AZMIN ALI

Day: March 24, 2020

MITI Umum Tempoh Akhir Permohonan Kilang Untuk Meneruskan Operasi Sewaktu Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) telah menetapkan tarikh akhir untuk syarikat-syarikat menghantar permohonan untuk meneruskan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jatuh pada 24 Mac 2020, jam 11.59 malam. Penetapan tarikh akhir ini adalah untuk memastikan permohonan- permohonan syarikat yang diterima dapat diproses pada kadar segera.

Selepas tarikh akhir ini, MITI akan memberi fokus menyaring ribuan permohonan- permohonan yang telah diterima.

Selain itu, sebuah Jawatankuasa Khas yang akan diketuai Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan disertai Menteri Kementerian Pertanian & Industri Makanan YB Datuk Seri Ronald Kiandee serta Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna YB Datuk Alexander Nanta Linggi telah ditubuhkan untuk memastikan kelangsungan bekalan produk keperluan asas kepada Rakyat Malaysia.

Bagi memastikan bekalan keperluan asas ini terjamin, permohonan syarikat-syarikat meliputi makanan, minuman, ubat-ubatan, peranti perubatan termasuk ventilator, picagari, personal protective equipment (PPE) iaitu face mask, sarung tangan perubatan, thermometer, kit kecemasan, barangan penjagaan diri seperti sabun pencuci, bahan pembersih diri, syampu dan sanitiser diluluskan.

Sejak permulaan tarikh permohonan syarikat-syarikat untuk meneruskan operasi pada 19 Mac 2020, sektor-sektor yang telah diluluskan Kerajaan untuk meneruskan operasi terdiri daripada sektor pembuatan dan pengeluaran barang-barang keperluan umum yang dikategorikan penting dan kritikal seperti berikut:

i) Makanan dan minuman;
ii) Produk barangan rumah (termasuk hand sanitiser);
iii) Peralatan perlindungan peribadi (termasuk topeng muka);
iv) Farmaseutikal;
v) Bahan pembungkusan dan percetakan, khususnya untuk industri makanan dan minuman;
vi) Peranti perubatan, dan pembedahan; dan
vii) Minyak dan gas.

Semua permohonan-permohonan syarikat dilakukan secara atas talian, emel dan laman sesawang MITI. Syarikat-syarikat yang memohon perlu mengikut syarat- syarat yang disenaraikan antaranya adalah syarikat diwajibkan untuk menetapkan jumlah pekerja yang bertugas berada di tahap minima; pengeluaran produk/hasil syarikat memberi keutamaan kepada pasaran tempatan; dan syarikat juga perlu melaksanakan garis panduan dan prosidur pencegahan COVID19 seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

MITI turut menjelaskan antara punca-punca permohonan-permohonan ditolak adalah kerana syarikat yang memohon bukan dikategorikan di dalam sektor yang penting & kritikal; syarikat mengemukakan maklumat yang tidak lengkap atau tidak tepat; dan syarikat tidak mengemukakan pengurangan jumlah tenaga kerja ke tahap minima ataupun sekurang-kurangnya 50 peratus seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan.

-TAMAT-

Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI)
24 Mac 2020