Majlis Makan Malam Sempena Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Mki) Ke 109

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah keizinan-Nya, kita berkumpul pada malam ini bersempena Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke 109.

2. Muzakarah ini amat besar maknanya bagi umat Islam dalam menangani pelbagai cabaran hari ini. Umat Islam di Malaysia terus menempa kemajuan dalam pelbagai bidang. Namun, kemajuan tersebut perlu berlandaskan nilai-nilai Islam.

3. Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin mengalu-alukan kehadiran para ulama dan cendekiawan Muslim ke Negeri Selangor, negeri yang terbuka kepada wacana, percambahan pemikiran dan budaya ilmu. Justeru, kepada Ashabul Samahah Mufti-Mufti, Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang sudi bertamu dan bermuzakarah, Selamat Datang ke Negeri Selangor.

4. Kerajaan Negeri komited untuk memartabatkan syiar Islam berlandaskan ajaran ahlus sunnah wal jamaah. Kita tuntas menjunjung prinsip keadilan dan kesederhanaan sebagai teras penghayatan Islam sebagai rahmatan lil alamin. Ini bermakna, tidak ada penindasan, peminggiran kepada mana-mana umat. Dalam konteks kesederhanaan, kita dengan tegas menolak sebarang bentuk ekstremisme dan gerakan militan.

5. Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Baqarah, ayat 143 :

“Demikian juga kami jadikan kamu, umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi-saksi ke atas manusia..”

(Surah al – Baqarah: 143)

6. Umat Islam hari ini terpanggil untuk menangani cabaran pemikiran, ekonomi dan sosial. Ulama dan cendekiawan Muslim perlu terus memberikan panduan agar umat Islam tidak terumbang-ambing dan keliru atau diheret ke kancah polemik yang merugikan.

7. Dalam konteks semasa, institusi kefatwaan mempunyai peranan yang kritikal untuk memperlihatkan bahawa urusan kefatwaan diuruskan dengan tersusun dalam semangat ijtihad jamaie.

8. Saya ingin menggesa agar institusi fatwa terus diperkukuhkan dan proses pemerkasaan (empowerment) institusi harus berterusan agar ia sentiasa dinamik dan mampu memenuhi tuntutan semasa dan zaman. Institusi fatwa perlu sentiasa segar dengan memiliki keupayaan jentera penyelidikan dan tenaga pakar yang mampu membentuk pandangan-pandangan hukum dan fatwa yang berkesan.

9. Salah satu cabaran besar yang dihadapi oleh umat di seluruh dunia adalah cabaran kemuflisan tamadun. Ini berlaku apabila keagungan dan keindahan Islam yang dibina sejak berabad-abad lamanya, dihancurkan oleh keangkuhan dan kerakusan manusia, kesempitan pemikiran, kejumudan intelektual dan leka dengan perkara remeh temeh. Oleh itu, tajdid dan islah adalah satu kemestian. Di sini, saya cukup yakin, Ashabul Samahah Mufti-Mufti sekalian mempunyai peranan yang amat penting dan strategik.

10. Masanya telah tiba untuk umat Islam khususnya di rantau ini beranjak dari pandangan dunia (Weltanschauung) yang berasaskan pengalaman umat Islam di Timur Tengah kepada pandangan yang lebih universal dan inklusif, termasuklah pengalaman rantau ini. Dunia kini akur sejak beberapa dekad yang lalu, rantau ini lebih berjaya menguruskan persoalan umat dalam aspek sosio-ekonomi dan kenegaraan.

11. Kita perlu mengutamakan hujah berasaskan ilmu dan daya tarikan (persuasion) untuk meyakinkan umat. Justeru itu, umat Islam hari ini perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pendekatan naqli dan aqli.

12. Pendirian ini adalah selaras dengan pandangan Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang menegaskan bahawa fatwa perlu serasi dengan Maqasid Syariah dan meraikan masa, tempat dan persekitaran.

13. Dalam konteks Malaysia, kemajmukan agama, bangsa, kaum, bahasa, budaya dan adat istiadat menuntut para mufti dan cendekiawan Muslim membangun Manhaj Malaizi sebagai satu pendekatan yang progresif bagi menerapkan nilai-nilai Islam dalam persekitaran yang khusus.

14. Ini boleh dicapai dengan menyegarkan kembali tradisi keilmuan yang dibina oleh ulama-ulama muktabar masa lampau yang digabungkan dengan kepekaan terhadap perkembangan pemikiran yang terbaharu. Dalam hubungan ini, salah satu langkah berhikmah yang wajar diberi perhatian oleh ilmuan adalah dengan menekuni karya agung (turath) dan kontemporari (mu’asir).

15. Akhirnya, saya yakin majlis muzakarah ini akan berlangsung dalam semangat keilmuan dan syura dalam usaha untuk menyegarkan syiar Islam, meningkatkan perpaduan umat serta menampilkan wajah ceria Islam sebagai rahmatan lil alamin kepada seluruh umat manusia.

16. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada JAKIM dan Jabatan Mufti Negeri Selangor di atas penganjuran Muzakarah kali ini. Saya mengharapkan agar para tetamu selesa berada di negeri ini dan saya mendoakan agar perjalanan Muzakarah akan berjalan dengan lancar.

Sekian, terima kasih.