Kenyataan Media: Ganjaran Khas Prestasi Majlis Tahun 2014 (MBPJ)

KENYATAAN MEDIA YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

4 Mac 2015

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah meneliti cadangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memberi Ganjaran Khas Prestasi Majlis Tahun 2014 sebanyak 3 bulan gaji kepada Ahli Majlis dan kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

MMKN ingin menegaskan bahawa semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor bertanggungjawab untuk menghayati akan tujuan penubuhan yang berorientasikan perkhidmatan kepada rakyat. Oleh kerana itu, PBT diminta mematuhi dasar-dasar Kerajaan Negeri yang telah diputuskan sebelum ini selaras dengan Seksyen 10(9) Akta Kerajaan Tempatan 1972.

Peningkatan kutipan hasil adalah disumbang melalui pembayaran cukai rakyat kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dan tidak boleh dilihat sebagai keuntungan perniagaan.

Kutipan hasil dan rezab perlu diurus dengan berhemah dan dikembalikan kepada rakyat melalui pembangunan yang berkualiti dan perkhidmatan yang efisien termasuk Piagam Pelanggan yang jelas, penyelenggaraan jalan yang baik dan selesa, pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap serta menjamin persekitaran yang bersih dan selamat.

Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu meneroka dan melabur dalam sektor perkhidmatan yang baru untuk meningkatkan kualiti kehidupan bandar.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang hari ini MENOLAK cadangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk memberi Ganjaran Khas Prestasi Majlis Tahun 2014.

Walau bagaimanapun, MMKN bersetuju dengan ganjaran satu bulan sahaja kepada kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya tertakluk kepada syarat-syarat ketat penilaian prestasi secara menyeluruh.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan menyediakan satu garis panduan yang lebih ketat untuk semua Pihak Berkuasa Tempatan bagi menjamin prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.

MOHAMED AZMIN ALI