Saya berterima kasih di atas keyakinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional dan Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional di atas pelantikan saya untuk menerajui Perikatan Nasional Negeri Selangor. Saya berikrar untuk menggalas amanah dan tanggungjawab ini dengan menggarap dan memperkukuh seluruh kekuatan Perikatan Nasional di Negeri Selangor.

Selangor merupakan sebuah negeri yang kosmopolitan dan progresif. Rakyatnya yang rencam dan dinamik adalah aset utama Selangor sebagai sebuah negeri maju dan penyumbang utama ekonomi negara.

Menginsafi bahawa cabaran hari ini menuntut sebuah Kerajaan yang stabil dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha menjamin keselamatan rakyat dan mencerdaskan ekonomi negara, Perikatan Nasional Negeri Selangor bertekad untuk mendakap aspirasi rakyat.

Justeru, Perikatan Nasional Negeri Selangor tuntas meneruskan dasar-dasar yang peduli rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi baru serta menjamin penyampaian perkhidmatan yang efisyen untuk rakyat dalam suasana yang mencabar ini.

Untuk menjayakan usaha ini, Perikatan Nasional Negeri Selangor akan terus menggembeleng perpaduan dan kesatuan rakyat untuk bersama-sama dalam usaha pembangunan dan kemajuan negara.

Sebagai sebuah gabungan kerjasama politik, Perikatan Nasional mahu menganjurkan perjuangan murni, luhur dan ikhlas demi mengangkat martabat rakyat dan negara. Maka, saya menyeru seluruh komponen, pimpinan dan aktivis akar umbi Perikatan Nasional khususnya di Negeri Selangor untuk segera menggalang satu kekuatan dan sinergi baru yang segar dan utuh demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

 

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI 

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri

Perikatan Nasional Negeri Selangor