Kebajikan Peneroka FELDA Sentiasa Dibela

Kebajikan Peneroka FELDA Sentiasa Dibela

21 Disember 2018

1. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) amat memahami dan prihatin dengan kesukaran yang dilalui oleh peneroka di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bilamana harga sawit dan getah berada pada tahap yang rendah.

2. Di sebalik segala kemelut melibatkan FELDA yang ditinggalkan Kerajaan terdahulu, MEA bersama dengan pengurusan baru FELDA telah dan sedang berusaha keras untuk memastikan kebajikan peneroka dan keluarga mereka sentiasa terpelihara.

3. Sewaktu Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan, simpanan tunai FELDA adalah hampir kosong dengan bebanan hutang sebanyak RM8.025 billion. Ini memberi kesan besar kepada aliran tunai FELDA seterusnya menjejaskan proses pembayaran kepada peneroka dan pembayaran komitmen lain. Pihak pengurusan FELDA telah berikhtiar sedaya upaya untuk memastikan segala komitmen tersebut dapat dipenuhi. Namun, memandangkan jumlah komitmen yang perlu ditanggung adalah tinggi dan berterusan, FELDA kebelakangan ini menghadapi kesukaran untuk memenuhinya.

4. MEA telah mengambil langkah proaktif untuk mengatasi kemelut ini dengan memohon peruntukan khas sebanyak RM77 juta dari Kerajaan. Di atas keprihatinan YAB Perdana Menteri, peruntukan khas ini telah diluluskan pada 20 Disember 2018. Peruntukan khas tersebut adalah untuk perkara-perkara berikut:

(i) bayaran pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil;
(ii) bayaran tunggakan pengurusan tanam semula; dan
(iii) bayaran khairat kematian kepada 120 waris peneroka.

5. Sejumlah RM77 juta akan disalurkan kepada FELDA dengan kadar segera. Semua penyaluran kewangan tersebut dijangka akan selesai pada minggu akhir bulan Disember 2018. Adalah diharapkan agar peruntukan yang disalurkan ini akan dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh peneroka terutamanya dalam menyediakan keperluan persekolahan untuk tahun baharu ini.

6. MEA bersama FELDA sedang dalam proses menggubal pelan pemulihan untuk memastikan pengukuhan dan kemampanan kedudukan kewangan FELDA di samping komited dalam memberi keutamaan kepada kebajikan dan kesejahteraan peneroka serta keluarga mereka.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Hal Ehwal Ekonomi

Leave a comment