Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan & Agensi Kerajaan Negeri

UCAPAN YAB MOHAMED AZMIN ALI DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

20 APRIL 2015

1. Saya bersyukur dapat bersama dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Selangor yang turut disertai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

2. Perhimpunan ini bukanlah sebahagian daripada rutin biasa tetapi mempunyai matlamat yang jelas untuk terus berusaha menambah baik sistem penyampaian untuk rakyat dan meningkatkan integriti dikalangan anggota perkhidmatan awam selaras dengan hasrat SPRM. Selangor adalah sahabat SPRM.

3. Dalam perhimpunan bulan lalu, kita telah menghayati kepimpinan dan kewibawaan Amirul Mukminin, Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang sarat dengan prinsip keadilan, menganjurkan pendekatan musyawarah dan tidak mudah menghukum, jauh sekali bertindak zalim.

4. Pagi ini, kita berhimpun untuk melihat satu lagi dimensi nilai yang perlu dipegang oleh semua pimpinan dan anggota perkhidmatan awam.

5. Saya ingin memulakan ucapan pada pagi ini dengan memetik sebuah esei yang terbit tiga tahun lalu dalam majalah ekonomi Forbes yang bertajuk, “Success Will Come and Go, But Integrity Is Forever”. Bagi saya, esei ini amat menarik. sementara Forbes sering membicarakan persoalan ekonomi dan turut memuatkan rencana tentang kemewahan dan kekayaan yang dimiliki oleh seseorang, namun pengarang tetap mengikat komuniti perniagaan dengan peringatan untuk memiliki integriti yang kuat.

6. Menurut esei tersebut, integriti adalah “doing the right thing at all times and in all circumstances, whether or not anyone is watching. It takes having the courage to do the right thing, no matter what the consequences will be.” Ini yang disebut sebagai courage of conviction.

7. Penulis mengupas perihal integriti dalam perspektif individu; sebagai satu nilai positif yang harus dibudayakan dalam diri. Kerana itu, dia menakrifkan integriti sebagai “melakukan perkara yang benar dalam apa jua keadaan, sama ada ketika diperhatikan atau tidak”. Ini bermakna, dalam usaha kita membangun sebuah masyarakat yang berintegriti, setiap individu dalam masyarakat itu harus dibudayakan sebagai individu yang berintegriti.

8. Melihat integriti dari perspektif sebuah pentadbiran Kerajaan, sudah tentulah ianya merupakan syarat utama sebuah pentadbiran yang bersih, efisyen, telus dan bertanggungjawab. Apatah lagi, Negeri Selangor merupakan sebuah negeri maju yang membangun dengan begitu pesat serta merupakan economic power house bagi negara ini.

9. Ini lah juga pesanan Pak Natsir, mantan Perdana Menteri Indonesia yang mengingatkan kita semua, “…sambil membangun, jangan kita meroboh”. Yang dibangunkan gedung dan bangunan, tetapi kita merobohkan nilai kemanusiaan di dalam gedung tersebut. Kita bangunkan kilang dan industri, jangan kita menekan dan menzalimi pekerja.

10. Maka, sudah tentulah kita berdepan dengan pelbagai cabaran dalam pentadbiran demi menjamin kelangsungan sebuah negeri yang demokratik, makmur dan peduli rakyat. Tanpa nilai integriti dalam pentadbiran, kita akan hanyut dan gagal untuk mentadbir negeri ini. Pembangunan hari ini, bukan sahaja pembangunan gedung dan lebuhraya, tetapi harus ditekankan pembangunan nilai dan prinsip.

11. Justeru itu, penting untuk kita membangunkan budaya kerja dan persekitaran yang akan mendorong para pentadbir dan anggota perkhidmatan awam untuk melaksanakan tugas dan peranan dengan jujur, amanah, disiplin dan bertanggungjawab.

12. Biarpun terdapat pelbagai inisiatif yang memberi penekanan untuk melaksanakan nilai integriti dalam pentadbiran Kerajaan, namun apa yang lebih penting adalah untuk memastikan seruan tersebut dijadikan amalan dan budaya kerja oleh para penjawat awam. Kita akan menyaksikan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti pada pagi ini. Tetapi, yang lebih mendesak ialah courage untuk melaksanakannya.

13. Gejala rasuah dan salah guna kuasa merupakan salah satu ancaman kepada pentadbiran sebuah Kerajaan yang bersih. Barah ini memberi kesan yang amat negatif bukan sahaja dari aspek ekonomi, tetapi juga pembangunan masyarakat.

14. Sebuah pentadbiran yang sarat dengan karenah birokrasi, ketidakcekapan sistem penyampaian, anggaran perolehan yang tidak tepat serta lemah dan tiris dalam perancangan kewangan adalah sangat berpotensi untuk membiakkan dan menyuburkan amalan rasuah. Apatah lagi jika agensi atau jabatan tersebut berperanan untuk memberi perkhidmatan langsung kepada rakyat. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk terdedah kepada amalan rasuah.

15. Untuk mencegah barah ini dalam pentadbiran, harus ada mekanisme kawalan dalaman serta usaha untuk menginstitusikan nilai integriti. Ikhtiyar ini penting bagi menjamin setiap keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri adalah for the greater good of the people atau yang terbaik untuk rakyat.

16. Menyedari keperluan ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan sebuah unit integriti bagi memastikan kelangsungan sebuah pentadbiran yang bersih, efisien dan cekap. Selain itu, Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat juga telah menubuhkan beberapa jawatankuasa termasuk di peringkat Dewan Negeri seperti SELCAT sebagai komitmen untuk memastikan setiap dasar dan polisi dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

17. Dalam ucapan Belanjawan Negeri Selangor 2015 pada bulan November yang lalu, saya juga telah mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan bekerjasama dengan Lembaga Swadaya Masyarakat atau NGO sebagai rakan kongsi dalam sistem demokrasi demi mencapai kecemerlangan dalam urus tadbir negeri.

18. Kerajaan Negeri dalam proses menubuhkan Pejabat Integriti Selangor serta menyambut baik cadangan untuk diwujudkan Pegawai Pejabat Hisbah (Ombudsman) yang bertugas untuk menyiasat aduan awam selari dengan dasar Kerajaan Negeri yang berpegang kepada prinsip pentadbiran yang bersih dan berintegriti.

19. Sebagai langkah untuk terus memperkukuh dan membudayakan nilai integriti dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, pentadbiran ini komited untuk menandatangani Corporate Integrity Pledge (CIP) atau ‘Ikrar Integriti Korporat’ pada pagi ini sebagai salah satu usaha demi memberdaya pentadbiran awam.

20. Ikhtiyar ini menggambarkan kesungguhan dan komitmen pentadbiran Negeri Selangor untuk menyahut seruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar semua organisasi sama ada pihak swasta, jabatan kerajaan atau badan berkanun menandatangani CIP.

21. Hakikatnya, CIP bukan perkara baru bagi pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Sebelum ini, ikrar tersebut telah pun ditandatangani oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan juga Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

22. Perhimpunan pada pagi ini lebih istimewa kerana sebanyak 9 jabatan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan menandatangani CIP secara serentak.

23. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bersama 8 Pihak Berkuasa Tempatan; Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Sepang.

24. Semua jabatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini dipilih memandangkan ianya merupakan organisasi induk dan agensi kerajaan tempatan yang menjadi front liner kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

25. Sebagai agensi berurusan dengan orang awam setiap hari, usaha ini juga diharapkan memberi advokasi kepada setiap kakitangan dan mempertingkat imej PBT dalam persepsi masyarakat.

26. Pentadbiran ini mengambil pendekatan punitif sebagai mekanisme semak dan imbang. Pendekatan ini adalah berdasarkan penglibatan atau partisipasi rakyat melalui sistem aduan. Saya ingin menegaskan bahawa aduan bukanlah beban kepada jabatan atau menambahkan tugas sedia ada. Akan tetapi, aduan dapat membantu kita menyemak dan memperbaiki tahap penyampaian perkhidmatan sedia ada.

27. Menjadi harapan kita, inisiatif ini menjadi pemangkin kepada pentadbiran yang berintegriti dan bertanggungjawab.

28. Sebagai sebuah Kerajaan yang senantiasa komited untuk melaksanakan reformasi dalam pentadbiran, kita mahu Negeri Selangor terus diterajui sebagai sebuah negeri maju, moden dan kosmopolitan. Nilai integriti harus mengakar dan menjadi sebahagian daripada jati diri masyarakat.

29. Untuk merealisasikan cita – cita dan harapan itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah lah kita bersama – sama melancarkan Saluran Aduan Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Semoga usaha ini terus berjaya demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negeri Selangor, InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.