AZMIN ALI

Day: February 11, 2020

Siaran Media Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi

Siaran Media Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi

SIARAN MEDIA
MESYUARAT MAJLIS TINDAKAN EKONOMI BIL. 2/2020

YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi atau Economic Action Council (EAC) bagi tahun 2020 di Putrajaya pada 11 Februari 2020.

Mesyuarat hari ini telah membincang secara khusus kesan penularan wabak 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) ke atas pertumbuhan ekonomi negara. Antara sektor yang dikenalpasti mudah terkesan adalah sektor perkhidmatan seperti industri pelancongan, peruncitan dan penerbangan.

Sehubungan itu, Kerajaan sedang merangka satu pakej rangsangan ekonomi untuk menangani impak ekonomi akibat kesan wabak novel coronavirus ini. Antara aspek yang akan diberi tumpuan adalah membantu industri menangani isu aliran tunai operasi perniagaan dan memperkenal inisiatif bagi menggalakkan perbelanjaan domestik dan pelancongan dalam negara bagi menjana pertumbuhan menerusi permintaan domestik yang lebih tinggi. Kementerian Kewangan sedang mengadakan perbincangan dengan kementerian, agensi dan pihak industri serta syarikat-syarikat perkhidmatan yang terlibat untuk mendapatkan input dalam perancangan pakej rangsangan ekonomi. Pengumuman mengenai pakej rangsangan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

Seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan prinsip pembangunan inklusif, EAC juga telah membincangkan cadangan holistik pembangunan dan peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli. Antara isu utama yang dibincangkan adalah pemilikan dan pembangunan tanah adat, akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran, penyediaan infrastruktur asas serta pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli. EAC telah bersetuju pelan tindakan yang lebih khusus dilaksanakan segera untuk menangani isu tersebut, termasuk mendapatkan kerjasama semua Kerajaan Negeri.

EAC turut membincangkan cadangan ke arah pembaharuan dalam pasaran modal tempatan bagi membantu pasaran untuk terus berkembang dan membangun secara inklusif. Cadangan ini seiring dengan perubahan landskap pasaran modal, teknologi kewangan dan ekspektasi pemain industri serta pelabur, pada masa yang sama mengukuhkan lagi aspek kawal selia dan asas institusi. Bagi merealisasi
hasrat ini, EAC bersetuju supaya forum sedia ada diperkemaskan dengan lebih proaktif supaya semua pihak berkepentingan termasuk pengawal selia sekuriti, pihak berkuasa pasaran modal dan bank pusat serta pemain industri dapat bekerjasama dengan lebih erat.

Urus Setia
Majlis Tindakan Ekonomi (EAC)
Kementerian Hal Ehwal Ekonomi
11 Februari 2020