Kenyataan Media – FAS

KENYATAAN MEDIA

30 DISEMBER 2016
Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melalui Kongres Luar Biasa pada Disember 2014 telah bersetuju dan meluluskan sebulat suara untuk memilih saya sebagai Presiden FAS yang baru.

Saya menyambut baik perlantikan ini dengan harapan untuk melakukan perubahan dalam pengurusan FAS dan juga pembangunan sukan bolasepak Negeri Selangor.

YB Amirudin Shari atas kapasiti sebagai EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan Negeri Selangor telah dilantik sebagai Pengurus Pasukan untuk memperkukuh mutu dan kualiti sukan bolasepak termasuk program pembangunan Akademi Merah Kuning. Akademi ini ditubuhkan untuk menggilap bakat pemain-pemain muda Selangor seawal usia 16 tahun. Kami juga berusaha gigih untuk menyediakan dana yang besar bagi menjayakan usaha ini termasuk menjaga kebajikan pemain-pemain bolasepak Selangor melalui pengurusan kewangan yang telus dan berhemah.

Kerjasama erat kepimpinan baru dengan para pemain telah berjaya membawa pasukan bolasepak Negeri Selangor menamatkan kemarau 10 tahun kejuaraan Piala Malaysia selain berjaya ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2015 dan 2016.

Malangnya, setelah hampir 2 tahun kami bersama FAS, kami tidak melihat kesediaan EXCO FAS untuk mendukung perubahan. Barisan EXCO FAS sedia ada masih kekal dengan sikap dan budaya lama – “excessive politics, old-fashioned way of doing things, over dependency on subsidy mentality”. Malah, sehingga kini, barisan EXCO FAS gagal mengemukakan pelan strategik untuk pengurusan bolasepak Negeri Selangor termasuk organisasi pentadbiran yang profesional sebagaimana yang disarankan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang 2018. EXCO FAS terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab serta mengecewakan penyokong dan rakyat Negeri Selangor.

Sehubungan dengan itu, saya dan YB Amirudin Shari mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dengan sebuah organisasi dan pengurusan yang tidak berwibawa dan tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bolasepak Negeri Selangor.

Sukan bolasepak merupakan sukan rakyat yang dapat memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat Negeri Selangor. Justeru, Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan dan dukungan kepada kemajuan sukan bolasepak Negeri Selangor melalui kaedah baru yang akan diputuskan kelak. Kami memberi jaminan kepada penyokong bolasepak Selangor bahawa kegemilangan sukan bolasepak akan dijulang melalui pengurusan yang bersih dan berintegriti.

YAB DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

YB AMIRUDIN BIN SHARI