Lawatan Kerja YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke Negeri Terengganu

Lawatan Kerja YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke Negeri Terengganu

SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN HAL EHWAL EKONOMI

LAWATAN KERJA YB MENTERI HAL EHWAL EKONOMI KE NEGERI TERENGGANU PADA 14 FEBRUARI 2020

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi telah mengadakan lawatan kerja sehari ke Negeri Terengganu bertujuan untuk membuat tinjauan bagi beberapa projek pembangunan. Antaranya tinjauan udara bagi kerja-kerja penyelesaian masalah hakisan di Pantai Teluk Lipat, Dungun, pembangunan semula Kompleks Pasar Payang dan projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Drawbridge di Kuala Terengganu dan penyerahan kelulusan projek membina masjid di Kem Seri Pantai 18 RAMD (Para), Seberang Takir, Terengganu. Lawatan kerja ini turut dilakukan bersama YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu.

YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut menyampaikan peruntukan RM5.0 juta bagi projek pembinaan Masjid Baru di Kem Seri Pantai 18 RAMD (Para), Seberang Takir. Pembinaan masjid ini dilaksanakan bertujuan untuk menampung jumlah jemaah yang semakin ramai dan bakal memberi manfaat kepada lebih 1,000 jemaah.

Selain itu, YB Menteri juga mengumumkan Peruntukan Pembangunan (DE) berjumlah RM1.14 bilion kepada Negeri Terengganu bagi tahun 2020 bagi menyuntik pembangunan yang lebih rancak di negeri ini. Ini merangkumi jumlah keseluruhan 38 projek baru dan 243 projek sambung.

Negeri Terengganu mempunyai potensi yang amat besar sebagai satu economic hotspot di Pantai Timur yang boleh menjana pertumbuhan baharu menerusi pembangunan industri pelancongan, pertanian, perindustrian dan keusahawanan.

Potensi ekonomi Negeri Terengganu akan direalisasikan menerusi model pembangunan bersepadu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui kerjasama strategik Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Kerjasama strategik yang berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan seperti ini bakal membuka peluang yang lebih luas kepada penduduk tempatan, terutamanya dalam memperkukuh pembangunan ekonomi wilayah dan merapatkan jurang pembangunan sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Article by Azmin Ali

Leave a comment