“DASH? Saya terima arahan rakyat”

UALA SELANGOR, 27 APR: Projek Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) hanya diluluskan sekiranya mendapat persetujuan semua penduduk di kawasan itu.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata beliau tidak berhak memberi persetujuan kepada projek lebuh raya itu sekiranya penduduk terus membantah.

Katanya ia selaras dengan dasar pentadbiran baru Kerajaan Selangor yang perlu mendengar keperluan membabitkan rakyat.

“Saya minta Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turun berjumpa penduduk dan beritahu mereka sebelum Kerajaan Negeri boleh luluskan projek itu.

“Siapa saya untuk tentukan setuju atau tidak? Saya terima arahan daripada rakyat.

“Sama macam isu Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX), kalau mereka tak nak maka tak naklah,” katanya selepas melawat Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar, di sini petang tadi.

Mohamed Azmin berkata penduduk di kawasan itu tidak membantah pembinaan DASH, namun mereka mahu supaya pelarasan terakhir lebuh raya berkenaan diubah suai.

Katanya, LLM turut memaklumkan jajaran baru sudah disediakan dan bakal dibentangkan kepada penduduk di situ.

“Tak boleh bandingkan KIDEX dengan DASH sebab KIDEX mereka bantah terus tetapi DASH mereka setuju cuma jajaran akhir itu perlu dibetulkan.

“Saya sudah jumpa menteri dan LLM serta minta mereka tunjuk jajaran baru sebab mereka tidak perlu yakinkan saya, tetapi perlu buat kepada rakyat,” katanya lagi.

Sumber: http://bm.selangorku.com/72432/mb-lebuhraya-dash-lulus-jika-rakyat-setuju/