Kenyataan Media – Langkah-Langkah Sempena Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan

Kenyataan Media – Langkah-Langkah Sempena Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan

KENYATAAN MEDIA

LANGKAH-LANGKAH SEMPENA PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 hingga 31 Mac 2020 bagi menangani penularan pandemik COVID-19.

Semua pihak dikehendaki untuk mematuhi garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan keberkesanan perintah tersebut. Pada masa yang sama, kesihatan dan keselamatan rakyat kekal menjadi keutamaan Kerajaan.

Untuk memastikan keperluan rakyat kepada perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa dan mengurangkan gangguan kepada rantaian bekalan, khususnya bagi makanan dan barang keperluan, saya telah mengadakan beberapa siri libat urus dengan pemegang taruh industri bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap pelaksanaan strategi Kerajaan. Libat urus telah diadakan dengan mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan.

Kami sangat menghargai pandangan yang diberikan oleh pemain industri yang memahami kewajaran melaksanakan PKP dalam suasana kritikal sekarang dan bersedia untuk membantu menjayakan usaha menjamin rantaian bekalan dalam sektor pembuatan mencukupi.

Hasil dari siri libat urus ini, Kerajaan telah dapat mempertimbang dan memberikan kelulusan beroperasi kepada pihak industri pembuatan yang mengeluarkan produk-produk yang ditakrifkan sebagai kritikal (seperti di Lampiran A dalam Kenyataan Media oleh Majlis Keselamatan Negara bertarikh 18 Mac 2020).

Sepertimana yang dijelaskan di dalam Kenyataan Media oleh Majlis Keselamatan Negara petang ini, kelulusan ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu bagi memastikan objektif utama pengawalan penularan wabak COVID-19 tercapai dengan sebaiknya. Garis panduan kesihatan yang ketat termasuk social distancing dan proses sanitasi perlu diamalkan bagi pekerja dalam sektor-sektor pembuatan yang telah diluluskan untuk beroperasi di dalam tempoh PKP. MITI akan menyusul dengan pihak industri untuk memastikan perlaksanaan yang efektif dan berkesan.

Saya juga telah berhubung langsung dengan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, TYT Chan Chun Sing pagi tadi berhubung langkah-langkah bersama yang perlu diambil dalam situasi ketika ini.

Kerajaan akan terus memantau situasi bagi mengatasi cabaran yang berkaitan dengan COVID-19.

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Kanan
Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri

18 Mac 2020

Article by Azmin Ali

Leave a comment