Kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, bukan BN atau Umno

Susulan laporan yang beliau sedia mengenepikan politik dan menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) demi kepentingan rakyat dalam isu berkaitan masalah banjir, Mohamed Azmin Ali menjelaskan, beliau sedia menjalin kerjasama dengan kerajaan persekutuan, bukannya BN atau Umno.

Menurut laporan Sinar Harian hari ini, menteri besar Selangor itu menegaskan, satu wacana baharu penting diwujudkan antara kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) dengan kerajaan persekutuan.

“Saya minta supaya wujud satu kerjasama dan wacana baharu antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat.

“Saya tidak kata akan bekerjasama dengan BN mahupun Umno… diharapkan perkara ini diperbetulkan,” katanya pada satu majlis di perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam semalam.
Katanya, banyak perkara dapat diselesaikan sekiranya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berbincang bersama, terutamanya dalam isu ekonomi, pendidikan, keselamatan dan permasalahan rakyat.

“Kerajaan persekutuan ada tanggungjawab kepada kerajaan negeri dari segi penyaluran peruntukan, bantuan pembangunan. Bukannya dibuat secara ad hoc seperti situasi yang berlaku sekarang.

“Mesej saya ialah, berdasarkan perubahan cuaca global akhir-akhir ini, ia memerlukan persiapan yang rapi dari aspek sistem perparitan, program tebatan banjir dan kemajuan pembangunan,” kata Azmin yang juga timbalan presiden PKR.

Katanya, semua persiapan itu perlu disokong dengan infrastruktur yang cukup terancang dan tersusun.

Justeru itu, katanya pembangunan infrastruktur di setiap negeri perlu dibangunkan bersama dengan kerajaan persekutuan, bukan dengan Umno mahupun BN. – 3 Januari, 2015.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kerjasama-dengan-persekutuan-bukan-bn-atau-umno-kata-azmin#sthash.sB3J11F6.dpuf