AZMIN ALI

Day: May 2, 2020

Siaran Media – Memulakan (restarting) ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan kemampanan ekonomi

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengalu-alukan pengumuman YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi mulai hari Isnin, 4 Mei 2020. Keputusan Kerajaan akan memberi impak positif kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Pembukaan sektor-sektor ekonomi akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan langsung asing dan tempatan, menjana prospek eksport serta kelangsungan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk kemampanan pekerjaan.

Kerajaan membuat keputusan ini dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab. Kerajaan telah memberi pertimbangan yang terperinci berdasarkan kepada data dan kajian yang dibentangkan berkaitan dengan situasi kesihatan serta kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara. Dengan mengambil kira perkembangan kesihatan dan keperluan menjana semula ekonomi, Kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai 18 Mac hingga 28 April di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 1 hingga 3 dengan pematuhan syarat-syarat kesihatan di dalam Prosidur Operasi Standard (SOP). Tindakan yang teliti dan berhati-hati ini telah menunjukkan hasil yang baik khususnya dalam aspek penambahan sektor ekonomi yang dibuka dan pada masa yang sama, tidak menjejaskan usaha Kerajaan dalam membendung penularan COVID-19.

Kerajaan membuat keputusan berdasarkan tanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengariskan enam kriteria utama iaitu kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan kebiasaan baharu (new normal) dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti.

Pada masa yang sama, sekumpulan pakar perubatan dari Republik Rakyat China yang terlibat dalam penyelidikan dan pengurusan pandemik COVID-19 telah tiba di Malaysia dua minggu lalu. Mereka telah memberikan pendapat pakar dan berpandangan bahawa Malaysia bersedia memulakan aktiviti ekonomi.

Semestinya kejayaan membendung penularan COVID-19 adalah hasil sokongan dan kerjasama rakyat di pelbagai peringkat: pekerja-pekerja, majikan dan persatuan-persatuan bukan kerajaan serta keseluruhan jentera Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Mengambilkira keberkesanan memerangi wabak COVID-19, kini tiba masanya untuk memberi fokus menyeluruh dalam memulakan (restarting) dan merangsang semula sektor ekonomi negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemampanan ekonomi.

Sekiranya Kerajaan tidak mengambil langkah ini, sumber pendapatan negara akan menyusut, pertumbuhan ekonomi akan terencat dan pendapatan perniagaan dan individu juga akan terjejas. Malahan, kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup. YAB Perdana Menteri telah menegaskan bahawa sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan untuk sebulan lagi, KDNK negara akan mencatatkan kerugian sebanyak RM35 bilion dan akan menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion. Penyusutan nilai eksport bagi sektor pembuatan sahaja adalah dianggarkan sebanyak RM32 bilion bagi setiap dua minggu PKP beroperasi.

Justeru, keputusan Kerajaan bagi membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi dijangka akan memberikan impak positif ke atas pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negara serta kelangsungan pekerjaan rakyat. Kerajaan juga berharap dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi ini, komuniti perniagaan khususnya PKS akan dapat memulihkan semula operasi perniagaan mereka, mengukuhkan aliran tunai, membina semula rantaian bekalan dan menangani risiko kehilangan pasaran eksport (reshoring). Pada masa ini, PKS menyumbang 66 peratus kepada tenaga kerja di Malaysia. Maka, tindakan Kerajaan pasti dapat menjamin kelangsungan pekerjaan dan pendapatan pekerja.

Langkah Kerajaan juga merupakan satu pendekatan yang proaktif dan bersesuaian bagi memastikan ekonomi negara terus kekal mampan dan berdaya saing. Keberkesanan langkah-langkah ini juga memerlukan sokongan padu daripada pelbagai pihak, terutamanya sektor swasta, persatuan-persatuan industri dan dewan-dewan perniagaan.

Dalam melaksanakan strategi pemulihan ekonomi, komuniti perniagaan perlu menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu (new normal). Amalan yang menjadi kebiasaan sebelum ini mungkin tidak lagi terpakai. Syarikat-syarikat yang sebelum ini banyak bergantung kepada tenaga buruh kini perlu mengurangkan kebergantungan mereka dan memberi tumpuan lebih kepada automasi serta penggunaan teknologi yang meluas. Di samping itu, proses pendigitalan juga perlu dipercepatkan bagi mengurangkan “human contact” di dalam premis-premis perniagaan.

Pendigitalan kini bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka masa panjang. Dalam tempoh beberapa bulan yang lepas, penggunaan komunikasi digital telah membantu memudahcara perhubungan rakyat. Mesyuarat digital dan webinar telah menjadi kebiasaan dan

platform digital juga merupakan elemen yang penting dalam melancarkan proses perniagaan. Secara tidak langsung, ini telah membantu mentransformasikan negara menjadi sebuah ekonomi digital. Selain itu, terdapat juga organisasi yang telah berjaya memanfaatkan potensi Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IoT).

Syarikat-syarikat yang terpaksa bergantung kepada tenaga buruh yang intensif tidak boleh alpa tentang aspek perlindungan pekerja, termasuk isu-isu berkaitan kesihatan, kebersihan dan keselamatan. Majikan dan pekerja juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan MyTrace bagi tujuan pengesanan kontak.

Sehubungan itu, sektor-sektor ekonomi yang akan beroperasi mulai 4 Mei ini WAJIB mematuhi syarat-syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi industri masing-masing. Kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas syarikat dan firma berkenaan.

Perlu ditegaskan bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekiranya terdapat kenaikan mendadak kes-kes baru di mana-mana kawasan.

Untuk menjamin keberkesanan pematuhan kepada SOP, pengkuatkuasaan yang menyeluruh dan ketat akan dilaksanakan oleh agensi-agensi pengkuatkuasa di peringkat Persekutuan dan Negeri. Walau bagaimanapun, kejayaan usaha ini perlu juga melibatkan “self enforcement” oleh setiap Kementerian dan juga “community enforcement” demi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat.

Dengan adanya pelaksanaan langkah-langkah untuk mengimbangi kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta kemampanan ekonomi, Kerajaan berharap semua pihak termasuk pengusaha dan majikan yang dibenarkan untuk beroperasi dapat menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu terutamanya mematuhi penjarakan sosial, kebersihan diri dan tempat kerja serta garis panduan yang ditetapkan dari masa ke semasa.

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Kanan
Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri
Sabtu, 2 Mei 2020