Kenyataan Media YAB Dato’ Menteri Besar Selangor

23 Jun 2015
6 Ramadhan 1436H

Selaku Menteri Besar Selangor, saya bertanggungjawab memaklumkan kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor tentang urusan kerajaan sebelum mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Untuk minggu ini, saya telah menghadap DYMM Tuanku Sultan pada 22 Jun 2015 untuk memaklumkan antara lain kemajuan dalam usaha memuktamadkan Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Negeri Selangor.

Pada kesempatan ini, saya juga telah memaklumkan kepada DYMM Tuanku Sultan tentang masalah dalaman Pakatan Rakyat di peringkat nasional. Saya memberi jaminan kestabilan dan keutuhan Kerajaan Negeri Selangor untuk terus fokus kepada usaha memenuhi aspirasi rakyat melalui penjanaan pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial.

DYMM Tuanku Sultan mengambil maklum tentang penjelasan yang saya berikan dan Baginda mahu Kerajaan Negeri Selangor terus stabil untuk membangunkan Negeri Selangor dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

MOHAMED AZMIN ALI