Azmin : Perlembagaan tidak jamin hak Orang Asal Semenanjung

Dari Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Okt 2010: Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menegaskan, kedudukan Orang Asal di Semenanjung Malaysia tidak akan terjamin pada masa akan datang sekiranya hak mereka tidak dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Azmin ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, tiada langsung peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kepentingan Orang Asal di Semenanjung walhal mereka merupakan kaum pribumi yang telah lama menetap di negara ini.

Menurutnya, Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan Orang Asli adalah Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu manakala dalam artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, ianya hanya merangkumi Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja.

“Perdebatan yang berlaku pada hari ini ialah pengiktirafan Orang Asli sebagai Bumiputera berdasarkan takrifan Orang Asli yang termaktub dalam Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan juga keperluan memaktubkan secara jelas kedudukan istimewa Orang Asli sebagai Bumiputera dalam artikel 153,” kata beliau yang juga Naib Presiden PKR.

Sehubungan itu, Azmin meminta kerajaan menyatakan pendirian sama ada bersedia untuk memasukkan hak Orang Asli di Semenanjung ke dalam Perlembagaan.

“Adakah kerajaan bersedia untuk mengambil satu tindakan yang berani dan bertanggungjawab untuk menjamin kedudukan Orang Asli dan sekiranya tidak apakah alasan yang akan diberikan oleh kementerian?

“Kalau orang Turki yang duduk di Sembrong boleh dijamin oleh Perlembagaan dan diterima oleh Umno sebagai pemimpin tertinggi, kalau orang Jawa di Bagan Datuk boleh dijamin oleh Perlembagaan, kalau orang lanun di Semporna boleh termaktub dalam Perlembagaan, mengapa Orang Asli ini tidak dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan?” soalnya disambut gelak tawa beberapa ahli Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di perhimpunan agung Umno minggu lepas ada menyebut tiga bangsa itu dengan merujuk kepada tiga naib presiden iaitu Datuk Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal yang mempunyai darah bangsa tersebut.

Pada 19 Oktober lalu, Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar mengenai pengiktirafan kedudukan peribumi Orang Asli sebagai Bumiputera yang dibawa oleh Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) dalam jawapannya bagaimanapun mendakwa Azmin cuba mempolitikkan isu tersebut.

Sebelum itu, Azmin dalam soalan asalnya meminta menteri menyatakan jumlah peruntukan bajet yang disalurkan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) sepanjang dua tahun lalu.

Beliau juga meminta menteri menyenaraikan kesemua program yang telah dijalankan oleh JHEOA berserta pecahan bajet yang digunakan sepanjang dua tahun lepas.

Comments: 3

Comments are closed.