Azmin ingatkan k’jaan S’gor supaya berjimat

Joseph Sipalan | 12 Jul, 10 8:06pm (Malaysiakini)

Pengerusi Kelab Penyokong Selangor Azmin Ali hari ini mengingatkan kerajaan Pakatan Rakyat supaya jangan mengulangi kesilapan kerajaan persekutuan dalam menguruskan kewangannya.

Beliau mempersoalkan keperluan rang undang-undang bajet tambahan sebanyak RM186 juta, walaupun hanya tujuh bulan dalam tahun 2010.

Ketika membahaskan rang undang-undang tersebut, Azmin berkata beliau bimbang, jika amalan ini berlanjutan, Selangor akan berakhir dengan bajet defisit dan bukannya bajet seimbang.

Menurut Azmin, sebab utamanya mengapa kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan RM57 juta untuk kos di luar jangkaan bagi 2010 ialah kerana kurangnya perancangan dan kawalan perbelanjaan.

Oleh itu, beliau yang juga naib presiden PKR, dan pengerusi PKR Selangor, mahu pemborosan dihentikan segera.

Azmin, yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, menegur kerajaan atas perbelanjaan berlebihan untuk majlis kerajaan negeri, sehingga RM500,000 dibelanjakan untuk satu majlis rasmi.

Katanya, ini berlaku kerana jabatan yang terlibat tidak dibawa berunding terlebih dahulu sebelum yang dibawa ke dalam mesyuarat exco negeri.

Azmin berkata amalan pemborosan seperti itu mesti dihentikan segera untuk menjimatkan perbelanjaan di luar jangkaan kerajaan negeri.

Beliau juga meminta penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai dakwaan kecenderungan menggunakan konsultan pengurusan acara dan tidak menggunakan perkhidmatan majlis tempatan dan pejabat daerah untuk menguruskan majlis-majlis anjuran kerajaan negeri.

Azmin ingin tahu syarikat-syarikat swasta yang dilantik untuk mengendalikan majlis-majlis kerajaan negeri dan jumlah yang dibayar kepada setiap syarikat terbabit.

Mengenai rezab kerajaan negeri, Azmin menegaskan bahawa langkah-langkah penjimatan perlu diambil untuk memastikan Selangor bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya kemelesetan berganda.

Beliau turut menyuarakan kebimbangannya mengenai rezab kerajaan negeri yang berada sikit di bawah paras RM800 juta, dan aset tetap bernilai RM700 juta.

Azmin mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan untuk melanggan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dalam usaha untuk meningkatkan pulangan daripada aset kerajaan seperti bangunan-bangunannya.

Menurutnya, kaedah REIT sedang dikaji oleh PKNS dan kerajaan negeri boleh menyumbang dalam usaha ini serta melihat keperluan untuk badan-badan berkanun seperti PKNS dan syarikat milik kerajaan negeri, untuk menerokai peluang tersebut.

Azmin berkata, kemelesetan ekonomi yang dihadapi oleh Eropah dan Amerika Syarikat menuntut kerajaan negeri bersiap dengan perancangan fiskal dan kewangan untuk memastikan rakyat bersedia menghadapi kemungkinan tersebut.

Kerajaan negeri, katanya, harus siap sedia untuk menghadapi kemungkinan kemelesetan berganda, dengan menghentikan amalan perbelanjaan yang lemah dan memperkukuhkan tabungan.