Kenyataan Media : TINDAKAN SEGERA JAMIN KESELAMATAN RAKYAT MALAYSIA

Sebagai pejuang demokrasi kita menyatakan solidariti dengan rakyat Mesir yang menuntut Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan dan memulakan langkah jelas untuk melaksanakan demokrasi.

Kita mahu melihat pilihanraya bebas dan adil dilaksanakan segera agar rakyat Mesir dapat menentu kerajaan baru yang demokratik.

Ketika yang sama kita amat prihatin dengan kesulitan yang dialami oleh kira-kira 11,000 pelajar Malaysia di negara tersebut.

Bukan sahaja pelajaran mereka tergendala tetapi keselamatan mereka terancam di tengah-tengah konflik antara pejuang demokrasi di Mesir dengan pihak pemerintahan kuku besi yang ingin terus memegang tampuk pemerintahan meskipun tidak lagi mempunyai keabsahan.

Kami kesal kerana Kerajaan Malaysia lewat bertindak berbanding negara-negara lain untuk menjamin keselamatan dan kebajikan para pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di Mesir.

Kerajaan Malaysia juga tidak memberikan maklumat yang secukupnya untuk meredakan kebimbangan puluhan ribu rakyat Malaysia yang mempunyai anak-anak dan saudara mara yang menuntut dan bekerja di Kaherah, Iskandariah dan lain-lain tempat di negara tersebut.

Kealpaan Jabatan Penuntut Malaysia dan Kedutaan Malaysia di Kaherah bertindak adalah juga berpunca dari kelemahan pegawai-pegawai tertinggi di sana yang tidak mengetahui bahasa Arab dan akibatnya mereka yang tidak dapat mengikuti perkembangan politik dari media-media tempatan yang sepenuhnya di dalam bahasa Arab.

Kedutaan Malaysia di Kaherah juga bersikap begitu birokratik dan tidak mahu mendengar pandangan dari sarjana Malaysia yang berkhidmat di Kaherah yang lebih mengetahui situasi politik Mesir dan rantau Asia Barat.

Apa yang berlaku di Kaherah adalah akibat daripada dasar Kerajaan yang memilih pegawai yang tidak berkemampuan dan terputus (disconnected) dari persekitaran mereka beroperasi.

Apa yang perlu berlaku sekarang adalah proses evakuasi rakyat Malaysia yang terbesar dalam sejarah.

Proses ini boleh dilakukan dengan lebih awal dan teratur sekiranya Kedutaan di Kaherah dan Jabatan Penuntut Malaysia mempunyai maklumat yang cukup tentang proses politik yang berlaku di Mesir.

Rakyat Malaysia ternanti-nanti kepulangan keluarga dan sahabat handai tercinta dan kita berdoa agar segala urusan mereka dipermudahkan.

MOHAMED AZMIN ALI
Timbalan Presiden KEADILAN /
Ahli Parlimen Gombak
5 Februari 2011

One comment

Comments are closed.