Generasi kedua Felda Sungai Tengi bakal miliki kediaman

Sumber : selangorku.com

HULU SELANGOR, 22 JAN: Generasi kedua Felda Sungai Tengi berpeluang memiliki kediaman sendiri melalui pembinaan 136 unit rumah berkembar setingkat oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia bagi membolehkan mereka terus menetap di situ, sekaligus merapatkan keharmonian dan ukhwah keluarga.

Katanya, penduduk hanya perlu membayar RM97,000 untuk mendiami rumah berkeluasan 850 kaki persegi berbanding harga asal RM160,000 dengan kos pembinaan infrastruktur RM7.65 juta ditanggung Kerajaan Selangor.

Penyerahan Borang hak Milik Tanah Felda Sungai Tengi Selatan MB (ASRI) (3)“Pada 9 September 2015 dalam mesyuarat Exco lalu, kita panggil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) supaya mulakan pembinaan rumah terbabit di atas tanah seluas 17 ekar.

“PKNS sudah memulakan proses dan kontrak akan dikeluarkan tahun ini, manakala kerja pembinaan bermula pada Jun 2016,” katanya pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah kepada 139 peneroka Felda Sungai Tengi Selatan di sini, hari ini.

Pengumuman Mohamed Azmin itu mendapat sorakan dan tepukan gemuruh orang ramai yang memenuhi Dewan Serbaguna di kawasan itu.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan komitmen membantu peneroka felda di Selangor termasuk golongan usahawan.

“Kalau hendak buat pinjaman bank RM5,000 pun cukup susah untuk dapat, tetapi Kerajaan Selangor menawarkan pinjaman mikrokredit di bawah skim Pinjaman HIJRAH.

“Rakyat boleh pinjam RM5,000 hingga RM50,000 tanpa faedah untuk mereka yang beminat memulakan perniagaan,” katanya.