Kunjungan Ke Pameran Pertanian, Hortikultur Dan Pelancongan Agro Malaysia 2018 (MAHA 2018)

Kunjungan Ke Pameran Pertanian, Hortikultur Dan Pelancongan Agro Malaysia 2018 (MAHA 2018)

2 Disember 2018

Kerajaan akan meningkatkan usaha untuk memperkukuhkan sektor pertanian yang merupakan penyumbang ketiga terpenting kepada pendapatan negara. Sumbangan sektor tersebut telah meningkat daripada 37.4 peratus dalam tahun 2015 kepada 38.8 peratus dalam tahun 2017.

Sambutan pengunjung yang memberangsangkan terhadap Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2018 (MAHA 2018) mencerminkan minat baru rakyat yang meningkat terhadap sektor tradisi tersebut.

Pameran hari ini telah menyaksikan peranan teknologi dalam usaha pemodenan sektor pertanian seperti penggunaan dron dalam pembajaan dan pemantauan kawalan penyakit dan perosak di jelapang padi.

Saya yakin masyarakat petani Malaysia, termasuk petani Bumiputera, bersedia memasuki era Pertanian 4.0 dengan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dan robotik untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti khususnya dalam pengumpulan dan penggunaan data. Pertanian pintar akan menghasilkan tranformasi sektor pertanian yang lebih berdaya saing dan maju.

Justeru itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi merangka strategi baru untuk memodenkan sektor tersebut agar meningkatkan sumbangannya terhadap pertumbuhan ekonomi keseluruhannya. Ini termasuklah sasaran meningkatkan subsektor agromakanan bagi mencipta peluang pekerjaan, memupuk keusahawanan dan sekaligus menjana kekayaan baharu negara.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 menggarisbawahi komitmen Kementerian Hal Ehwal Ekonomi terhadap perancangan penambahbaikan produktiviti dan pemodenan serta pengenalan sumber kekayaan yang baharu. Bagi tempoh 2018 – 2020, Kerajaan akan memberi tumpuan untuk membangunkan sektor pertanian yang produktif dan melibatkan penggunaan teknologi tinggi.

Fokus juga diberikan kepada penyediaan insentif dan sokongan yang diperlukan, termasuk infrastruktur, teknologi pertanian, maklumat pasaran dan akses kepada pembiayaan untuk petani dan pekebun kecil, yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Bumiputera, sekaligus meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan mereka.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensi berkaitan bagi merangka satu dasar industri agromakanan demi menjamin kemampanan bekalan makanan negara (food security) dan meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negara.

Di persada antarabangsa pula, sektor pertanian merupakan kluster utama bagi kerjasama antara negara-negara serantau di mana inisiatif Brunei Darussalam- Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) dan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) akan menjadikan negara- negara ASEAN ini sebagai “food basket” atau sumber bekalan makanan kepada Asia Tenggara. Malaysia akan meneruskan usaha dalam kerjasama serantau ini.

Saya telah melawat MAHA 2018 semalam dan kagum dengan kejayaannya. Saya merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terbabit menjayakan MAHA 2018, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Hal Ehwal Ekonomi

Leave a comment