Kenyataan Akhbar – Peningkatan Kapasiti Beroperasi Untuk Membangun Semula Ekonomi

Penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan kepada kesihatan rakyat dan juga ekonomi negara. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak ini. Usaha memerangi COVID-19 belum berjaya sepenuhnya tetapi kita telah dapat melandaikan keluk (curve) ke tahap yang terkawal. Namun, kita tidak seharusnya alpa dan akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat.

2. Kerajaan juga bertanggungjawab untuk memulihkan ekonomi termasuk melindungi mata pencarian rakyat. Usaha ini adalah untuk membina semula ekonomi yang mampan, berdaya saing, mengembalikan keyakinan pelabur serta menjamin pekerjaan.

3. Pada 23 April 2020, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kes-kes COVID-19 telah menurun dengan ketara susulan dari usaha berterusan pihak Kerajaan membendung penularan wabak COVID-19.  Bagi memastikan pencapaian yang positif ini berterusan, Kerajaan telah melanjutkan tempoh PKP sehingga 12 Mei 2020. Dengan pelanjutan ini, Kerajaan sedang mengkaji kaedah memulihkan ekonomi secara berperingkat. Ini merangkumi pembukaan beberapa sektor dan sub-sektor ekonomi tambahan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ketat bagi memastikan syarikat terus beroperasi dan pekerja berada dalam persekitaran yang selamat.

4. Sehubungan ini, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bersidang semalam (27 April 2020) telah membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat. Mesyuarat telah meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diwakili oleh Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan turut membentangkan pandangan dan maklum balas di atas perkara yang dibincangkan. Perbincangan tertumpu kepada keperluan untuk memulakan semula (restarting and reviving) rantaian bekalan ekonomi secara menyeluruh yang dapat membantu perniagaan untuk meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang efisyen kepada pelanggan.

5. Keputusan mesyuarat EAC telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang bersidang pada pagi ini (28 April 2020) dan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri serta turut dihadiri oleh semua Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

6. Menyedari keperluan mendesak untuk menangani krisis ekonomi semasa, Kerajaan bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi pada PKP Tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.

7. Pihak syarikat di dalam sektor yang dibenarkan ini WAJIB mematuhi syarat-syarat Prosidur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi sektor masing-masing. Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan dikenakan tindakan undang-undang.

8. Kebenaran ini berkuatkuasa mulai esok (29 April 2020). Pihak syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran.

9. Inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara. Ini tentunya akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana.

10. Sementara Kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan “kebiasaan baharu” dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan.

-TAMAT-

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Menteri Kanan
Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI)

Selasa, 28 April 2020

Article by Azmin Ali

Leave a comment