[ KENYATAAN MEDIA ] Respon Terhadap Isu Semasa Selangor

KENYATAAN MEDIA  | 8 SEPTEMBER 2014

Saya menyeru semua pemimpin dan anggota KEADILAN bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan suasana politik. Saya akui kita sekarang sedang menghadapi sedikit kesukaran namun saya yakin berdasarkan pengalaman dan dengan semangat muafakat dalam Parti dan Pakatan Rakyat, pimpinan KEADILAN akan dapat mengatasi kesukaran sekarang.

KEADILAN komited dengan Pakatan Rakyat. Perpaduan Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan. Justeru itu, saya berharap pimpinan dan anggota tidak melatah, sebaliknya sentiasa berhemah, tenang dan berhikmah dalam semua keadaan. Insya Allah kita akan menggunakan kebijaksanaan untuk menjernihkan kekeruhan sekarang.

Saya juga ingin menegaskan dasar KEADILAN yang mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang merupakan salah satu tunggak kerajaan.

Saya yakin kita akan keluar dari kemelut sekarang dan kita perlu menggilap iltizam dan azam untuk maju ke hadapan dan membangunkan Negeri Selangor dan menjaga kepentingan rakyat jelata.

Salam perjuangan

 

Mohamed Azmin Ali

Timbalan Presiden