AZMIN ALI

LATEST

Category: Ucapan

[Ucapan] Rapat Ramadhan 2018 Bersama Penjawat Awam Negeri Selangor

Alhamdulillah, pagi ini kita dapat bertemu dalam Rapat Ramadhan 1439H bersama anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor.

Kita bersyukur kerana diberikan nikmat oleh Allah SWT untuk berada di hari yang ke 19 dalam bulan Ramadhan.

Para sahabat dan Salafus Soleh sering menangis menjelang hujung Ramadhan memandangkan akan berlalunya satu bulan yang sarat dengan barakah dan ganjaran daripada Allah SWT.

Maka, Ramadhan ini bukanlah alasan untuk kita mengurangkan produktiviti sebaliknya Ramadhan adalah satu bulan yang cergas dan lasak dengan kegiatan yang dapat mendekatkan kita kepada Allah SWT serta menunaikan tanggungjawab sebagai anggota perkhidmatan awam.

Dalam konteks ini, umat Islam sering diingatkan bagaimana daya tahan dan kecekalan Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat tatkala bertempur dengan golongan Musyrikin dalam Perang Badar Al-Kubra yang berlaku dalam bulan Ramadhan tahun kedua Hijriah.

Justeru itu, saya mengajak anggota perkhidmatan awam untuk terus berdaya maju dan membulatkan tekad untuk berkhidmat dengan tekun dan berintegriti.

Failure is not an option dalam melaksanakan tugas kita untuk membangunkan negeri Selangor dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Saya amat gembira dengan prestasi kewangan Negeri Selangor yang telah mencatatkan kedudukan kewangan yang kukuh.

Alhamdulillah, pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, kita telah berjaya melepasi sasaran kutipan hasil negeri. Daripada anggaran sebanyak RM 2.55 bilion, berkat kerja kuat tuan-tuan dan puan-puan dengan kecekapan dan integriti, kita berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM 2.81 bilion atau 110%. Syabas !

Saya juga mengucapkan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana kita telah berjaya mengurangkan defisit daripada anggaran sebanyak RM 900 juta kepada hanya RM 408 juta. Ini membuktikan Kerajaan Negeri tuntas berpegang kepada prinsip belanja secara berhemah dan mengelakkan ketirisan dan kecuaian.

Satu lagi bukti kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor adalah kejayaan mengurangkan tunggakan hasil negeri pada tahun 2017 sebanyak 13.36% iaitu sebanyak RM 43.83 juta menjadikan jumlah tunggakan hasil negeri sebanyak RM 284 juta.

Kecemerlangan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan terus diterjemahkan dalam prestasi kewangan tahun ini di mana Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil hampir RM 1 bilion berbanding anggaran hasil sebanyak RM 2.25 bilion untuk tahun 2018. Ini bermakna dalam lima bulan pertama, kita telah berjaya mengutip hampir 45% daripada sasaran.

Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuhkan dan berdaya tahan agar ia dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat Selangor.

Kerajaan Negeri telah membuktikan bahawa kita dapat melaksanakan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti serta menutup ruang-ruang pembaziran dan ketirisan dengan jayanya.

Saya pernah melontarkan Gagasan Selangor Masa Depan Malaysia. Alhamdulillah, harapan saya telah menjadi kenyataan dalam PRU Ke-14. Rakyat Selangor telah memberikan sokongan super majority dan memperkukuhkan kedudukan Kerajaan Pakatan Harapan di Negeri Selangor. Malahan, gelombang kebangkitan rakyat telah mematahkan rekayasa yang ingin membungkam suara rakyat sekaligus membawa perubahan besar di Putrajaya.

Setelah lebih 60 tahun negara ini terbina, rakyat sekali lagi bangkit mencipta sejarah dan membuka lembaran baru dalam kehidupan kita sebagai sebuah bangsa yang berdaulat dan merdeka !

Saya tidak boleh menafikan sumbangan besar anggota perkhidmatan awam Selangor dalam menentukan masa depan negara. Tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan yang mendukung aspirasi rakyat.

Saya mengulangi tekad untuk bersama-sama dengan saudara saudari, anggota perkhidmatan awam untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan – fastabiqul khairat demi membina sebuah negara yang wibawa, gagah dan bermaruah.

Tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum bahawa saya telah diberikan amanah untuk menerajui sebuah kementerian baharu yang penting yang bertanggungjawab memacu pertumbuhan ekonomi negara dan mengangkat martabat dan kualiti hidup rakyat Malaysia. Saya amat insaf dengan kepercayaan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri untuk saya menggalas satu tanggungjawab besar dalam suasana yang amat mencabar.

Namun, saya yakin dengan pengalaman di Selangor dan juga pengalaman saya di Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri sebelum ini, Insha Allah, saya mampu mengemudi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk muncul sebagai kementerian yang cemerlang.

Sebagai memenuhi aspirasi rakyat, saya komited kepada dasar membangun sebuah ekonomi yang kuat dan rancak, mencipta nilai, menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan Foreign Direct Investments (FDI).

Pelabur domestik dan pelabur asing akan diberikan jaminan bahawa kerajaan baharu ini adalah business friendly dan mesra pelabur dengan berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Saya akan merumuskan hala tuju strategik baharu yang bakal memacu daya saing ekonomi negara demi meletakkan kembali Malaysia di kedudukan utama dalam kepimpinan ekonomi rantau ini. Saya juga bertekad untuk memastikan keadilan sosial terlaksana di mana kekayaan negara akan diagihkan secara adil dan saksama.

Kementerian ini sedang dalam persiapan terakhir untuk membentangkan Kajian Separuh Penggal (RMKe-11) di Parlimen pada bulan Oktober 2018 yang bukan sahaja meneliti prestasi dua tahun lalu tetapi akan memuatkan hala tuju baharu ekonomi Malaysia berdasarkan Manifesto Pakatan Harapan.

Saya amat terharu dengan dukungan dan sokongan gemuruh daripada seluruh anggota perkhidmatan awam. Hubungan saya dengan penjawat awam bukan sekadar dalam urusan rasmi tetapi merupakan tautan kasih sayang seperti yang diungkapkan oleh pujangga Shakespeare dalam drama berjudul Julius Caesar, “you are as dear to me as the ruddy drops, that visit my sad heart.”

Beruntunglah Negeri Selangor mempunyai Pegawai Kewangan Negeri yang bukan sahaja tekun bersengkang mata memungut hasil dan menghitung wang, bahkan pagi ini kita terpukau dengan kepetahan Pegawai Kewangan Negeri laksana pujangga yang pandai berpantun.

Maka, pantun yang dijual wajiblah saya membelinya;

Lancang Kuning Lancang Pusaka,
Nampak Dari Tanjung Tuan,
Kalau Kering Laut Melaka,
Barulah Saya Lupakan Tuan.

Mana mungkin saya lupakan hubungan kerja yang cukup akrab dengan YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri yang memimpin pasukan penjawat awam yang terbaik di Malaysia.

Mana mungkin saya lupakan pengalaman empat tahun menggubal belanjawan bersama Pegawai Kewangan Negeri yang teliti dan inovatif dalam merangka belanjawan negeri.

Mana mungkin saya tidak merindui anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor yang belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah dibuat, belum ditanya sudah dijawab.

Saya tahu ayat-ayat rindu dan kata-kata kasih sayang sahaja tidak mencukupi. Maka, sebagai persediaan menghadapi Eid Mubarak, saya dengan sukacitanya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada 17,109 orang pegawai dan anggota perkhidmatan awam.

Setelah Pegawai Kewangan Negeri mengira siang dan malam, maka diberi ketahui bahawa anggota perkhidmatan awam negeri Selangor akan dianugerahkan satu bulan gaji yang akan diberikan pada 25 Jun 2018.

Saya turut mendengar rintihan daripada pegawai-pegawai Persekutuan yang merasa mereka dianaktirikan sedang mereka bertungkus lumus untuk membangunkan Selangor dengan dedikasi dan kesetiaan.

Jabatan-jabatan tersebut adalah Jabatan Perhutanan Selangor, Jabatan Kerja Raya Selangor, Pejabat Undang-undang Negeri Selangor, Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dengan bilangan kakitangan keseluruhan sebanyak 755 orang.

Untuk warga ini, Bantuan Khas Kewangan akan turut diberikan sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Sayugia, dalam kegembiraan mendapat sagu hati, berbelanjalah dengan berhemah. Jangan sesekali membazir kerana seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Israa, ayat 27:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan”

Saya yakin penjawat awam Selangor yang makmur juga sangat patriotik. Mereka turut terpanggil untuk bersama dalam usaha murni mengurangkan bebanan hutang negara yang ditinggalkan oleh pentadbiran lama.

Maka, atas semangat cintakan tanah air, penjawat awam Selangor terdorong untuk menyumbang sebanyak 10% daripada Bantuan Khas Kewangan kepada Tabung Harapan Malaysia. Namun, sumbangan patriotik ini hanya dikenakan kepada Pegawai Gred 44 dan ke atas.

Sudah tiba saat dan detik ketikanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada anda semua. Bagaimana pedih dan berat sekalipun, hakikat perpisahan ini perlu saya tempuhi. Berat kaki melangkah, sayu di hati siapa yang tahu, rindu hatiku tidak terkira.

Namun, yakinlah Selangor dan kalian semua tetap di hati.

Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Kullu Am Wa Antum Bi Khair,
Maaf Zahir dan Batin.

Gawai Message 31 st May 2018

I extend my warmest wishes to all Sarawakians as you celebrate Gawai this year.

Gawai is a proud celebration by Dayaks in Sarawak, signaling the end of harvest after months of hard work, and welcoming the new paddy cultivating season.

It is also a humble celebration rooted in the wonderful spirit of togetherness among all Sarawakian ethnic groups in their quest for a brighter future.

This special relationship and solidarity among Sarawakians is similar to the relationship between Sarawak and the Federal government, one which will be rooted in the same principles.

The new government will focus on a more just and equitable distribution of wealth to Sarawak to realise the true potential of Sarawak under a new economic direction. Sarawak will not be left behind any longer.

Sarawak’s economic development will be centred upon poverty eradication, developing vital infrastructure and upholding the rights of all Sarawakians.

In the true spirit of Federalism, Sarawak’s economic rights will be strengthened, as Sarawak’s economic growth will accelerate Malaysia’s development and prosperity of the people.

In the true Gawai spirit, I hope the people of Sarawak will celebrate the harvest season with their family and friends, and with all Malaysians.

I wish you all:

Selamat Ngintu Gawai Dayak G
ayu Guru Gerai Nyamai
Chelap Lindap Lantang Senang
Nguan Menua

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Minister of Economic Affairs Menteri Besar Selangor

Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Jalan B23, Jalan sungai Tua & Persimpangan Kampung Bendahara, Sungai Tua Daerah Gombak

Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Jalan B23, Jalan sungai Tua & Persimpangan Kampung Bendahara, Sungai Tua Daerah Gombak

Alhamdulillah, petang ini kita akan menyaksikan satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan infrastruktur dan pembangunan yang dapat meningkatkan mobiliti dan connectivity rakyat.

Kerajaan Negeri menyambut baik komitmen JKR untuk menaiktaraf Jalan B23, Jalan Sungai Tua dan Persimpangan Kampung Bendahara Sungai Tua, Daerah Gombak. Berdasarkan anggaran jabatan, projek ini dianggarkan bernilai RM 23 juta.

Namun, kesediaan Kerajaan Negeri yang tuntas mengamalkan proses tender terbuka, maka Kerajaan Negeri telah berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM 4.4 juta dan projek ini akan dilaksanakan dengan nilai RM 18.6 juta.

Projek ini adalah sebahagian daripada usaha modenisasi infrastruktur pengangkutan darat yang akan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan selain menjamin keselesaan pengguna jalan raya.

Nadi kepada kemajuan sesebuah negeri adalah pembangunan yang mampan. Sejak 4 tahun lalu, Kerajaan Negeri tuntas meningkatkan belanja pembangunan dan mengurangkan belanja mengurus. Pada tahun 2018, kita telah meningkatkan belanja pembangunan kepada lebih 53%.

Untuk maksud mencapai kemajuan dalam pembangunan infrastruktur yang berkualiti di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan yang besar kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor untuk menyiapkan projek mengikut jadual dan menjamin kualiti.

Pada tahun 2018, daripada sejumlah RM 1.66 bilion peruntukan pembangunan negeri, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 780 juta bagi tujuan pembangunan infrastruktur, kemudahan dan prasarana rakyat. Daripada jumlah ini, RM 200 juta diperuntukkan kepada JKR Negeri Selangor. Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap peranan penting JKR untuk bersama membangunkan negeri ini.

Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan pembangunan bagi Daerah Gombak sebanyak RM 65 juta bagi tahun 2018 yang melibatkan agensi-agensi teknikal termasuk JKR dan JPS.

Projek menaiktaraf jalan B23 dan persimpangan Kampung Bendahara semakin mendesak untuk memenuhi keperluan pembangunan ekonomi yang rancak dan positif di Daerah Gombak termasuk dinamika demografi.

Gombak merupakan sebuah daerah yang strategik dan mempunyai potensi yang besar untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor. Adalah amat penting untuk kita meneruskan usaha-usaha bagi mewujudkan nilai tambah kepada warga Gombak secara keseluruhannya. Justeru itu, kita memerlukan sebuah Kerajaan yang kuat, stabil, berwibawa, berinovasi dan kreatif serta berwawasan.

Ini lah Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini di mana kita mahukan pembangunan berkualiti yang bersifat people-centric atau peduli rakyat serta menjamin kualiti hidup yang lebih baik, bersatu padu dan harmoni untuk masa depan.

Saya mewakili Kerajaan Negeri amat berbangga untuk menyampaikan titah DYMM Tuanku Sultan pada awal pagi ini yakni, “Beta ingin mengingatkan kepada sekalian rakyat jelata, terutama rakyat Negeri Selangor yang berbilang bangsa, agama dan keturunan supaya mengekalkan dan mengukuhkan lagi perpaduan yang kita nikmati sekarang ini.”

Saya bersyukur kerana DYMM Tuanku Sultan berkenan mengiktiraf Kerajaan Negeri yang pada hari ini berjaya membingkai muafakat dan memelihara perpaduan.

Justeru, saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Gombak untuk menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan demi melakar kecemerlangan negeri selaras dengan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri sekaligus melonjakkan Selangor sebagai masa depan Malaysia.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Jalan B23, Jalan Sungai Tua & Persimpangan Kampung Bendahara, Sungai Tua, Daerah Gombak.

Sekian, terima kasih.

Majlis Pelancaran Program Inisiatif Kemahiran Teknikal & Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)

Hari ini kita menyaksikan satu lagi detik bersejarah dalam transformasi Selangor ke arah regional smart state di mana kita terus mencipta nilai tambah masyarakat dan negeri, menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sistem pendidikan hari ini mewujudkan jurang ketara antara keluaran atau hasil akademik dan pengajian tinggi dengan keperluan industri, khususnya dalam bidang kemahiran pembuatan dan perkhidmatan. Fenomena ini adalah antara faktor yang menyumbang kepada kadar pengangguran yang tinggi khususnya di kalangan anak muda.

Kebanyakan negara maju memiliki nisbah 50:50 dari segi tenaga kerja yang berkelulusan akademik dan TVET. Malah, terdapat juga negara maju yang mempunyai jumlah tenaga kerja dalam sektor TVET yang jauh lebih ramai daripada yang berkelulusan akademik.

Di Jerman misalnya, sebanyak 80 peratus tenaga kerjanya adalah tenaga mahir dalam industri pembuatan berteknologi tinggi. Berbanding dengan negara-negara maju serantau, Malaysia hanya mempunyai 28% tenaga mahir. Jumlah ini masih rendah berbanding Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor sangat komited dalam memastikan jumlah tenaga mahir dipertingkatkan agar mencapai sasaran 50% dalam tempoh beberapa tahun akan datang bagi memastikan Selangor kekal gah sebagai negeri perindustrian berpendapatan tinggi.

Dalam proses anjakan paradigma ini, kita perlu membina dan mengukuhkan infrastruktur modal insan demi menyediakan sumber kemahiran bagi pelbagai industri. Ini termasuk kemahiran yang diperlukan untuk highly automated processes and highly skilled labour, industri pembuatan impak tinggi dan hi-tech and knowledge economy.

Hari ini kita melancarkan program yang menyeluruh dan holistik iaitu program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor, yakni, IKTISASS.

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 52 juta untuk program ini yang mewakili 51 peratus daripada peruntukan untuk pendidikan tinggi yang berjumlah RM 101.73 juta.

Usaha ini adalah untuk memenuhi aspirasi millennials demi menjamin kebolehpasaran. Ini menunjukkan betapa seriusnya Kerajaan Negeri Selangor membangunkan latihan kemahiran teknikal, vokasional dan profesional – satu strategi baru demi memperkasa kualiti pendidikan dan kemahiran inovasi.

Melalui program ini, Kerajaan Negeri akan membiayai sepenuhnya 2,000 anak muda Selangor dalam pelbagai kemahiran dengan rakan strategik termasuk kepakaran Strand Aerospace, INPENS, Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC), dan SST & Consultancy Academy.

Sebagai regional smart state, Selangor bukan sahaja memerlukan satu lonjakan bakat untuk mendepani cabaran teknologi semasa, tetapi perlu senantiasa ke hadapan untuk memperbaiki tahap persaingan negara di rantau ASEAN dan seterusnya “move up the Global Competitiveness Rating.”

It is not a question of choice anymore but one of utmost necessity. With technological advancement moving at such a rapid pace as we face the Fourth Industrial Revolution, it is no exaggeration to say that to remain static is to move backwards.

Selangor perlu mengambil inisiatif untuk melakar ke hadapan dalam knowledge economy, beranjak dari aktiviti berasaskan tenaga buruh kepada amalan pembuatan pintar atau Smart Manufacturing Practices.

Sebagai gedung kuasa ekonomi negara, Selangor mesti menerajui inisiatif untuk menyediakan modal insan yang diperlukan dalam menghadapi cabaran Industri 4.0 yang akan mendatangkan pelbagai ‘disruption.’

Mulai tahun 2018, program IKTISASS dilaksanakan dan akan menjadi touchstone dalam perkembangan kemahiran teknikal, vokasional dan profesional bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat nasional.

Sebagai contoh, antara cabaran Industri 4.0 ialah kekurangan kemampuan firma pembuatan ‘design and build’ di Malaysia. Kebolehan ini merupakan teras dalam industri “high impact manufacturing” terutamanya dalam industri aeroangkasa. Dengan kemampuan ini, firma pembuatan akan mempunyai keupayaan serta daya saing dalam mendapatkan kontrak pembuatan komponen rumit dari syarikat antarabangsa.

Di sinilah Strand Aerospace memainkan peranan penting dalam menyiapkan dan melatih sumber manusia yang dapat menyokong industri pembuatan nilai tinggi.

Strand Aerospace akan bersama-sama UPEN sebagai rakan industri dalam bidang latihan kejuruteraan nilai tinggi. Kejayaan mendapatkan lebih banyak kontrak serta pelaburan asing melalui kemampuan kejuruteraan teras ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan industri berimpak tinggi di Negeri Selangor dan seterusnya kepada negara keseluruhannya.

Penubuhan Aerospace Council membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk membina Selangor sebagai hub aeroangkasa di mana label 3S merangkumi Subang, Sepang dan Serendah telah menjadi jenama antarabangsa kepada lokasi strategik dan kemudahan lengkap untuk memajukan industri apex ini.

Kerajaan Negeri komited untuk memperluaskan bidang Maintenance, Repair & Overhaul (MRO) dan menarik lebih banyak pelabur untuk melabuh di Selangor. Kita berpotensi menjadi peneraju serantau dalam sektor ini.

Melalui rangka kerjasama dengan SHRDC, IKTISASS mengorak langkah ke arah penguasaan kemahiran aras tinggi atau high level TVET dengan kerjasama langsung pihak industri melalui syarikat-syarikat multinasional dan syarikat SME utama di Selangor.

Konsep demand-driven talent building paradigm juga merangkumi bidang kemahiran asas dan pertengahan akan memberi penumpuan kepada pembangunan sistem automasi serta artificial intelligence, sistem pembuatan pintar atau smart manufacturing dan aplikasi Big Data Analytics dengan jaringan capaian Cloud Computing.

Ini merupakan agenda pembaharuan sektor pembuatan yang menjadi nadi sektor industri di Selangor. Visi IKTISASS melalui SHRDC adalah untuk merobah lanskap sektor industri di Selangor ke arah sistem pembuatan dan perkilangan pintar.

Dengan menaik taraf rantaian nilai atau value chain, serta menggunakan pelbagai aplikasi selaras dengan Industri 4.0, sektor perkilangan di Selangor akan mampu dipertingkatkan setaraf dengan negara-negara maju seperti di Eropah dan Jepun.
Kerajaan Negeri turut menggalakkan sistem perantisan aras tinggi atau high level apprenticeship di kalangan pihak industri yang terlibat. Melalui sistem ini, pihak industri akan turut serta secara aktif dalam melatih bakal pekerja dengan konsep pelaksanaan place-and-train, yang ternyata memanfaatkan semua pihak yang terlibat.

Dalam mengejar arus kemodenan, Kerajaan Negeri sama sekali tidak melupakan para belia yang kurang bernasib baik serta tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Program IKTISASS ini turut mengambilkira keperluan tenaga mahir dan separa mahir di kalangan belia lepasan SPM.

Sejak tahun 2015, program Youth Enhancement Strategy (YES) Selangor telah berjaya melatih para belia di Selangor dalam bidang teknologi kejuruteraan dan pemasangan sistem solar. Program YES Selangor ini turut diserap dan dijenamakan semula dalam inisiatif IKTISASS, yang menyaksikan lepasan pelatih program solar kini turut melaksanakan pelbagai projek di rantau Asia Tenggara.

Melalui program ini, para belia dilengkapi dengan kemahiran teknikal asas yang membolehkan pihak syarikat melantik mereka ke jawatan sokongan teknikal dan meningkatkan peluang kerjaya bagi jangkamasa panjang.

Program IKTISASS ini turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran di kalangan graduan. Graduan lepasan universiti pada hari ini berdepan dengan masalah pengangguran di mana pihak majikan lebih memilih golongan pekerja yang berpengalaman.

Melalui program IKTISASS di SHRDC, para pelajar teknikal dan kejuruteraan didedahkan kepada sistem pembuatan pintar dengan kerjasama Swiss Smart Factory di Biel, Switzerland. Program jangka pendek yang dilaksanakan semasa cuti semester dibuka kepada semua anak Selangor yang sedang mengikuti pengajian di universiti tempatan bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran terkini, selaras dengan cabaran Industri 4.0.

SHRDC juga sedang berganding bahu dengan Selangor Business School untuk meneroka kemungkinan memperkenalkan Master’s in Apprenticeship atau MBA dengan Pengkhususan dalam Perantisan.

Kerajaan Negeri percaya bahawa melalui inisiatif-inisiatif dan kaedah ini, kita mampu mencipta talent pool of skilled and knowledge workers yang akan menarik minat lebih ramai pelabur asing berteknologi tinggi untuk beroperasi di Selangor.

Program IKTISASS ini juga melibatkan kepakaran INPENS sebagai institusi latihan kemahiran di bawah Kerajaan Negeri, yang lengkap dengan infrastruktur dan alat bantu mengajar bertaraf industri dan mampu melahirkan seramai 900 tenaga mahir setahun.

Diiktiraf sebagai penyedia latihan bertaraf 5 bintang oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, di bawah IKTISASS, INPENS akan menawarkan latihan meliputi bidang-bidang kemahiran berimpak Industri 4.0 dalam lingkungan fundamental and practical skills seperti automatif, elektrik, penyaman udara, elektronik dan sistem komputer.

Progam IKTISASS ini perlu juga dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan utama yang bersepadu termasuk STEM, inovasi kreatif dan R&D merangkul beberapa bidang industri yang telah dikenalpasti berpotensi untuk berkembang seperti e-commerce, bioteknologi, aeroangkasa dan industri halal.

Sudah sampai masanya, universiti melakukan transformasi secara menyeluruh. Our universities need to be re-designed and re-engineered.

Silibus yang diajar berdasarkan paradigma lama menjadi makin tidak relevan dan usang. Kaedah pedagogi perlu dikaji semula dan kurikulum perlu dirombak.

Selain daripada kemahiran utama yang diajar oleh penyedia latihan kemahiran seperti yang disebutkan di atas, kemahiran lain yang diperlukan dalam Industri 4.0 termasuk critical thinking, complex problem-solving, cognitive flexibility and inter-personal communication.

Universiti kita perlu menghadapi cabaran masa akan datang dan memberikan fokus kepada pengajaran kemahiran-kemahiran tersebut yang begitu penting untuk meningkatkan pekerjaan.

Akhir kata, di samping menjadi teras kepada transformasi negeri, program IKTISASS juga merupakan sebahagian dari proses social re-engineering and democratization of career opportunities bagi rakyat khususnya millennials supaya mereka dapat turut menikmati kejayaan ekonomi Selangor di bawah Kerajaan Negeri hari ini yang bertekad untuk Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Pelancaran Inisiatif Kemahiran Teknikal & Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS).

Sekian, terima kasih.

Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan

Alhamdulillah, saya amat gembira dapat bersama-sama dengan anggota perkhidmatan awam Selangor dalam Perhimpunan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dihoskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang telah ditubuhkan sejak 15 tahun yang lalu memainkan peranan yang aktif dalam menerajui pelbagai inisiatif yang berinovasi dan kreatif bagi membolehkan rakyat Negeri Selangor mempunyai akses kepada perumahan yang berkualiti, affordable dan selesa untuk keluarga.

Besar kemungkinan, rapat pada hari ini adalah yang terakhir untuk penggal ini. Ini adalah proses biasa dalam amalan demokrasi di mana kami akan menyerahkan semula mandat ini kepada rakyat untuk dinilai dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat untuk memperkasakan diri dan menentukan masa depan dan hala tuju negara. Menurut penulis terkenal Henrik Ibsen, “a community is like a ship; everyone ought to be prepared to take the helm.”

Menjadi tanggungjawab sebuah Kerajaan yang demokratik dan bermaruah untuk membenarkan proses demokrasi terus disuburkan dan menjamin hak rakyat untuk membuat pilihan melalui proses pilihan raya yang adil dan bersih.

Semenjak saya diberikan tanggungjawab selaku Dato’ Menteri Besar, saya dan pasukan telah berusaha sedaya upaya kami untuk bekerja kuat dan memberikan perkhidmatan yang terbaik serta menjamin hak rakyat Negeri Selangor terus terpelihara.

Saya berasa amat bertuah dan bersyukur kerana diberikan pasukan pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang komited untuk bersama membangunkan Negeri Selangor dengan berpegang kepada piagam perkhidmatan awam iaitu berkhidmat dengan jujur, berintegriti dan profesional.

Saya menjunjung titah nasihat DYMM Tuanku Sultan Selangor ketika Perasmian Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas bahawa politik bukanlah semata-mata untuk memburu kuasa. Politik dalam pengertian sebenar adalah usaha untuk mencapai urus tadbir yang cemerlang bagi membangunkan negeri. Dalam hal ini, pentadbiran Kerajaan Negeri yang stabil dan meletakkan agenda peduli rakyat mengatasi polemik dan politik sempit.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua termasuk diri saya bahawa kuasa membawa satu tanggungjawab yang berat dan amanah. Tanggungjawab ini perlu digalas dengan penuh perasaan tawadu’ atau humility.

Hal ini diungkapkan oleh TS Eliot, “The only wisdom we can hope to acquire, is the wisdom of humility : humility is endless.” Kerajaan Negeri akan meneruskan amalan politik luhur yang berteraskan prinsip dan nilai.

Saya menyifatkan antara kejayaan saya dalam tempoh hampir 4 tahun sebagai Dato’ Menteri Besar ialah apabila saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan dapat menyelesaikan masalah rakyat. Saya mempunyai pengalaman kerja yang amat bernilai apabila Pegawai-Pegawai Daerah turun ke bawah untuk menyantuni rakyat bersama-sama dengan saya di desa, kampung dan pekan untuk mendengar keluhan rakyat dan akhirnya berjaya menyelesaikan masalah rakyat.

Seperti diungkapkan oleh Albert Einstein, “the only source of knowledge is experience”, maka pengalaman ini telah menggilap tekad dan iltizam kami untuk terus bekerja dengan lebih kuat untuk membangunkan Negeri Selangor.

Kejayaan yang telah kita lakarkan bersama telah meletakkan Selangor pada hari ini sebagai premier state atau negeri terunggul di Malaysia.

Saya juga gembira kerana mendapat cambahan idea atau the cross fertilization of ideas daripada Ketua-Ketua Jabatan sama ada Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah UPEN, Pengarah PTG semata-mata untuk mencari penyelesaian yang terbaik dan merencana satu perancangan strategik demi kemajuan negeri.

Semua ini adalah pengalaman yang cukup manis dalam kerjaya saya dan akhirnya atas permuafakatan yang utuh inilah, kita dapat mempeduli rakyat dan memakmurkan Negeri Selangor.

Antara kejayaan kita ialah dalam sektor perumahan awam di mana Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang diterajui oleh Puan Norzaton Aini Binti Mohd Kassim telah berjaya memperkenalkan dasar house owning democracy.

Perumahan mampu milik atau Rumah Selangorku adalah agenda penting Kerajaan Negeri Selangor untuk membolehkan golongan millennials, B40 dan M40 untuk mendapat akses kepada pemilikan rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki.

Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan kerjasama pihak swasta telah berjaya menyiapkan 3,620 unit Rumah Selangorku dan tambahan sebanyak 20,627 unit sedang dalam pelbagai peringkat pembangunan dan dijual dengan harga di antara RM 42,000 sehingga RM 250,000.

Sebanyak 70% daripada Rumah Selangorku yang dibina di Negeri Selangor adalah di bawah kategori harga kurang daripada RM 200,000.

Kegagalan pembeli mendapat pinjaman perumahan akibat prosedur kredit yang ketat telah menyebabkan rakyat biasa tidak dapat memiliki rumah.

Untuk menjayakan house owning democracy, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Smart Sewa pada tahun 2016 untuk membantu rakyat berpendapatan sederhana menyewa kediaman sebelum mempunyai keupayaan untuk membeli rumah dengan peruntukan sejumlah RM 10 juta.

Melalui skim ini, penyewa akan mendapat kembali 30% daripada jumlah sewaan untuk digunakan sebagai deposit membeli kediaman baru.

Skim ini telah mendapat sambutan yang amat gemuruh daripada rakyat khususnya golongan millennials. Justeru, pada tahun 2017, Kerajaan Negeri telah meningkatkan pembiayaan Skim Smart-Sewa kepada RM 100 juta untuk membeli unit-unit rumah di lokasi strategik yang disewakan kepada mereka yang berkelayakan.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan skim Smart Selangor First Home Buyers di mana Kerajaan Negeri akan mendahulukan pembayaran deposit sebanyak 10% tertakluk kepada jaminan pembiayaan yang diperolehi oleh pembeli melalui bank atau institusi kewangan lain untuk pembelian Rumah Selangorku.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan setingginya kepada Puan Norzaton Aini Binti Mohd Kassim yang telah melakukan anjakan paradigma dalam mentransformasikan peranan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan mengangkat kepada satu tahap kecemerlangan. Beliau juga bertanggungjawab memperkenalkan Dasar Rumah Selangorku 2.0 yang lebih kreatif dan inovatif untuk memenuhi aspirasi rakyat dalam sektor perumahan.

Saya mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau selama 26 tahun dalam pentadbiran awam dan mendoakan agar beliau akan terus aktif menyumbang khidmat dan pengalaman beliau kepada masyarakat.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga kerja Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS)  di atas komitmen yang tinggi dalam memastikan dasar pendemokrasian pemilikan rumah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Penjawat awam yang berintegriti merupakan “the conscience of the government” – hati nurani dan lubuk hati kerajaan. Saudara-saudari telah menyumbang kepada kejayaan yang kita kecapi pada hari ini. Oleh itu, jangan kita runtuhkan apa yang telah kita bina dengan keringat, komitmen, idealisme dan pengorbanan yang luhur. Selangor kini telah muncul sebagai khazanah yang bernilai, kekayaan dan kejayaan yang perlu dipelihara dengan bertanggungjawab. Saudara-saudari bertanggungjawab untuk mempertahankan kekayaan dan kejayaan ini demi anak bangsa di masa yang akan datang.

Maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Sambutan Ulangtahun Ke-15 Penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Sekian, terima kasih.

Majlis Penyerahan Projek Menaikaras Jambatan Serta Membaikpulih & Menstabilkan Tebing Sungai Jelok, Pekan Kajang

Alhamdulillah, pada pagi ini kita akan menyaksikan kejayaan Negeri Selangor mengatasi masalah banjir di Pekan Kajang untuk jangka masa panjang berbanding dengan masalah banjir di Pekan, Pahang yang sehingga hari ini gagal ditangani dengan bertanggungjawab.

Menurut PLAN@Malaysia Selangor, penumpuan penempatan penduduk di Negeri Selangor adalah di daerah-daerah yang bersempadan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur khususnya di Gombak, Klang, Petaling dan Hulu Langat ekoran capaian prasarana yang baik dan pembangunan ekonomi yang rancak.

Daerah Hulu Langat merupakan antara daerah yang sedang rancak membangun dengan pelbagai projek seperti projek pembangunan perumahan, kawasan industri dan komersil serta kemudahan pengangkutan awam termasuk rangkaian rel dan pembangunan infrastruktur awam seperti Loji Rawatan Air Langat 2 dan projek menaiktaraf Hospital Kajang bagi wad kanak-kanak dan wanita.

Menjelang 2020, jumlah penduduk di Daerah Hulu Langat dianggar mencecah 1.4 juta orang dengan Kadar Purata Pertumbuhan Tahunan (KPPT) 1.8%.

Dengan unjuran penduduk ini, cabaran utama adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan penjanaan peluang pekerjaan serta menaiktaraf kemudahan awam dan infrastruktur bagi menjamin kemajuan yang berterusan.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor juga menyediakan social economic safety net seperti Inisiatif Peduli Rakyat yang meliputi sektor kesihatan, pendidikan dan keusahawanan.

Antara projek yang diberi keutamaan oleh Kerajaan Negeri Selangor semenjak akhir 2014 ialah projek tebatan banjir di Pekan Kajang yang melibatkan dua projek dengan skop kerja yang saling melengkapkan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja-kerja menaikaras Jambatan Sungai Jelok dengan kos kontrak bernilai RM 3.2 juta. Skop projek adalah membina jambatan (bebo arch) dual-carriageway 4 lanes beserta laluan perjalan kaki dan menaikaras jalan tuju. Kerja-kerja ini telahpun siap pada 26 Januari 2018.

Manakala, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor menjalankan projek membaikpulih dan penstabilan Tebing Sungai Jelok di Pekan Kajang bermula akhir Mac 2015 dan siap pada pertengahan September 2016 dengan kos sebanyak RM 4.82 juta.

Kerja-kerja menaiktaraf Sungai Jelok yang melibatkan jajaran sepanjang 800 meter perlu dilaksanakan berikutan kekerapan berlakunya banjir di Pekan Kajang. Antara yang paling teruk ialah pada 3 September 2014 dan sebelumnya pada 3 Disember 2011.

Antara skop kerja JPS adalah melebarkan sungai sedia ada, membina struktur floodwall, flood gate dan flap gate.

Alhamdulillah, projek melebarkan sungai dan penstabilan tebing Sungai Jelok serta menaikaras jambatan telah menyumbang kepada kejayaan menangani masalah banjir di Pekan Kajang walaupun rekod taburan hujan tertinggi dicatatkan dengan intensity sebanyak 128 mm.

Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM 8 juta untuk menyiapkan kedua-dua projek ini bagi menjamin kesejahteraan rakyat di Pekan Kajang. Inilah Kerajaan yang peduli rakyat.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor juga telah mengambil tindakan penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir di Pekan Kajang untuk pelan jangka masa sederhana dan panjang seperti berikut :

a. Pelan Induk Saliran Bandar Kajang.
b. Penyediaan Kajian Pembangunan Tempatan PBT (Fokus Pembangunan Sekitar Sungai Jelok).
c. Menyiapkan Projek Menaiktaraf Sungai Jelok Fasa 1 dan Fasa 2 yang dirasmikan pada pagi ini.
d. Dalam pelaksanaan projek menaiktaraf Kolam Takungan di Penjara Kajang.
e. Pemantauan pembangunan tanah di bahagian tadahan Sungai Jelok secara berterusan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi pelaksana bagi penyelesaian masalah banjir di Pekan Kajang seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Kajang dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Kejayaan projek ini turut disumbangkan oleh kesedaran sivik penduduk dan orang awam untuk memelihara kebersihan sungai dan sistem perparitan dengan tidak membuang sampah ke dalam sungai.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Penyerahan Projek Menaiktaraf Jambatan serta Projek Membaikpulih dan Penstabilan Tebing Sungai Jelok, Kajang.

Sekian, terima kasih.

Majlis Pecah Tanah Pembangunan Blok Tambahan Masjid Darul Ehsan, Taman Tar

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu pada hari ini bersempena Majlis Pecah Tanah Pembangunan Blok Tambahan Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak.

Sebentar tadi, saya dan pimpinan baru selesai menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Kampung Klang Gate yang baharu. Kedua-dua program ini menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyemarakkan syiar Islam serta mengimbangi pertumbuhan dan pembangunan negeri dengan keutuhan pembangunan kerohanian di kalangan umat Islam.

Untuk memperkukuh pembangunan kerohanian, Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah RM 106 juta bagi tahun 2018 untuk tujuan pembangunan institusi kerohanian termasuk pembangunan masjid dan surau, sekolah rendah agama, Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) serta program-program yang dapat menyemarakkan kerohanian.

Iltizam Kerajaan Negeri juga dizahirkan melalui pembangunan beberapa buah masjid di Daerah Gombak seperti Masjid Zakaria, Gombak Utara, Masjid Taman Ukay Perdana dan Masjid Taman Tun Teja, Rawang yang telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Jawatankuasa Masjid.

Untuk anak-anak qariah Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, jumlah umat Islam yang semakin meningkat telah mendesak kita untuk membangunkan blok baru bagi menampung keperluan masjid. Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan pembangunan sejumlah RM 6 juta untuk memberikan keselesaan buat jemaah untuk beribadah dan melaksanakan pelbagai aktiviti masyarakat dengan terbinanya blok baru ini.

Pada masa yang sama, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para wakif yang telah menyumbang kepada dana wakaf pembangunan blok baru ini yang sehingga mencecah kutipan sebanyak RM 1 juta.

Langkah Kerajaan Negeri ini penting memandangkan peri pentingnya institusi masjid dalam kehidupan umat Islam. Masjid merupakan pusat ibadah, pusat pendidikan serta pusat kemasyarakatan buat umat.

Dalam konteks Negeri Selangor, masjid harus berperanan sebagai benteng pertahanan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Justeru, usaha pengimarahan masjid ini adalah sangat penting sehingga Allah SWT memberikan pedoman tentang kualiti insan-insan yang layak mengimarahkan masjid.

“Sesungguhnya hanyalah memakmurkan masjid-masjid Allah siapa yang (dia) telah beriman kepada Allah dan hari akhirat serta telah mendirikan solat dan telah menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah, maka mudah-mudahan mereka bahawa mereka adalah daripada orang yang mendapat petunjuk.”

( Surah At-Taubah : 18 )

Maka, menjadi tanggungjawab kita khususnya anak-anak qariah Taman Tun Abdul Razak untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang sarat dengan ilmu, menyemai erti kesederhanaan dan toleransi serta menangkis fahaman ekstremis dan radikal yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam.

Kita mahu institusi masjid menjadi wahana untuk membingkai muafakat dan perpaduan di kalangan umat Islam dan juga masyarakat yang rencam.

Kita harus sedar, kepelbagaian agama, bahasa, etnik, faham dan pemikiran yang muncul hari ini telah mencabar kesatuan ummah. Dengan kemunculan institusi masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat, maka terdapat ruang untuk saling kenal mengenal – li taarafu demi memupuk semangat ukhuwah di kalangan ummah.

Marilah kita sama-sama mendoakan semoga anak-anak qariah Masjid Darul Ehsan ini juga tergolong dalam golongan mereka yang memiliki sifat-sifat seperti yang ditegaskan oleh Allah SWT untuk mengimarahkan masjid ini, InshaAllah.

Akhirnya, menjadi harapan Kerajaan Negeri agar pembangunan blok baharu Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak ini akan dapat memberikan keselesaan dan suasana yang kondusif kepada jemaah sekaligus menjadi wahana buat anak-anak qariah memartabatkan syiar Islam, InshaAllah.

Sekian, terima kasih.

Majlis Pecah Tanah Masjid Klang Gate, Hulu Kelang

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat berhimpun di Majlis Pecah Tanah Masjid Klang Gate, Hulu Kelang yang akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri selaras dengan hasrat untuk memartabatkan syiar Islam di Negeri Selangor.

Saya berasa amat gembira kerana dapat berada di sini, di kampung tempat saya dibesarkan demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk saya menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Klang Gate.

Justeru, majlis pada hari ini juga turut dihadiri oleh wakil daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Usaha pembangunan masjid yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada hari adalah bertujuan untuk memperkukuh ukhuwwah dan muafakat di kalangan umat Islam. Kita yakin, peranan dan fungsi sebenar institusi masjid akan dapat menggembeleng kekuatan umat Islam selaras dengan firman Allah SWT :

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;”
(Surah Ali Imran : 103)

Sebagai wahana perpaduan rakyat, masjid harus menjadi institusi terunggul buat umat Islam yang berperanan sebagai pusat ibadah, pusat pendidikan, dan pusat pengembangan syiar Islam sebagai benteng kepada aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Masjid perlu memainkan peranan sebagai pusat tarbiyyah yang menyemai nilai-nilai murni Islam demi membangunkan umat yang memiliki jati diri Muslim yang sejati. Saya yakin, pengimarahan masjid akan dapat melahirkan “ummatan wasata” yakni umat yang berpegang kepada prinsip Al-Quran seperti keadilan dan kesederhanaan.

Sesungguhnya, ciri-ciri ummah yang mahu kita bangunkan ini adalah paksi kepada kemajuan Negeri Selangor. Hari ini, Kerajaan Negeri bertekad untuk tidak sekadar maju dalam sektor industri dan kewangan tetapi juga seimbang dalam konteks pembangunan kerohanian.

Untuk memperkukuh pembangunan kerohanian, Kerajaan Negeri tuntas menggalas tanggungjawab untuk membangunkan institusi Islam seperti masjid, surau, sekolah rendah agama, Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) serta program-program yang dapat menyemarakkan kerohanian.

Ini termasuklah pembangunan beberapa buah masjid di Daerah Gombak seperti Masjid Zakaria, Gombak Utara, Masjid Taman Ukay Perdana dan Masjid Taman Tun Teja, Rawang. Ketiga-tiga masjid ini telahpun disiapkan sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Jawatankuasa Masjid untuk diimarahkan dengan pelbagai aktiviti ibadah, sosial dan kemasyarakatan.
Untuk tahun 2018, Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah RM 106 juta bagi tujuan pembangunan institusi kerohanian di Negeri Selangor.

Untuk anak-anak qariah Kampung Klang Gate, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membangunkan sebuah masjid baru di atas tapak masjid lama seluas 4.864 meter persegi. Pembangunan ini adalah untuk menggantikan masjid lama yang tidak lagi dapat menampung jumlah umat Islam di sekitar. Justeru, InshaAllah, pembangunan yang menelan kos hampir RM 23 juta ini akan mampu menampung 1,500 jemaah dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Ogos 2020.

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam pembangunan masjid ini khususnya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor serta para waqif.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Kampung Klang Gate.

Majlis Gotong-Royong Bersama Penduduk AU 2, Taman Seri Keramat

Alhamdulillah saya panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana pagi ini kita dapat meluangkan masa memberikan komitmen kita samada sebagai warga penduduk kawasan AU2 mahupun warga KDEB Waste Management (KDEBWB) untuk menggembleng tenaga bagi menjayakan program gotong-royong perdana ini.

Saya ingin mengambil peluang pada pagi ini untuk menyatakan bahawa sementara Negeri Selangor hari ini kekal dan maju dalam bidang industri teknologi tinggi dan juga kewangan, Selangor juga merupakan negeri peneraju kepada gagasan ‘Smart State’ atau ‘Negeri Pintar’ yang berorientasikan perkhidmatan untuk memberikan penyelesaian atau solution secara pintar melalui internet of things, big data atau artificial intelligence.

Sebagai sebuah negeri yang maju kita tidak boleh kekal di takuk yang sama. Pimpinan Kerajaan Negeri harus menerima cabaran ini bahawa kita harus maju ke hadapan untuk bersaing dengan negeri-negeri dan negara-negara yang lebih maju daripada kita. Maka, sudah tentulah antara cabaran pada hari ini adalah bagaimana kita dapat membangunkan Selangor sebagai Smart State yang dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efisyen kepada rakyat menggunakan teknologi yang canggih dan sistematik pada hari ini.

Atas kesedaran ini, maka Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk menubuhkan KDEBWM Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri untuk melakukan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh Negeri Selangor secara berperingkat.

Kita sedia maklum bahawa KDEBWM telah pun mengambil alih perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan juga kutipan sampah domestik di kawasan pentadbiran MPAJ bermula 1 Mac 2017. Mulai 1 Disember 2017 yang lalu, KDEBWM juga telah mengambil alih perkhidmatan pengurusan pembersihan awam.

Apabila KDEBWM mengambil alih peranan ini, sudah tentulah kita ingin melihat ianya membawa kesan yang positif dan lebih baik daripada sebelumnya.

Maka atas dasar Kerajaan Negeri yang saya nyatakan tadi, maka KDEBWM juga telah menggunakan modus operandi berpandukan smart waste management dan ini adalah salah satu cabang di dalam inisiatif Smart Selangor yang peduli rakyat.

Smart waste management ini telah membuktikan bahawa dengan menggunakan ‘solution’ yang telah diaplikasikan, banyak aduan-aduan dapat diselesaikan dengan baik. Sebab itu saya merasa amat kecewa apabila ada individu daripada Putrajaya yang turun ke Hulu Selangor baru-baru ini yang telah melontarkan pelbagai bentuk fitnah dan tohmahan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

Antara serangan yang dilontarkan adalah Negeri Selangor hari ini merupakan negeri yang kotor, banyak sampah sehinggakan sungai-sungai juga kotor tidak diuruskan dengan baik, maka apabila sungai-sungai kotor, timbullah masalah nyamuk Aedes dan demam denggi yang meningkat di Negeri Selangor.

Bagaimana kenyataan ini boleh dikeluarkan sedangkan nyamuk Aedes tidak boleh membiak di atas air yang kotor. Nyamuk Aedes hanya boleh membiak di atas air yang bersih. Maknanya, sungai di Selangor ini adalah sungai yang bersih.

Kalau basic information inipun tidak boleh dikuasai, saya kira beliau tidak layak untuk meneruskan kepimpinan. Begitu juga sampah-sampah di Selangor, saya hanya boleh memberikan statistik kerana statistik doesn’t lies.

Sebagai contoh semenjak KDEBWM mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan awam di MPAJ pada bulan Mac 2017, kita menerima 225 aduan sebulan. Tiga bulan kemudian hanya enam aduan sahaja diterima. Penurunan sebanyak 97 peratus, prestasi dikekalkan dengan memberikan perkhidmatan yang berteknologi tinggi dan kini kurang kepada hanya lima aduan sahaja sebulan.

Statistik di Selayang pada bulan Mac 2017 di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang terdapat 1,300 aduan. Sebaik sahaja KDEBWM mangambil alih, tiga bulan kemudian turun kepada 131 aduan. Penurunan 90 peratus dan kini MPS menerima kurang daripada 20 aduan sebulan.

Justeru, saya harap media yang hadir, tolong jangan bawa ‘fake news’ dan fitnah.

Kita harus sedar, kebersihan adalah cerminan tahap peradaban sesebuah masyarakat dan negeri. Kita harus mengambil iktibar daripada negara maju seperti Jepun di mana masyarakatnya memiliki disiplin serta budaya cintakan kebersihan yang tinggi.

Masyarakat Jepun dibudayakan untuk mencintai kebersihan dan mempunyai rasa tanggungjawab yang amat tinggi untuk menjaga lingkungan mereka. Ini membuktikan bahawa Jepun bukan sahaja sebuah negara yang maju dalam konteks pembangunan tetapi juga nilai peradaban yang tinggi.

Justeru, Kerajaan Negeri hari ini bertekad melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal yang efisyen, efektif dan sistematik melalui smart waste management. Alhamdulillah, usaha ini diterajui oleh KDEB Waste untuk memastikan Selangor kekal bersih, ceria dan sejahtera.

Selain aktiviti gotong royong pada hari ini, atas dasar tanggungjawab dan prihatin tentang kebersihan, KDEB Waste akan menyampaikan bantuan dengan memberi sumbangan tong sampah jenis “Leach Bin” sebanyak 94 unit dan 30 unit “Chute Bin”. Tong-tong sampah ini akan diserahkan kepada pihak MPAJ untuk diagih-agihkan ke kawasan Ampang Jaya.

Sumbangan ini adalah tambahan kepada sumbangan 500 tong sampah jenis MGB 120L yang telah diserahkan oleh KDEB Waste kepada MPAJ pada 23 Februari 2018 yang lalu untuk diagihkan ke kawasan Ampang Jaya.

Saya dimaklumkan juga bahawa pada pagi ini pihak KDEB Waste juga akan mengadakan demonstrasi jentera Road Sweeper yang telah dilancarkan pada bulan lalu. Jentera ini merupakan yang pertama digunapakai di PBT.

Jentera Road Sweeper ini dilengkapi dengan GPS tracking system dan akan digunapakai di kawasan Ampang Jaya dan Klang terlebih dahulu untuk kerja-kerja sapuan jalan dan pembersihan awam.

Saya mengucapkan tahniah kepada KDEB Waste Management kerana terbukti komited untuk menjayakan dasar Kerajaan Negeri.

Akhirnya, menjadi harapan kita agar usaha ini dapat menjamin mutu dan kualiti kehidupan rakyat yang lebih sihat, harmoni dan sejahtera.

Sekian, terima kasih.

[Ucapan] Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Antara Negeri Selangor Dan Negeri Pahang

Alhamdulillah, pada petang yang bersejarah ini, Pahang dan Selangor bertemu untuk merajut sejarah dan memeterai Memorandum Persefahaman dan Perjanjian Sempadan Antara Negeri Selangor Darul Ehsan dan Negeri Pahang Darul Makmur.

Bagi pihak rakyat Negeri Selangor, saya ingin mengalu-alukan YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang dan delegasi Kerajaan Negeri Pahang ke Shah Alam.

Perjanjian ini amat signifikan kerana ianya saling mengiktiraf kedaulatan kedua-dua buah negeri yang berjiran dan memuktamadkan keabsahan sempadan.
Pahang dan Selangor bukan sahaja berjiran, bahkan mempunyai silsilah persaudaraan dan saling membantu sejak zaman berzaman.

Sempadan merupakan garis penentuan daerah takluk dan kedaulatan sesebuah negeri dan negara. Sempadan yang jelas dan diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan akan menghasilkan hubungan yang harmoni dan produktif.

Sejarah mencatatkan bahawa asas penandaan dan pengukuran sempadan negeri antara Selangor dan Pahang adalah berdasarkan pertukaran surat menyurat di antara Setiausaha Residen Selangor dan Setiausaha Residen Pahang di antara tahun 1927-1929 dan Warta Kerajaan Persekutuan No. 112 dan No. 3199 pada 14 Januari 1911 berasaskan kepada keadaan kedudukan Legeh Utama (watershed).

Jajaran sempadan di antara Selangor dan Pahang bermula dari pertemuan sempadan Selangor, Pahang dan Perak mengikut legeh utama sehingga ke pertemuan sempadan Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.

Pada 11 Julai 1994, satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani oleh Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pahang untuk menerima pakai sempadan yang telah siap diukur sepanjang 60.4 kilometer.

Kedua-dua negeri berhasrat untuk melengkapkan kerja-kerja menanda, mengukur dan menentukan sempadan di antara kedua-dua negeri itu di dua kawasan sejauh 39.1 kilometer.

Setelah 107 tahun usaha ini bermula, pada hari Jumaat yang penuh dengan barakah ini, kita akan memuktamadkan perjanjian sempadan ini dengan jarak keseluruhan jajaran sempadan Selangor – Pahang sepanjang 99.5 km.

Pada hari yang bersejarah ini, kita akan menandatangani Memorandum Persefahaman dan Perjanjian Sempadan dengan menerima hasil ukuran tersebut.

Hari ini, kita sedang berada dalam zaman teknologi moden yang semakin canggih dan maju ke hadapan. Majlis menandatangani perjanjian sempadan ini adalah hasil pencapaian daripada kemajuan secara berperingkat melalui proses yang bercirikan ketepatan dengan peralatan canggih dan sistematik serta metodologi penandaan yang terkini, perjanjian bertulis dan sempadan yang diukur, dipetakan dan melalui dokumen-dokumen yang telah disahkan.

Asas penentuan sempadan antara negeri di Malaysia pada hari ini juga adalah berdasarkan konsep yang diperkenalkan oleh British seperti Treaty with the King of Quedah, 1800 (Confirmed 1802), Frontier and Boundary Treaties (Quedah 1831), Rumbowe Boundary Agreement bertarikh 9 Januari 1833, Johole 1833, Perjanjian 1867, The Boundary Convention bertarikh 20 Jun 1891 (ditandatangani di London), Award 1898, Perjanjian Bangkok 1899 [Perjanjian Sempadan], Federation of Malaya Government Gazette, Memorandum of Understanding, pertukaran surat menyurat di antara Setiausaha Residen, jajaran lot-lot sedia ada dan mengikut legeh utama.

Kita harus menerima hakikat bahawa hari ini kita berada dalam dunia tanpa sempadan. Sementara kita mengiktiraf keabsahan sempadan geografi dan fizikal, namun kita mesti memupuk semangat persefahaman, kerjasama dalam semua aspek penting kehidupan khususnya yang menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di antara dua buah negeri ini.

Selangor senantiasa mengambil langkah-langkah yang proaktif untuk memakmurkan negeri ini termasuk menjalin kerjasama yang erat dengan negeri-negeri jiran. Dalam konteks ini, Selangor menerima Negeri Pahang Darul Makmur dengan semangat persaudaraan dan kejiranan.

Satu lagi manfaat daripada majlis yang bermakna ini adalah untuk kita bersama mengangkat kerjasama ekonomi yang wujud di antara Pahang dan Selangor ke tahap yang lebih tinggi bagi menyuntik dinamisme ekonomi sempadan.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia di atas usaha gigih untuk mengukur dan memuktamadkan sempadan antara Negeri Pahang dan Negeri Selangor.

Saya juga menghargai kerjasama daripada pelbagai agensi dari kedua-dua Kerajaan Negeri dalam usaha memuktamadkan sempadan ini.

Saya ingin memberikan penghargaan khusus kepada YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang yang telah memberikan kepimpinan dan sokongan untuk menjayakan usaha yang amat bersejarah ini.

Bagi pihak rakyat Negeri Selangor, saya ingin merafa’ sembah menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang telah memberi perkenan terhadap usaha penandaan dan pengukuran sempadan bersama di antara Negeri Selangor dan Negeri Pahang.

Saya juga menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Pemangku Raja Pahang kerana di bawah payung kedaulatan Tuanku berdua, Negeri Pahang terus berdaulat dan makmur.

Saya berharap, pertemuan petang ini adalah lembaran baru bagi menjalin kerjasama yang lebih produktif untuk kemajuan negara dan bangsa.

Sekian, terima kasih.