Kenyataan Akhbar: Program Publisiti & Hebahan Awam Bagi Laporan Tinjauan, Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor sedang menjalankan Program Publisiti dan Hebahan Awam bagi LAPORAN TINJAUAN, Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 selaras dengan peruntukkan Subseksyen 9(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Kajian Laporan Tinjauan ini meliputi sebanyak 18 sektor perancangan seperti berikut :

1.      Kepentingan dan hubungan wilayah;
2.      Penduduk dan perancangan sumber manusia;
3.      Asas dan prospek ekonomi;
4.      Guna tanah dan fizikal;
5.      Petempatan bandar dan desa serta koridor pembangunan;
6.      Pertanian, perhutanan dan perlombongan;
7.      Perindustrian;
8.      Perumahan dan kejiranan hijau;
9.      Kemudahan masyarakat, rekreasi dan sukan;
10.    Pelancongan;
11.    Perniagaan dan perkhidmatan;
12.    Perhubungan dan pengangkutan;
13.    Bekalan air, elektrik, gas, telekomunikasi dan jalur lebar;
14.    Saliran dan perparitan;
15.    Sistem pembetungan;
16.    Pengurusan sisa pepejal dan toksik;
17.    Alam sekitar dan pengurusan sumberjaya; dan
18.    Pemeliharaan warisan.

Program Publisiti dan Hebahan Awam bagi LAPORAN TINJAUAN, Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 adalah bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas dari pihak – pihak berkepentingan dan orang awam untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri bagi dipertimbangkan sebelum Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 disediakan.

Bagi maksud itu, Kerajaan Negeri menggalakkan orang awam dan pihak – pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan terhadap LAPORAN TINJAUAN, Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 supaya Kerajaan Negeri mendapat input – input yang lebih menyeluruh sebelum menggubal dasar-dasar di peringkat Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 kelak.

Pandangan dan maklumbalas ini juga akan dijadikan salah satu asas untuk Kerajaan Negeri menggubal dasar kelak. Kerajaan Negeri sentiasa terbuka dan komited untuk menggalakkan penyertaan  dan penglibatan awam terutama dalam hal ehwal perancangan dan pembangunan Negeri Selangor.

Setelah pandangan dan maklumbalas tersebut dipertimbangkan, Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 akan dipublisitikan sekali lagi untuk bantahan oleh orang awam selaras dengan peruntukkan Subseksyen 9(2), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Orang awam dan pihak berkepentingan sekali lagi diberi peluang dan ruang untuk mengemukakan sebarang bantahan, pandangan dan pendapat terhadap cadangan dasar di dalam Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 yang akan disediakan kelak.

Cadangan Pembinaan Enam Lebuhraya Baru Di Selangor.

Berhubung cadangan enam (6) lebuh raya yang dicadangkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) seperti berikut :

1.    LEBUHRAYA PANTAI BARAT;
2.    LEBUHRAYA KINRARA-DAMANSARA (KIDEX);
3.    LEBUHRAYA SERDANG-KINRARA-PUTRAJAYA (SKIP);
4.    LEBUHRAYA EASTERN KLANG VALLEY EXPRESSWAY (EKVE);
5.    LEBUHRAYA DAMANSARA – SHAH ALAM (DASH); dan
6.    LEBUHRAYA SUNGAI BESI-ULU KELANG EXPRESSWAY (SUKE).

Adalah ditegaskan, cadangan – cadangan tersebut merupakan cadangan dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan masih lagi tertakluk kepada pandangan pihak – pihak berkepentingan dan persetujuan Kerajaan Negeri. Cadangan – cadangan tersebut telah dimasukkan di dalam LAPORAN TINJAUAN, Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 untuk memberi ruang kepada orang awam dan pihak – pihak berkepentingan mengutarakan pendapat dan maklumbalas sebelum Kerajaan Negeri pertimbangkannya di peringkat Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035. Pandangan dan maklumbalas ini sangat penting untuk Kerajaan Negeri menilai kesan dan impak sebelum cadangan – cadangan tersebut di persetujui.

Kerajaan Negeri berfikiran terbuka dan telus, sesuai dengan amalan demokrasi. Perbincangan dan pertukaran fikiran melalui saluran yang betul diraikan dalam perancangan dan pembangunan Negeri Selangor.

Mohamed Azmin Bin Ali