Kenyataan Media – Serangan Terhadap Tian Chua

Kenyataan Media – Serangan Terhadap Tian Chua

KENYATAAN MEDIA

1 MAC 2020

Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan terhadap Saudara Tian Chua di hadapan Ibu Pejabat Parti KEADILAN Rakyat hari ini. Beliau merupakan seorang aktivis sosial yang dihormati dan pengasas KEADILAN yang berjasa dalam perjuangan KEADILAN sejak ianya ditubuhkan.

Serangan terhadap Naib Presiden KEADILAN semata-mata kerana perbedaan pandangan dan pendapat mencerminkan bagaimana parti tersebut telah diseludupi budaya gengsterisme dan keganasan. Gejala ini menjadi bukti bagaimana parti yang didirikan dengan tujuan murni untuk membela nasib rakyat telah di-hijack oleh orang yang bertopeng reformasi dan menjadikan agenda mendewakan diktator sebagai teras perjuangan. Pimpinan tertinggi Parti KEADILAN Rakyat hari ini kelihatan alpa terhadap budaya samseng tersebut dan menyimpang jauh dari reformasi membela rakyat.

Sebuah parti politik yang berlandaskan perjuangan keadilan dan demokrasi seharusnya menggunakan wacana rasional dan perdebatan yang berasaskan kepada fakta.

Apabila sesebuah parti itu telah dirasuk oleh unsur gangsterisme dan pimpinan membiarkannya terus berleluasa, ini bermakna parti tersebut berada di ambang kehancuran.

Saya menyeru semua pihak untuk menolak budaya gangsterisme dan keganasan dalam politik. Sebaliknya kita perlu berusaha menyuburkan semangat berdebat secara rasional dan berunding untuk menyelesaikan masalah.

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Ahli Parlimen Gombak

Article by Azmin Ali

Leave a comment