[ KONGRES KE 10 ] Ucapan Dasar Timbalan Presiden 2014

CEKAL BERSEDERHANA

BERANI BERJUANG

 

Zaman Edan

1.      Hari ini adalah Hari Berkabung Nasional. Negara bersedih dengan kepulangan 20 jenazah rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pembunuhan beramai – ramai akibat dari keganasan dan terorisme. Kita melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang yang mereka sayangi. Kita memohon doa agar mereka bersabar dan pasrah menghadapi dugaan ini.

2.      Kita hidup di zaman edan. Kemanusiaan itu sendiri tergugat. Kita menyaksikan pembunuhan kejam terhadap wanita dan bayi di Gaza. Dunia baru saja ingin melupai fanatisme taliban. Kini, dunia dikejutkan dengan projek gerakan ekstrimisme ISIS yang menggunakan terorisme sebagai jalan untuk mencapai matlamat termasuk membunuh secara kejam sesama Islam dan manusia berlainan agama.

3.      Kita mengutuk sekerasnya pembunuhan secara biadap dan kejam terhadap wartawan James Foley. Kita mengutuk kebiadapan mereka menggunakan Islam dan kalimat Thayyibah “Lailahaillallah” sebagai slogan propaganda projek terorisme mereka. Kita menyeru dunia Islam di pagi Jumaat yang mulia ini, ulama, intelektual, NGO untuk mengutuk sebarang bentuk keganasan dari mana golongan sekalipun yang menggunakan nama Islam.

4.      Kita mesti membanteras gerakan kegelapan yang membunuh nilai kemanusiaan sejagat.  Untuk melawan kegelapan dan nihilisme, umat Islam perlu menyuburkan kembali semangat kesederhanaan, wasatiyyah. Gerakan humanisme dan rasionalisme yang dimulakan melalui gerakan penterjemahan karya – karya agung di Baitul Hikmah, Baghdad pada abad ke 10 dan mencapai kegemilangannya di Baghdad dan di Cordoba dengan tokoh – tokoh pemikir seperti Al Kindi, Al Farabi, Ibnu Sina, Al Ghazali, Ibnu Arabi dan Mulla Sadra.

5.      Mereka inilah yang memberi sumbangan kepada tamadun dunia yang turut meletakkan asas – asas pemikiran moden yang kemudiannya mencetuskan renaissance dan kemudian pencerahan di Eropah.

 

Perjuangan Demokrasi

6.      Sejarah awal Islam mendidik kita untuk menghayati liku – liku demokrasi. Sebaik sahaja Baginda Rasulullah SAW wafat, umat yang telah dibangunkan oleh Baginda selama 22 tahun menghadapi krisis kepimpinan.

7.      Rasulullah tidak meninggalkan isyarat dari mana harus pemimpin itu datang. Apakah ianya perlu dipilih di kalangan Muhajirin atau    Ansar ?

8.      Berlaku perdebatan sengit di Saqifah Bani Saadah, balai raya terletak di perkarangannya seorang pemimpin Ansar. Pelbagai nama dicadangkan untuk memegang jawatan khalifah. Golongan Ansar mencadangkan pemimpin tempatan, Saad Bin Ubadah. Ada yang mengusulkan sepupu Nabi, Ali Bin Abu Talib.  Umar al Khattab dan Abu Ubaidah turut dicadangkan. Akhirnya, Abu Bakar as Siddiq dipilih sebagai khalifah pertama. Amanat Baginda Rasulullah SAW :

” … Kamu lebih tahu tentang urusan dunia kamu.”

9.      Persoalan kepimpinan adalah urusan dunia manusia yang perlu ditangani secara rasional, berimbang, inklusif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak ; golongan minoriti dan majoriti.

10.             Sepanjang sejarah tamadun, manusia berhadapan dengan masalah kepimpinan. Perdebatan muncul tentang siapa yang layak memimpin ?

11.    Adakah kepimpinan itu berasaskan harta, darjat keturunan atau kebolehan ? Atau apakah ciri – ciri yang membolehkan seseorang itu diangkat sebagai pemimpin ? Ribuan tahun manusia membuat eksperimen tentang cara untuk memilih pemimpin. Pelbagai gagasan masyarakat sempurna dan utopia dikemukakan tetapi sikap yang dikemukakan oleh Algernon Sydney adalah lebih realistik : Yang kita mahukan bukanlah sebuah masyarakat sempurna tetapi masyarakat yang memiliki ketidaksempurnaan yang boleh dimaafkan.

12.             Manusia belajar dari pelbagai sejarah dan pengalaman. Bermula dari pengalaman demokrasi pertama di Athens pada abad ke 5 sebelum Masihi, pemerintahan republikan di Rome sebelum Julius Ceaser, dan demokrasi di zaman Khulafa al Rashidin. Berbekalkan pengalaman dan kesedaran, manusia kembali bangkit melalui Glorious Revolution ( Revolusi Gemilang ) yang muncul di England pada tahun 1688 untuk memberi nafas baru kepada sistem pengurusan kepentingan awam dan kolektif manusia.

13.             Falsafah Pencerahan dan usaha Jeffersonian Democracy mendirikan kerajaan rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat semakin mantap. Sebagai anggota KEADILAN, kita yakin dengan demokrasi kerana sistem ini adalah hasil evolusi dan eksperimen kemanusiaan untuk mencapai keadilan, membanteras kezaliman dan membuka ruang paling luas kepada peluang dan bakat baru.

14.    Keyakinan kita terhadap demokrasi bukan sekadar satu slogan. Tetapi keyakinan yang kita amalkan dan perlu kita suburkan. Justeru itu, KEADILAN dengan yakin dan berani mengamalkan demokrasi untuk memilih pemimpin.

15.    Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat yang dipimpin oleh YB Dato’ Johari Abdul yang telah melaksanakan proses Pemilihan 2014. Tentunya ada kelemahan dan penambahbaikan yang perlu diteliti segera demi menjamin keutuhan demokrasi dalam parti dan kelangsungan perjuangan reformasi.

16.    Presiden Barack Obama pernah berkata, democracy is a noisy process. Bingit dan hiruk pikuk. Jika kita seorang demokrat tulen, kita perlu bersabar untuk melalui proses tersebut dan tawadhu’ menerima ketentuan dan mandat.

17.    Hasrat membudayakan amalan demokrasi ini bukan sahaja untuk menjadikan KEADILAN sebagai sebuah parti politik yang demokratik, tetapi juga untuk memberdayakan anggota KEADILAN supaya lebih progresif dan dinamik.

18.    Dalam usaha menyegarkan demokrasi, kita perlu mengimbanginya dengan disiplin. Anggota parti dan pemimpin yang meremehkan dan mengabaikan disiplin akan mencederakan amalan dan sistem demokrasi. Akhirnya idealisme perjuangan dikorbankan.

 

Keadilan Raya

19.    Perjuangan demokrasi tanpa idealisme adalah tempang. Saya telah meluncurkan Gagasan Keadilan Raya kepada anggota parti. Gagasan ini diungkapkan sebagai suatu penegasan kembali paksi perjuangan KEADILAN yang bertunjangkan agenda reformasi.

20.    Keadilan Raya adalah fikrah perjuangan politik KEADILAN. Kita mahu menggarap keseluruhan rakyat secara inklusif untuk bersama – sama dengan kita melakukan reformasi terhadap institusi – institusi negara yang rosak akibat kerakusan pemimpin yang durjana.

21.    Kita mahu membangun kegemilangan Malaysia sebagai sebuah negara yang demokratik; menjunjung keluhuran perlembagaan, menyantuni rakyat dengan saksama, memastikan pengagihan ekonomi rakyat secara adil atau distributive justice serta menjamin kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang setara.

22.    Pentas kongres ini harus menjadi wahana untuk kita menggilap kembali iltizam terhadap ikhtiar untuk melaksanakan keadilan, menghayati kesederhanaan, melawan rasisme dan menolak faham radikal dan ekstrimis.  Kita harus mempertahankan keharmonian kaum, toleransi dalam masyarakat tanpa sikap apologetik. Kita perlu mengembalikan hala tuju negara agar kembali ke landasan menuju sebuah negara yang gagah.

 

Undang – Undang Tanpa Ruh Keadilan

23.    Perjuangan demokrasi bergerak selari dengan perjuangan menegakkan keadilan dan proses undang – undang. Pendakwaan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah serangan terhadap institusi demokrasi kerana ia bukan sahaja dilakukan kepada Anwar Ibrahim sebagai seorang individu tetapi juga sebagai Ketua Pembangkang yang merupakan bahagian integral dari sistem demokrasi.

24.    Saudara N. Surendran yang didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 pada hakikatnya adalah tindakan UMNO untuk menghalang beliau bertindak sebagai peguam untuk membela Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Langkah ini adalah serangan terhadap pembela keadilan dan proses undang – undang. Seperti yang diungkap oleh filasuf John Locke dalam karya the Two Treatises of Government, “…Whenever law ends, tyranny begins.

25.    Apabila undang – undang tidak lagi mempunyai ruh keadilan maka undang – undang telah menjadi alat dan perkakas kepada penguasa rakus dan zalim.

26.    Justeru, Angkatan Muda tidak boleh alpa dan mengambil sikap massa bodoh ( indifferent ) seperti yang digambarkan oleh Anton Chekov dalam cerpennya The Student yang menerangkan bagaimana gelisah dan runsingnya anak muda kerana hidup dalam sistem yang mengongkong dan zalim. Apabila generasi ini pasif maka masyarakat tersebut tidak akan dinamis, tidak mampu berdepan dengan cabaran – cabaran baru yang datang.

 

Pakatan Rakyat

27.    Dalam sejarah purba tamadun Cina, terkenal Babad Tiga Negeri – San Guo Yan Yik ; di mana seorang strategis muda berumur 26 tahun bernama Zhuge Liang melakar strategi membangun kembali Dinasti Han yang runtuh.

28.    Untuk membangun semula Han dan pemerintahan yang berteraskan benevolent dan righteousness, Liu Bei perlu menewaskan Cao Cao. Untuk menewaskan Cao Cao, Liu Bei perlu membuat pakatan dengan Sun Qian. Mengambil ilham dari strategi Zhuge Liang, KEADILAN hanya boleh menewaskan BN dan menegakkan Kerajaan Rakyat melalui muafakat bersama PAS dan DAP.

29.    Apa cara sekalipun, whatever it takes, Pakatan Rakyat perlu dipertahankan. Kita tidak membenarkan sesiapapun untuk melakukan provokasi dan cuba menggugat perpaduan Pakatan Rakyat.

30.    Kita bersama – sama membidankan kelahiran Pakatan Rakyat pasca PRU 12 pada 2008. Sememangnya, tahaluf siyasi ini berdepan dengan pelbagai cabaran. Namun, Pakatan Rakyat tetap unggul malah semakin utuh. Pakatan Rakyat bukanlah fenomena faltah siyasi sebagaimana yang disebutkan Sayidina Umar R.A. Ia bukannya kewujudan yang terburu-buru, tergesa-gesa tanpa pertimbangan yang teliti.

31.    Permuafakatan ini diikat kuat dengan dasar Pakatan Rakyat yang menghormati dan menghargai kepelbagaian agama dan budaya dalam masyarakat yang rencam, tuntas memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin keadilan pengagihan ( distributive justice ) ; mempertahankan prinsip keadilan sosial dan kesamarataan, komited untuk membentuk Kerajaan yang berteraskan tata kelola yang baik, menentang dengan keras amalan dan budaya rasuah serta crony capitalism dan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil ke arah memperkukuh sistem politik dua parti.

32.    Iltizam politik menerusi tahaluf siyasi ini menuntut Angkatan Muda meneruskan kerjasama dengan Pemuda PAS dan DAPSY ke arah memperkukuhkan muafakat ini yang dibina atas kerangka perjuangan yang jelas.

33.    Keutamaan hari ini mestilah ditumpukan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Oleh kerana itu, kita perlu melaksanakan dasar – dasar Pakatan Rakyat seumpama peribahasa Cina “juzhong ruoqing.”

34.    Deng Xiaoping, pemimpin yang meletakkan asas kemunculan China sebagai kuasa besar ekonomi selalu mengulangi pepatah tersebut yang membawa maksud, menggerakkan benda berat seolah – olah ianya ringan, to move heavy things as if they were light.” Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mestilah melaksanakan kebijakan – kebijakan yang digarap bersama oleh komponen Pakatan Rakyat.

 

Selangor – Terus Maju, Sejahtera dan Berkebajikan

35.    Sokongan besar rakyat Selangor terhadap muafakat Pakatan Rakyat perlu diterjemahkan dalam program – program yang akan mengangkat martabat dan darjat rakyat Negeri Selangor.

36.    Kemaslahatan rakyat seperti meningkatkan pendapatan, membasmi kemiskinan, merapatkan kesenjangan ekonomi antara kaya – miskin, membina perumahan mampu milik serta menangani bencana alam sekitar mesti menjadi teras pembangunan.

37.    Gagasan yang diungkap oleh filasuf dan ahli ekonomi Amartya Sen menegaskan bahawa pembangunan adalah capability expansion ; pengembangan kebolehan rakyat dari segi pengeluaran, penciptaan dan produktiviti. Rakyat yang berkembang kebolehannya akan menjadikan Selangor sebagai negeri yang produktif, mengeluarkan barangan perkhidmatan termasuk produk intelektual dan kebudayaan sekaligus meningkatkan pendapatan dan status ekonomi rakyat.

38.    Selangor perlu menjadi pemangkin kepada pembangunan Koridor Negeri – Negeri Pakatan. Seluruh kekuatan ini harus dipadukan untuk menjana kekuatan baru sebagai peneraju ke Putrajaya.

39.    Pembangunan Negeri Selangor yang pesat akan mengundang penghijrahan dari luar, ditambah dengan pertumbuhan penduduk secara semulajadi ; penduduk Selangor akan bertambah dengan pesat. Ini menuntut perumahan rakyat dan rumah mampu milik dijadikan keutamaan Kerajaan Negeri. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor harus berperanan untuk menyediakan rumah mampu milik dengan kualiti kehidupan kepada rakyat, menjamin keharmonian bandar serta membangun masyarakat yang kohesif dengan penempatan dan persekitaran yang baik.

40.    Keperluan pengangkutan awam juga akan meningkat. Namun, keperluan pengangkutan awam di Negeri Selangor perlu dilihat secara bersepadu antara Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Justeru itu, Selangor perlu bersedia untuk menghadapi cabaran secara produktif dan pro rakyat.

41.    Negeri Selangor perlu mempunyai perancangan strategik dan membina ‘niche’ yang tersendiri. Kita mempunyai wawasan untuk menjana peranan strategik universiti sebagai pemangkin untuk menjadi sebuah negeri yang progresif dan paling terkehadapan seperti Bangalore di India, daerah Zongguancun di China serta Daejeon di Korea Selatan.

42.    Saya yakin Universiti Selangor berpotensi untuk berada di kalangan universiti – universiti terbaik dunia. Universiti Beijing yang dihancurkan ketika revolusi kebudayaan 1965 dan berlarutan hingga awal 70 an boleh bangkit sebagai antara universiti terbaik Asia kerana pimpinan yang komited untuk mengembalikan kegemilangan Universiti Beijing.

43.    Selangor mempunyai sumber untuk melonjakkan Universiti Selangor dengan dasar serta komitmen kepada kecemerlangan dan kebebasan akademik. Hanya langit adalah sempadan kepada ilmuwan yang merdeka dan bebas fikirannya serta ghairah untuk menjadi yang terbaik.

 

Mendepani Cabaran

44.    Visi ini hanya boleh kita jadikan kenyataan sekiranya kita memiliki keberanian. Sebagai anggota KEADILAN, kita mesti berani berhadapan dengan cabaran dan mempunyai upaya untuk merungkai dan mengurus krisis.

45.    Menurut ulasan Henry Kissinger, tokoh Grand Strategy abad ini, Wei Ji bermakna krisis ; yang menggambarkan danger and opportunity. Wei adalah cabaran dan Ji adalah peluang. Jika kita mampu merungkai dan menguruskan krisis maka kita akan mampu menjadikan krisis sebagai satu peluang untuk membuat lonjakan ke tahap yang lebih tinggi.

46.    Krisis boleh menjadi peluang untuk kita melakukan muhasabah, menilai kekuatan mental dan spiritual anggota parti, menguji kesetiaan pimpinan dan anggota terhadap kepatuhan kepada prinsip dan semangat setiakawan serta penapisan untuk menjamin kualiti anggota parti.

47.    Kita perlu belajar daripada krisis. Iktibar daripada krisis akan menjadikan kita lebih kuat untuk mengurus krisis di masa hadapan. Biarpun ada kalanya kita salah membuat keputusan, pokoknya kita belajar daripada keputusan yang salah itu. Ia bukan subjek yang boleh dikuliahkan. Pengalaman secara langsung di lapangan perjuangan akan mendewasakan kematangan kita.

48.    Dr. Siddiq Fadzil, seorang sarjana Islam dan pemikir Melayu pernah menceritakan kepada saya hasil dari pembacaan beliau, bahawa seorang usahawan Eropah apabila ditanya mengenai kejayaannya, beliau menjawab dengan dua patah perkataan, “right decison”. Ditanya lagi bagaimana dia membuat right decision, dia menjawab dengan sepatah perkataan, “experience“. Diasak kali terakhir dengan pertanyaan bagaimana dia menimba experience sehingga berjaya membuat right decison dan berjaya sebagai usahawan, dia menjawab ringkas dengan dua perkataan, “wrong decision”.

49.    Perlu ada sikap tawadhu’ untuk menerima pandangan dan teguran daripada rakan – rakan. Kita boleh berbeda pendapat, tetapi apabila jamaah membuat keputusan, kita wajib mendukung keputusan tersebut. Sebagai contoh, ketika berlakunya perang Uhud, Baginda Rasulullah SAW telah mengusulkan supaya mengambil defensive strategy dengan bertahan di Kota Madinah. Namun, para sahabat mencadangkan offensive strategy, “mana boleh kita bertahan hanya di dalam Kota Madinah.”

50.    Atas keputusan kolektif tersebut, maka Rasulullah SAW menyarung baju perang dan terus bersedia dan mara seperti cadangan para sahabat. Sirah ini menggambarkan bahawa perbedaan pendapat dibolehkan dalam membuat satu – satu keputusan. Akan tetapi, apabila keputusan telah dibuat, setiap pimpinan dan anggota wajib patuh dan bersama untuk melaksanakannya.

51.    Melihat keperibadian dan kepimpinan Baginda Rasulullah SAW, saya ingin mengingatkan semua khususnya diri saya sendiri, bukan hanya anggota perlu patuh kepada keputusan, tetapi pemimpin juga harus patuh dan akur kepada keputusan majoriti secara kolektif. Begitu juga, tidak hanya anggota taat kepada pemimpin, akan tetapi pemimpin juga perlu taat dan bertanggungjawab kepada pasukan dan organisasinya.

 

Tantangan Angkatan Muda

52.    Saya sering diingatkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa politik itu satu marathon. Bukan larian pecut. Jika saudara istiqamah, saudara mempunyai hayat politik selama hampir 30 tahun.

53.    Deng Xiaoping pernah disingkirkan daripada partinya sebanyak tiga kali dan hanya muncul sebagai paramount leader ketika berumur 74 tahun. Dalam umur selanjut itu, beliau memulihkan negaranya yang dihancurkan selepas The Great Leap Forward dan revolusi kebudayaan.

54.    Melalui sejarah Islam, kita mengambil iktibar dengan pemecatan Khalid Al Walid sebanyak dua kali sebagai panglima. Namun, beliau akur dan terus kekal setia dengan jamaah dan meneruskan khidmat kepada negara.

55.    Angkatan Muda perlu mengambil pendirian yang tuntas, berhemah dan pragmatik dalam menangani segala suasana. Kita harus bijaksana demi kemaslahatan semua.

56.    Tatkala Saudara Anwar Ibrahim memimpin gerakan mahasiswa hampir setengah abad yang lalu, beliau lantang dan berani mencabar wibawa pemerintah yang tidak peduli akan nasib dan keperitan rakyat. Beliau berani menyatakan pendirian untuk mempertahankan nasib rakyat, memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menentang budaya rasuah dan membela ekonomi rakyat miskin.

57.    Angkatan Muda harus menjadi sayap yang paling progresif untuk mempertahankan idealisme perjuangan KEADILAN. Kita perlu berani membawa wacana baru demi pencerahan politik biarpun terpaksa mencabar pegangan dan amalan yang lapuk.

58.    Sebagai conscience of the majority, Angkatan Muda bertanggungjawab memastikan perjuangan KEADILAN senantiasa berada pada landasannya, memperjuangkan hasrat dan dhamir rakyat. Jangan sekali – kali kita laih dan menikus apatah lagi mengabaikan suara hati nurani rakyat.

59.    Pencerahan politik serta ilmu yang digarap wajar dibudayakan supaya kita menjadi contoh kepada rakyat yang terus dibungkam dengan hegemoni pemerintah yang menyesatkan. Pencerahan menjamin ilmu pengetahuan dan nilai – nilai perjuangan yang berpaksikan keadilan dan kebenaran.

60.    Anak muda perlu berani. Jadilah seperti Rajawali. W.S Rendra menukilkan :

 

“Sebuah sangkar besi,

Tidak bisa mengubah rajawali,

Menjadi seekor burung nuri…”

 

“Rajawali adalah pacar langit,

Dan di dalam sangkar besi,

Rajawali merasa pasti,

Bahwa langit akan selalu menanti…”

 

Cabaran Angkatan Muda

61.    Perjuangan masa hadapan menuntut kita untuk terus melakukan perubahan demi meraih dukungan rakyat yang luas. Perjuangan hari ini berbeza daripada perjuangan yang dilalui pada tahun 1998.

62.    Kita perlu dinamik dan berakar kepada massa. Kita perlu inklusif untuk connect dengan semua sektor generasi muda. Kita harus bersama anak muda yang minum di Starbucks, mempunyai twitter, facebook dan instagram. Tapi kita juga mesti bersama anak muda di desa yang bermotosikal tanpa helmet, tidak mempunyai lesen, hidup tanpa pekerjaan tetap untuk mendengar dan menyelami keluhan mereka untuk bercita – cita menjadi seorang rakyat biasa yang lebih terjamin masa depannya.

63.    Kita boleh mendampingi anak muda yang di universiti, akan tetapi apakah kaedah kita untuk anak muda yang tidak punya peluang belajar di universiti ? Kita perlu ada visi yang jelas, sebuah gagasan anak muda demi melakar masa depan yang lebih terjamin.

64.    Sapere Aude ! Berani berfikir sendiri ! Saya yakin anak muda  mampu menggalas tanggungjawab kepimpinan. Tekunlah dengan perjuangan. Jangan gerun pada ribut mahupun taufan. Masa bersama saudara sekalian. Genggamlah bara api sehingga menjadi arang.

 

22 Ogos 2014

Shah Alam

Perasmian Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda ke 10