Hanya ahli, bukan ‘kartel’ tentukan masa depan PKR

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan parti akan datang berkata, pakatan atau “kartel” tidak menentukan masa depan parti.

Sebaliknya beliau yang merupakan ahli parti sejak 15 tahun lalu ini mengalu-alukan sikap inklusif dan perpaduan untuk mengukuhkan PKR dan mengatakan ia adalah paling utama dalam menghadapi cabaran daripada Barisan Nasional (BN) dan Umno dengan menjadi lebih kukuh untuk pilihan raya umum akan datang.

“Satu pakatan atau kartel tidak akan menentukan masa depan PKR. Hanya ahli yang akan membuat keputusan.

“Kita akan mempunyai pilihan raya (untuk memilih semua pemimpin parti), saya menggalakkan mereka keluar mengundi siapa yang patut memimpin parti, terutamanya pada masa sukar seperti sekarang apabila terdapat banyak tuduhan terhadap (penasihat parti) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Terdapat banyak cabaran di hadapan kita. Pulau Pinang dan Selangor kedua-duanya di bawah kepungan BN. Kita memerlukan kepimpinan yang sangat kuat untuk menghadapi BN dan sebagai persediaan untuk pilihan raya umum ke-14,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat parti di Yayasan Aman di Penanti, Pulau Pinang semalam.

Azmin bakal berdepan dengan persaingan sengit untuk mengekalkan jawatan nombor dua parti yang dimenanginya pada 2010, berebut jawatan dengan calon kuat iaitu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, dan pesaing ketiga, ahli parti cawangan Hulu Selangor Datuk K. Ramachandran.

Sudah menjadi rahsia terbuka bahawa Azmin dan Khalid tidak mampu bertentang mata. Dengan kerjasama Saifuddin bersama Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan pakar strategi parti Rafizi Ramli dalam satu pakatan, ia memperlihatkan tanda-tanda bahawa mereka semua mahu menyingkirkan Azmin dari kerusinya.

Azmin berkata beliau tidak melihat cabaran berkenaan sebagai satu percubaan untuk menendangnya keluar tetapi menganggap pencalonan daripada rakan lain sebagai tanda niat baik bagi menawarkan perkhidmatan dan idea baru kepada parti.

Beliau berkata ia adalah proses yang sihat dalam demokrasi, dan bukan pertembungan peribadi antara mana-mana personaliti.

“Jika anda bercakap tentang pembaharuan dan demokrasi, maka sudah tentu ini adalah masa terbaik untuk menunjukkan komitmen dan keyakinan kita mengenainya. Saya mengalu-alukan penyertaan rakan-rakan saya dalam pilihan raya parti.

“Setiap daripada kita mempunyai kekuatan dan idea-idea yang boleh dikongsi dan digunakan untuk membantu satu sama lain serta bagi melengkapkan mana-mana kekurangan yang ada. Saya tidak melihat mereka menentang saya,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mengasingkan diri dalam kempen bagi mengekalkan kedudukannya, beliau berkata tidak pernah mengisytiharkan siapa rakan yang seiring dengannya.

“Saya tidak pernah mengisytiharkan ini adalah VP (Naib Presiden) saya, ini adalah majlis tertinggi saya. Saya terbuka. Jangan salahkan saya.

“Saya tidak datang ke sini untuk mengaku kepada anda (ahli) bahawa anda mesti menyokong menerima VP saya atau barisan, tidak seperti pakatan. Mereka menyatakan secara terbuka. Saya tidak. Saya mempercayai kebijaksanaan ahli-ahli,” katanya.

“Seperti Sim… dia berada di sana dan kini dia di sini. Saya tidak mempunyai masalah,” kata Azmin, merujuk kepada Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang hadir pada perhimpunan itu dengan seorang lagi pemimpin PKR Pulau Pinang, Ahli  Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Lee Khai Loon. Pemimpin-pemimpin tempatan juga dilihat dengan kumpulan lain.

Mengenai sama ada beliau menjadi tidak popular di kalangan pasukan pelapis atas parti kerana keceluparan beliau mengenai pelbagai isu, beliau berkata dikritik selama 15 tahun sejak menyertai PKR dan niatnya adalah jelas.

Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Bukit Antarabangsa berkata, beliau tidak boleh berdiam apabila terdapat perkara yang perlu diketengahkan demi kepentingan rakyat, seperti perjanjian air yang ditandatangani antara kerajaan Selangor dan Putrajaya.

Awal minggu ini, Azmin mencadangkan satu jawatankuasa pemilih dibentuk untuk memantau rundingan berterusan antara Selangor dan Putrajaya berkenaan pengambilalihan aset air.

Beliau berkata kerajaan PR di Selangor berjanji kepada rakyat akan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dan beliau tidak dapat menerima perjanjian air diklasifikasikan sebagai sulit.

“Saya memberitahu Khalid bahawa kami meluluskan Akta Kebebasan Maklumat tetapi kerajaan kini meletakkan perjanjian air di bawah Akta Rahsia Rasmi… ia adalah satu konflik yang besar. Saya tidak dapat berdiam diri.

“Dalam perkara ini, ya, saya mengkritik Khalid tetapi saya melakukannya demi kepentingan rakyat, yang berhak untuk tahu apa yang ada dalam perjanjian itu,” katanya.

“Saya tidak boleh diam kerana kita bercakap mengenai reformasi. Ia adalah bertentangan dengan hati nurani saya. Apabila Umno melakukan kesalahan, kita kecam mereka tetapi apabila PKR melakukan sesuatu yang salah, kita diam. Ini tidak betul.”

Azmin mengakui beberapa pemimpin PR mendapati sukar berurusan dengan beliau apabila berhubung rundingan pembahagian kerusi, tetapi beliau berkata akan terus berjuang mengekalkan kerusi untuk PKR, beliau tidak pernah menentang konsensus.

“Jika saya mahu menjadi popular, saya akan berkata perkara seperti ‘Jadi, anda mahu kerusi, ambillah’. Saya perlu ada pendirian dan saya perlu membayarnya.

“Anwar adalah ketua. Jadi dia perlu memainkan peranannya. Beliau adalah polis yang baik. Saya polis yang jahat,” katanya.

Berhubung spekulasi dalam blog bahawa beliau akan menyertai semula Umno jika kalah dalam pemilihan parti, beliau berkata pelbagai ceramah muncul semasa pilihan raya tetapi beliau yakin rekod prestasinya akan “bercakap” untuk dirinya sendiri.

Beliau adalah pengikut setia Anwar yang menyertai PKR pada 1999 sebagai salah seorang pengasas parti. Beliau merupakan naib presiden selama tiga penggal semenjak 2001.

“Apabila Reformasi berlaku, ramai rakan-rakan saya di negara luar. Anwar memberitahu mereka agar menjauhkan diri kerana tidak mahu mereka menjadi mangsa sistem. Tetapi saya tidak. Saya memberitahunya saya perlu berada di sini untuk mempertahankan kebenaran.

“Ia tidak boleh dipadamkan daripada sejarah dan rekod yang saya ditahan pada 16 September 1998, hanya empat hari sebelum Anwar ditahan. Mereka mahukan saya, pegawai yang paling lama berkhidmat dengan Anwar untuk mengatakan perkara-perkara tertentu dan memalsukan bukti terhadapnya. Saya tidak berbuat demikian.

“Mengapa saya perlu ke BN dan Umno sekarang?” katanya, sambil menambah beliau akan terus berkhidmat dengan PKR walaupun tidak dipilih semula.

Mengenai mengapa beliau tidak bertanding untuk jawatan presiden dan sama ada ia adalah kerana Anwar bakal menggantikan penyandang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih berkuasa, Azmin berkata beliau selesa bekerja dengan salah seorang daripada mereka.

Beliau berkata PKR masih memerlukan Anwar dan tidak ada sebab untuk beliau mencabarnya atau isterinya, Azizah.

“Anwar adalah simbol dalam PKR dan kita perlukan beliau untuk memimpin parti. Saya rasa saya adalah yang pertama meyakinkan beliau untuk menjawat jawatan presiden parti.

“BN tidak akan membenarkannya dengan mudah untuk mengambil jawatan presiden parti… jika apa-apa menghalang Anwar memimpin PKR, Azizah juga mempunyai keupayaan memimpin parti,” katanya dan menambah masanya akan tiba apabila parti perlu bergerak bukan kerana Anwar.

Azmin berkata PKR bukan “parti Anwar” dan ia mesti wajar memberi peluang dan ruang untuk pemimpin generasi kedua bersedia untuk mengambil alih tampuk pentadbiran.

Beliau berkata, adalah cabaran terbesar bagi PKR sekarang supaya ia perlu memastikan terdapat inisiatif dan program mengenal pasti bakat-bakat baru dalam parti dan merekrut profesional muda menjadi ahli.

Para pemimpin muda katanya, mesti terus diberikan peluang mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan di semua peringkat.

PKR mengadakan pemilihan secara langsung untuk memilih pemimpin di semua peringkat, termasuk jawatan tertinggi parti. Pemilihan bermula pada 25 April dan berakhir pada 11 Mei. – 12 April, 2014.

Article by Azmin Ali