Kebangkitan Soweto, Perjuangan Rakyat

Menghadiri Persidangan Parlimen Komanwel ke 59 di Afrika Selatan,
Timbalan Presiden KEADILAN, YB Mohamed Azmin Ali tetap berkesempatan
untuk melawat Soweto, sebuah pekan kecil yang terletak kira – kira 24
km dari Bandaraya Johannesburg.

Soweto adalah lambang perjuangan nasional rakyat yang menentang
penindasan dan diskriminasi warna kulit di Afrika Selatan.

Kebangkitan Soweto atau Peristiwa “June 16” bermula dengan protes anak
muda di Afrika Selatan daripada kalangan pelajar yang bermula seawal
pagi 16 Jun 1976. Protes tersebut menyuarakan penolakan rakyat
terhadap dasar – dasar apartheid serta pembelajaran bahasa Afrikaans
disekolah – sekolah yang dianggap bahasa penjajah. Selain itu, para
pelajar juga menolak kurikulum pendidikan yang dianggap bersifat
perkauman dan menindas rakyat.

Pekan Soweto telah menyaksikan pertembungan anak muda dan polis
apabila protes yang dijalankan secara aman diluar kawasan sekolah
digempur dengan ganas oleh pihak polis. Apatah lagi apabila tembakan
dengan peluru hidup dilepaskan kepada para pelajar hingga menyebabkan
kematian rakyat.

Sejarah perjuangan rakyat di Soweto ini juga selari dengan penubuhan
African National Congress (ANC) yang memperjuangkan hak rakyat dan
menolak diskriminasi serta penindasan. Dukungan rakyat yang begitu
kukuh kepada ANC berlanjutan sehingga ANC berjaya memerintah Afrika
Selatan selepas kejatuhan regim Aparteid pada tahun 1994. ANC kini
adalah parti politik terbesar di Afrika Selatan yang pernah
membariskan tokoh – tokoh yang disegani dunia termasuk Mantan Presiden
Nelson Mandela.