Kerajaan Bertanggungjawab, Jangan Kompromi Kedaulatan Wilayah Negara

Setinggi – tinggi ucapan penghargaan dan tahniah buat seluruh pasukan keselamatan yang berani dan penuh dedikasi mempertahankan negara. Salut buat mereka !

Manakala itu, dua anggota keselamatan negara telah disahkan terkorban akibat pertempuran di Lahad Datu. Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin dari Unit 69 Komando gugur tatkala mempertahankan wilayah negara yang telah hampir dua minggu dicerobohi sekumpulan bersenjata berasal dari Sulu di Selatan Filipina.

Saya berhasrat merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat dan Allahyarham Sarjan Sabaruddin. Moga ruh pahlawan negara tersebut dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang soleh.

Walaubagaimanapun, insiden ini memunculkan persoalan besar berkaitan keselamatan wilayah negara. Sementara keyakinan kita dengan kebolehan serta kecekapan anggota keselamatan negara tidak pernah goyah sama sekali, adalah amat dikesali, pencerobohan yang berlaku lebih dua minggu ini seolah-olah tidak dipandang serius oleh Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan dan YAB Perdana Menteri.

Adalah tidak masuk akal pencerobohan wilayah di Lahad Datu oleh sekumpulan bersenjata ini berlarutan selama hampir dua minggu. Kenapa YAB Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri tidak mengambil tindakan tegas mempertahankan kedaulatan negara ?

Justeru kita menggesa YAB Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan bertanggungjawab dan memberi penjelasan yang terperinci kepada rakyat Malaysia tentang bagaimana wilayah negara boleh sewenang-wenangnya dicerobohi serta kenapa hampir dua minggu penceroboh bertapak di Lahad Datu. Pimpinan negara perlu sedar kedaulatan wilayah negara tidak boleh sama sekali dikompromi.

Mohamed Azmin Ali
2 Mac 2013