YB Dato’ Mansor Othman
    Ahli Parlimen Nibong Tebal
  7. YB Dato’ Rashid Hasnon
    Ahli Parlimen Batu Pahat
  8. YB Dato’ Seri Dr. Santhara Kumar
    Ahli Parlimen Segamat
  9. YB Ali Biju
    Ahli Parlimen Saratok
  10. YB Willie Mongin
    Ahli Parlimen Puncak Borneo
  11. YB Jonathan Yasin
    Ahli Parlimen Ranau

Pandangan Pakar Industri Menjayakan Penyediaan RMK 12

Pandangan Pakar Industri Menjayakan Penyediaan RMK 12

SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN HAL EHWAL EKONOMI

PANDANGAN PAKAR INDUSTRI MENJAYAKAN PENYEDIAAN RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS (RMKe-12)

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi hari ini telah mempengerusikan sesi libat urus bersama pakar-pakar industri bagi membincangkan dengan mendalam keperluan dan keutamaan yang perlu diberi perhatian dalam penggubalan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang sedang rancak dijalankan. Seramai 21 pakar industri daripada bidang pertanian pintar, aeroangkasa dan ekonomi digital telah mengutarakan input-input untuk diberi perhatian segera oleh pihak Kerajaan dalam usaha meneroka dan menggembleng potensi ekonomi yang besar dalam ketiga-tiga bidang ini.

Sesi libat urus dengan pakar-pakar industri yang merupakan penggerak utama dalam sektor masing-masing amat penting dan jelas menunjukkan komitmen Kerajaan untuk memastikan pandangan semua pihak diambil kira dan perincian menyeluruh dilaksana dalam menentukan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 5 tahun akan datang. Bagi mendepani cabaran era Revolusi Perindustrian 4.0, ketiga-tiga bidang ini mempunyai peranan yang besar dalam menyuntik dinamisme baharu ke arah membina ekonomi berpendapatan tinggi, mencipta peluang pekerjaan yang lebih luas dan menyediakan taraf hidup yang lebih baik bagi setiap rakyat Malaysia.

RMKe-12 yang dijangka akan dibentangkan pada Ogos 2020 di Dewan Rakyat merupakan fasa pertama bagi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Penyediaan RMKe-12 akan berasaskan tiga objektif WKB iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Hadir sama ialah YB Senator Dr. Radzi Jidin, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), YBhg. Dato’ Saiful Anuar Lebai Hussen, Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, pegawai-pegawai kanan Kementerian dan pasukan penggubal RMKe-12.

Arahan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia dan Watikah Pelantikan Pesuruhjaya Banci 2020

Arahan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia dan Watikah Pelantikan Pesuruhjaya Banci 2020

SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN HAL EHWAL EKONOMI

ARAHAN BANCI PENDUDUK DAN PERUMAHAN MALAYSIA DAN WATIKAH PELANTIKAN PESURUHJAYA BANCI 2020

Pada tahun ini akan diadakan projek pembangunan berimpak tinggi dan berskala besar yang melibatkan setiap penduduk Malaysia dihitung melalui Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020). Pewartaan Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Banci 1960 menyatakan arahan banci penduduk dan perumahan dibuat di seluruh Malaysia berdasarkan Hari Banci iaitu 7 Julai 2020. Banci 2020 merupakan Banci ke-6 dijalankan di Malaysia yang dilaksanakan setiap 10 tahun sekali. Malaysia antara 54 buah negara yang akan melaksanakan banci pada tahun ini.

Melalui pewartaan tersebut juga selaras dengan Akta Banci 1960, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia sebagai Pesuruhjaya Banci yang ke-6 untuk menyelia pembancian dan memastikan perancangan serta hala tuju pelaksanaan banci berjalan dengan lancar. Watikah pelantikan telah disampaikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada 12 Februari 2020 yang lalu.

Gerak kerja awal Banci 2020 yang intensif telah dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sejak tahun 2018 terutamanya berkaitan pemetaan dan penyenaraian tempat kediaman. Banci kali ini akan menggunakan pendekatan de jure yang mana maklumat setiap penduduk dikumpul mengikut tempat tinggal biasa mereka pada Hari Banci. Bersesuaian dengan tema “Data Anda Masa Depan Kita”, dapatan banci yang komprehensif merangkumi keperluan input pemantauan Agenda Pembangunan Mampan 2030 antaranya berkaitan pembasmian kemiskinan, kesamarataan dan kelestarian alam sekitar yang akan menjadi sumber utama dalam penyediaan rancangan pembangunan negara meliputi sosial, ekonomi dan pelbagai bidang utama lain untuk menjadi negara yang berdaya saing.

Dianggarkan sebanyak 9 juta tempat kediaman akan diliputi semasa Banci 2020 yang melibatkan lebih kurang 33.8 juta penduduk. Bagi memastikan bancian dijalankan secara menyeluruh dan lebih teratur, pembancian awal akan turut dilaksanakan bermula April 2020 yang melibatkan beberapa institusi yang telah dikenal pasti.

Maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh dilayari di portal banci iaitu www.mycensus.gov.my.

Lawatan Kerja YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke Negeri Terengganu

Lawatan Kerja YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke Negeri Terengganu

SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN HAL EHWAL EKONOMI

LAWATAN KERJA YB MENTERI HAL EHWAL EKONOMI KE NEGERI TERENGGANU PADA 14 FEBRUARI 2020

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi telah mengadakan lawatan kerja sehari ke Negeri Terengganu bertujuan untuk membuat tinjauan bagi beberapa projek pembangunan. Antaranya tinjauan udara bagi kerja-kerja penyelesaian masalah hakisan di Pantai Teluk Lipat, Dungun, pembangunan semula Kompleks Pasar Payang dan projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Drawbridge di Kuala Terengganu dan penyerahan kelulusan projek membina masjid di Kem Seri Pantai 18 RAMD (Para), Seberang Takir, Terengganu. Lawatan kerja ini turut dilakukan bersama YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu.

YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut menyampaikan peruntukan RM5.0 juta bagi projek pembinaan Masjid Baru di Kem Seri Pantai 18 RAMD (Para), Seberang Takir. Pembinaan masjid ini dilaksanakan bertujuan untuk menampung jumlah jemaah yang semakin ramai dan bakal memberi manfaat kepada lebih 1,000 jemaah.

Selain itu, YB Menteri juga mengumumkan Peruntukan Pembangunan (DE) berjumlah RM1.14 bilion kepada Negeri Terengganu bagi tahun 2020 bagi menyuntik pembangunan yang lebih rancak di negeri ini. Ini merangkumi jumlah keseluruhan 38 projek baru dan 243 projek sambung.

Negeri Terengganu mempunyai potensi yang amat besar sebagai satu economic hotspot di Pantai Timur yang boleh menjana pertumbuhan baharu menerusi pembangunan industri pelancongan, pertanian, perindustrian dan keusahawanan.

Potensi ekonomi Negeri Terengganu akan direalisasikan menerusi model pembangunan bersepadu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui kerjasama strategik Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Kerjasama strategik yang berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan seperti ini bakal membuka peluang yang lebih luas kepada penduduk tempatan, terutamanya dalam memperkukuh pembangunan ekonomi wilayah dan merapatkan jurang pembangunan sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Prestasi Ekonomi Suku Keempat 2019

KENYATAAN MEDIA
MENTERI HAL EHWAL EKONOMI

PRESTASI EKONOMI SUKU KEEMPAT 2019

Ekonomi Malaysia menyederhana pada kadar 3.6% pada suku keempat 2019. Berdasarkan pertumbuhan yang sederhana ini, pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan tahun 2019 adalah sebanyak 4.3%. Prestasi ekonomi Malaysia yang dicatatkan pada tahun 2019 adalah lebih baik berbanding beberapa negara serantau yang mencatat perkembangan yang lebih rendah. Trend ini juga dilihat sejajar dengan pertumbuhan negara-negara Asia yang lain. Prestasi ekonomi yang menyederhana ini secara keseluruhannya adalah berikutan prestasi ekonomi dunia yang mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan sejajar dengan kelemahan dalam aktiviti perdagangan global.

Pertumbuhan pada suku keempat 2019 disokong oleh aktiviti permintaan dalam negeri yang terus menggalakkan, terutamanya penggunaan swasta yang berkembang sebanyak 8.1% berbanding 7.0% pada suku ketiga 2019. Pelaburan swasta juga turut mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik, iaitu 4.2% berbanding 0.3% pada suku sebelumnya.

Dari sudut pengeluaran, pertumbuhan tersebut disumbang oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Penyederhanaan pertumbuhan kali ini terutamanya disebabkan oleh penguncupan sektor pertanian dan perlombongan. Penguncupan sektor pertanian adalah disebabkan oleh faktor ketidaktentuan cuaca dan pengurangan penggunaan baja pada awal tahun yang telah memberi kesan kepada pengeluaran kelapa sawit. Sektor perlombongan juga mencatatkan penguncupan, namun pada kadar yang lebih baik berikutan pemulihan pengeluaran di beberapa loji yang telah ditutup sementara bagi kerja-kerja penyelenggaraan berjadual pada suku sebelum ini.

Walaupun sumbangan sektor luar semakin mengecil berikutan permintaan global yang berkurangan, namun akaun semasa imbangan pembayaran masih mencatat lebihan sebanyak RM49.7 bilion atau 3.4% kepada pendapatan negara kasar (2018: RM30.6 bilion atau 2.2%). Kedudukan rizab antarabangsa masih kukuh sebanyak RM424.1 bilion atau USD103.6 bilion mencukupi untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh. Pelaburan langsung asing juga turut mencatatkan aliran masuk bersih yang berterusan sebanyak RM32.8 bilion (2018: RM32.6 bilion).

Menyedari kepentingan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, langkah yang diambil oleh Kerajaan sebelum ini bagi mengurangkan harga petrol dan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah mengurangkan kadar inflasi kepada 0.7% (2018: 1.0%) dan seterusnya mendorong kepada peningkatan kuasa beli rakyat. Ini membolehkan rakyat meningkatkan perbelanjaan untuk keperluan hidup. Ini juga dapat dilihat melalui perbelanjaan dan penggunaan swasta yang tinggi. Kerajaan menyedari mengenai perkembangan ekonomi semasa yang menyederhana dan akan terus memantau bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terjejas. Selain itu, rakyat juga mendapat manfaat berikutan 104,000 peluang pekerjaan baharu yang berjaya diwujudkan pada tahun 2019.

Prospek pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2020 dijangka terkesan ekoran wabak Penyakit Coronavirus (COVID-19) menyebabkan berlakunya gangguan bekalan global. Antara sektor yang akan terjejas adalah industri berkaitan pelancongan, pengangkutan dan pembuatan. Bagi mengurangkan kesan negatif tersebut dan memastikan bahawa kesejahteraan rakyat terus terbela, Kerajaan sedang mengambil langkah proaktif yang boleh mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi dalam negeri di samping terus menggalakkan eksport terutamanya produk berkaitan penjagaan kesihatan, elektrik & elektronik dan keluaran berasaskan kelapa sawit.

Pakej rangsangan ekonomi juga sedang diperincikan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat. Kerajaan juga akan memastikan projek pembangunan yang telah diluluskan bagi tahun 2020 serta inisiatif baharu di bawah pakej rangsangan ekonomi yang akan diperkenalkan pada penghujung Februari 2020 dapat dilaksanakan dengan segera. Selain itu, langkah Kerajaan untuk mengurangkan kadar tol dan memastikan harga petrol yang stabil akan membantu meringankan beban sara hidup rakyat di samping memperkukuhkan pelancongan domestik. Tambahan pula, Bank Negara Malaysia telah mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75% pada 22 Januari 2020 yang turut akan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam negeri agar terus berkembang.

Kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh di samping menjamin keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Hal Ehwal Ekonomi

13 Februari 2020

Siaran Media Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi

Siaran Media Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi

SIARAN MEDIA
MESYUARAT MAJLIS TINDAKAN EKONOMI BIL. 2/2020

YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi atau Economic Action Council (EAC) bagi tahun 2020 di Putrajaya pada 11 Februari 2020.

Mesyuarat hari ini telah membincang secara khusus kesan penularan wabak 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) ke atas pertumbuhan ekonomi negara. Antara sektor yang dikenalpasti mudah terkesan adalah sektor perkhidmatan seperti industri pelancongan, peruncitan dan penerbangan.

Sehubungan itu, Kerajaan sedang merangka satu pakej rangsangan ekonomi untuk menangani impak ekonomi akibat kesan wabak novel coronavirus ini. Antara aspek yang akan diberi tumpuan adalah membantu industri menangani isu aliran tunai operasi perniagaan dan memperkenal inisiatif bagi menggalakkan perbelanjaan domestik dan pelancongan dalam negara bagi menjana pertumbuhan menerusi permintaan domestik yang lebih tinggi. Kementerian Kewangan sedang mengadakan perbincangan dengan kementerian, agensi dan pihak industri serta syarikat-syarikat perkhidmatan yang terlibat untuk mendapatkan input dalam perancangan pakej rangsangan ekonomi. Pengumuman mengenai pakej rangsangan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

Seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan prinsip pembangunan inklusif, EAC juga telah membincangkan cadangan holistik pembangunan dan peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli. Antara isu utama yang dibincangkan adalah pemilikan dan pembangunan tanah adat, akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran, penyediaan infrastruktur asas serta pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli. EAC telah bersetuju pelan tindakan yang lebih khusus dilaksanakan segera untuk menangani isu tersebut, termasuk mendapatkan kerjasama semua Kerajaan Negeri.

EAC turut membincangkan cadangan ke arah pembaharuan dalam pasaran modal tempatan bagi membantu pasaran untuk terus berkembang dan membangun secara inklusif. Cadangan ini seiring dengan perubahan landskap pasaran modal, teknologi kewangan dan ekspektasi pemain industri serta pelabur, pada masa yang sama mengukuhkan lagi aspek kawal selia dan asas institusi. Bagi merealisasi
hasrat ini, EAC bersetuju supaya forum sedia ada diperkemaskan dengan lebih proaktif supaya semua pihak berkepentingan termasuk pengawal selia sekuriti, pihak berkuasa pasaran modal dan bank pusat serta pemain industri dapat bekerjasama dengan lebih erat.

Urus Setia
Majlis Tindakan Ekonomi (EAC)
Kementerian Hal Ehwal Ekonomi
11 Februari 2020

Perutusan Hari Thaipusam 2020

Perutusan Hari Thaipusam 2020

PERUTUSAN HARI THAIPUSAM 2020

Hari Thaipusam merupakan sambutan istimewa masyarakat Hindu di Malaysia, bahkan sambutan di Malaysia merupakan antara yang terbesar di rantau Asia Tenggara.

Sambutan Thaipusam sebagai cultural genius masyarakat Hindu di Malaysia dan adalah salah satu perayaan yang mewarnai keunikan negara kita. Bagi mereka yang menyambutnya, perayaan ini adalah simbolik kepada kemenangan kebaikan mengalahkan kebatilan, sinonim dengan falsafah menunaikan nazar dan menebus dosa bagi membersihkan jiwa dan menyucikan diri.

Dalam dunia yang dirasuk oleh kebendaan, falsafah yang diungkapkan oleh perayaan ini mengajar nilai-nilai yang melampaui kehidupan jasmani dan materialisme. Inilah sumbangan masyarakat Timur kepada dunia.

Meskipun dunia hari ini kagum dengan ketakjuban ekonomi Asia, namun kebangkitan semula Asia bukan semata-mata dari segi kebendaan. Kebudayaan dan kerohanian Asian turut segar kembali dan sambutan Thaipusam adalah salah satu buktinya.

Selamat menyambut Hari Thaipusam.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Hal Ehwal Ekonomi

7 Februari 2020