Arahan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia dan Watikah Pelantikan Pesuruhjaya Banci 2020

Arahan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia dan Watikah Pelantikan Pesuruhjaya Banci 2020

SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN HAL EHWAL EKONOMI

ARAHAN BANCI PENDUDUK DAN PERUMAHAN MALAYSIA DAN WATIKAH PELANTIKAN PESURUHJAYA BANCI 2020

Pada tahun ini akan diadakan projek pembangunan berimpak tinggi dan berskala besar yang melibatkan setiap penduduk Malaysia dihitung melalui Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020). Pewartaan Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Banci 1960 menyatakan arahan banci penduduk dan perumahan dibuat di seluruh Malaysia berdasarkan Hari Banci iaitu 7 Julai 2020. Banci 2020 merupakan Banci ke-6 dijalankan di Malaysia yang dilaksanakan setiap 10 tahun sekali. Malaysia antara 54 buah negara yang akan melaksanakan banci pada tahun ini.

Melalui pewartaan tersebut juga selaras dengan Akta Banci 1960, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia sebagai Pesuruhjaya Banci yang ke-6 untuk menyelia pembancian dan memastikan perancangan serta hala tuju pelaksanaan banci berjalan dengan lancar. Watikah pelantikan telah disampaikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada 12 Februari 2020 yang lalu.

Gerak kerja awal Banci 2020 yang intensif telah dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sejak tahun 2018 terutamanya berkaitan pemetaan dan penyenaraian tempat kediaman. Banci kali ini akan menggunakan pendekatan de jure yang mana maklumat setiap penduduk dikumpul mengikut tempat tinggal biasa mereka pada Hari Banci. Bersesuaian dengan tema “Data Anda Masa Depan Kita”, dapatan banci yang komprehensif merangkumi keperluan input pemantauan Agenda Pembangunan Mampan 2030 antaranya berkaitan pembasmian kemiskinan, kesamarataan dan kelestarian alam sekitar yang akan menjadi sumber utama dalam penyediaan rancangan pembangunan negara meliputi sosial, ekonomi dan pelbagai bidang utama lain untuk menjadi negara yang berdaya saing.

Dianggarkan sebanyak 9 juta tempat kediaman akan diliputi semasa Banci 2020 yang melibatkan lebih kurang 33.8 juta penduduk. Bagi memastikan bancian dijalankan secara menyeluruh dan lebih teratur, pembancian awal akan turut dilaksanakan bermula April 2020 yang melibatkan beberapa institusi yang telah dikenal pasti.

Maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh dilayari di portal banci iaitu www.mycensus.gov.my.

Article by Azmin Ali

Leave a comment