Kenyataan Media – Perletakan Jawatan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor

KENYATAAN MEDIA Y.A.B DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
9 DISEMBER 2014
PELETAKAN JAWATAN KETUA PEMBANGKANG DEWAN NEGERI SELANGOR

Saya kesal dengan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Y.B Datuk Mohd Shamsudin Lias meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Kira – kira Wang Awam (PAC) Negeri.

Jawatan Ketua Pembangkang merupakan jawatan penting dalam pengurusan negeri sebagai penyemak imbang (check and balance) kepada Kerajaan Negeri dan seharusnya dimanfaatkan bagi memberi keadilan kepada rakyat.

Langkah Kerajaan Negeri memberikan pengiktirafan terhadap jawatan Ketua Pembangkang adalah usaha untuk memantapkan demokrasi matang di Malaysia yang mengambil sistem ala Westminster dimana peranan pembangkang dalam pentadbiran tidak dipandang serong atau dianaktirikan. Justeru menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan kemudahan bagi mereka menjalankan tugas.

Justeru pentadbiran Kerajaan Negeri berpendirian Ketua Pembangkang Selangor sewajarnya mempengerusikan PAC Negeri dan menerima kemudahan yang setimpal dengan tanggungjawab yang digalas. Tujuannya untuk meningkatkan lagi keberkesanan sistem demokrasi di Negeri ini.

Bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada penglibatan ADUN – ADUN Pembangkang lain yang aktif dalam Jawatankuasa – jawatankuasa Pilihan Dewan Negeri Selangor yang lain dan memainkan tanggungjawab mereka.

Mohamed Azmin bin Ali