DEEPAVALI NAL VALTHUKAL

Sambutan Deepavali membawa makna pembebasan, pembaharuan serta reformasi yang disambut setiap tahun oleh penganut agama Hindu. Hari Deepavali juga bererti satu kemenangan kepada keadilan apabila kezaliman ditumpaskan dengan cahaya pencerahan.

Menyingkap semula sejarah Deepavali, terdapat seekor raksasa bernama Naragasuran yang menzalimi dan menganiaya rakyat jelata suatu masa dahulu. Kemudian suara rakyat jelata bergabung, mendesak serta menyeru Krishna untuk membebaskan mereka daripada kekejaman dan kezaliman yang berlaku.

Sesuai dengan ungkapan ‘suara rakyat, suara keramat’, Krishna akhirnya menjelmakan diri lalu menewaskan Naragasuran. Makanya kemenangan Krishna disambut dengan rasa gembira dan seluruh rakyat berkumpul bagi merayakan Hari Deepavali yang membawa makna bebas daripada kejahatan dan kegelapan serta memberi cahaya baru dalam kehidupan mereka.

Kemenangan Krishna adalah pencerahan kepada rakyat setelah sekian lama dibungkam kegelapan. Begitu juga dengan gagasan Children of Light yang membawa cahaya menentang kegelapan oleh Children of Darkness. Justeru, perayaan ini merupakan kemenangan bermakna yang menjadi pencerahan kepada rakyat.

Saya menyeru supaya rakyat Malaysia memperkukuh tekad untuk terus menyalakan obor KEADILAN, membawa cahaya yang baru untuk melaksanakan harapan dan impian rakyat. Semoga sambutan Hari Deepavali tahun ini disambut dengan penuh mesra dan semangat kekeluargaan yang harmoni.

Salam pencerahan

MOHAMED AZMIN ALI