[BERITA] Deklarasi Rakyat, Selamatkan Malaysia senada hasrat Anwar

Sumber : Selangorku.com

KAJANG, 5 MAC : Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut baik Deklarasi Rakyat, Selamatkan Malaysia yang bertekad menolak kezaliman.

Katanya, ia selaras dengan hasrat Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang mahukan semua pihak mahupun institusi dikelola dengan baik dan adil.

“Saya hargai apabila Datuk S Ambiga mengeluarkan kenyataan bebas Anwar kerana teras deklarasi rakyat itu bukan sahaja reformasi untuk menjatuhkan sesiapa.

wan azizah pc purple 01“Tetapi kita mesti membuat reformasi menyelamatkan institusi kepada keadaan sepatutnya dan dijaga tatkelola baik dan adil seperti dikatakan Anwar sebelum ini,” katanya selepas merasmikan Fiesta Wanita dan Keluarga di Kompleks Metropoint Kajang, hari ini.

Pada masa sama, Wan Azizah turut memberitahu perbincangan lanjut berkenaan deklarasi itu akan diadakan Isnin depan.

“Kebebasan Anwar itu simbol kezaliman dan itulah juga yang kita tuntut,” katanya.

Semalam, Deklarasi Rakyat ‘Selamatkan Malaysia’ menyaksikan seteru politik duduk semeja membulatkan tekad menolak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata deklarasi terbabit dizahirkan setelah melihat ada keperluan mendesak untuk membuat reformasi terhadap sistem negara.

Sementara itu, mengulas isu mahkamah mengaitkan Yahya Sahri yang juga bekas Pegawai Khas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau berkata perkara terbabit adalah titik buruk kejam terutama kepada keluarganya.

“Saya rasa jangan diulangi (perkara itu) dan kita perlu lakukan perubahan kepada yang lebih baik,” katanya.