16 MEI 2021 

Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam Zionis Israel yang menyerang kota suci Palestin sehingga menyebabkan kerosakan dan pembunuhan rakyat Palestin di tanah air sendiri. 

Israel menjajah negara Palestin sedikit demi sedikit sejak 15 Mei 1948 melalui Peristiwa Nakbah yang merupakan suatu tragedi hitam yang telah membunuh ratusan ribu nyawa dan pengusiran rakyat Palestin secara besar-besaran. 

Israel tidak boleh dibiarkan berterusan dengan kerakusan mereka. Rakyat Palestin telah terlalu lama ditindas oleh rejim ganas Zionis Israel. Masyarakat dunia tidak boleh berdiam diri lagi. 

Kami menyeru dan mendesak pemimpin-pemimpin negara seluruh dunia segera mengutuk kezaliman dan keganasan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin. 

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu jangan membisu mengenai hal ini tetapi mestilah mengambil tindakan serta merta dan melaksanakan sekatan yang wajar ke atas Israel. 

Pembunuhan dan pembersihan etnik yang dilakukan oleh Zionis Israel adalah satu jenayah perang (war crime) dan jenayah terhadap kemanusiaan (crime against humanity). Kami menuntut agar mereka yang bertanggungjawab diseret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa supaya rakyat Palestin mendapat hak keadilan. 

Kami teguh bersolidariti dengan rakyat Palestin yang terus menerus dizalimi dan diusir dari tanah air mereka sendiri. Pembersihan etnik dan sistem apartheid amalan rejim Zionis Israel mesti dihentikan segera. 

Kami menyokong usaha Kerajaan Malaysia membantu rakyat Palestin dan memobilisasi sokongan antarabangsa untuk Palestin. Pengumuman YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelbagai bantuan dan usaha serantau yang dijalankan oleh Kerajaan Malaysia adalah bukti kesungguhan kita yang mahukan penyelesaian tuntas dan keadilan untuk rakyat Palestin. 

Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersolidariti bersama rakyat Palestin dan kami berdoa agar rakyat Palestin diberikan kesabaran, pertolongan serta kemenangan dalam usaha mereka memelihara maruah dan hak mereka. 

Kami juga mengajak semua rakyat memberikan sumbangan kepada warga Palestin sebagai tanda tanggungjawab membantu mereka yang dizalimi melalui kempen #Aid4Palestine atau melalui saluran – saluran lain yang sah. 

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI 

Ketua Penerangan Perikatan Nasional 

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN 

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia 

KAMARUZAMAN MOHAMAD 

Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia 

KOO SHIAW LEE 

Ketua Penerangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia 

CHIN VUI KAI 

Ketua Penerangan Parti Maju Sabah 

JEFFREY KUMIN 

Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku 

 

KM Penerangan Kecam Zionis final