Kempen Basmi Wabak Denggi peringkat Parlimen Gombak

Majlis dimulakan dengan Taklimat kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gombak

 

Ucapan aluan majlis YB Ustaz Hasbullah, Ahli Dewan Negeri Gombak Setia

 

Ucapan perasmian Oleh YB Azmin Ali

 

Sebhagian penduduk yang hadir pada majlis tersebut

 

YB Azmin Ali di bantu Pengerusi Persatuan Penduduk, En Kamal Ariffin melakukan gimik  kempen dengan menyembur saluran takungan tempat pembiakan aedes

 

Saari, YB Azmin, YB Hasbullah dan YB Amiruddin Shari bergambar diatas Skylift selepas gimik pelancaran

 

Keempat-empat YB dibawa meninjau kawasan pembiakan aedes di kawasan Apartment Casmaria

 

YB Azmin melihat tanah mendap di Blok H yang membahayakan penghuni dan mengundang menjadi tempat pembiakan aedes

 

Gombak Setia, 21 Disember 2013 – Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang dan Persatuan Penduduk Apartment Casmaria telah menganjurkan Kempen Basmi Wabak Denggi Peringkat Parlimen Gombak yang dilancarkan oleh YB Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali.

Penganjuran program ini adalah tindakan proaktif Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak Bersama Pusat Khidmat Rakyat DUN Gombak Setia, Batu Caves dan Hulu Kelang untuk membawa kempen pencegahan wabak ini di kalangan masyarakat khususnya dalam Parlimen Gombak.

Matlamat kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk setempat khususnya berkenaan isu kebersihan dan usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes untuk mengawal wabak denggi.

Pejabat Kesihatan Daerah Gombak telah mengenalpasti 45 lokaliti wabak denggi semasa sehingga 20 Disember 2013 dengan pecahan 3 lokaliti berstatus ‘hotspot’ termasuk Apartment Casmaria; 4 lokaliti berstatus ‘Wabak Tak Terkawal’; manakala selebihnya berstatus ‘Wabak Terkawal’.

Daerah Gombak menduduki tempat ketiga daripada 9 Daerah di Selangor yang mencatatkan pendaftaran kes harian denggi yang dilaporkan bagi minggu ke 50 / 2013 dengan jumlah kes terkumpul sebanyak 3018 kes.

Apartment Casmaria, Taman Samudra, Gombak Setia mencatatkan 19 kes denggi sehingga 20 Disember 2013. Hasil tinjauan dan pemeriksaan yang dibuat oleh pihak MPS dan Pejabat Kesihatan Daerah, terdapat bahagian saluran air hujan yang tersumbat di bahagian bumbung pangsapuri yang menyebabkan berlaku takungan air dan pembiakan jentik – jentik.

YB Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dalam ucapan pelancarannya turut menyentuh hal tersebut dan menggesa agensi – agensi terlibat seperti MPS dan Pejabat Kesihatan Daerah untuk memberi perhatian serius untuk menghapuskan tenpat – tempat pembiakan seperti itu dengan kerjasama penduduk.

Sebagai dorongan untuk tindakan yang lebih proaktif di masa akan datang, Azmin juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM 5,200 kepada Persatuan Penduduk Apartment Casmaria bagi menampung sejumlah kos yang telah dikeluarkan oleh pihak persatuan untuk membersih blok pangsapuri dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Majlis pelancaran kempen ini turut dihadiri oleh kesemua Ahli Dewan Negeri dalam Parlimen Gombak iaitu YB Amirudin Shari, ADN Batu Caves, YB Hasbullah Bin Mohd Ridzwan, ADN Gombak Setia dan YB Saari Bin Sungib, ADN Hulu Kelang.

Program tersebut juga mendapat sokongan dan penglibatan yang menyeluruh daripada Persatuan Penduduk Pangsapuri Casmaria, penghulu – penghulu mukim, ketua – ketua kampung dan Polis Di Raja Malaysia.

Diharapkan agar kempen yang dianjurkan ini menjadi pemangkin kepada kesedaran masyarakat tentang bahaya wabak denggi dan lebih peka terhadap isu kebersihan dan pembiakan jentik – jentik yang menjadi punca utama peningkatan jumlah kes denggi di Malaysia khususya di Parlimen Gombak.