[BERITA] Rumah Selangorku penuhi hasrat rakyat miliki kediaman pertama

Sumber : Selangorku.com

SUBANG BESTARI, 7 MEI : Inisiatif Kerajaan Negeri melaksanakan dasar Rumah Mampu Milik memenuhi hasrat rakyat miliki kediaman pertama, kata Menteri Besar, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri konsisten memastikan projek perumahan rumah mampu milik ini diteruskan dalam tempoh tiga tahun untuk memenuhi permintaan dan keperluan masyarakat memiliki kediaman sendiri.

subangbestari 3“Sementara Kerajaan Negeri terus aktif membina perumahan rumah mampu milik ini, kita sasarkan mahu membina 15,000 unit rumah dalam tempoh tiga tahun.

“Namun saya gembira mengumumkan sambutan daripada syarikat pemaju Worldwide, PKNS dan lainnya cukup baik kini, maka tidak mustahil dan InsyaAllah kita bukan sahaja dapat mencapai jumlah 15,000 sahaja.

“Tetapi saya percaya lebih 18,000 boleh dilaksanakan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Rumah Selangorku di Tanah Lapang Sekolah Kebangsaan Subang Bestari Seksyen U5, di sini, hari ini.

subangbestari 2Hadir sama, Ahli Parlimen Subang; Sivarasa Rasiah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato’ Noordin Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad; Datin Paduka Norazlina Zakaria dan Datuk Bandar MBSA; Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Pembangunan projek Rumah Selangorku terbaru di kawasan ini menawarkan 388 unit rumah kediaman Seri Aduria dan Seri Musytari dengan harga serendah RM150,000 di atas tanah berkeluasan 2.04 hekhtar.

Mohamed Azmin juga menyarankan supaya pemaju menawarkan lebih banyak lagi perumahan mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Diharap syarikat pemaju Worldwide dapat meneliti bahawa jumlah 388 tidak cukup. Kalau boleh bina lebih banyak lagi untuk rakyat Selangor. ”

“Kalau tiada tanah? Buat permohonan kepada Kerajaan Negeri, sebab tanah di Selangor bukan untuk bina padang golf dan saya memang tidak akan luluskan.

“Sebaliknya saya akan luluskan pembinaan rumah rakyat mampu dimiliki,” katanya.

Terdahulu, lebih 500 masyarakat mengambil peluang membuat permohonan dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor bagi mendapatkan kediaman Rumah Selangorku.