Kenyataan Media Hari Guru dan Reformasi Pendidikan

Hari Guru yang disambut pada 16 Mei adalah bertujuan untuk menghargai sumbangan warga pendidik dalam mendidik dan membentuk jati diri anak bangsa. Ilmu merupakan asas ketamadunan sesuatu bangsa.

Pada 16 Mei 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah mengubal Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, pembentukan sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai dengan aspirasi masyarakat majmuk dan merancakkan perkembangan bahasa dan kebudayaan semua kaum di Malaysia.

Tuntutan masa kini lebih mencabar. Warga pendidik wajar dilibatkan untuk bersama-sama merangka serta melaksanakan suatu reformasi pendidikan yang berupaya meniup nafas segar kepada sistem pendidikan.

Reformasi pendidikan yang digarap ini mestilah berupaya menjana produktiviti negara. Makanya, reformasi pendidikan sewajarnya memantapkan usaha membangun suatu sistem pendidikan yang bukan sahaja mampu melahirkan graduan akademik dan teknokrat akan tetapi juga berhasil memasakkan teras pendidikan kepada hasrat kemanusiaan yang tinggi.

Kita perlu meneliti amalan dan juga prinsip-prinsip terbaik sistem pendidikan di seluruh dunia untuk memenuhi keperluan guna tenaga dalam negara dan mengekang masalah ‘brain drain’ yang semakin serius dan menjejaskan Pelaburan Langsung Asing negara hari ini.

Reformasi pendidikan juga bertujuan untuk mengangkat martabat warga pendidik supaya imbuhan setimpal dengan peranan strategik para guru dan setaraf dengan kerjaya yang lain seperti akauntan, doktor, jurutera dan peguam.

Guru-guru juga berperanan untuk menanam nilai-nilai murni sejagat masyarakat demokrasi di kalangan generasi muda yang berteraskan prinsip agama dan budaya termasuk kebebasan, menghormati hak asasi manusia, jiwa yang merdeka, membenci kerosakan seperti amalan rasuah dan salah guna kuasa serta menolak faham perkauman yang sempit dan memupuk prinsip toleransi dan semangat muafakat.

Pakatan Rakyat menjunjung prinsip kepedulian rakyat termasuk kebajikan guru-guru dan warga pendidik yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Dasar bersama Pakatan Rakyat yang digariskan dalam Buku Jingga turut menjanjikan elaun khas RM500 sebulan untuk guru-guru sebagai menghargai khidmat dan pengorbanan warga pendidik dalam membentuk jati diri rakyat Malaysia. Pakatan Rakyat juga akan meneliti skim gaji perguruan dan anggota perkhidmatan awam supaya setimpal dengan peranan strategik yang digalas oleh mereka.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Guru dan berikrar akan bersama-sama memartabatkan kerjaya perguruan dan memacu usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.

Selamat Hari Guru

MOHAMED AZMIN ALI
Timbalan Presiden KEADILAN
16 Mei 2011