[BERITA] Kondominium Villaria Terima CF Selepas 18 Tahun

Sumber : Selangorku.com

PETALING JAYA, 6 MAC: Penantian panjang hampir 18 tahun penduduk Kondominium Villaria, Taman Medan berakhir selepas mereka menerima Sijil Layak Menduduki (CF) daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kegembiraan jelas terpancar di wajah wakil Jawatankuasa Bertindak Pemulihan Kondominium yang menerima replika kunci sebagai tanda penyerahan kediaman oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

IMG_0509 (1)Salim Ahmad, 51, berkata kerjasama yang diberikan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri dan pemaju penyelamat, Masteron Sdn Bhd sangat dihargai memandangkan projek itu tertangguh sejak 1998.

Menceritakan pengalaman itu, beliau mengakui projek yang pernah terbengkalai hampir merugikan pembeli kerana ia tertangguh selepas disiapkan 65 peratus.

Katanya, berkat usaha sejak sekian lama jawatankuasa dalam menuntut hak mereka akhirnya membuahkan hasil.

“Kami menunggu terlalu lama supaya projek ini siap sepenuhnya. Alhamdulillah hari ini kelulusan sudah diperoleh.

“Saya beli rumah ini dahulu di saat anak saya masih kecil dan sekarang dia sudah berusia 17 tahun.

“Banyak cabaran kami selaku pembeli lalui demi mendapatkan hak,” katanya kepada SelangorKini.

CP2A4366Hadir sama Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar A Samad, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Norzaton Aini Mohd Kassim, Pengurus Besar Masteron Sdn Bhd, James Lim Seng Ho, Pengarah Urusan Masteron Sdn Bhd, Datuk Choy Wai Ceong dan Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain.

Tinjauan SelangorKini mendapati Kondominium Villaria mempunyai 304 unit kediaman yang dibahagikan kepada dua blok dengan kemudahan tempat letak kereta berbumbung, taman permainan, surau dan kolam renang.

Salim berkata, rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi berkenaan dibeli sekitar harga RM135,000 ketika itu dengan bayaran bulanan pinjaman hampir RM1,000.

Namun berdasarkan nilai semasa, terdapat pemilik yang menjual rumah tiga bilik dan dua bilik air ini pada harga sekitar RM450,000.