[BERITA] Rancangan Struktur Selangor 2035 ke Arah Lestari Alam

Sumber : selangorku.com

PETALING JAYA, 20 MAC: Rancangan Struktur Selangor 2035 dirangka Kerajaan Negeri mengambil kira kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan dengan capaian penggunaan karbon rendah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelan rancangan terbabit mengambil kira penggunaan tanah secara lestari demi mewujudkan pembangunan mesra alam.

earth hour 4“Ia adalah dasar dan strategi dirangka meliputi penggunaan tanah secara lestari di Selangor dan menangani masalah perubahan iklim.

“Kita perlu memastikan pembangunan alam sekitar yang mesra dan hijau serta mencapai status karbon rendah dalam jangka panjang,” katanya dalam majlis Earth Hour Night Walk 2016 di Dataran Petaling Jaya di sini, malam tadi.

Majlis anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan WWF-Malaysia itu turut dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain; Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr Dionysius Sharma dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Mohamed Azmin bersama tetamu kehormat lain turut menyertai lebih 1,000 peserta dalam acara berjalan kaki sejauh 3.8 kilometer dalam program berkenaan.

Katanya, pemanasan global dialami kini di Malaysia dan negara lain perlu ditangani secara holistik dengan semua pihak termasuk kerajaan dan awam memainkan peranan masing-masing.

Ia ekoran juga membabitkan Selangor sendiri yang menghadapi pelbagai cabaran termasuk banjir kilat dan pelepasan karbon serta gangguan bekalan air dan sebagainya.

“Pelbagai insiatif dijalankan Kerajaan Negeri demi memastikan Selangor menerajui insiatif konsep bandar karbon rendah selain kemajuan keseluruhan di negeri itu.

“Antara langkah diambil adalah pemilihan lima pihak berkuasa tempatan untuk menerima pakai Kerangka Kerja Bandar Berkarbon Rendah (LCCF) membabitkan MBPJ, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) sejak Oktober tahun lalu.

“Tahniah kepada kelima-lima PBT itu dalam segala usaha dijalankan dan kini mereka mencapai tahap yang baik dan lebih awal daripada jangkaan,” katanya.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri turut berusaha mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian bagi mengelak kesesakan di sesuatu kawasan dengan menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam.

Penyediaan perkhidmatan bas percuma, katanya, antara kaedah diguna pakai untuk faedah masyarakat diperkenalkan di Petaling Jaya, Shah Alam, Sunbang Jaya, Klang, Hulu Langat dan Ampang selain lorong laluan basikal dalam pelan pembangunan.